Selasa, 7 Julai 2015
Jangan buat spekulasi mengenai akaun PM- Ismail Sabri
Semua pihak diminta tidak mewujudkan 'perbicaraan' di media, melakukan spekulasi mahupun membuat sebarang kesimpulan sebelum pasukan petugas khas yang menyiasat dakwaan penyaluran dana berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke akaun Perdana Menteri mengumumkan hasil siasatan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata setakat ini dakwaan yang timbul adalah berdasarkan laporan Wall Street Journal dan Sarawak Report dan tindakan membuat kesimpulan atau menghakimi sebelum selesai akan mewujudkan perbicaraan di media.
"Kalau di mahkamah dokumen yang didedahkan di media sosial tidak boleh diterima.
"Pasukan petugas khas telah pun dibentuk dan mereka sedang melakukan siasatan, lebih baik semua pihak menunggu keputusan siasatan tersebut. Hasil siasatan pasukan petugas tersebut boleh kita anggap sebagai sumber yang boleh dipercayai," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa kementeriannya di sini Selasa.
Ismail Sabri berkata demikian apabila diminta mengulas laporan beberapa portal hari ini berhubung penyiaran dokumen oleh Wall Street Journal yang didakwa merupakan penyaluran dana ke akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Minggu lalu sebuah pasukan petugas khas dianggotai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia dan Bank Negara Malaysia memulakan siasatan berhubung dakwaan penyaluran dana berkaitan 1MDB ke akaun Perdana Menteri.
Tambah Ismail Sabri, selagi siasatan (oleh pasukan petugas khas) belum selesai dan hasil belum diumumkan semua pihak masih belum boleh menerima apa-apa laporan media sebagai maklumat yang sahih dan sah.
"Saya pun tidak pasti sama ada akaun yang didedahkan ialah akaun peribadi Perdana Menteri atau siapa punya akaun sebab yang disiasat bukan Perdana Menteri. Yang disiasat ialah syarikat yang dituduh menyalurkan wang ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.
"Semua pihak perlu berlaku adil. Bila buat spekulasi dan kesimpulan mungkin akan mengganggu siasatan. Jadi beri peluang kepada pasukan petugas khas menyiasat. Itu yang terbaik," katanya lagi.BERNAMA
Khairy selar Rafizi
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin hari ini menyelar tindakan Pengarah National Oversight and Whistleblowers (NOW), Rafizi Ramli yang mengaitkan anggota Pemuda UMNO dalam dakwaan pembelian hartanah oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA).
"Apa logik yang Rafizi pakai? Contohnya A kenal B, B buat satu kesalahan yang tidak ada kaitan dengan A langsung tetapi oleh kerana A kenal B, dia pun tiba-tiba salah," katanya ketika ditemui media di Majlis Berbuka Puasa Pemuda Barisan Nasional (BN), di sini hari ini.
Dilaporkan dalam sebuah portal hari ini, Rafizi, yang juga Setiausaha Agung Pakatan Keadilan Rakyat (PKR), mengaitkan penglibatan lima anggota Pemuda UMNO dalam pembelian hartanah di Australia yang belum didedahkan, iaitu hartanah 746 Swanston Street, 333 Exhibition Street dan 51 Queen Street.
Rafizi juga mengaitkan Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun dalam skandal ketirisan pembelian hartanah MARA itu.
Ketika ditemui media, Khairul berkata dia akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya Rafizi tidak memohon maaf atas dakwaan itu.
Dilaporkan, Rafizi cuba mengaitkan Pemuda UMNO dalam sebuah syarikat bernama Thrushcross Land Holdings Limited yang didaftar di pusat kewangan pesisir luar pantai British Virgin Island (BVI) dalam pembelian hartanah di Australia itu.
Ahli UMNO perlu bertenang-Tengku Adnan
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini menasihati anggota parti itu supaya bertenang dan tidak terpengaruh dengan pelbagai provokasi yang dilontarkan oleh mereka yang menangguk di air keruh.
Beliau berkata anggota UMNO perlu berfikir secara rasional berhubung pelbagai isu yang berlaku sejak kebelakangan ini, khususnya serangan bertali arus terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga merupakan Presiden UMNO.
"Kita perlu sedar bahawa dalam keadaan kita hari ini tentunya kita perlu terus waspada dan tidak alpa kerana pihak lain khususnya pembangkang sentiasa mencari ruang dan peluang bagi merobohkan perpaduan dan kesatuan yang menjadi benteng kita selama ini," katanya dalam kenyataan di sini Selasa.
Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata anggota UMNO perlu terus memberi sokongan padu kepada presiden parti itu, serta memberikannya ruang untuk memikirkan tindakan sewajarnya demi kepentingan agama, bangsa dan negara.
Anggota UMNO perlu teruskan fokus perjuangan parti itu selaras dengan gerak kerja yang telah diatur, katanya.
"Usahlah kita terpengaruh dengan pelbagai manipulasi dan provokasi yang dilontarkan oleh mereka, malah sikap mereka yang gemar menangguk di air keruh juga perlu kita awasi," katanya.
Tengku Adnan berharap anggota UMNO dapat terus berpegang teguh kepada matlamat perjuangan parti dan memastikan demokrasi terus subur.
Jumaat lepas, The Wall Street Journal (WSJ) menyiarkan laporan yang mendakwa sejumlah hampir US$700 juta (RM2.6 bilion) dana milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disalurkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri.
Pada hari yang sama, Pejabat Perdana Menteri menafikan laporan WSJ itu dan menyifatkan ia sebagai sabotaj politik untuk menjatuhkan seorang perdana menteri yang dipilih secara demokratik.
1MDB pula juga menegaskan bahawa ia tidak pernah menyalurkan dana kepada Najib.
Sehubungan itu, banyak pihak menggesa perdana menteri mengambil tindakan undang-undang terhadap WSJ bagi membersihkan nama beliau dan imej negara kerana dakwaan itu melibatkan soal maruah kepimpinan negara di mata dunia.
Dua hari lepas, Najib berkata beliau akan membuat keputusan dalam masa beberapa hari mengenai bentuk tindakan yang akan diambil berhubung tuduhan itu.
Katanya perkara tersebut telah dirujuk kepada barisan peguam beliau untuk mendapatkan nasihat dan bentuk tindakan susulan dari segi perundangan dan sebagainya yang boleh diambil di dalam dan luar negara.BERNAMA
Salam Ramadan buat semua...
Salam Ramadan buat semua,sudah lama tidak muncul disini kerana kekangan masa dan waktu diruang untuk memcari rezeki sesuap nasi menampung keluarga dan seringkali dengan masa yang terhad hanya singgah di laman Facebook dan twitter saja.
Kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat berpuasa dan menjelang hari hari terakhir Ramadan kita mampu meluangkan masa mencari malam malam yang menjanjikan 1000 bulan. Sama sama kita memohon akan ditemui kesempatan.
Salam Ramadan dan moga kita temui Malam Lailatulqadar..,
Sabtu, 6 Disember 2014
Jangan politikkan laporan RCI pendatang tanpa izin di Sabah
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan meminta pihak pembangkang supaya berhenti mempolitikkan laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) berhubung isu pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.
Katanya pembangkang, termasuk ketua mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah diberi peluang untuk mengemukakan bukti berhubung isu berkenaan semasa dipanggil memberi keterangan ketika prosiding RCI namun nampaknya beliau tidak memanfaatkan ruang berkenaan sebaik-baiknya.
"Sebab itu, saya minta parti pembangkang, sebelum komen mengenai perkara ini, pergilah tanya Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang apa yang berlaku," katanya kepada pemberita selepas memberi ucaptama pada Perhimpunan Bulanan Jabatan dan Agensi Persekutuan Sabah di sini pada Jumaat.
Mengenai penyelesaian isu PATI di Sabah meskipun laporan RCI sudah dikeluarkan, Abdul Rahman yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno berkata semua pihak mesti memahami masalah berkenaan secara mendalam termasuk latar belakang sosio-ekonomi Sabah yang berjiran dengan Filipina dan Indonesia serta sejarahnya.
Selain kedudukan Sabah yang begitu hampir dengan negara jiran, kedatangan PATI ke negeri itu juga antara lain disebabkan pertalian persaudaraan atau kekeluargaan masih wujud antara rakyat Sabah dengan rakyat negara jiran berkenaan.
Justeru Abdul Rahman berpandangan bahawa penyelesaian jangka panjang kepada isu PATI di Sabah boleh dilakukan sekiranya suasana politik selatan Filipina dalam keadaan stabil dan pelaksanaan dasar memakmurkan negara jiran.
TPM kecewa dengan usaha pendaftaran pengundi baru BN
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa kecewa terhadap parti komponen Barisan Nasional (BN) yang dilihat masih ketinggalan dalam usaha mendaftar pengundi baharu.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, keadaan itu amat membimbangkan kerana parti pembangkang didapati lebih aktif turun padang untuk mendekati pengundi baharu termasuk pergi ke kawasan kampung di seluruh negara.
“Saya tidak berpuas hati dengan usaha BN mendaftar pengundi baharu kerana dilihat tidak bersungguh-sungguh melaksanakan kerja tersebut berbanding pembangkang.
“Tindakan itu boleh memberi kesan kepada BN terutama menjelang pilihan raya yang akan diadakan tidak lama lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tri-Tahunan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) di Dewan Suarah Bintulu di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem; Pemangku Presiden SPDP, Datuk Seri Tiong King Sing dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. - UTUSAN ONLINE
Akta Hasutan bukan alat politik kerajaan BN
Akta Hasutan 1948 bukan alat politik untuk menutup ruang kritikan terhadap kerajaan atau menyekat kebebasan bersuara rakyat, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
Khairy, yang juga Ketua Pemuda Umno, berkata tujuan akta itu adalah untuk mengekang mana-mana pihak daripada mengeluarkan kenyataan yang menghasut dan menghina kaum, agama dan Raja-Raja Melayu.
"Akta Hasutan 1948 bukan alat politik. Jika hendak mengkritik kerajaan, boleh. Tiada kritikan (terhadap kerajaan) yang kita boleh tuduh di bawah Akta Hasutan tetapi kalau ada tindakan melampaui batas, menghina agama atau kaum, itu baru hasutan.
"Akta Hasutan bukan melindungi parti politik tetapi perisai untuk seluruh rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita selepas majlis #katakita Townhall 'Keharmonian Kaum', di sini Sabtu.
Pada majlis itu, Khairy menjadi panelis bersama-sama pengamal undang-undang, JR Tey, menjawab pelbagai pertanyaan hadirin berkenaan isu keharmonian kaum dan Akta Hasutan 1948.
Selain kenyataan menghina kaum, agama dan institusi Diraja, Khairy berkata kenyataan menggalakkan pemisahan Sabah dan Sarawak daripada Malaysia, juga akan dikenakan tindakan mengikut Akta Hasutan 1948.
Menteri itu menegaskan penguatkuasaan Akta Hasutan itu juga perlu dilakukan secara adil terhadap semua individu tanpa mengira latar belakang kaum, agama atau kedudukan seseorang itu.
"Pelaksanaan (akta itu) mestilah adil," katanya.
Mengenai kenyataan Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Joseph Y Yun semalam yang 'hairan' tentang keputusan Malaysia mengekalkan Akta Hasutan 1948, Khairy berkata beliau telah berjumpa Yun semalam.
Dalam pertemuan tersebut, Khairy berkata beliau menjelaskan kepada Duta Amerika Syarikat itu tentang keputusan kerajaan mengekalkan akta berkenaan.
"Beliau (Yun) memaklumkan kepada saya, kerajaan Malaysia perlu membuat penjelasan kepada masyarakat dunia. Saya rasa kita boleh buat penjelasan supaya mereka memahami kenapa kita kekalkan Akta Hasutan," katanya.
Penjelasan tentang Akta Hasutan itu, Khairy berkata bukan bermaksud Malaysia meminta keizinan dunia untuk mengekalkan akta itu tetapi sekadar menjelaskan langkah kerajaan mengekalkannya.
Ketua Pemuda Umno itu juga berkata kenyataan Naib Presiden Amerika Syarikat Joe Biden menerusi laman Twitter, berhubung perbicaraan melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, merupakan satu campur tangan urusan dalaman Malaysia.
"Ini campur tangan dalam soal kehakiman negara kita. Badan kehakiman Malaysia yang tentukan tentang kes itu dan bukan Naib Presiden Amerika Syarikat untuk memberitahu kita. Ia usaha untuk mendahului keputusan mahkamah," katanya.
Negara kuasa besar itu, menurut Khairy perlu 'cermin diri sendiri' sebelum mengkritik Malaysia kerana mereka juga sedang berdepan pelbagai kepincangan termasuk berkenaan isu hubungan kaum dan kekerasan anggota polis.
"Mereka juga perlu menutup pusat tahanan di Teluk Guantanamo, Cuba yang menahan lebih 200 tahanan tanpa bicara," katanya.
Langgan:
Ulasan (Atom)






