Isnin, 13 Oktober 2014

14 barang kawalan sempena Deepavali

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menetapkan 14 jenis barangan diletakkan bawah Skim Kawalan Harga sempena perayaan Deepavali yang bakal disambut 22 Okt. Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata, skim kawalan harga itu dilaksanakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, bermula 18 hingga 27 Okt ini. Beliau berkata 14 barangan itu ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, daging kambing tempatan bertulang, daging kambing biri-biri import bertulang, daging kambing biri-biri import tanpa tulang, daging paha kambing biri-biri import bertulang, telur ayam gred A, B dan C, tomato, bawang merah kecil dari India, ubi kentang dari China dan kacang dhal dari Australia. "Penguatkuasaan Skim Kawalan Harga ini bertujuan mengelakkan peniaga dan pekedai mengambil kesempatan menaikkan harga barangan berkenaan, selain memastikan bekalan barangan terkawal itu mencukupi di pasaran," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, pada Isnin. Katanya harga maksimum ditentukan bagi 14 barangan tersebut di 89 daerah di Semenanjung, 32 daerah di Sarawak, 27 daerah di Sabah dan satu daerah di Wilayah Persekutuan Labuan. Hasan berkata para peniaga perlu memastikan barangan harga terkawal dijual tidak melebihi harga maksimum ditentukan serta meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu bagi membezakan barangan harga terkawal tersebut. Tanda harga hendaklah jelas, mudah dibaca, menggunakan unit sukatan atau timbangan yang telah ditentukan dan memaparkan harga yang tepat serta tidak mengelirukan, katanya. Katanya aduan berkenaan peniaga yang tidak mematuhi undang-undang berhubung skim itu boleh disalurkan kepada pihak kementerian menerusi talian bebas tol 1800-886-800 atau di mana-mana pejabat PDNKK di seluruh negara. Dalam pada itu, Hasan berkata kementerian telah melakukan 75,851 pemeriksaan terhadap premis perniagaan bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga barang, sejak penyelarasan subsidi minyak sebanyak 20 sen berkuat kuasa 2 Okt lepas. Beliau berkata daripada pemeriksaan itu, pihaknya menerima 37 aduan membabitkan 47 kes, dengan kebanyakan aduan berkenaan peniaga tidak meletakkan tanda harga. "Walaupun ada yang membangkitkan mengenai tindakan peniaga menaikkan harga barang susulan penyelarasan subsidi minyak, namun jumlahnya adalah kecil," katanya dan menambah 24 daripada keseluruhan kes sedang diambil tindakan.BERNAMA

Dari Parlimen: Annuar Musa ajak PAS bersama BN.

Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa hari ini berkata, PAS adalah tulang belakang kepada komponen parti dalam Pakatan Rakyat (PR) meskipun kemelut menteri besar Selangor sebelum ini menyaksikan parti Islam itu bertelagah dengan DAP dan PKR. Annuar berkata, lebih baik PAS bersama dengan Barisan Nasional (BN) daripada terus dibuli rakan-rakan dalam PR. "PAS marilah duduk bersama BN," katanya ketika perbahasan Belanjawan 2015 di Dewan Rakyat Parlimen, Kuala Lumpur hari ini. "PKR dan DAP buli PAS, turut buli bekas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Mereka lupa kekuatan DAP dan PKR datang daripada PAS," katanya. Kenyataan itu kemudiannya disambut Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad yang bangun dan menegaskan PAS tidak akan "termakan umpan" yang dihulurkan Umno untuk menyertai BN. "Ucapan Ketereh amat melucukan, macam nak cuba beri umpan. Beliau kata kita orang lama, minta maaf Ketereh, kita tidak termakan umpan," kata Khalid ketika membalas hujah daripada Annuar. Annuar kemudiannya memuji PAS kerana mempunyai pendirian yang teguh meskipun diasak kepimpinan DAP dan PKR. "PAS tidak akan hancur kerana mereka istiqamah dalam perjuangan mereka, yang hancur parti lain," kata Annuar. Khalid kemudian bangun sekali lagi dan menegaskan kebersamaan PAS bersama PR berjaya menjadikan sokongan mereka meningkat sehingga 52% ketika pilihan raya umum 2013. "Apa nak bangga sangat dengan 52%, kalau orang buli," kata Annuar. "Saya tidak salahkan Shah Alam, beliau tidak tahu," kata pemimpin Umno itu. Ahli Parlimen Pasir Mas Nik Abduh Nik Abdul Aziz sebelum ini melalui akaun Facebook miliknya mengakui PAS menjadi mangsa buli DAP dan PKR rentetan isu di Selangor berhubung isu menteri besar dan pemecatan ahli majlis di Pulau Pinang baru-baru ini. Anak Mursyidul Am PAS itu berkata, jika dahulu PAS mangsa buli Umno, sekarang mereka dibuli rakan sendiri dalam PR. "Hari ini, selain Umno, PKR dan DAP mula hendak buli PAS. "Sehinggakan PAS kelihatan seperti terpinga-pinga tidak tahu hendak sentuh yang mana satu. Semua macam tidak menjadi," katanya dalam tulisan akaun Facebook miliknya. Pertelagahan PAS dengan rakan komponen PR semakin hangat apabila parti itu tetap menghantar lebih daripada satu nama calon menteri besar, sedangkan DAP dan PKR memutuskan mereka akan tetap menghantar nama Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengkehendaki parti pemerintah di Selangor itu menghantar lebih daripada satu nama calon untuk dilantik sebagai menteri besar. Baginda kemudiannya memilih melantik Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali sebagai menteri besar Sumber:themalaysianinsider

Rafizi ganti Saifuddin sebagai Setiausaha Agung PKR

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli‎ dilantik sebagai Setiausaha Agung PKR yang baharu bagi mengantikan Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkuat kuasa semalam. Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Saifuddin pula ditukar kepada Pengarah Pilihanraya PKR bersama seorang lagi Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar bagi mengantikan Mohamed Azmin Ali. "Walaupun Rafizi telah dipilih sebagai Naib Presiden ia tidak menjadi masalah untuk memegang jawatan Setiausaha Agung. "Bagi saya keputusan memilih Rafizi merupakan satu keputusan yang baik," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen yang mengesah pelantikan tersebut. Menurut Anwar, rombakan kecil itu dibuat selepas selesai pemilihan PKR baru-baru ini. Mengulas lanjut, beliau berkata tindakan melantik Saifuddin dan Nurul Izzah itu kerana tidak mahu membebankan Azmin yang kini sebagai Menteri Besar Selangor. "Namun kita berharap agar Azmin dapat membantu Saifuddin dan Nurul Izzah memandang beliau mempunyai pengalaman dalam tugas tersebut," kata beliau lagi. Menurut beliau lagi, beberapa lagi keputusan lain akan diumumkan sendiri oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail nanti.

Tiga faktor untuk pastikan kemenangan BN pada PRU 14- PM Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tiga faktor iaitu calon yang tepat, jentera yang kuat dan Barisan Nasional (BN) yang padu perlu wujud bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya umum ke-14. Najib, yang juga Pengerusi BN, berkata gabungan tiga faktor itu terbukti memberi kemenangan besar kepada BN pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor pada 25 Sept lalu. “Calon yang tepat…(perlu) pilih calon yang kena dengan selera pengundi,” katanya mengenai faktor pertama ketika berucap pada ‘Majlis Pemimpin bersama Rakyat: Sepetang Bersama Perdana Menteri’ di Pusat Khidmat Masyarakat Kampung Geting, Pengkalan Kubor, di sini hari ini. Mengambil contoh pemilihan Mat Razi Mat Ail sebagai calon BN pada pilihan raya kecil DUN Pengkalan Kubor, Najib berkata ia memenuhi selera pengundi setempat kerana Mat Razi antara lain mempunyai keperibadian disenangi ramai selain berpengetahuan agama serta mempunyai pondok tempat beliau mengajar ilmu agama. Najib berkata jentera pilihan raya yang kuat akan menyumbang kepada kejayaan BN atas dasar semua pihak bekerja dalam satu pasukan. Najib seterusnya menjelaskan bahawa perpaduan dalam Umno dan dalam kalangan parti komponen BN yang kukuh tanpa perasaan iri hati menjadi teras kepada semangat untuk bersama-sama memastikan kemenangan BN. KB13_11014_PM_PONDOKPerdana menteri menegaskan formula kemenangan BN di Pengkalan Kubor itu akan dijadikan titik permulaan pembaharuan bagi BN Kelantan untuk menghadapi PRU14. Beliau juga menggesa BN Kelantan bekerja lebih kuat dalam usaha meningkatkan sokongan rakyat kepada BN. Di kesempatan itu, beliau berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengarah Jentera BN pilihan raya kecil DUN Pengkalan Kubor Datuk Seri Mustapa Mohamed serta seluruh jentera BN yang bekerja keras dalam memastikan BN kekal bertapak di DUN berkenaan. Pada PRK Pengkalan Kubor bulan lepas, Mat Razi memperoleh majoriti 2,635 undi untuk menewaskan calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail. Turut hadir Mustapa yang juga Pengerusi BN Kelantan, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan dan Mat Razi.

Senarai produk berkaitan GST diwartakan hari ini- Ahmad Husni

Senarai produk yang berkaitan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) akan diwartakan oleh kerajaan esok, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. Beliau berkata senarai itu mengandungi lebih daripada 900 barang yang berada dalam ‘basket of goods’ (kumpulan barang). “Lebih 900 produk yang berada dalam ‘basket of goods’ akan diwartakan esok. “Kita perlu mewartakannya lebih awal supaya langkah itu membolehkan peniaga menstrukturkan semula sistem perniagaan masing-masing apabila CBP mula dilaksanakan tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan carnival futsal dan bola jaring Piala Ahli Parlimen Tambun di sini, hari ini. Beliau berkata kementerian berkenaan juga bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bagi mewujudkan jalinan dengan sektor pengguna supaya dapat memastikan kenaikan harga tidak berlaku sewenang-wenangnya. Ahmad Husni juga berkata satu badan pemantau secara kerjasama dengan persatuan pengguna di peringkat negeri dan nasional turut akan dibentuk. “Setakat ini kita mempunyai tujuh persatuan pengguna, kita akan memberi bajet kepada mereka atas kerjasama dengan kerajaan untuk membantu orang ramai memastikan tidak berlaku kenaikan harga sewenang-wenangnya oleh penjual,” katanya. Di bawah CBP, terdapat produk yang tidak dikenakan cukai di semua peringkat iaitu pengilang, pemborong, peruncit dan pembeli, katanya. “Satu lagi adalah pengecualian CBP atau ‘exempt supply’ iaitu cukai pada peringkat ‘output’ tidak perlu dibayar, maknanya rantaian daripada peruncit hingga pembeli tidak perlu bayar, tetapi di peringkat ‘input’, ia perlu dibayar,” katanya. Mengenai Bajet 2015 pula, Ahmad Husni berkata ia adalah bajet kesinambungan sehingga tahun 2020 dan seterusnya yang memberi penekanan kepada ekonomi keperluan rakyat. Sebagai contoh katanya, peruntukan untuk pembangunan infrastruktur di Sarawak seperti Lebuh Raya Pan Borneo adalah ekonomi modal fizikal tetapi memberi kesan kepada ekonomi keperluan rakyat, katanya. “Ia (projek tersebut) membuka kawasan yang tiada hubungan infrastruktur, membuka hubungan rakyat, hubungan kawasan luar bandar-bandar. Untuk capai itu ia mesti datang daripada ‘ekonomi modal fizikal’,” katanya.

Ahad, 12 Oktober 2014

Kerajaan akan siasat kesilapan siaran berita di RTM- Shabery Cheek

Beberapa kesilapan teknikal semasa siaran berita Radio Televisyen Malaysia (RTM) di TV1 mendapat perhatian Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang mengarahkan kementeriannya agar menyiasat insiden tersebut secara terperinci. Beliau berkata kesilapan itu akan diteliti sama ada ia berpunca daripada kelemahan pihak teknikal atau tidak disengajakan kerana selaku penyiar nasional, insiden itu tidak sepatutnya berlaku. "Saya minta supaya ada satu sistem menghukum mereka yang melakukan kesalahan sama ada ia berbentuk kecuaian atau sesuatu yang boleh menjatuhkan imej RTM," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Deepavali 2014 di Bukit Jalil di sini pada Ahad malam. Kesilapan itu dikesan berlaku ketika siaran langsung berita di TV1, Sabtu. Dalam perkembangan lain, Ahmad Shabery berkata beliau sedia berbincang lebih lanjut dengan penasihat kerajaan dalam hal ehwal sosial dan kebudayaan, Tan Sri Dr Rais Yatim mengenai cadangan kementerian untuk menjadikan saluran Bernama TV sebagai saluran yang menawarkan sumber berita berbahasa Inggeris tahun depan. "Orang sekarang tidak lagi bercakap tentang 'broadcasting' tetapi 'narrowcasting' yang bermakna setiap saluran itu ada pengkhususan seperti saluran berita, hiburan, sukan dan sebagainya yang fokus menggunakan sesuatu bahasa," katanya. Rais, yang juga bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, hari ini berkata stesen televisyen tempatan perlu memastikan wujud ruang dalam perjuangan memartabatkan bahasa kebangsaan.

Kerajaan Negeri boleh guna bajet 2015 sebagai panduan- Ahmad Maslan

Kerajaan negeri boleh menggunakan Bajet 2015, yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Jumaat lepas, sebagai asas dan garis panduan dalam menyediakan bajet negeri masing-masing. Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata lima perkara penting yang terkandung dalam Bajet 2015 adalah bersifat menyeluruh untuk kesejahteraan rakyat di pelbagai lapisan. Menurutnya lima perkara tersebut ialah mengurangkan kos sara hidup, pekerjaan, pemilikan perumahan, pendidikan dan kebajikan. "Lima keperluan itu perlu diberi tumpuan oleh bajet yang bakal dibentangkan oleh kerajaan negeri termasuk agenda memperkasakan Bumiputera," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) kepada penjawat awam di sini hari ini. Mengenai kegusaran rakyat dalam berdepan pelaksanaan CBP bermula 1 April tahun depan, beliau berkata kerajaan akan mengeluarkan buku garis panduan kawalan harga untuk mengelak sebarang penipuan harga barangan.BERNAMA