Isnin, 21 Jun 2010

Nilai aset Felda RM6.2 b - Ahmad Maslan



Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata nilai aset semasa dan tetap FELDA antara 2004 hingga 2009 meningkat RM6.2 bilion walaupun rizab tunainya menurun RM2.73 bilion dalam tempoh yang sama.

Beliau berkata bahawa pada tahun 2004, FELDA mencatatkan nilai pemilikan aset berjumlah RM9.17 bilion manakala pada 2009, meningkat kepada RM15.37 bilion.

"Bagaimanapun kedudukan rizab tunai FELDA sedikit merosot iaitu sebanyak RM2.73 bilion bagi tempoh yang sama," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini pada Isnin sebagai mengulas laporan sebuah akhbar pembangkang pada Isnin bahawa rizab tunai FELDA telah jatuh merundum.

Ahmad berkata rizab tunai FELDA merosot ekoran pelbagai perbelanjaan seperti RM2.41 bilion yang digunakan untuk pembangunan sosio-ekonomi.

Hisham isytihar perang terhadap pembangkang



Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengisytiharkan “perang habis-habisan” terhadap pembangkang yang didakwanya memperlekehkan Umno yang menjadi tunjang kerajaan BN.

Serentak dengan itu beliau mengajak seluruh ahli parti supaya mengetepikan kepentingan individu sebaliknya menumpukan perjuangan untuk merampas kembali kerusi yang terlepas kepada pembangkang pada pilihan raya umum 2008 lalu pada pilihan raya umum akan datang.

“Kita kena buktikan Umno sebagai sebuah parti yang kekal relevan memperjuangkan nasib bangsa Melayu dan masyarakat,” tegasnya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bakri di sebuah hotel di sini hari ini.

Beliau mahu supaya mereka tidak bersikap seperti katak bawah tempurung yang hanya memperjuangkan ruang litup mereka sahaja, sebaliknya mengambil kira orang di luar parti.

Menurutnya tiada gunanya mereka jadi jaguh dalam parti tetapi masyarakat luar menolak perjuangan parti.

Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri menjelaskan, kekalahan calon-calon BN dalam pilihan raya umum lalu bukan kerana Umno lemah tetapi kerana masalah dalam parti sendiri.

“Pembangkang mengambil kesempatan daripada kelemahan itu hingga kita kehilangan empat buah negeri dalam pilihan raya umum lalu,” katanya.

Sehubungan itu, katanya Biro Politik Umno yang bermesyuarat dua hari lalu telah memutuskan akan menggerakkan program-program tertentu dan akan mula membuat pemantauan keberkesanan program berkenaan setiap minggu mulai sekarang.

Perhubungan-perhubungan Umno negeri katanya akan diminta menghantar laporan setiap minggu terhadap aktiviti parti dan perlaksaan projek-projek kerajaan sehingga pilihan raya umum akan datang.

Hishammuddin juga mengajak perwakilan Umno bahagian Bakri berikrar bekerja keras untuk merampas semula kerusi Parlimen Bakri, Dewan-dewan Undangan Negeri Sungai Abong dan Bentayan yang jatuh kepada pembangkang pada pilihan raya umum lepas.

Persepsi Politik Umno Harus Berubah- Najib



Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak berkata persepsi terhadap politik Umno harus berubah mengikut trend terkini dan tidak boleh mengikut cara lama dalam usaha untuk menawan kembali hati rakyat menyokong Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata Umno perlu sentiasa dalam keadaan segar melalui pembaharuan yang mengikut persekitaran politik yang berbeza dan sentiasa berubah-ubah mengikut kehendak rakyat.

Katanya, trend perubahan perlu dilakukan untuk menangkis segala tohmahan daripada pembangkang yang sentiasa mengelirukan rakyat dengan persepsi yang munasabah.

"Walaupun Umno telah berusia 64 tahun dan merupakan produk yang telah berusia tetapi ia perlu diubah mengikut suasana politik supaya rakyat terus menyokong Umno", katanya merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Bagan Datoh di Wisma Umno bahagian itu di sini pada Ahad.

Perdana Menteri mengakui politik mengalami pasang surut kerana ia adalah lumrah dalam politik malah dalam sistem demokrasi berparlimen atau pun demokrasi berdasarkan persepsi sistem merupakan satu perkara biasa yang tidak dapat dielakkan.

"Apa yang penting bagi kita ialah menerima turun naik kedudukan politik akan tetapi suatu keadaan yang kurang selesa maka kita perlu menguatkan iltizam, bertekad untuk berusaha bekerja lebih kuat lagi dalam merangka strategi politik, mengukuhkan barisan bekerja dalam satu pasukan agar kesedaran kebangkitan ini kita akan capai kejayaan", katanya.

"Kalau kita melihat dari segi sejarah perkembangan politik Umno, bermula dari Parti Perikatan hingga BN, tiada siapa yang dapat menafikannya dengan jasa dan pengorbanan yang banyak disumbangkan untuk kesejahteraan rakyat di bumi yang bertuah ini" kata Najib.

"Yang menjadi masalah kepada kita ialah pemikiran rakyat yang sentiasa berubah-ubah dari masa ke satu masa kerana angkatan lama yang terdiri daripada pejuang kemerdekaan semakin berkurangan", katanya.

Katanya pemimpin politik mesti turun padang melihat kesusahan rakyat kerana rakyat tidak mahu pemimpin yang bersikap bersikap angkuh dan ego.

Beliau juga meminta anggota Umno mengambil iktibar dalam keseronokan menyokong pasukan yang mengambil bahagian dalam perlawanan bola sepak piala dunia.

"Tidak semestinya pasukan yang kita sokong selalu menang akan terus bertahan saja tetapi satu hari ia akan bolos juga (gol), ada masa kena serang dan ada masa kita menyerang balas", katanya kerana adanya pihak yang suka untuk memutar belitkan fakta.

Sebagai contoh, katanya dalam pilihan raya kecil Parlimen Sibu yang lepas, DAP telah memutar belit fakta dengan mendakwa kapal selam Scorpene tidak boleh menyelam sedangkan ia hanya masalah teknikal bukannya tidak boleh menyelam langsung.

Oleh itu, kataya Umno mesti buktikan kekuatannya selaras dengan teknologi terkini supaya maklumat dapat disampaikan secara telus kepada rakyat.

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Ketua Umno Bahagian Bagan Datoh yang juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. BERNAMA

Lagi desakan Musa letak jawatan dalam Sime Darby



Seorang Anggota Parlimen hari ini mendesak Pengerusi Sime Darby Berhad Tun Musa Hitam dan keseluruhan ahli lembaga pengarah syarikat itu meletak jawatan dengan serta-merta kerana kerugian besar yang dialami syarikat itu.

Wee Choo Keong (BEBAS-Wangsa Maju) berkata kerugian syarikat itu dalam dua projek di Qatar telah bermula pada tahun 2007 tetapi syarikat tersebut telah menafikannya.

Ini bermakna Sime Darby bukan sahaja membohongi pemegang-pemegang sahamnya malah ia juga menipu Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti.

“Saya juga hairan bagaimana Musa boleh membuat kenyataan bahawa Lembaga Pengarahnya tidak tahu-menahu tentang kerugian yang dialami. Ini amat memalukan kerana Sime Darby adalah syarikat perladangan yang terbesar di dunia.

Beliau turut mempersoalkan mengapa Sime Darby hanya mengambil tindakan terhadap Ketua Eksekutifnya Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid sahaja dan bagaimana pula dengan pegawai-pegawai pengurusan kanan yang lain yang turut terlibat dalam membuat keputusan. — Bernama

Ahad, 20 Jun 2010

Nallakaruppan akan telanjangkan Anwar


Saya akan cerita segala-galanya mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila tiba masanya dan ketika itu rakyat Malaysia akan tahu siapa Anwar yang sebenarnya.”

Demikian janji Datuk S. Nallakaruppan yang juga Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP).

Katanya, pendedahan itu merupakan satu daripada usaha untuk membantu ‘menyelamatkan’ negara.

“Ini bukan lawak atau bohong. Anwar banyak menimbulkan masalah kepada negara dan fokus utamanya adalah untuk menjadi Perdana Menteri semata-mata,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan MIUP di sini hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Turut hadir Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Hamzah Zainudin serta Ahli Dewan Negara, Senator Ezam Mohd. Nor.

Nallakaruppan juga menyatakan kesediaannya untuk berhadapan dengan Anwar di mahkamah sambil menyifatkan ‘pertemuan’ itu sebagai hari yang menggembirakan.

“Saya akan menunggu hari indah itu kerana ia merupakan hari yang sangat menggembirakan saya berbanding hari-hari lain. Bagaimanapun, dia perlu menyelesaikan dulu kes liwatnya sebelum boleh bercerita mengenai hal-hal lain,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berhasrat untuk menjadikan MIUP sebagai sebahagian daripada parti komponen BN pada masa akan datang.

Beliau berkata, pihaknya sudah menghantar permohonan untuk menyertai BN pada tahun lalu dan masih menunggu keputusan mengenainya. – Utusan/MediaUMNO

Arigato Pak Sheikh…


Arigato Pak Sheikh…

Oleh: ROSLAN BIAN

Insiden perang mulut wartawan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah kerap berlaku sejak beliau jadi Ketua Pembangkang di Parlimen.

Selalu jadi sasaran media yang dituduh pro kerajaan dan UMNO seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, RTM, TV3 dan Agendadaily sendiri sudah beberapa kali cuba dimalukan beliau semasa sidang akhbarnya.

Cuma beliau kadangkala cakap berlapik tidak memarahi atau menyalahkan wartawan yang bertanya soalan sebaliknya mengecam pihak atasan syarikat media.

Ayat biasa beliau, “ I tahu you all semua cari makan tapi pihak atasan ….bla…bla…bla ”.

Itulah Anwar bila tersepit dan terperangkap dengan soalan yang betul-betul kena batang hidungnya.

Dalam keadaan itu beliau kerap mengelak menjawab sebaliknya corner dengan hentam media kononnya diupah bertanya soalan-soalan yang merumitkannya.

Sebaliknya beliau nyata cukup selesa dengan soalan ‘bola tanggung’ yang membolehkannya smash kerajaan oleh segelintir pemberita baru yang hanya tahu hulur tape dan catat apa dicakapnya.

Mudah sahaja untuk mencetuskan kemarahan Anwar dalam sidang medianya.

Cubalah provoke beliau dengan soalan-soalan yang ‘kasi geli ’ terutama berkaitan dirinya termasuk kes dakwaan liwat oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan, isu 16 September dan kisah-kisah wakil rakyat yang keluar PKR.

Agendadaily sendiri ada beberapa pengalaman dengan Anwar berdepan isu-isu begini tetapi beliau memilih mengelak menjawab soalan dikemukakan sebaliknya menuduh portal ini macam-macam termasuk ayat ‘ Saya tahu siapa bayar you all ”.

Insiden terbaru di lobi Parlimen yang kini menjadi bualan ramai wartawan, Khamis adalah contoh dan sikap Anwar terhadap petugas-petugas media.

Beliau sanggup bertegang leher dengan wartawan RTM yang bertanya soalan mudah, bilakah mahu mendedahkan bukti yang didakwanya ada bahawa wakil rakyat PKR yang keluar parti dibayar RM2 juta.

Memanglah Anwar jawab, akan dedahkan bila tiba masanya tetapi perkara itu sudah dimaklumlah ketika beliau membahas usul RMK-10, di Dewan Rakyat, Isnin lalu.

Sebagai follow-up , wartawan mahupun orangramai mahu tahu bila kerana tuduhan bekas wakil rakyat terima habuan ini berita menarik.

Ini kerana antara lima ahli parlimen PKR yang keluar parti adalah Zulkifli Noordin (Kulim Bandar Bharu).

Beliau dipecat. Justru itu ada ingin tahu apakah beliau juga termasuk dalam mereka yang didakwanya terima habuan.

Mengenali Anwar, tidak sukar membaca tindak tanduknya itu.

Beliau akan mula melenting pada wartawan yang bertanya, jika soalan dikemukakan ‘terkena batang hidung’ dan mungkin beliau tiada jawapan kerana perkara itu tidak benar seperti isu Pelan 16 September.

Ahli Parlimen Bebas Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Hashim sampai sekarang masih bertanya dan menuntut Anwar dedahkan senarai 30 nama ahli parlimen BN yang kononnya sudah setuju lompat parti sertai pembangkang tawan Putrajaya.

Kerana tiada jawapan, Zahrain akhirnya pada Rabu di Dewan Rakyat melabelkan Anwar sebagai ‘Ketua Pembohong’.

Begitu juga dalam isu liwat, Zahrain juga mencabar Anwar, jika benar anak jantan, Anwar bersumpahlah tidak berbuat demikian.

Nasib baik tiada wartawan yang bertanya cabaran itu. Kalau tidak, pasti sidang media Anwar Khamis lebih panas.

Begitu juga soalan seperti dakwa bekas rakan karibnya, Datuk S Nallakaruppan beliau beberapa kali guna jet syarikat judi Magnum Corporation untuk keluar negara masa dalam kerajaan dulu.

Ini belum cakap bab pengeluaran lesen judi di Sabah waktu itu.

Kepada Anwar, cukuplah jawap pusing sana, pusing sini dan keluar tajuk.

Tidak perlu merapu kaitkan perkara-perkara lain mengelak soalan dikemukakan.

Ramai wartawan veteran dan otai-otai yang bertugas sejak zaman Anwar lebih dikenali dengan panggilan ' Pak Sheikh' masa jadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dulu cukup masak dengan perangainya dan ungkapan ‘ Arigato …..’ sebagai tanda tidak mahu bercakap lagi atau menamatkan sidang media.

Kini sudah ada ayat baru ‘ shut up’ .-19/6/2010 -Agendadaily

NOTA KAKI: Kalangan pengamal media senior yang sentiasa mengejar berita di zaman kegemilangan Anwar sebagai pemimpin kanan kerajaan rata rata mempunyai pengalaman luas bagaimana "keegoan" beliau bila berdepan dengan media.

Keadaan ini di dorong oleh keegoan kerana merasakan dirinya sudah cukup kuat dan telah berjaya menguasai "kepala kepala" di agensi media tersebut dan mampu membeli individu tertentu dengan wang ringgit dan jawatan.

Kerana beliau merupakan pencetus kepada penguasaan "kepala kepala media" untuk mempotret diri beliau, tidak hairan sehingga hari ini Anwar mudah sekali menuduh setengah soalan tertentu yang ditujukan kepadanya ada agenda tertentu.

Jadi apa yang berlaku itu adalah "jerat makan tuan" atau "takut pada bayang bayang sendiri" dan barangkali bagi mengamal media yang mempunyai pengalaman manis dengan Anwar memulakan siri penceritaan masing-masing untuk tatapan semua.

Biar orang ramai dapat menilai siapa itu Anwar Ibrahim dengan dunia media beliau sewaktu berkuasa dulu.

Jumaat, 18 Jun 2010

Anwar bertaubatlah- Zulkifi Nordin




Salam 2 all.

Saya melahirkan rasa terkejut dengan tindakan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang melenting dalam sidang akhbarnya Khamis lepas apabila menyuruh seorang wartawan "shut up" apabila ditanya tentang dimana bukti dakwaannya bahawa kami Ahli Parlimen bebas kononnya dibayar RM2juta.

Saudara Tukimin mengemukakan pertanyaan beberapa kali kepada Dato' Seri Anwar supaya mengemukakan bukti tohmahan tersebut. Bukan sahaja beliau tidak menjawab, sebaliknya beliau berpusing dan berputar kepada isu lain.

Dan apabila Tukiman tegas dengan soalannya mahukan bukti dakwaan tersebut, Dato' Seri Anwar menyuruh beliau diam, awak "shut up". Dan kenyataan itu disiar keseluruh dunia melalui media siber dan arus perdana.

Dato' Seri Anwar perlu faham bahawa selepas konspirasi beliau mengenai rancangan merampas Putrajaya pada 16 September 1998 didedahkan kepada umum oleh YB Dato' Seri Zahrain didalam Parlimen, rakyat sudah mula sangsi dan hilang kepercayaan kepada beliau. Sehingga Dato' Seri Zahrain berucap didalam Parlimen baru-baru ini meminta Dato' Seri Anwar supaya tidak menjadikan jawatan Ketua Pembangkang sebagai Ketua Pembohong!

Sebenarnya kami telah memberi peluang yang banyak kepada beliau. Sejak Dato' Seri Anwar membuat tohmahan tersebut semasa Kongres Khas PKR di Kota Bharu beberapa minggu lepas, kami mengambil sikap berdiam diri kerana tahu ianya gimik politik beliau sahaja. Tetapi apabila beliau membuat kenyataan itu di Parlimen, kami telah mencabar belaiu supaya mengemukakan bukti.

Bukan sahaja beliau tidak menjawab, sebaliknya menuduh Dato' Seri Zahrain ada rumah elok dan kereta baru! Sedangkan beliau sendiri pun ada rumah baru yang bernilai berjuta dan mengguna kereta baru yang harganya saya ingat boleh ternganga rakyat dibuatnya.

Saya sendiri dalam sidang akhbar dihari yang sama menjawab tohmahan beliau dengan bertanya adakah masuk akal saya yang dipecat juga turut dibayar RM2juta. Takkanlah bodoh sangat orang nak bayar saya untuk dipecat. Kalau PKR dibayar untuk pecat saya itu kan lebih menasabah. Tapi untuk orang bayar saya supaya dipecat?! Samada yang bercakap tu akal terencat atau...faham-faham sajelah!

Sebab itu kami Ahli Parlimen Konsensus Bebas memahami soalan wartawan tersebut meminta bukti dakwaan beliau tersebut kerana rakyat sudah hilang kepercayaan. Kita tidak mahu politik negara ini berubah menjadi politik fitnah dan pembohongan semata-mata kerana ideologi "matlamat menghalalkan cara"; politik sempit untuk merampas Putrajaya dengan apa cara sekalipun. Politik "cakap tak serupa bikin!!"

Oleh itu, saya mendesak Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Permatang Pauh yang juga Ketua Pembangkang bersikap ikhlas dan jujur dan berhenti daripada amalan politik sempit matlamat menghalalkan cara ini. Hormatilah amanah yang diberikan dengan jawatan Ketua Pembangkang tersebut. Gunakanlah amanah jawatan itu untuk memperjuangkan kepentingan dan kebajikan rakyat!

Saya tidak mahu Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadikan kami Ahli Parlimen Konsensus Bebas sebagai modal politik beliau untuk mengalih pandangan rakyat umum dari masalah sebenar yang dihadapi beliau dan Pakatan Rakyat. Konsensus Bebas bersimpati dengan pelbagai masalah yang beliau hadapi hari ini iaitu kelemahan PKR, kepimpinan beliau yang mula dipersoalkan, peningkatan prestasi cemerlang YAB Perdana Menteri dan sudah tentu yang paling besar ialah kes perbicaraan beliau meliwat Saiful Bukhari.

Saya ingin menasihatkan Dato' Seri Anwar, sudah sudahlah tu; bertaubatlah!

Wassalam.


Zulkifli Bin Noordin
Sabtu
07 Rejab 1431
19 Jun 2010