Isnin, 14 Mac 2016
PROGRAM REHIRING PATI PENDEKKAN HINGGA JUN
Tempoh Program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) atau Program Rehiring yang dijadualkan berakhir pada 30 Disember dipendekkan kepada 30 Jun ini, demikian menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Program Rehiring dilaksanakan secara dalam talian bermula pada 15 Feb 2016 bagi PATI dari 15 negara sumber sedia ada.
KDN dalam satu kenyataan hari ini berkata sehingga 10 Mac, sejumlah 15,822 orang PATI telah didaftarkan di bawah Program Rehiring, meliputi 9,738 orang PATI warganegara Indonesia, 3,808 (Bangladesh), 425 (Myanmar) dan 1,851 orang PATI warganegara lain.
KDN berkata prestasi Program Rehiring masih tidak memuaskan walaupun hampir sebulan ia dilaksanakan beserta operasi penguatkuasaan besar-besaran yang giat dijalankan oleh Jabatan Imigresen ekoran masih terdapat ramai majikan yang didapati menggaji PATI.
"Oleh yang demikian, kerajaan ingin menyeru agar para majikan menggunakan peluang yang ada untuk menyertai Program Rehiring bagi membolehkan PATI dikeluarkan permit kerja yang sah," katanya.
KDN berkata kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan perundangan terhadap mana-mana majikan yang menggaji PATI selaras dengan kesalahan di bawah Seksyen 55(B) Akta Imigresen 1959/63, yang membawa hukuman denda tidak kurang RM10,000 tetapi tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap pekerja yang diambil.
Pada masa yang sama, mana-mana majikan yang mengambil pekerja lebih daripada lima orang boleh dikenakan penjara tidak kurang enam bulan tetapi tidak lebih lima tahun dan boleh dikenakan tidak lebih enam sebatan.
KDN berkata permohonan Program Rehiring oleh majikan dan PATI hanya boleh dilakukan secara dalam talian melalui portal rehiring.imi.gov.my dan syarat-syarat terperinci program juga boleh dimuat turun di laman web yang sama.
Sebarang pertanyaan lanjut mengenai Program Rehiring boleh dirujuk kepada Pusat Panggilan Program Rehiring mengikut warganegara iaitu Indonesia di 03-149 4788 atau enquiry@imantki.com, Myanmar (07-333 4797/07-333 6797) atau enquiry@homme-osc.com, lain-lain warganegara (03-7801 8888) atau rehiring@myeg.com.my
Mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut mengenai Program Rehiring juga boleh menghubungi Bilik Gerakan Jabatan Imigresen Malaysia di talian 03-8880 1555 atau 03-8880 1557 pada setiap hari bermula pukul 8.30 pagi hingga 11 malam.BERNAMA
USAHA JATUHKAN PM NAJIB BUKTI PEMBANGKANG BIMBANG PRU 14
Kedudukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang kekal bertahan sehingga hari ini walaupun diasak dengan pelbagai cabaran dan ujian telah melahirkan kebimbangan pembangkang untuk berdepan pilihan raya umum ke-14.
Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) berkata pembangkang yang terpaksa mengheret beberapa tokoh lama dalam politik untuk bersama-sama mereka dalam agenda menjatuhkan perdana menteri melalui Deklarasi Mahathir membuktikan pembangkang tidak yakin kepada kemampuan mereka untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) secara demokrasi.
"Kalau kita seperti perdana menteri (Najib), dah lama tumbang dengan pelbagai serangan, deklarasi rakyat...pihak mereka tidak yakin pada pilihan raya akan datang, disebabkan kewibawaan perdana menteri, mereka guna deklarasi rakyat untuk menjatuhkan perdana menteri," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Abdul Rahman juga menyifatkan Najib sebagai perdana menteri paling 'cool' oleh kerana beliau tidak mudah terpengaruh dengan provokasi pembangkang dan beberapa tokoh politik negara sebelum ini yang tidak berhenti-henti mendesaknya meletak jawatan.
Menurutnya dasar-dasar tranformasi yang dibawa oleh Najib sejak 2010 banyak membawa perkembangan positif kepada usaha untuk mensejahterakan rakyat khasnya dari segi penyediaan lebih banyak peluang pekerjaan selain mengurangkan masalah pengangguran.
Persidangan dewan bersambung esok.
MAIK DILANTIK AGENSI PELAKSANA PROGRAM WANG IHSAN KELANTAN
Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) hari ini memeterai perjanjian bagi melantik majlis itu sebagai agensi pelaksana Program Wang Ihsan negeri Kelantan.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataannya di sini menjelaskan dengan termeterainya perjanjian itu, MAIK akan berkongsi dana Wang Ihsan negeri Kelantan pada nisbah 50:50 dengan Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPP Kelantan) bagi melaksanakan Program Wang Ihsan tertakluk kepada siling RM25 juta setahun bagi setiap agensi pelaksana.
"Fokus pelaksanaan program masih dikekalkan kepada program pembasmian kemiskinan, bantuan persekolahan, ibu tunggal dan anak yatim.
"Pelantikan MAIK sebagai agensi pelaksana bersama JPP Kelantan adalah selaras dengan cadangan yang dikemukakan oleh pihak Istana Negeri Kelantan," menurut Kementerian itu.
Pada majlis itu, Kerajaan Persekutuan diwakili Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah manakala MAIK diwakili Timbalan Yang Dipertua MAIK Dr Nik Mohd Azlan Abdul Hadi
Majlis pemeteraian perjanjian disaksikan olah Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Ibni Sultan Ismail Petra merangkap Yang Dipertua MAIK dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurut kenyataan itu, penglibatan MAIK diharapkan dapat memperluas dan meningkatkan lagi keberkesanan Program Wang Ihsan Kelantan.
UMNO PERLU JADI PARTI YANG INKLUSIF- KU ADNAN
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini berkata parti perlu menjadi sebuah parti yang inklusif untuk memenangi hati rakyat.
Beliau meminta anggota parti di peringkat akar umbi supaya tidak membuat program 'syok sendiri' malah sepatutnya turun padang untuk bertemu masyarakat cdan bertanyakan keadaan.
"Barulah masyarakat sayang pada parti kita," katanya ketika merasmikan persidangan tahunan pergerakan Wanita Umno cawangan-cawangan dalam Bahagian Batu, di sini.
Beliau juga mahukan para perwakilan diberikan pendedahan dan maklumat yang betul agar mereka tidak menyampaikan maklumat yang salah kepada masyarakat.
"Sekarang ini adalah zaman fitnah. Apa salah perdana menteri kita dalam mentadbir negara ini. Tidak ada seorang perdana menteri yang mahu mengakui kesilapan-kesilapan sebuah kerajaan. Tetapi perdana menteri kita mengaku.
"Kita bukanlah sebuah kerajaan yang sempurna, bukanlah sebuah parti yang sempurna. Tetapi kita sanggup untuk berubah menjadi lebih baik demi negara kita," katanya, yang juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan.
Tengku Adnan juga meminta para perwakilan berhati-hati dengan peperangan persepsi yang memberikan persepsi negatif terhadap Umno, kerajaan dan presiden Umno.
Sementara itu, satu deklarasi juga turut dibuat oleh Umno Bahagian Batu pada majlis tersebut bagi menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri.
Ketuanya, Senator Datuk Yahaya Mat Ghani berkata pihaknya juga bersetuju dengan keputusan Majlis Tertinggi Umno yang menggantung jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Presiden Umno.
Deklarasi itu juga turut mengecam dan membantah tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa orang pemimpin Umno yang terlibat dalam menandatangani deklarasi bersama pemimpin-pemimpin pembangkang untuk menyingkirkan Najib sebagai Perdana Menteri.BERNAMA
MALAYSIAN INSIDER HENTI OPERASI MULAI MALAM INI
The Edge Media Group membuat keputusan menutup portal beritanya, The Malaysian Insider (TMI), mulai tengah malam ini.
Menurut kenyataan media dalam talian, The Edge Markets, pengarang TMI, Jahabar Sadiq berkata penutupan itu dibuat atas sebab komersial.
"The Edge Media Group membuat keputusan menutup The Malaysian Insider mulai tengah malam ini atas sebab komersial. Barangkali, kami mengambil tindakan tepat dengan keluar daripada talian betul-betul mulai pertengahan Mac," katanya.
Menurut sumber daripada portal berita itu, satu perjumpaan antara 59 petugas dan pihak pengurusan TMI akan diadakan di ibu pejabat TMI di Petaling Jaya hari ini.
Sementara itu, terdapat laporan bahawa ketua pegawai eksekutif The Edge Media Group Ho Kay Tat berkata syarikat itu mengalami kerugian RM10 juta sepanjang tempoh 20 bulan sejak ia mengambil alih TMI pada Jun 2014.
Pada 25 Feb, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyekat akses kepada The Malaysian Insider.
SKMM berkata tindakan itu diambil kerana kandungan portal berita itu didapati melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.BERNAMA
Ahad, 13 Mac 2016
UMNO PERLIS KECAM DEKLARASI MAHATHIR
Ahli dan kepimpinan Umno Perlis menyatakan sokongan penuh kepada presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan mengecam 'Deklarasi Mahathir' yang dipolemikkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata tindakan Dr Mahathir boleh mengelirukan rakyat kerana seolah-olah menunjukkan bahawa perlembagaan dan sistem pilihan raya sudah tidak relevan dan tidak wajar dipertahankan.
"Semua orang sedia maklum bahawa untuk mewujudkan kerajaan adalah melalui perlembagaan yang memerlukan proses pilihan raya diadakan, bukan dengan mengambil pendekatan yang tidak cerdik seperti ini mengumpul tandatangan sekumpulan individu dan mendakwa ia mewakili hasrat rakyat.
"Untuk menjatuhkan seseorang perdana menteri, proses demokrasi diperlukan iaitu melalui pilihan raya atau usul undi tidak percaya. Tindakan melakukan usul undi tidak percaya dilihat tidak akan berlaku memandangkan ia memerlukan majoriti daripada anggota Parlimen daripada Umno dan Barisan Nasional (BN)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan 127 Cawangan Umno Padang Besar yang bermesyuarat di Dewan Ibnu Khaldun, Institut Kemahiran Mara Beseri di sini, Ahad.
Shahidan, yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, berkata tindakan berkenaan hanya lebih bermotifkan kepentingan dan agenda peribadi serta bukan hasrat majoriti rakyat negara ini.
"Rakyat hanya boleh melaksanakan perkara itu (menukar pemerintah sedia ada) semasa pilihan raya umum dan Umno akan kalah besar jika mereka (rakyat) membuat keputusan 'menghukum' Umno dalam pilihan raya umum berikutnya hanya disebabkan oleh terikut-ikut dengan anasir jahat berkepentingan peribadi ini.
Pada 4 Mac lepas, bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir adalah antara 58 individu menandatangani deklarasi yang menyokong penyingkiran Najib, diketuai Tun Dr Mahathir, bekas perdana menteri.BERNAMA
ADENAN SATEM RAKAN SEPERJUANGAN YANG SETIA- NAJIB
Datuk Seri Najib Razak menyifatkan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem sebagai rakan seperjuangannya yang beliau boleh bergantung harap untuk menjamin masa depan rakyat Sarawak.
Perdana Menteri berkata beliau mempunyai keyakinan penuh terhadap kepimpinan dan kesungguhan Adenan untuk membangunkan negeri itu.
Justeru, beliau menyeru rakyat negeri Sarawak memberi kemenangan besar kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri ke-11 akan datang, sekali gus memberikan mandat besar kepada Adenan untuk terus menerajui kepemimpinan negeri ini.
"Kita jangan dengar hasutan daripada pembangkang kerana pihak pembangkang hanya suka bermain politik kebencian," katanya ketika berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat di Kampung Suba Buan, kira-kira 43km dari Kuching, hari ini.
Najib berkata pembangkang hanya menabur perasaan benci terhadap kerajaan dan ia tidak membawa sebarang hasil malah politik BN adalah untuk menyelesaikan masalah rakyat serta membawa kesejahteraan kepada penduduk negeri itu.
Pada majlis itu, Najib meluluskan permohonan penduduk kampung untuk memindahkan Sekolah Kebangsaan (SK) Suba Buan ke lokasi lain berikutan sekolah tersebut sering dilanda banjir sejak hampir 50 tahun.
Katanya, tapak baharu akan dikenal pasti kelak dan apabila siap ia akan menampung murid-murid dari tiga buah kampung, iaitu Kampung Suba Buan, Kampung Suba Baud an Kampung Suba Bandar.
Selain memindahkan sekolah, Najib turut meluluskan pembinaan jambatan konkrit itu bagi laluan ke Kampung Suba Buan.
Langgan:
Ulasan (Atom)






