Selasa, 1 Jun 2010

Menteri Luar ke Jordan untuk misi bebas rakyat Malaysia



Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berlepas ke Jordan pagi ini dalam usaha untuk membebaskan 12 rakyat Malaysia yang ditahan tentera Israel, Isnin lalu.

Dalam kejadian Isnin lalu, tentera Israel telah menyerang kapal mereka (aktivis) naiki bersama sukarelawan antarabangsa dalam perjalanan untuk menyerahkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin di Gaza.

Pemergian Anifah diiringi beberapa pegawai Wisma Putra.

Dalam insiden tersebut, 12 rakyat Malaysia termasuk seorang wartawan dan jurukamera stesen televisyen Astro Awani berada dalam kapal Turki, “Mavi Marmara”.

Kedua-dua mereka dilaporkan selamat dalam serangan itu yang mengakibatkan beberapa sukarelawan terbunuh.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengarahkan Wisma Putra supaya menyelamatkan kesemua rakyat malaysia itu.

Anifah memberitahu pemberita semalam bahawa Wisma Putra sedang mengenal pasti lokasi di mana kesemua rakyat Malaysia itu kini berada. - Bernama

Solat hajat untuk misi kemanusiaan Gaza

Kira-kira 600 umat Islam menyertai solat hajat dan tahlil di Masjid Jamek Kampung Baru di sini mendoakan mangsa keganasan dan kezaliman Israel ke atas konvoi sukarelawan misi kemanusian ke Palestin semalam.

Program anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) itu turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan; Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Aziz Jamaludin Mohd Tahir dan juga pelajar-pelajar Tahfiz Al-Zahrah dan Tahfiz Al-Hidayah.

Program tersebut dimulakan dengan solat Maghrib dengan diikuti solat hajat, yang diketuai imam masjid, Abdul Ahad Abu Bakar.

Sebelum bacaan Yassin, Ibrahim memberikan taklimat kepada jemaah yang hadir mengenai perkembangan 12 orang rakyat Malaysia yang terlibat dalam serangan tersebut.

Kemudian ia disusuli dengan bacaan Yassin dan tahlil sebelum solat Isyak.

Ibrahim yang ditemui selepas program tersebut berkata, usaha tersebut diadakan untuk mendoakan keselamatan dan kesejahteraan sukarelawan yang menyertai konvoi tersebut.

“Melalui solat hajat ini kita mahu mendoakan keselamatan dan juga kesejahteraan sukarelawan yang terselamat.

“Kita juga mendoakan kesejahteraan bagi sukarelawan yang terbunuh dalam serangan tersebut,” katanya.

Beliau juga berkata, MPM akan terus memantau perkembangan mengenai sukarelawan Malaysia yang terlibat dan pada masa sama sedia memberikan sebarangan bantuan sekiranya diperlukan.

“Kita sedia memberikan bantuan sekiranya khidmat kita diperlukan malah kita akan sentiasa memantau perkara ini,” katanya.

Sementara itu Ahmad berkata kerajaan akan berusaha untuk membawa keluar kesemua rakyat Malaysia yang kini ditahan Israel.

“Kerajaan kini sedang berusaha untuk membawa keluar semua rakyat Malaysia tersebut.

“Justeru kita harap kesemua mereka dapat pulang ke tanah air dengan selamat,” katanya.

PM umum rombakan kabinet



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari Selasa mengumumkan rombakan kabinet yang menyaksikan bekas Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat digugurkan manakala Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chor Chee Heung dilantik sebagai menteri penuh.

Beliau juga melantik dua Anggota Parlimen dan empat senator sebagai Timbalan Menteri yang baru, demikian menurut satu kenyataan Pejabat Perdana Menteri kepada Bernama.

Chor dilantik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menggantikan Datuk Seri Kong Cho Ha yang kini menjadi Menteri Pengangkutan, jawatan yang sebelum ini disandang oleh Ong.

Dalam pemilihan MCA pada Mac lepas, Ong gagal mempertahankan jawatan presiden setelah tewas kepada Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Turut digugurkan ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Wee Jeck Seng.

Najib turut mengumumkan pelantikan dua anggota Parlimen sebagai Timbalan Menteri iaitu anggota Parlimen Serian Datuk Richard Riot Jaem (Timbalan Menteri Luar) dan Anggota Parlimen Labis Chua Tee Yong (Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani), yang juga anak kepada Dr Chua.

Empat senator turut dilantik sebagai Timbalan Menteri yang baru iaitu bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk G. Palanivel (Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi); Datuk Donald Lim Siang Chai (Timbalan Menteri Kewangan); Datuk Maglin Dennis D'Cruz, yang juga Naib Presiden Kanan Parti Progresif Rakyat (PPP) sebagai Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan; dan Gan Ping Shou@Gan Ping Sieu (Timbalan Menteri Belia dan Sukan).

Rombakan kali ini juga menyaksikan empat timbalan menteri bertukar portfolio.

