Isnin, 21 Jun 2010

Hisham isytihar perang terhadap pembangkang



Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengisytiharkan “perang habis-habisan” terhadap pembangkang yang didakwanya memperlekehkan Umno yang menjadi tunjang kerajaan BN.

Serentak dengan itu beliau mengajak seluruh ahli parti supaya mengetepikan kepentingan individu sebaliknya menumpukan perjuangan untuk merampas kembali kerusi yang terlepas kepada pembangkang pada pilihan raya umum 2008 lalu pada pilihan raya umum akan datang.

“Kita kena buktikan Umno sebagai sebuah parti yang kekal relevan memperjuangkan nasib bangsa Melayu dan masyarakat,” tegasnya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bakri di sebuah hotel di sini hari ini.

Beliau mahu supaya mereka tidak bersikap seperti katak bawah tempurung yang hanya memperjuangkan ruang litup mereka sahaja, sebaliknya mengambil kira orang di luar parti.

Menurutnya tiada gunanya mereka jadi jaguh dalam parti tetapi masyarakat luar menolak perjuangan parti.

Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri menjelaskan, kekalahan calon-calon BN dalam pilihan raya umum lalu bukan kerana Umno lemah tetapi kerana masalah dalam parti sendiri.

“Pembangkang mengambil kesempatan daripada kelemahan itu hingga kita kehilangan empat buah negeri dalam pilihan raya umum lalu,” katanya.

Sehubungan itu, katanya Biro Politik Umno yang bermesyuarat dua hari lalu telah memutuskan akan menggerakkan program-program tertentu dan akan mula membuat pemantauan keberkesanan program berkenaan setiap minggu mulai sekarang.

Perhubungan-perhubungan Umno negeri katanya akan diminta menghantar laporan setiap minggu terhadap aktiviti parti dan perlaksaan projek-projek kerajaan sehingga pilihan raya umum akan datang.

Hishammuddin juga mengajak perwakilan Umno bahagian Bakri berikrar bekerja keras untuk merampas semula kerusi Parlimen Bakri, Dewan-dewan Undangan Negeri Sungai Abong dan Bentayan yang jatuh kepada pembangkang pada pilihan raya umum lepas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan