Ahad, 13 Mac 2016

ADENAN SATEM RAKAN SEPERJUANGAN YANG SETIA- NAJIB

Datuk Seri Najib Razak menyifatkan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem sebagai rakan seperjuangannya yang beliau boleh bergantung harap untuk menjamin masa depan rakyat Sarawak. Perdana Menteri berkata beliau mempunyai keyakinan penuh terhadap kepimpinan dan kesungguhan Adenan untuk membangunkan negeri itu. Justeru, beliau menyeru rakyat negeri Sarawak memberi kemenangan besar kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri ke-11 akan datang, sekali gus memberikan mandat besar kepada Adenan untuk terus menerajui kepemimpinan negeri ini. "Kita jangan dengar hasutan daripada pembangkang kerana pihak pembangkang hanya suka bermain politik kebencian," katanya ketika berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat di Kampung Suba Buan, kira-kira 43km dari Kuching, hari ini. Najib berkata pembangkang hanya menabur perasaan benci terhadap kerajaan dan ia tidak membawa sebarang hasil malah politik BN adalah untuk menyelesaikan masalah rakyat serta membawa kesejahteraan kepada penduduk negeri itu. Pada majlis itu, Najib meluluskan permohonan penduduk kampung untuk memindahkan Sekolah Kebangsaan (SK) Suba Buan ke lokasi lain berikutan sekolah tersebut sering dilanda banjir sejak hampir 50 tahun. Katanya, tapak baharu akan dikenal pasti kelak dan apabila siap ia akan menampung murid-murid dari tiga buah kampung, iaitu Kampung Suba Buan, Kampung Suba Baud an Kampung Suba Bandar. Selain memindahkan sekolah, Najib turut meluluskan pembinaan jambatan konkrit itu bagi laluan ke Kampung Suba Buan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan