Selasa, 7 Julai 2015

Khairy selar Rafizi

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin hari ini menyelar tindakan Pengarah National Oversight and Whistleblowers (NOW), Rafizi Ramli yang mengaitkan anggota Pemuda UMNO dalam dakwaan pembelian hartanah oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA). "Apa logik yang Rafizi pakai? Contohnya A kenal B, B buat satu kesalahan yang tidak ada kaitan dengan A langsung tetapi oleh kerana A kenal B, dia pun tiba-tiba salah," katanya ketika ditemui media di Majlis Berbuka Puasa Pemuda Barisan Nasional (BN), di sini hari ini. Dilaporkan dalam sebuah portal hari ini, Rafizi, yang juga Setiausaha Agung Pakatan Keadilan Rakyat (PKR), mengaitkan penglibatan lima anggota Pemuda UMNO dalam pembelian hartanah di Australia yang belum didedahkan, iaitu hartanah 746 Swanston Street, 333 Exhibition Street dan 51 Queen Street. Rafizi juga mengaitkan Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun dalam skandal ketirisan pembelian hartanah MARA itu. Ketika ditemui media, Khairul berkata dia akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya Rafizi tidak memohon maaf atas dakwaan itu. Dilaporkan, Rafizi cuba mengaitkan Pemuda UMNO dalam sebuah syarikat bernama Thrushcross Land Holdings Limited yang didaftar di pusat kewangan pesisir luar pantai British Virgin Island (BVI) dalam pembelian hartanah di Australia itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan