Isnin, 17 November 2014

Usul Perhimpunan Agung UMNO disedia secara inklusif-Hishammuddin

Penyediaan usul-usul untuk dibahaskan pada Perhimpunan Agung Umno 2014 yang akan berlangsung minggu depan dibuat secara inklusif, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Beliau berkata usul-usul itu telah diteliti di beberapa peringkat termasuk mesyuarat meja bulat dan beberapa jawatankuasa. Hishammuddin yang juga pengerusi jawatankuasa usul perhimpunan berkata ini selaras dengan sifat Umno yang kini lebih terbuka yang mengambil kira pandangan anggota peringkat akar umbi. Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Komander Pasukan Marin Amerika Syarikat di Pasifik Lt Jen John A. Toolan di pejabatnya di Wisma Pertahanan di sini, hari ini. Perhimpunan agung Umno yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dijadual bermula dari 25 Nov hingga 29 Nov ini. Pada 11 Nov lepas, media melaporkan Ibu Pejabat Umno telah menerima sejumlah 755 usul daripada 191 bahagian Umno dan daripada jumlah itu, 638 usul adalah untuk rujukan dan 117 usul tanpa bahas. Hishammuddin berkata sikap inklusif yang diamalkan sekarang adalah petanda baik dalam transformasi yang dibawa oleh Umno. "Jadi saya mengalu-alukan usaha kita sempena perhimpunan agung Umno tahun ini untuk mengupaya dan memperkasakan suara-suara kita di peringkat akar umbi melalui usul-usul yang digubal dan usul-usul yang telah kita terima daripada bahagian-bahagian (Umno)," katanya. Beliau berkata sebagai pengerusi jawatankuasa usul perhimpunan, tugasnya adalah untuk mengumpulkan pandangan anggota akar umbi, menggembleng semua pihak berkepentingan dan menggubal usul yang akan dibahaskan pada perhimpunan agung. Hishammuddin memberi jaminan perhimpunan agung tahun ini akan lebih demokratik dan terbuka menerima sebarang teguran. "Cuma kita mengharapkan dalam perbahasan nanti apa jua yang diketengahkan tidak berbaur emosi, perkauman dan keagamaan yang akhirnya boleh menimbulkan keresahan rakyat jelata," katanya. Mengenai usaha Umno untuk memastikan usul yang dibahaskan nanti berjaya dicapai dan diambil tindakan seterusnya, Hishammuddin berkata satu pasukan khas yang dipimpin anggota Majlis Tertinggi (MT) Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan dibantu oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudahpun diwujudkan. Pasukan khas itu berperanan untuk memastikan apa yang telahpun menjadi pendirian Umno dalam perhimpunan agung kali ini akan diambil tindakan dan perkembangan usul akan dimaklum sekurang-kurangnya kepada MT untuk dibawa ke peringkat bahagian, katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan