Jumaat, 18 Mac 2016
SPRM AKAN SIASAT LIM GUANG ENG
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuka kertas siasatan berhubung isu Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng membeli rumah jenis banglo pada harga rendah daripada harga pasaran serta didakwa mempunyai kaitan dengan isu penjualan tanah di negeri itu.
Menurut sumber SPRM, kertas siasatan itu akan dibuka mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 berhubung dakwaan kononnya menerima suapan daripada pihak yang berkepentingan.
"Kita telah menerima beberapa laporan berkenaan isu ini hari ini dan kita masih menunggu jika ada laporan lain yang dibuat.
"Kalau aduan sebegini, memang kita akan buka kertas siasatan secepat mungkin dan kami akan siasat tidak kira siapa individu yang terlibat," katanya kepada Bernama hari ini.
Selain itu, kata sumber itu, pihaknya juga akan memanggil Lim untuk memberi keterangan setelah mendapatkan keterangan daripada pengadu-pengadu serta saksi-saksi.
"Saksi akan dipanggil untuk sahkan tohmahan yang diutarakan dan selepas itu baru kita akan panggil dia (Lim)," kata sumber itu.
Akhbar tempatan hari ini melaporkan Lim didakwa membeli rumah di Jalan Pinhorn, Georgetown di Pulau Pinang dengan harga yang lebih rendah berbanding nilai harga pasaran semasa.
Semalam, pada sidang Dewan Rakyat, Datuk Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) mendakwa rumah berkeluasan tanah 10,161 kaki persegi (943.98 meter persegi) didakwa dibeli Lim pada 25 Okt tahun lalu dengan harga RM2.8 juta.
Menurut Shabudin, nilai pasaran harga rumah berkenaan ialah dalam lingkungan RM6 juta hingga RM6.5 juta.
Lim dilaporkan telah menafikan dakwaan Shabudin itu.BERNAMA
Khamis, 17 Mac 2016
SPRM DIGESA SIASAT GUANG ENG
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menyiasat dakwaan penjualan beberapa lot tanah di Pulau Pinang yang dikatakan asalnya diperuntukkan untuk pembinaan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
Datuk Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) mendakwa tanah itu dijual secara tender bagi pembinaan hospital swasta dan hotel.
Beliau mendakwa ada sumber yang menyebut Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam penjualan tanah itu.
"Lot 305, 306, 313, 314 dijual sedangkan tanah tersebut dicadangkan untuk PPRT...adakah penjualan ini mendapat kebenaran Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan...minta menteri jawab," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, Khamis.
"Lebih menyedihkan lagi, apabila ia turut membabitkan isu pemilikan hartanah oleh YAB Bagan (Lim) pada Oktober 2015 yang boleh dikaitkan dengan isu penjualan tanah ini," katanya.
Dalam pada itu, Shabudin juga mahu Jabatan Penilaian dan Pembangunan Harta (JPPH) menjelaskan sama ada penilaian semula telah dibuat dan turut meminta SPRM menyatakan laporan status kes pembelian hartanah berharga RM2.8 juta oleh Lim di Jalan Pinhorn, Pulau Pinang sedangkan nilai semasa rumah tersebut dikatakan lebih RM3 juta.
Beliau mendakwa rumah tersebut sebelum itu disewa kepada Lim dengan kadar RM5,000 sebulan setelah beliau enggan tinggal di rumah yang disediakan kerajaan negeri atas alasan ada anai-anai.
"Adakah benar, adakah patut kadar sewaan RM5,000 dengan jumlah nilai rumah lebih RM3 juta...satu persoalan. Rumah ini disewa lebih kurang tujuh tahun, pada Oktober 2015 rumah ini dijual kepada YAB Bagan dengan harga yang begitu murah iaitu cuma RM2.8 juta. Rumah yang dibeli tujuh tahun dulu ialah RM2.5 juta dan ia satu kawasan utama di George Town setelah diubahsuai pula," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional Tan Sri Shahrir Abdul Samad mencadangkan Shabudin dan pertubuhan bukan kerajaan membuat laporan polis mengenai perkara itu.BERNAMA
PM NAJIB ADA HAK UNTUK SAMAN MP TAIPING
Mahkamah Tinggi di sini Khamis memutuskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai hak di sisi undang-undang untuk menyaman anggota Parlimen Taiping Nga Kor Ming atas kapasiti peribadinya, berhubung gambar Najib dan isterinya berserta status dalam akaun Facebook.
Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah S. Hassan Badjenid juga memutuskan kata-kata yang dirujuk kepada Najib itu adalah atas kapasiti peribadinya dan bukan rasmi.
Beliau membuat keputusan itu selepas menolak bantahan awal Nga yang diwakili Gobind Singh Deo bahawa Najib tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi.
"Saya berpandangan perkataan-perkataan yang dipersoalkan adalah merujuk kepada kapasiti peribadi plaintif pertama (Najib), oleh itu beliau ada locus standi untuk membawa saman ini," kata Siti Khadijah.
Siti Khadijah berkata beliau tidak terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan pada 1 Mac lepas dalam kes saman fitnah oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob terhadap Utusan Melayu (M) Bhd yang memutuskan bahawa personaliti yang dikenali ramai dan memegang jawatan awam tidak boleh memfailkan saman fitnah terhadap media.
"Kes di Mahkamah Rayuan boleh dibezakan dengan kes hari ini," kata Siti Khadijah dalam keputusannya selepas mendengar hujahan peguam Gobind Singh dan Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Najib dan Rosmah.
Mahkamah menetapkan 11 April ini untuk mendengar permohonan Najib dan Rosmah supaya saman itu diputuskan melalui isu perundangan tanpa perbicaraan penuh dan permohonan Nga untuk membatalkan saman itu.
Pada 11 Jun tahun lepas, Najib, atas kapasiti peribadinya dan Rosmah memfailkan saman itu terhadap Nga selepas mendakwa defendan memuat naik gambar Najib dan Rosmah berserta status dalam akaun Facebook atas nama Nga Kor Ming, pada 29 Mac tahun lepas.
Pasangan itu mendakwa dalam status bergambar itu terpampang gambar mereka bersama dengan beberapa orang menteri kabinet Malaysia dan pegawai tertinggi Wisma Putra di dalam sebuah bilik hotel di China.
Mereka mendakwa Nga menerbitkan perkataan-perkataan fitnah dalam akaun Facebooknya dengan memuat naik status memfitnah yang boleh diakses secara bebas oleh pengguna internet di seluruh dunia.
Najib mendakwa perkataan-perkataan fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa beliau menyalah guna kuasa dan mandat sebagai perdana menteri untuk kepentingan sendiri atau kepentingan isterinya dengan membenarkan Rosmah mencampuri urusan dan hal ehwal kerajaan.
Rosmah pula mendakwa perkataan-perkataan fitnah itu membawa maksud beliau adalah seorang yang mementingkan diri sendiri kerana mempengaruhi suaminya selaku perdana menteri dan menyalah guna kuasa selain mempunyai kepentingan dalam sistem pentadbiran negara.
Oleh itu, mereka menuntut ganti rugi am, ganti rugi tambahan dan teladan, faedah, kos dan lain-lain perintah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Rabu, 16 Mac 2016
PAS UMUM RAKAN PERMUAFAKATAN BARU
PAS mengumumkan penubuhan permuafakatan baharu bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.
Bagaimanapun nama bagi pemuafakatan itu belum diputuskan.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata sebuah sekretariat akan diwujudkan antara PAS dan Ikatan yang disertai kepimpinan tertinggi kedua-dua parti untuk merangka dan berbincang agenda kerjasama berkenaan.
"Kita tidak mahu pakatan pembangkang yang bertindak secara ekstrem dan menyusahkan rakyat kerana kita dapati membangkang dengan cara berkenaan tidak boleh selesaikan masalah.
"Jika mahu membangkang, bukanlah secara melulu, perlu disertai nasihat, kemukakan cadangan yang baik...apa sahaja perkara baik yang kerajaan lakukan kita akan sokong, yang tak baik kita akan nasihat...itu langkah kita," katanya kepada pemberita selepas pengumuman kerjasama itu di Ibu Pejabat PAS, di sini hari ini.
Turut hadir, Presiden Ikatan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan, serta barisan kepimpinan tertinggi kedua-dua parti berkenaan.
Ketika ditanya kerjasama PAS dengan Pakatan Rakyat di Selangor, Abdul Hadi berkata ia masih berjalan seperti biasa.
Beliau turut mengalu-alukan parti-parti politik lain yang menerima konsep tersebut untuk menyertai permuafakatan itu.
Sementara itu, Abdul Kadir berkata hubungan baharu itu dapat mengukuhkan agenda politik yang lebih terbuka, matang dan sejahtera.
Beliau menolak dakwaan Ikatan sebagai parti 'setahun jagung' yang mahu menumpang populariti PAS, sebaliknya menganggap PAS sebagai parti tunjang yang sama kuat dengan UMNO untuk menyelesaikan isu-isu rakyat dan negara.
"Kita bukan nak lawan kerajaan bermati-matian, bukan juga nak lawan dengan Pakatan bermati-matian..kita hanya mahu setiap masalah rakyat diselesaikan dengan cara baik," katanya.
SAYA TETAP ISTIQAMAH JALANKAN TUGAS UNTUK NEGARA-NAJIB
Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan beliau dan rakan-rakan dalam Barisan Nasional (BN) akan tetap beristiqamah dan fokus dalam menjalankan pentadbiran walau apapun serangan politik yang diterima.
"Walau apapun serangan, kita (BN) jangan hilang hala tuju, jangan hilang fokus. Kita tetap komited untuk laksanakan pelan kalau kita berjaya dan diiktiraf di peringkat antarabangsa," katanya menjawab soalan tambahan Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) di Dewan Rakyat hari ini.
Annuar dalam soalan tambahannya bertanya adakah Najib sedar beliau berhadapan dengan tekanan dan kempen benci yang rancak dijalankan serta apakah pendirian perdana menteri berhubung perkara itu.
Najib berkata beliau sedar dan tidak hairan dengan apa yang berlaku terhadapnya dan akan terus komited melaksanakan pelan ekonomi yang dirancang.
"Kalau kita terus istiqamah dan konsisten, lambat laun rakyat akan hargai usaha yang dilakukan oleh kerajaan," katanya.
Najib dalam masa sama turut menyatakan perbandingan berhubung apa yang berlaku terhadap dirinya kini dengan apa yang pernah berlaku kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Bila Tun Mahathir jadi Perdana Menteri pun macam-macam gelaran yang dilemparkan kepada beliau seperti mahazalim, mahafiraun dan lain-lain, tapi sekarang ni (boleh) duduk bersama pembangkang pula," katanya.
Najib berkata beliau bertanggungjawab kepada rakyat dan akan menjawab semua tuduhan yang dilemparkan terhadap beliau apabila siasatan ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selesai dilakukan.
"Saya serahkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) tentang 1MDB malah (isu) RM2.6 bilion juga, ada proses yang ditentukan pihak berkenaan. Tidak ada apa yang perlu dirisaukan kerana proses akauntabiliti akan tetap diteruskan," kata Najib.-BERNAMA
AHLI CUEPACS DIMINTA TIDAK TERLIBAT PERHIMPUNAN DEKLARASI MAHATHIR
Anggota Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) diminta supaya tidak terlibat dalam perhimpunan 'Deklarasi Mahathir' yang dijangka diadakan di Shah Alam, Selangor pada 27 Mac ini.
Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda berkata pihaknya menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan sememangnya tidak bersetuju dengan perhimpunan itu.
"Kita tidak setuju dengan cara-cara yang dilakukan oleh pihak tertentu untuk menjatuhkan kerajaan. Nasihat saya kepada penjawat awam, jangan ada dalam kalangan mereka terlibat sama.
"Kita berkhidmat dengan kerajaan dan bukannya terlibat dengan parti politik. Kita mahu penjawat awam ini tumpukan matlamat dan kerjaya kepada tugas mereka (dan) jangan terikut-ikut dengan sentimen tertentu seperti menjatuhkan kerajaan," katanya selepas menghadiri taklimat isu semasa oleh Cuepacs yang dihadiri kira-kira 200 penjawat awam di sini Rabu.
Azih berkata penjawat awam seharusnya sedar bahawa tugas mereka adalah untuk berkhidmat kepada kerajaan dan memastikan ekonomi negara stabil, sekaligus mampu memberi kesejahteraan kepada rakyat.
Beliau berkata sekiranya ada penjawat awam yang masih berdegil dan turut terlibat dalam perhimpunan itu, mereka akan berhadapan dengan risiko dibuang kerja di bawah tatatertib 4B.BERNAMA
Selasa, 15 Mac 2016
DANA RM250 JUTA UNTUK KOPERASI
Dana berjumlah RM250 juta disedia untuk disalurkan kepada koperasi-koperasi berdaftar di negara ini melalui Tabung Modal Pusingan Jabatan Pembangunan Koperasi (TMP JPK), tahun ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Koperasi Datuk Hamzah Zainuddin berkata sepanjang 2015, sejumlah 195 permohonan pembiayaan di bawah tabung berkenaan telah diluluskan bernilai RM226.35 juta.
"Sehingga kini jumlah pembiayaan keseluruhan yang telah dimanfaatkan oleh gerakan koperasi seluruh negara adalah sebanyak RM1.6 bilion bagi mengembangkan aktiviti dan asetnya," katanya menjawab soalan Datuk Dr Nik Mazlan Nik Mohamad (PAS-Pasir Puteh) di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Dr Nik Mazlan bertanya mengenai prestasi bayaran balik pinjaman tabung berkenaan dan sejauh mana ia dimanfaatkan untuk pembangunan koperasi.
Hassan berkata kutipan bayaran balik pembiayaan TMP JPK sepanjang tahun 2015 adalah bernilai RM131.06 juta.
Pembiayaan TMP JPK mengikut projek tunas ialah perkhidmatan kewangan (RM86.44 juta), pemborongan dan peruncitan (RM4juta), Pelancongan, penjagaan diri dan kesihatan (RM1.05 juta), Pertanian dan Industri Asas Tani (RM1.86 juta), perladangan (RM9.57 juta) serta pembangunan hartanah dan industri pembinaan (RM123.43 juta).BERNAMA
Langgan:
Ulasan (Atom)






