Isnin, 13 Oktober 2014

Tiga faktor untuk pastikan kemenangan BN pada PRU 14- PM Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tiga faktor iaitu calon yang tepat, jentera yang kuat dan Barisan Nasional (BN) yang padu perlu wujud bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya umum ke-14. Najib, yang juga Pengerusi BN, berkata gabungan tiga faktor itu terbukti memberi kemenangan besar kepada BN pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor pada 25 Sept lalu. “Calon yang tepat…(perlu) pilih calon yang kena dengan selera pengundi,” katanya mengenai faktor pertama ketika berucap pada ‘Majlis Pemimpin bersama Rakyat: Sepetang Bersama Perdana Menteri’ di Pusat Khidmat Masyarakat Kampung Geting, Pengkalan Kubor, di sini hari ini. Mengambil contoh pemilihan Mat Razi Mat Ail sebagai calon BN pada pilihan raya kecil DUN Pengkalan Kubor, Najib berkata ia memenuhi selera pengundi setempat kerana Mat Razi antara lain mempunyai keperibadian disenangi ramai selain berpengetahuan agama serta mempunyai pondok tempat beliau mengajar ilmu agama. Najib berkata jentera pilihan raya yang kuat akan menyumbang kepada kejayaan BN atas dasar semua pihak bekerja dalam satu pasukan. Najib seterusnya menjelaskan bahawa perpaduan dalam Umno dan dalam kalangan parti komponen BN yang kukuh tanpa perasaan iri hati menjadi teras kepada semangat untuk bersama-sama memastikan kemenangan BN. KB13_11014_PM_PONDOKPerdana menteri menegaskan formula kemenangan BN di Pengkalan Kubor itu akan dijadikan titik permulaan pembaharuan bagi BN Kelantan untuk menghadapi PRU14. Beliau juga menggesa BN Kelantan bekerja lebih kuat dalam usaha meningkatkan sokongan rakyat kepada BN. Di kesempatan itu, beliau berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengarah Jentera BN pilihan raya kecil DUN Pengkalan Kubor Datuk Seri Mustapa Mohamed serta seluruh jentera BN yang bekerja keras dalam memastikan BN kekal bertapak di DUN berkenaan. Pada PRK Pengkalan Kubor bulan lepas, Mat Razi memperoleh majoriti 2,635 undi untuk menewaskan calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail. Turut hadir Mustapa yang juga Pengerusi BN Kelantan, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan dan Mat Razi.

Senarai produk berkaitan GST diwartakan hari ini- Ahmad Husni

Senarai produk yang berkaitan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) akan diwartakan oleh kerajaan esok, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. Beliau berkata senarai itu mengandungi lebih daripada 900 barang yang berada dalam ‘basket of goods’ (kumpulan barang). “Lebih 900 produk yang berada dalam ‘basket of goods’ akan diwartakan esok. “Kita perlu mewartakannya lebih awal supaya langkah itu membolehkan peniaga menstrukturkan semula sistem perniagaan masing-masing apabila CBP mula dilaksanakan tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan carnival futsal dan bola jaring Piala Ahli Parlimen Tambun di sini, hari ini. Beliau berkata kementerian berkenaan juga bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bagi mewujudkan jalinan dengan sektor pengguna supaya dapat memastikan kenaikan harga tidak berlaku sewenang-wenangnya. Ahmad Husni juga berkata satu badan pemantau secara kerjasama dengan persatuan pengguna di peringkat negeri dan nasional turut akan dibentuk. “Setakat ini kita mempunyai tujuh persatuan pengguna, kita akan memberi bajet kepada mereka atas kerjasama dengan kerajaan untuk membantu orang ramai memastikan tidak berlaku kenaikan harga sewenang-wenangnya oleh penjual,” katanya. Di bawah CBP, terdapat produk yang tidak dikenakan cukai di semua peringkat iaitu pengilang, pemborong, peruncit dan pembeli, katanya. “Satu lagi adalah pengecualian CBP atau ‘exempt supply’ iaitu cukai pada peringkat ‘output’ tidak perlu dibayar, maknanya rantaian daripada peruncit hingga pembeli tidak perlu bayar, tetapi di peringkat ‘input’, ia perlu dibayar,” katanya. Mengenai Bajet 2015 pula, Ahmad Husni berkata ia adalah bajet kesinambungan sehingga tahun 2020 dan seterusnya yang memberi penekanan kepada ekonomi keperluan rakyat. Sebagai contoh katanya, peruntukan untuk pembangunan infrastruktur di Sarawak seperti Lebuh Raya Pan Borneo adalah ekonomi modal fizikal tetapi memberi kesan kepada ekonomi keperluan rakyat, katanya. “Ia (projek tersebut) membuka kawasan yang tiada hubungan infrastruktur, membuka hubungan rakyat, hubungan kawasan luar bandar-bandar. Untuk capai itu ia mesti datang daripada ‘ekonomi modal fizikal’,” katanya.

Ahad, 12 Oktober 2014

Kerajaan akan siasat kesilapan siaran berita di RTM- Shabery Cheek

Beberapa kesilapan teknikal semasa siaran berita Radio Televisyen Malaysia (RTM) di TV1 mendapat perhatian Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang mengarahkan kementeriannya agar menyiasat insiden tersebut secara terperinci. Beliau berkata kesilapan itu akan diteliti sama ada ia berpunca daripada kelemahan pihak teknikal atau tidak disengajakan kerana selaku penyiar nasional, insiden itu tidak sepatutnya berlaku. "Saya minta supaya ada satu sistem menghukum mereka yang melakukan kesalahan sama ada ia berbentuk kecuaian atau sesuatu yang boleh menjatuhkan imej RTM," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Deepavali 2014 di Bukit Jalil di sini pada Ahad malam. Kesilapan itu dikesan berlaku ketika siaran langsung berita di TV1, Sabtu. Dalam perkembangan lain, Ahmad Shabery berkata beliau sedia berbincang lebih lanjut dengan penasihat kerajaan dalam hal ehwal sosial dan kebudayaan, Tan Sri Dr Rais Yatim mengenai cadangan kementerian untuk menjadikan saluran Bernama TV sebagai saluran yang menawarkan sumber berita berbahasa Inggeris tahun depan. "Orang sekarang tidak lagi bercakap tentang 'broadcasting' tetapi 'narrowcasting' yang bermakna setiap saluran itu ada pengkhususan seperti saluran berita, hiburan, sukan dan sebagainya yang fokus menggunakan sesuatu bahasa," katanya. Rais, yang juga bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, hari ini berkata stesen televisyen tempatan perlu memastikan wujud ruang dalam perjuangan memartabatkan bahasa kebangsaan.

Kerajaan Negeri boleh guna bajet 2015 sebagai panduan- Ahmad Maslan

Kerajaan negeri boleh menggunakan Bajet 2015, yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Jumaat lepas, sebagai asas dan garis panduan dalam menyediakan bajet negeri masing-masing. Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata lima perkara penting yang terkandung dalam Bajet 2015 adalah bersifat menyeluruh untuk kesejahteraan rakyat di pelbagai lapisan. Menurutnya lima perkara tersebut ialah mengurangkan kos sara hidup, pekerjaan, pemilikan perumahan, pendidikan dan kebajikan. "Lima keperluan itu perlu diberi tumpuan oleh bajet yang bakal dibentangkan oleh kerajaan negeri termasuk agenda memperkasakan Bumiputera," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) kepada penjawat awam di sini hari ini. Mengenai kegusaran rakyat dalam berdepan pelaksanaan CBP bermula 1 April tahun depan, beliau berkata kerajaan akan mengeluarkan buku garis panduan kawalan harga untuk mengelak sebarang penipuan harga barangan.BERNAMA

Rabu, 13 Ogos 2014

Khalid dedah surat pemecatan Exco Selangor

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata surat pemecatan 5 exco terbabit yang berkuatkuasa semalam adalah sah dan sudah mendapat perkenan Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam tempoh dua jam. Khalid berkata, beliau menulis surat kepada Sultan selepas mengetahui pendirian 5 exco terbabit pada jam 2 petang semalam. Sultan kemudian membalas surat Khalid secara bertulis dan membenarkan pemecatan itu dibuat kira-kira jam 5 petang.
"Beta tiada halangan jika Yang Amat Berhormat (YAB) menamatkan khidmat mereka," kata Khalid ketika membacakan surat jawapan balas Sultan Selangor kepadanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SUK) di Shah Alam, hari ini

Exco yang dpecat diarah kosongkan pejabat

Enam Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) daripada DAP dan PKR diarah mengosongkan pejabat masing-masing ekoran pemecatan mereka mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah. Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, Datuk Mohamed Khusrin Munawi berkata bagaimanapun buat masa ini tiada tempoh masa tertentu diberikan kepada kesemua Exco terlibat. "Arahan pemecatan mereka telah diperkenankan Sultan Selangor dan mulai 12 Ogos (semalam) mereka tidak lagi dibenarkan untuk meneruskan tugas. "Buat masa ini, tiada arahan dikeluarkan bila sepatutnya mereka harus mengosongkan pejabat masing-masing, tetapi mereka dibenarkan masuk ke pejabat bagi mengemaskan barang persendirian mengikut masa mereka," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini. Ketika diminta mengulas mengenai beberapa Exco daripada kedua-dua parti itu yang kelihatan hadir dan meneruskan tugas di pejabat masing-masing di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini, Mohamed Khusrin berkata kehadiran Exco berkenaan bagaimanapun tidak melibatkan tugasan rasmi. "Mungkin dia datang untuk kemas barang atau jumpa orang... (jumpa orang) itu memang tugas dia selalu di Dewan Negeri Selangor ini," katanya. Semalam, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah menulis surat bagi meminta perkenan Sultan Selangor supaya keenam-enam Exco daripada PKR dan DAP yang tidak menyokong pentadbirannya digugurkan serta-merta. Tiga Exco daripada DAP ialah Datuk Teng Chang Khim, V. Ganabatirau dan Ean Yong Hian Wah sementara anggota Exco daripada PKR ialah Elizabeth Wong Keat Ping, Rodziah Ismail dan Dr Daroyah Alwi. - Bernama

Sultan perkenan pecat Exco Selangor

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mendedahkan surat perkenan daripada Sultan Selangor kepada beliau untuk memecat lima Exco PKR dan DAP, semalam. Abdul Khalid berkata surat balas daripada Sultan Selangor itu diperolehinya dua jam selepas beliau menulis kepada Tuanku berhubung kenyataan bersama lima bekas Exco itu yang enggan bekerjasama dengannya. "Semalam jam 2 petang saya tulis surat kepada Sultan selangor selepas semua Exco itu tulis kenyataan bersama untuk tidak bersama-sama dalam pentadbiran kerajaan negeri. "Sultan Selangor telah balas secara bertulis supaya Exco berkenaan tidak bertugas lagi," katanya pada sidang media selepas mempengerusi mesyuarat mingguan Exco, di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini, hari ini. Beliau berkata demikian membidas kenyataan lima Exco dipecat itu yang mendakwa Abdul Khalid tidak memperolehi perkenan Sultan Selangor untuk mengugurkan tiga wakil DAP dan dua wakil PKR. Lima Exco terbabit ialah Datuk Teng Chang Khim, Ean Yong Hian Wah, Elizabeth Wong, Ganabatirau Veraman dan Dr Daroyah Alwi. Dalam pada itu, mesyuarat mingguan Exco hari ini dihadiri oleh empat Exco Selangor Pas dan tiga pegawai ex-officio. Antara Exco Pas Selangor yang hadir ialah Iskandar Abdul Samad, Dr Halimah Ali, Dr Ahmad Yunus Hairi dan Salehin Mukhyi. Manakala pegawai ex-officio pula ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi; Penasihat Undang-undang, Datuk Zauyah Be T.Loth Khan dan Pegawai Kewangan, Datuk Noordin Sulaiman. Sementara itu, Abdul Khalid menegaskan lima Exco dipecat itu tidak dibenarkan meneruskan khidmat mereka selepas kenyataan semalam bercanggah dengan 10 akujanji dan sumpah kesetiaan di hadapan Sultan Selangor semasa mereka mengangkat sumpah sebagai Exco.