Mereka ialah Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Rohani Abdul Karim yang bertukar menjadi Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Timbalan Menteri Dalam Negeri Jelaing Mersat (Timbalan Menteri Pengangkutan); Timbalan Menteri Luar Datuk Lee Chee Leong (Timbalan Menteri Dalam Negeri) dan Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Senator Heng Seai Kie (Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).

Perdana Menteri berkata Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan istiadat mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Baginda pada hari Jumaat ini, 4 Jun pada pukul 3.30 petang di Istana Negara.

Najib berkata pelantikan mereka telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong selaras dengan perenggan (b) Fasal (2) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan mengenai pelantikan Menteri Persekutuan dan Fasal (1) Perkara 43A mengenai pelantikan Timbalan Menteri Persekutuan.

Katanya Seri Paduka Baginda juga telah memperkenankan pelantikan Senator Datuk Donald Lim Siang Chai, Senator Datuk Maglin Dennis D'Cruz dan Senator Gan Ping Shou@Gan Ping Sieu sebagai Ahli Dewan Negara berkuat kuasa mulai hari ini (1 Jun).

Mereka akan mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara dalam tempoh terdekat.

-- BERNAMA

Isnin, 31 Mei 2010

Masjid dan surau solat hajat dan doa nazilah



Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyeru masjid dan surau di seluruh negara mengadakan solat hajat dan bacaan qunut nazilah mulai malam ini bagi memohon keselamatan semua anggota misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, solat hajat itu diharap dapat diadakan serentak di seluruh negara selepas solat Maghrib hari ini dan juga selepas solat Jumaat ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di sini hari ini sebagai reaksi terhadap keganasan tentera Israel ke atas kapal Mavi Marmara yang

terlibat dalam misi `Flotila Kebebasan' bagi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.
-

Senarai nama rakyat Malaysia yang berada dalam kapal Mavi Marmara

Berikut senarai nama nama-nama rakyat Malaysia yang menyertai Misi Talian Hayat Untuk Gaza yang berada di kapal Mavi Marmara yang diserang dan ditawan tentera rejim Israel awal pagi semalam.

Maklumat adalah berdasarkan laman web Lifekine4Gaza.

* Noorazman Mohd Samsuddin, HaluanPalestin
* Dr Mohd Arbai'e Syawal, Haluanalestin
* Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hasan al-Haddad, HaluanPalestin
* Al-Hami Husain Suhaimi, HaluanPalestin
* Mohd Nizam Mohd Awang, HaluanPalestin
* Hasanuddin Mohd Yunus, Aqsa Syarif
* Jamuliddin Elias, Yayasan Amal
* Dr Selamat Aliman, Jemaah Islah Malaysia (JIM)
* Abdul Halim Mohd Redzuan, Muslim Care
* Mustafa Mansur, Mapim
* Ashwad Ismail, wartawan Astro
* Shamsul Kamal Latif, jurukamera Astro

Nasib mereka masih belum diketahui.

NOTA KAKI: Mari kita sama sama mendoakan agar mereka berserta semua anggota misi kemanusiaan itu di lindungi Allah daripada kekejaman rejim yahudi laknatullah itu.

Najib arah Wisma Putra selamat sukarelawan Malaysia

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau telah mengarahkan Kementerian Luar supaya menyelamatkan sukarelawan Malaysia yang berada di dalam kapal konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza yang diserang Israel semalam.

Katanya, memandangkan tidak ada komunikasi dengan pihak yang terlibat, maka Malaysia akan berusaha mendapatkan bantuan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) dan negara ketiga yang lain.

"Saya dah minta Wisma Putra berusaha menyelamatkan sukarelawan kita. Kita amat sukar mendapat maklumat...tidak ada komunikasi dengan pihak terlibat," katanya pada sidang akhbar pada hari Selasa.

Seramai 12 rakyat Malaysia, termasuk seorang wartawan dan seorang jurukamera Astro Awani, dilaporkan berada di atas kapal Turki iaitu Mavi Marmara yang diserang Israel.

Setakat ini, belum ada sebarang maklumat yang diterima berkaitan nasib kesemua rakyat Malaysia di dalam kapal yang diserang dan sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh.

Menurut laporan agensi berita asing, Israel telah menahan 480 aktivis pro-Palestin yang ditahan di dalam kapal itu dan akan mengusir 48 yang lain.

-- BERNAMA

Makiman SUP Datuk Hishammudin



Bekas Anggota Parlimen Hulu Langat Datuk Markiman Kobiran pada Isnin mengangkat sumpah sebagai Setiausaha Politik yang baru kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Markiman, 53, mengangkat sumpah menyimpan rahsia di hadapan Datuk Seri Najib Tun Razak di pejabat Perdana Menteri di sini dan disaksikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Beliau menggantikan Datuk Abdul Hamid Nazahar.

Markiman adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat dan bekas Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan.