Isnin, 17 November 2014
Usul Perhimpunan Agung UMNO disedia secara inklusif-Hishammuddin
Penyediaan usul-usul untuk dibahaskan pada Perhimpunan Agung Umno 2014 yang akan berlangsung minggu depan dibuat secara inklusif, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata usul-usul itu telah diteliti di beberapa peringkat termasuk mesyuarat meja bulat dan beberapa jawatankuasa.
Hishammuddin yang juga pengerusi jawatankuasa usul perhimpunan berkata ini selaras dengan sifat Umno yang kini lebih terbuka yang mengambil kira pandangan anggota peringkat akar umbi.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Komander Pasukan Marin Amerika Syarikat di Pasifik Lt Jen John A. Toolan di pejabatnya di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.
Perhimpunan agung Umno yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dijadual bermula dari 25 Nov hingga 29 Nov ini.
Pada 11 Nov lepas, media melaporkan Ibu Pejabat Umno telah menerima sejumlah 755 usul daripada 191 bahagian Umno dan daripada jumlah itu, 638 usul adalah untuk rujukan dan 117 usul tanpa bahas.
Hishammuddin berkata sikap inklusif yang diamalkan sekarang adalah petanda baik dalam transformasi yang dibawa oleh Umno.
"Jadi saya mengalu-alukan usaha kita sempena perhimpunan agung Umno tahun ini untuk mengupaya dan memperkasakan suara-suara kita di peringkat akar umbi melalui usul-usul yang digubal dan usul-usul yang telah kita terima daripada bahagian-bahagian (Umno)," katanya.
Beliau berkata sebagai pengerusi jawatankuasa usul perhimpunan, tugasnya adalah untuk mengumpulkan pandangan anggota akar umbi, menggembleng semua pihak berkepentingan dan menggubal usul yang akan dibahaskan pada perhimpunan agung.
Hishammuddin memberi jaminan perhimpunan agung tahun ini akan lebih demokratik dan terbuka menerima sebarang teguran.
"Cuma kita mengharapkan dalam perbahasan nanti apa jua yang diketengahkan tidak berbaur emosi, perkauman dan keagamaan yang akhirnya boleh menimbulkan keresahan rakyat jelata," katanya.
Mengenai usaha Umno untuk memastikan usul yang dibahaskan nanti berjaya dicapai dan diambil tindakan seterusnya, Hishammuddin berkata satu pasukan khas yang dipimpin anggota Majlis Tertinggi (MT) Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan dibantu oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudahpun diwujudkan.
Pasukan khas itu berperanan untuk memastikan apa yang telahpun menjadi pendirian Umno dalam perhimpunan agung kali ini akan diambil tindakan dan perkembangan usul akan dimaklum sekurang-kurangnya kepada MT untuk dibawa ke peringkat bahagian, katanya.
Dokuman 1MDB diserah kepada Parlimen- Ahmad Maslan
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata beliau telah menyerahkan dokumen kepada Parlimen untuk membuktikan bahawa kerajaan tidak mengeluarkan surat jaminan untuk menjamin RM9.6 bilion hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti didakwa pembangkang.
Beliau berkata dokumen itu diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini.
Sehubungan itu, katanya Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli juga perlu berbuat demikian bagi menyokong dakwaannya.
"Saya telah menyerahkan dokumen bahawa RM9.6 bilion itu tidak dijamin oleh kerajaan.
"Namun menurut Speaker, beliau masih lagi mahu menunggu dokumen pembangkang. Oleh itu, isu ini K.I.V (simpan dalam perhatian) sehingga dokumen yang beliau inginkan daripada Rafizi diperolehi," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini Isnin.
Sebelum ini, Rafizi yang juga Naib Presiden PKR memaklumkan akan merujuk Ahmad kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (12) dan 80A kerana tuduhan mengelirukan Dewan Rakyat.
Rafizi tidak hadir pada sesi Dewan Rakyat hari ini.
Ahmad sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah mengeluarkan surat jaminan untuk menjamin lebih daripada RM5.8 bilion hutang 1MDB.
Beliau berkata kerajaan mengakui ada mengeluarkan surat sokongan, namun ia tidak menjamin hutang RM9.6 bilion tersebut.
"Walaupun kerajaan menyatakan akan campur tangan apabila 1MDB tidak mampu membayar hutangnya, namun melihat kepada jumlah aset yang dimiliki oleh 1MDB sebanyak RM51 bilion, tentulah 1MDB mampu membayar RM9.6 bilion bon tersebut.
"Oleh kerana itu, saya beranggapan bahawa pihak pembangkang tidak dapat untuk berdiri atas kenyataan atau tuduhan mereka," katanya.
Ahmad juga berkata beliau masih berpegang bahawa kenyataannya sebagai benar dan tidak bertujuan mengelirukan Dewan Rakyat.
Kabinet Sarawak buat ikrar intergriti menentang rasuah-Ketua Menteri
Semua menteri Kabinet dan menteri muda Sarawak akan membuat ikrar integriti menentang amalan rasuah dalam masa terdekat, kata Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.
Katanya beliau akan meminta semua pegawai dan kakitangan jabatan dan badan berkanun kerajaan negeri menandatangani ikrar integriti itu dahulu sebelum membawanya kepada semua anggota Kabinet negeri.
"Saya yakin menteri dan menteri muda akan menandatangani ikrar ini dalam masa terdekat," katanya ketika berucap pada majlis menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) untuk agensi-agensi kerajaan dan swasta dalam sektor perhutanan negeri di sini.
Menurutnya pembangkang mempersoalkan mengapa anggota Kabinet lain tidak mengikut langkah beliau berikrar untuk tidak membenarkan anggota keluarga dan saudara mara memohon lesen konsesi balak atau tanah negeri, yang dilakukannya pada Jun tahun ini.
"Adalah tidak adil untuk mengatakan mereka (menteri dan menteri muda) takut untuk menandatangani ikrar integriti itu (hanya) kerana mereka tidak melakukannya lagi. Adalah tidak adil menuduh mereka tidak jujur," katanya.
Adenan berkata kerajaan negeri serius memerangi amalan rasuah terutamanya yang membabitkan industri balak.
Beliau berkata menerusi kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kerajaan negeri menganjurkan beberapa siri seminar mengenai integriti untuk kira-kira 2,000 anggota penguat kuasa di seluruh negeri ini.
Seminar itu yang melibatkan agensi-agensi kerajaan negeri dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dianjurkan dengan 'kelainan' kerana ia bertujuan 'mewujudkan rasa takut kepada Allah dalam kalangan mereka yang tidak jujur'.
Sebagai Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Negeri, Adenan berkata beliau juga memutuskan untuk tidak mengeluarkan lagi lesen pembalakan baharu dan mengingatkan para pemegang lesen sedia ada supaya memantau aktiviti kontraktor atau sub-kontraktor bagi memastikan mereka tidak terlibat dalam pembalakan haram.
Menurutnya aktiviti pembalakan haram memberikan Sarawak reputasi yang buruk di peringkat antarabangsa dan mereka yang diamanahkan untuk menguatkuasakan undang-undang itu tidak perlu bimbangkan pelaku kesalahan itu.
"Takut kepada samseng atau ancaman lain tidak boleh menjadi alasan untuk tidak melakukan apa-apa. (Kepada pelaku pembalakan haram) jangan cuba nak main-main dengan saya. Saya akan tahan anda dengan bantuan SPRM dan agensi-agensi lain,"katanya.
PAC nafi dakwaan tidak mempunyai taring- Nur Jazlan
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menyangkal dakwaan bahawa ia tidak mempunyai 'taring' dalam memastikan kerajaan mengambil tindakan terhadap syor-syor yang dikemukakan bagi menyelesaikan sesuatu isu.
Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata banyak syor yang dikemukakan jawatankuasa Parlimen itu sebelum ini, terutamanya berkaitan masalah yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara, telah diambil tindakan sewajarnya sama ada oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) atau kementerian-kementerian berkaitan.
"Apa yang PAC dapati sejak kita memulakan tugas dalam (persidangan) Parlimen yang baharu ini, tindakan yang diambil oleh KSN dan kementerian nampaknya mendahului PAC.
"Sebagai contoh, dalam laporan berkaitan Kementerian Dalam Negeri (KDN), mereka telah memulakan operasi audit ke atas syarikat sekuriti... walaupun PAC belum panggil mereka untuk memberi penjelasan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan prosiding bersama KDN berkaitan prosedur perlesenan syarikat keselamatan dan pengambilan pengawal keselamatan, di bangunan Parlimen di sini, Isnin.
Nur Jazlan yang juga Anggota Parlimen Pulai menyifatkan tindakan awal yang diambil KSN atau kementerian dalam menyelesaikan sesuatu isu sebagai perkembangan baik dan menggambarkannya sebagai sikap serius kerajaan dalam menyelesaikan masalah yang dilaporkan.
Beliau bagaimana pun menjelaskan tindakan awal yang diambil oleh sesuatu kementerian itu tidak boleh dianggap sebagai tindakan 'berkecuali' kerana ia bukan syor yang dikeluarkan PAC.
Menurutnya hanya PAC sahaja yang mengeluarkan syor bersifat berkecuali dan semua kementerian yang menerima syor daripada jawatankuasa itu wajar melaksanakannya seperti yang diminta.
"Saya tidak kata tindakan yang diambil KSN atau kementerian itu tidak betul, saya cuma katakan bahawa akhirnya hanya syor tindakan daripada PAC sahaja yang bersifat berkecuali kerana kita membuat syor tanpa memihak kepada mana-mana pihak," katanya.
Mengenai proseding hari ini, Nur Jazlan berkata PAC telah mengesyorkan KDN supaya menjalankan ujian psikologi ke atas semua pengawal keselamatan di negara ini bagi menentukan tahap kecerdasan mental mereka menepati keperluan tugas.
Langkah itu penting bagi menjamin mereka dapat menjalankan tugas sebaik mungkin dan mengelak berulangnya kejadian seperti kes pegawai bank ditembak oleh pengawal keselamatan, katanya.
Nur Jazlan berkata KDN memaklumkan bahawa sehingga kini, lesen 45 syarikat keselamatan ditarik balik kerana melanggar syarat-syarat ditetapkan.
Pada masa ini, terdapat kira-kira 163,000 pengawal keselamatan termasuk 13,000 warganegara Nepal bertugas dalam pelbagai sektor di negara ini.BERNAMA
Ahad, 16 November 2014
BR1M adalah aku janji BN-Ahmad Maslan
Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebenarnya adalah aku janji Barisan Nasional (BN) dalam manifesto pilihan raya untuk dilaksanakan bermula tahun 2014 sehingga 2018, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.
Sehubungan itu, katanya, aku janji itu tidak boleh ditarik balik dan perlu diteruskan.
"...dan kita juga berjanji bukan hanya untuk meneruskan bayaran BR1M ini selama lima tahun tetapi meningkatkan bayarannya dari setahun ke setahun, sehinggalah RM1,200 pada tahun yang kelima. Sekarang ini sampai ke RM950 untuk tahun 2015," jelas beliau.
Ahmad, yang juga Ketua Penerangan Umno, ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Telekomunikasi Semenanjung Malaysia dan taklimat CBP untuk kakitangan TM di sini, Ahad.
Katanya semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, kaedah beliau untuk menggerakkan sektor ekonomi ialah dengan memberi rangsangan projek kepada kontraktor kelas F pada ketika itu.
Beliau berkata kaedah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjana ekonomi pula ialah dengan memberi bantuan kepada rakyat dan rantaian ekonomi yang memberi kesan berganda.
"Jadi, BR1M bukan rasuah seperti dakwaan sesetengah pihak. Kalau rasuah kita hanya beri sekali sebelum pilihan raya.....yang ini kita beri setiap tahun," katanya.
BN perlu disegar dan cergas bagi menghadapi PRU 14- PM Najib
Prestasi Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-12 dan 13 memerlukan semua parti komponennya untuk menyegarkan dan mencergaskan semula gabungan itu dalam menghadapi cabaran di masa depan, menjelang pilihan raya umum akan datang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau memberi amaran anggota BN perlu menjangkakan cabaran lebih berat yang bakal dihadapi.
"Prasyarat pertama bagi kelangsungan politik kita adalah untuk merapatkan barisan, memperkukuhkan parti, mengelak perpecahan dalam politik dan terus melangkah untuk semua rakyat Malaysia," kata beliau ketika merasmikan Perhimpunan Agung ke-25 Parti Liberal Demokratik di sini Ahad.
Najib, yang juga Pengerusi BN, berkata sebaik sahaja parti komponen telah memperkukuhkan keupayaan masing-masing, setiap parti mewakili komuniti tertentu di Malaysia perlu mengenal pasti apa yang diharapkan daripada parti itu oleh komuniti terbabit.
Beliau meminta parti komponen BN untuk berhubung dengan rakyat bagi meyakinkan mereka bahawa BN masih kerajaan terbaik untuk memimpin Malaysia.
Perdana menteri turut meminta parti komponen BN supaya sentiasa cekal dalam menangani tipu daya pembangkang dalam media sosial.
Beliau berkata parti perlu berusaha sedaya upaya untuk menangani isu yang menyerang usaha dan dasar kerajaan.
"BN seringkali dimanipulasi menerusi media sosial, dengan begitu banyak kenyataan separuh benar.
"Dalam pilihan raya lepas, pengundi diperdayakan oleh pembangkang kononnya BN membawa masuk secara senyap 40,000 warga Bangladesh sebagai pengundi.
"Ini (membawa masuk secara senyap 40,000 warga Bangladesh sebagai pengundi) terang-terangan merupakan pembohongan dan saya tidak percaya begitu ramai orang tertipu dengannya," katanya.
Najib mengingatkan rakyat agar tidak mempercayai apa sahaja perkara dalam media sosial, yang dijadikan alat oleh pembangkang untuk meyakinkan rakyat bahawa mereka (pembangkang) lebih baik daripada BN.
Beliau berkata rakyat perlu melihat akibat buruk daripada sikap membenci BN, seperti yang pembangkang mahu mereka lakukan.
Katanya parti juga perlu menambat hati rakyat dengan keupayaannya sebagai sebuah kerajaan, bukannya menyemai kebencian dalam kalangan mereka.
"Malaysia antara ekonomi terbaik dalam Asean sejak sembilan bulan lepas dan baru-baru ini, pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik memberitahu saya mereka berpendapat Malaysia sebuah negara yang semakin berkembang maju, dan ini merupakan penghargaan kepada BN," kata perdana menteri.
Pegawai SPRM akan dtempatkan di Cameron Highland
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menempatkan pegawainya di Cameron Highlands bagi meningkatkan pengawasan dan pemantauan agar jenayah rasuah di kawasan itu dapat ditangani secara holistik, kata timbalan ketua pesuruhjaya (operasi) SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.
Katanya langkah itu dibuat susulan pemeriksaan pihaknya yang dijalankan sejak Mei tahun lepas mendapati tidak ada pusat yang khusus dan sistematik untuk orang ramai membuat aduan dengan berkesan berhubung aktiviti pembukaan kawasan pertanian secara haram dan mengenai elemen rasuah.
Mohd Shukri berkata sementara menunggu penempatan pegawai secara tetap di kawasan berkenaan diluluskan kerajaan, SPRM akan meletakkan pegawainya di kawasan itu secara sementara secepat mungkin.
"SPRM telah memutuskan untuk menempatkan pegawai SPRM di Cameron Highlands bagi meningkatkan pemantauan secara dekat.
"Mereka yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan kepada SPRM dan memberi sokongan padu bagi menangani isu serius di kawasan tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini, Ahad.
Beliau berkata walaupun SPRM menerima aduan dan maklumat dari semasa ke semasa, SPRM menghadapi masalah kekurangan bukti yang kukuh.
"Disebabkan kekurangan bukti walaupun menerima maklumat daripada orang ramai, SPRM menerusi Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan telah menjalankan pemeriksaan untuk mengenal pasti punca-punca yang membawa kepada isu di Cameron Highlands.
Pada 5 Nov lepas, kejadian banjir lumpur berlaku di Ringlet dan Lembah Bertam, Cameron Highlands yang dipercayai turut disumbang oleh faktor penerokaan tanah haram di kawasan itu sehingga meragut lima nyawa manakala lima lagi cedera.
Mohd Shukri berkata SPRM telah, sedang dan akan terus menjalankan satu daripada fungsi utamanya iaitu menyiasat setiap kes rasuah.
"SPRM pernah membawa kes rasuah di Cameron Highlands ke mahkamah, di mana pada tahun 2013, SPRM telah mendakwa peneroka haram yang cuba memberi sogokan kepada pegawai Pejabat Tanah dan Daerah Cameron Highlands," katanya.
Katanya SPRM menyambut baik kenyataan Kerajaan Negeri Pahang bahawa pihaknya akan melaksanakan syor-syor dikemukakan SPRM sebelum ini bagi menangani isu Cameron Highlands dengan beberapa syor tersebut telah pun diambil kira Kerajaan Negeri Pahang untuk dilaksanakan.
"Pada masa yang sama, SPRM juga menyambut baik langkah penyelesaian yang diputuskan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara dan Kabinet. Pendirian Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Persekutuan ini menunjukkan bahawa isu Cameron Highlands memerlukan pendekatan holistik dan kerjasama padu semua pihak, bukan hanya di pihak SPRM semata-mata.
"SPRM, selaku agensi pencegahan rasuah, akan meneruskan siasatan susulan aduan dan maklumat yang diterima dari semasa ke semasa," katanya.
Mohd Shukri berkata SPRM juga akan terus meningkatkan pendekatan pengesanan jenayah rasuah dengan kerjasama agensi-agensi lain di Cameron Highlands.
SPRM sebelum ini mengemukakan cadangan bagi mengekang jenayah rasuah di sebalik penerokaan haram di Cameron Highlands antaranya penubuhan pasukan petugas dan mewujudkan dasar kawalan kemasukan dan pengesanan pekerja asing.
Selain itu, Sistem Pengesahan bagi menghindari dakwaan yang melibatkan anggota kerabat, ahli politik dan pegawai tinggi kerajaan dengan mana-mana pihak yang mendakwa mempunyai hubungan dalam apa-apa urusan bagi menjaga nama baik pihak berkenaan, juga disarankan untuk diwujudkan.
Langgan:
Ulasan (Atom)






