Selasa, 24 Jun 2014
PM bayangkan rombakan kabinet semakin hampir
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi bayangan tentang rombakan Kabinet, menyatakan pelancaran KLIA2 di sini hari ini mungkin adalah yang terakhir dihadiri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Pemangku Menteri Pengangkutan.
"Ini mungkin majlis rasmi terakhir anda sebagai Pemangku Menteri Pengangkutan," katanya secara berseloroh pada majlis pelancaran KLIA2.
Hishammuddin turut hadir pada majlis pelancaran KLIA2, terminal bagi syarikat penerbangan tambang rendah.
Spekulasi tentang rombakan Kabinet menjadi bualan hangat akhir-akhir ini berikutan desas-desus bahawa Najib perlu melakukannya untuk membawa masuk pemimpin daripada MCA dan Gerakan.
Speaker Dewan Negara tegur anggota Dewan yang tidak minat berbahas
Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang hari ini menegur sikap sesetengah anggota Dewan Negara yang tidak mengambil bahagian dan kurang berminat dalam perbahasan pelbagai usul ketika persidangan berlangsung.
Beliau kesal kerana hanya sebilangan kecil anggota dewan yang hadir dan mengambil bahagian dalam perbahasan pada Selasa.
"Kita ada enam hari lagi (untuk berbahas dan bersidang). Apa dah jadi sampai senarai ini pendek? Mana bekas-bekas menteri dan timbalan menteri ini? Tidak ada sebab untuk anda mengatakan anda tidak tahu tentang apa-apa isu atau topik.
"Yang baru-baru dan yang lain ini pun tidak terkecuali. Patut mengambil tempat dalam berbahas. Untuk makluman semua, banyak lagi rang undang-undang belum dibahas," katanya.
Abu Zahar membuat teguran itu ketika persidangan bersambung sebelah petang.
Malaysia Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta,..
Malaysia Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta, diumumkan sebagai tema sambutan Hari Kemerdekaan ke-57.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata tema itu dipetik daripada lirik lagu "Warisan" dipopularkan Allahyarham Sudirman Haji Arshad.
"Saya percaya tema itu akan memberikan kesan mendalam dan lahirkan semangat kecintaan terhadap negara dalam hati semua rakyat," katanya dalam sidang media selepas merasmikan majlis prapelancaran Kemerdekaan ke-57.
Beliau juga berharap pemilihan tema itu tidak akan dipolitikkan oleh mana-mana pihak.
Sambutan kemerdekaan tahun ini bermula dengan program Doa Untuk Malaysia pada 15 Ogos di Masjid Putra di sini, diikuti Kempen Kibar Jalur Gemilang dijadual dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 16 Ogos.
Kemuncak sambutan iaitu acara Perbarisan dan Perarakan Hari Kemerdekaan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Ogos manakala sambutan Hari Malaysia pula di Sarawak pada 16 Sept.
Ahmad Shabery berkata selain itu Konsert Harmoni Uniti yang mengabungkan artis Malaysia dan Indonesia, simbolik kepada semangat kesatuan serantau antara kedua-dua negara juga akan diadakan.
"Bagi mengimbau kenangan konsert Chow Kit Road (oleh Sudirman pada 1986) selain menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat menerusi lagu-lagu, Sudirman Konsert Chow Kit Road 2.0 akan diadakan," katanya.
Konsert selama tiga hari bermula 29 Ogos itu dijadual berlangsung di Jalan Tuanku Abdul Rahman, anjuran RTM dengan kerjasama Astro dan Media Prima sebagai rakan strategik.
Program Minggu Merdeka pula akan diadakan dari 28 Ogos hingga 1 Sept dengan menjadikan Kuala Lumpur sebagai laman patriotik dengan pelbagai segmen menarik seperti karnival, pameran, seminar, jualan, pertunjukan dan pelbagai aktiviti berkaitan, katanya.
Ahmad Shabery berkata bagi menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan kali ini, turut diadakan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak antaranya semua kementerian dan agensi kerajaan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Perbadanan Putrajaya, 1M4U dan Majlis Belia Malaysia.
Beliau berkata rakan penaja pula terdiri daripada pelbagai pihak seperti Celcom, TM Berhad, Axiata, TELIN Indonesia, Media Prima, Astro dan banyak lagi.
Menurutnya sambutan kemerdekaan bukanlah gerak kerja pihak kerajaan semata-mata dan pihak swasta juga perlu memainkan peranan masing-masing demi meningkatkan lagi semangat kecintaan tidak berbelah-bahagi terhadap negara.
"Sambutan kemerdekaan perlu menjadi jenama popular yang melekat di hati setiap rakyat pada setiap masa dan bukan hanya sekadar perarakan semata-mata," katanya.
Pada majlis itu, Ahmad Shabery turut menyampaikan hadiah kepada pemenang mencipta logo sambutan kemerdekaan yang diraih Abdul Mutalib Abdul Rahman dengan membawa pulang wang tunai RM7,000 dan sijil penghargaan.
-- BERNAMA
KLIA2 mampu mengendalikan sehingga 45 juta penumpang setahun
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Terminal klia2 (klia2) merupakan satu lagi pintu masuk antarabangsa utama negara dengan kapasiti untuk menampung unjuran pertumbuhan perjalanan udara untuk sekurang-kurangnya 10 hingga 15 tahun akan datang.
Beliau berkata terminal mega itu berupaya mengendalikan sehingga 45 juta penumpang setahun, lebih tiga kali ganda daripada kapasiti Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) sebelum ini.
"Berdasarkan unjuran trafik penumpang bagi tahun ini, klia2 akan menyaksikan kira-kira 25 juta penumpang menggunakan terminal itu menjelang akhir tahun yang jauh lebih besar daripada apa yang mungkin di LCCT lama," kata beliau pada majlis pelancaran klia2 di sini pada Selasa.
klia2 memulakan operasi komersial pada 2 Mei tahun ini dan sejak itu telah mengendalikan lebih tiga juta penumpang dan 24,000 pergerakan pesawat.
klia2 mampu mengendalikan 45 juta penumpang setahun - lebih tiga kali ganda daripada kapasiti LCCT sebelumnya.
Najib berkata sejak sedekad lalu, sektor perjalanan udara tambang rendah murah di Malaysia secara konsisten mencatatkan pertumbuhan angka berganda tahun demi tahun.
Beliau berkata pertumbuhan yang kukuh itu dijangka berterusan berdasarkan unjuran ini memandangkan permintaan dan persaingan yang dinamik dalam sektor berkenaan.
"Model perniagaan penerbangan tambang rendah juga telah berkembang seiring dengan keperluan pasaran termasuk penawaran hibrid dan premium serta pindah dan transit untuk sambung penerbangan," kata beliau.
Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata terminal itu memainkan peranan penting sebagai sebahagian daripada sistem KLA untuk merealisasikan potensi sebagai hab penerbangan terkemuka rantau itu.
Beliau berkata, di bawah Pelan Induk Lapangan Terbang Kebangsaan (NAMP), kerajaan telah menggariskan pelan pembangunan strategik untuk menampung pertumbuhan bagi perjalanan udara di seluruh negara dalam tempoh 50 tahun akan datang.
Beliau berkata industri penerbangan adalah satu daripada bidang tumpuan dalam Belanjawan Negara 2014 dengan RM1 bilion telah diperuntukkan.
Beliau menambah RM700 juta daripada jumlah itu akan dibelanjakan bagi pembangunan pusat pengurusan trafik udara yang baharu di KLIA dalam usaha untuk meningkatkan trafik udara daripada 68 kepada 108 pergerakan sejam di tiga landasan sedia ada di KLIA yang kini mempunyai kapasiti tertinggi di dunia bagi pengendalian trafik udara.
"Sementara itu, RM300 juta lagi diperuntukkan bagi menaik taraf lapangan terbang di seluruh negara. Ini membolehkan Malaysia menjadi lebih kompetitif dalam menawarkan kapasiti bagi pertumbuhan industri penerbangan tempatan dan serantau dan pada masa yang sama membolehkan kami terus meningkatkan tahap keselesaan dan kemudahan kepada semua penumpang," kata beliau.
Najib berkata industri penerbangan akan menjadi penyumbang utama kepada pendapatan industri pelancongan.
Berikutan pengisytiharan 2014 sebagai Tahun Melawat Malaysia dan 2015 sebagai Tahun Festival untuk menarik lebih ramai pelancong ke negara ini, Perdana Menteri berkata kesediaan klia2 sebagai satu lagi pintu masuk antarabangsa utama negara adalah penting untuk menyokong usaha itu.
Tahun lepas, Malaysia mencatatkan ketibaan seramai 25.72 juta pelancong dengan menjana hasil sebanyak RM65.44 bilion.
Semasa pelancaran itu, klia2 juga secara rasmi tercatat dalam buku Malaysia Book of Records sebagai "Terminal Terbesar Untuk Penerbangan Tambah Rendah & Terminal Lapangan Terbang Pertama dihubungkan dengan Jambatan Udara".
Sijil itu disampaikan kepada Pengerusi Malaysia Airports Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah oleh Pengasas dan Pengarah Urusan Malaysia Book of Records, Tan Sri Danny Ooi.
Najib kemudian melancarkan gateway@klia2, pusat beli-belah yang terletak antara balai menurunkan penumpang dan Terminal Utama di Terminal klia2.
Beliau juga merasmikan perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit ke klia2.
Perdana Menteri juga melancarkan Sama-sama express- Terminal Airside Transit Hotel, terletak dalam kawasan balai berlepas lapangan terbang.
Turut hadir ialah isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Pengarah Urusan Malaysia Airports (MAHB) Datuk Badlisham Ghazali dan Penasihat MAHB Tan Sri Bashir Ahmad.
Isnin, 23 Jun 2014
Tidak ada PRK bagi DUN Bukit Assek, Sarawak
Tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Assek, Sarawak berikutan kematian wakil rakyat DAP, Wong Ho Leng, minggu lepas, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.
Beliau berkata keputusan SPR itu dibuat dengan mengambil kira peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sedia ada.
Berdasarkan Artikel 54 (1) Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya kecil hanya perlu diadakan dalam tempoh tiga tahun, sebelum tamat sesi Parlimen dan DUN.
"PRK hanya perlu diadakan di DUN Bukit Assek sekiranya tempoh mandat kurang daripada tiga tahun. Kematian berlaku selepas itu, iaitu dua tahun terakhir atau
selepas tiga tahun pertama.
"Jadi dalam Perlembangan Malaysia dan juga dalam Perlembagaan Sarawak, tidak ada pilihan raya kecil perlu diadakan walaupun berlaku kekosongan kerusi di luar jangka. Itu keputusan dalam perlembagaan," katanya kepada pemberita ketika
menghadiri Majlis Hari Inovasi SPR 2014 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang SPR 2013, di sini hari ini.
Wong, 54 yang juga bekas Pengerusi DAP Sarawak meninggal dunia di Pusat Perubatan Rejang, Sibu pada 21 Jun akibat barah otak.
Pada Pilihan Raya Negeri Sarawak 2011, Wong memenangi kerusi DUN Bukit Assek dengan menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Chieng Huong Toon dan calon Bebas Hii Tiong Huat dengan majoriti 8,827 undi.
Abdul Aziz berkata sidang DUN Sarawak bermula 20 Jun 2011, manakala tarikh kematian wakil rakyat DAP itu dengan tempoh berkenaan adalah tiga tahun satu hari bermakna lebih sehari daripada peraturan mewajibkan PRK.
"Tempoh matang DUN Sarawak ialah pada 20 Jun 2016. Bagaimapun Ketua Menteri boleh mengadakan pilihan raya lebih awal daripada tempoh matang tersebut dengan dipersetujui Yang Dipertua Negeri Sarawak dan undang-undang sedia ada," katanya.
Menurutnya pihak SPR juga masih belum menerima maklumat rasmi daripada Speaker DUN Sarawak mengenai kematian bekas Anggota Parlimen DAP Sibu itu.
Pada majlis hari ini, 47 pegawai SPR diberikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, 48 pegawai menerima sijil kepujian, selain 35 pegawai yang berkhidmat lebih 40 tahun dan 19 pegawai yang akan bersara diraikan oleh Abdul Aziz. - Bernama
RM1.6 bilion untuk pembinaan lapangan terbang baru kulim
Cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Kulim, Kedah, bagi memenuhi peningkatan penerbangan ke wilayah utara, dijangka melibatkan kos RM1.6 bilion, kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir (gambar).
Kos berkenaan termasuk pengambilan tanah, pembinaan infrastruktur asas lapangan terbang dan dua landasan, katanya.
Mukhriz berkata kajian dilakukan dan penting bagi negeri-negeri utara untuk mempunyai satu lagi lapangan terbang antarabangsa memandangkan Lapangan Terbang Bayan Lepas yang sedia ada di Pulau Pinang mungkin akan mencapai kapasiti maksimum dalam dua tahun.
"Satu lagi faktor yang membimbangkan ialah lapangan terbang itu mempunyai satu landasan, yang mempunyai kapasiti terhad untuk menampung lebih banyak pesawat. Pendaratan oleh pesawat kargo telah dikurangkan lebih 10% dalam tempoh tiga tahun lepas.
"Wilayah utara berkembang dan memerlukan perkhidmatan dan kemudahan kargo udara," katanya pada sidang akhbar selepas perasmian pejabat Bina Darulaman Bhd di Kuala Lumpur hari ini.
Mukhriz berkata bukan mudah bagi lapangan terbang Pulau Pinang mempunyai landasan kedua memandangkan kilang-kilang terletak berhampirannya, sambil menambah bahawa cadangan penambakan laut untuk memanjangkan landasan itu sebagai "lebih mudah bercakap daripada melakukannya".
"Penyambungan landasan tidak membantu... peningkatan penerbangan hanya dengan lebih banyak landasan dan tidak memanjangkan yang sedia ada," katanya.
Beliau berkata Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai Jepun di Osaka, yang dibina melalui proses penambakan laut, mengambil kira-kira 10 tahun.
Mukhriz berkata adalah lebih murah untuk membina lapangan terbang di tanah besar dan bukannya melalui penambakan laut, sambil menambah bahawa lebih 600 hektar tanah ladang getah tersedia di Kulim untuk lapangan terbang yang dicadangkan itu yang boleh mempunyai sehingga empat landasan.
Beliau berkata lapangan terbang itu, jika diluluskan oleh kerajaan persekutuan, boleh menjadi lapangan terbang serantau, untuk menampung kawasan di selatan Thailand. – Bernama, 2
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pembinaan-lapangan-terbang-di-kulim-dijangka-rm1.6-bilion-kata-mukhriz#sthash.yRe3Xk4E.dpuf
PDRM bertegas dalam membenteras isu perdagangan manusia
Polis DiRaja Malaysia (PDRM) tegas dalam melaksanakan pelbagai langkah yang perlu bagi membanteras isu pemerdagangan manusia di negara ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Namun, katanya PDRM memerlukan kerjasama daripada semua pihak untuk menjayakan usaha itu dengan lebih berkesan tanpa menjejaskan imej negara.
Ketika diminta mengulas Laporan Pemerdagangan Manusia 2014 oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat yang dikeluarkan di Washington DC pada 20 Jun lepas, beliau berkata pelbagai perkara perlu diperincikan bagi melihat jika ada kelemahan yang boleh dibaiki.
"Ini laporan satu negara sahaja tetapi bagi pihak polis, kita ada langkah untuk bendung pemerdagangan manusia," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.
Khalid ditemui selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan PDRM bagi pelaksanaan penawaran program akademik peringkat sarjana muda dan diploma kepada pegawai dan anggota polis.
Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat itu meletakkan Malaysia pada Senarai Pemerhatian Tahap 3 daripada kedudukan sebelum ini di Tahap 2.
Wisma Putra dalam satu kenyataan Ahad menyatakan rasa kesalnya terhadap laporan itu kerana Malaysia amat serius dan komited dalam usahanya menangani pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran.
Sementara itu, Khalid berkata polis akan terus memperketat kawalan di sempadan negara bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin berikutan berlakunya kes penyeludupan warga asing dipercayai menggunakan Lebuhraya Pantai Timur baru-baru ini.
Pihaknya akan memberi tumpuan utama pada tahap pengawasan di sempadan negara termasuk di Sabah bagi mencegah kegiatan penyeludupan atau penculikan berulang.
"Untuk Sabah, kita akan tambah lebih ramai anggota untuk mengawal di kawasan sempadan selain menambah peralatan keselamatan bagi memastikan tiada kegiatan penyeludupan atau penculikan berulang," katanya
Langgan:
Ulasan (Atom)






