Selasa, 29 Jun 2010

Belum masa bincang kerusi di Sabah- PM


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa menegaskan belum sampai masanya memutuskan sama ada pengagihan kerusi Barisan Nasional (BN) di Sabah dikekalkan status-quo nya ataupun tidak menjelang pilihan raya seterusnya.

"Belum sampai masanya kita buat apa-apa keputusan, kenapa orang nak melatah dan terlalu banyak riak pada masa sekarang.

"Saya belum membuat sebarang keputusan tentang apapun ... Serahkan pada saya untuk memutuskan apa yang terbaik bagi Sabah. Pada masa ini, kita jangan terlalu teruja tentang apapun," katanya ketika ditanya sama ada beliau mempertimbangkan untuk sebarang perubahan dari segi politik di Sabah.

"Terlalu banyak politiking dalaman tapi walau apapun ia, nasihat saya ialah tumpukan untuk berkhidmat kepada rakyat... Kita mesti tunjuk, kita sebuah parti yang prihatin dengan rakyat di Sabah, itu yang penting sekali," katanya kepada pemberita selepas program tinjauan mesra beliau ke Pasar Lido, dekat sini.

Najib ditanya demikian berikutan baru-baru ini, terdapat pergeseran sesama parti-parti komponen BN di Sabah apabila ada yang meminta supaya kerusi tertentu diberikan kepada parti mereka pada pilihan raya akan datang.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan