Sabtu, 17 Mei 2014

Kerajaan Kedah akan bangunkan Rubber City di Bukit Ketapang

Kerajaan negeri Kedah telah mengenal pasti tanah seluas lebih 400 hektar di Bukit Ketapang dekat sini untuk dibangunkan dengan projek 'Rubber City', kata Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir. Katanya ketika ini pihaknya merasakan kawasan tanah kosong itu merupakan tapak paling sesuai untuk dilaksanakan projek itu kerana ia merupakan kawasan rata dan berhampiran dengan populasi. "Perbincangan sedang dijalankan dengan syarikat Tradewinds untuk mengusahakan projek itu. Saya rasa kerajaan Persekutuan akan membantu dalam pembinaan infrastruktur seperti jalan serta bekalan air dan api," katanya kepada pemberita selepas majlis Kenduri Rakyat di Sungai Kampung Mani, di sini Sabtu. Beliau berkata banyak pelabur dalam dan luar negeri berminat dengan projek tersebut. Selain kawasan ladang getah, 'Rubber City' itu juga akan mempunyai institusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan industri getah, katanya. Katanya usaha kerajaan negeri itu menjadi tarikan kepada syarikat pengeluar kerana mereka boleh mengguna pakai inovasi terbaru daripada institusi penyelidikan dan pembangunan itu. "Antara syarikat yang minat adalah dalam pengeluaran tayar. Banyak inovasi baharu dilakukan dalam pengeluaran tayar. Banyak juga hak intelek yang dikeluarkan institusi penyelidikan di Malaysia berkaitan bahan getah yang boleh guna untuk pengeluaran tayar," katanya. Katanya beliau yakin projek 'Rubber City' akan menerima pelaburan dalam masa dua atau tiga tahun ini. Berucap pada majlis itu, Mukhriz mengumumkan peruntukan RM350,000 bagi pembinaan gabion (batu dalam sangkar) sepanjang 200 meter di Sungai Kampung Mani. Mukhriz menghadiri program turun padang ke daerah Padang Terap selama dua hari bermula hari ini bagi mengenal pasti isu-isu berbangkit di daerah berkenaan. Program hari ini dimulakan dengan program sarapan pagi di gerai berhampiran Majlis Daerah Padang Terap di sini diikuti dengan tinjauan mesra di pekan sehari. Beliau kemudian menghadiri program "Bicycle Fun Ride" di Carok Batang Padi, berdekatan Tasik Pedu. Para peserta program itu mengayuh basikal sejauh 27 km dari pekan Kuala Nerang ke Carok Batang Padi. Program berbasikal itu diadakan bagi mendedahkan para peserta dengan keindahan daerah Padang Terap dan mempromosikan pelancongan dalam negeri. -- BERNAMA

Presiden Gerakan Mah Siew Keong calon BN PRK Teluk Intan

Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong, 53, dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, 31 Mei ini. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa mengumumkan perkara tersebut berkata bekas ahli Parlimen Teluk Intan itu adalah pilihan yang sesuai kerana telah lama berkecimpung dalam politik dan mengenali hati pengundi di kawasan itu. "Walaupun pada pilihan raya (umum) lepas beliau mengalami kekalahan, (dan) saya fikir ini adalah kebangkitan semula parti Gerakan," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan calon BN serta melancarkan jentera BN bagi PRK Parlimen Teluk Intan di sini, Sabtu. Mah, anak jati Teluk Intan pernah menjadi anggota Parlimen Teluk Intan pada Pilihan Raya Umum 1999 dan 2004. Bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu adalah lulusan ijazah sarjana muda sains dari London School of Economic dan sarjana dalam bidang pembuatan dari City University London, serta ijazah perundangan (LLB) dengan kepujian dari University of East, London. PRK Parlimen Teluk Intan diadakan berikutan kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 48, akibat kanser pada 1 Mei lepas. Muhyiddin berharap lebih 60,000 pengundi di Parlimen Teluk Intan akan memberi peluang kepada Mah untuk menjadi wakil mereka kerana beliau adalah calon tempatan yang dikenali dan mengetahui isu dan permasalahan penduduk kawasan itu. "Kita percaya di peringkat negeri di bawah pimpinan Menteri Besar (Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir) adalah lebih mudah jika wakil rakyat daripada BN. "(Jika) Mah di peringkat Parlimen, hubungan dengan kerajaan pusat akan akrab, ini akan memberi kelebihan kepada beliau untuk atasi masalah penduduk di sini," katanya. Ditanya mengenai peluang BN merampas kerusi Parlimen Teluk Intan daripada DAP yang menang dengan majoriti 7,313 undi pada Pilihan Raya Umum 2013, Muhyiddin berkata: "Saya rasa kalau semua anggota BN bergerak untuk menemui setiap pengundi, kita yakin boleh mencapai kemenangan." Beliau berkata BN mengetahui kekuatan serta kelemahan di setiap pusat daerah mengundi berdasarkan keputusan pilihan raya umum lepas. "Kita letakkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) iaitu sasaran realistik supaya jentera parti yang bergerak di setiap peringkat tahu apa matlamatnya dan berapa ramai pengundi harus mereka dapatkan di kawasan itu," katanya. Ditanya mengenai sokongan pengundi Cina, Muhyiddin berkata BN berharap akan berlaku berubahan yang ketara seperti PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang. "(Di DUN Kajang) sudah ada anjakan positif dari sokongan masyarakat Cina kepada kepimpinan MCA yang baharu di bawah Liow (Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai), saya jangka hal yang sama akan berlaku di sini, walaupun tahu itu satu cabaran," katanya. Berhubung DAP yang meletakkan calon wanita, Dyana Sofya Mohd Daud pada PRK Teluk Intan, Muhyiddin berkata: "Saya tidak mahu perkecilkan calon mereka. Nanti ada pihak kata kita menidakkan kaum wanita," katanya. Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berkata PRK ini sekali lagi akan menjadi platform pembangkang untuk membuat tohmahan termasuk membangkitkan isu seperti ekonomi, kos sara hidup dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP). Muhyiddin berkata semua perkara yang akan dibangkitkan oleh pembangkang akan dijelaskan secara terperinci kepada rakyat supaya mereka tidak terpedaya dengan helah pembangkang. Beliau berharap dalam tempoh yang singkat ini, jentera BN dapat bergerak sepanjang masa bagi memastikan kemenangan calon yang dipilih. Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Seah, 48, menewaskan calon Barisan Nasional Datuk Mah Siew Keong dan calon bebas Moralingam Kannan dengan majoriti 7,313 undi. Penamaan calon bagi PRK Parlimen Teluk Intan ditetapkan pada 19 Mei ini dengan disusuli pengundian awal pada 27 Mei serta hari pengundian 31 Mei.

Khamis, 15 Mei 2014

PRK Teluk Intan: Wanita BN kekalkan tradisi kempen rumah ke rumah

Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang cerah untuk kembali 'menakluki' Parlimen Teluk Intan sekaligus menepis dakwaan kononnya kawasan itu kubu pembangkang, kata Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Beliau berkata ini berdasarkan analisis pergerakan itu terhadap keputusan pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut, Sungai Limau dan Kajang yang menunjukkan berlaku peningkatan sokongan para pengundi kepada BN termasuk kawasan peti undi yang diandaikan milik pembangkang. "Analisis yang merekodkan trend positif itu terus menjadi semangat dan kekuatan kepada Pergerakan Wanita BN untuk bekerja keras bagi merealisasikan kemenangan parti untuk kerusi Parlimen Teluk Intan," katanya kepada pemberita sebelum bermesyuarat bersama-sama jentera Wanita BN Parlimen Teluk Intan di sini Khamis. Bagi menghadapi cabaran di Teluk Intan, beliau berkata Wanita BN mengekalkan strategi tradisi yang menjadi kekuatan mereka untuk meraih sokongan pengundi iaitu melalui pendekatan turun ke setiap rumah serta sentuhan dari hati ke hati. Pendekatan itu digerakkan jentera Wanita BN bukan hanya untuk mendapat sokongan golongan wanita malah ia juga berkesan untuk semua lapisan pengundi, katanya. "Sama ada pilihan raya umum atau pilihan raya kecil, Wanita BN tidak pernah mengamalkan sikap sambil lewa. Kami tetap terus pergi rumah ke rumah dan bercerita mengapa pemilih patut mengundi BN...sentuhan Wanita ini adalah nadi BN," katanya. Shahrizat yang juga Ketua Pergerakan Wanita Umno berkata BN berharap pengundi memberi peluang kepada parti itu di Teluk Intan selepas pembangkang yang cuba membawa perubahan gagal menunaikan janji mereka. Beliau berkata kemenangan BN di Teluk Intan merupakan kesinambungan kemantapan kerajaan negeri dan pusat yang dipimpin oleh parti itu. "Pengundi di Teluk Intan memerlukan kepimpinan BN kerana banyak janji pembangkang yang tidak ditunaikan. Ini peluang kepada masyarakat Teluk Intan untuk menentukan janji pembangunan pembangkang itu diambil alih oleh BN," katanya. Pilihan raya kecil Teluk Intan diadakan berikutan kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 48, akibat kanser pada 1 Mei lepas. Pada pilihan raya umum Ke-13, Seah menewaskan calon BN Datuk Mah Siew Keong dan calon Bebas Moralingam Kannan dengan majoriti 7,313 undi. ` Penamaan calon bagi PRK Parlimen Teluk Intan ditetapkan pada 19 Mei disusuli dengan hari pengundian awal pada 27 Mei serta hari pengundian 31 Mei.

Ahmad Said ikrar sokong penuh MB baru

Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata beliau akan memberi sokongan penuh kepada penggantinya, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman. Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu berkata beliau akan membantu Ahmad Razif selagi berkhidmat sebagai wakil rakyat. "Saya akan jaga kawasan Kemaman dan kawasan saya. Kalau dulu saya jaga seluruh negeri, sekarang saya jaga Kemamanlah. Saya akan bantu," kata Ahmad pada sidang media di kediamannya di Teluk Kalong di sini. Ahmad, 57, berkata beliau akan terus berbakti kepada Umno bersandarkan penglibatannya yang cukup lama dalam parti itu, sejak berusia 19 tahun. "Saya akan bantu. Anda bayangkan masa dulu kita kalah (dalam pemerintahan PAS 1999-2004), saya jelajah satu negeri untuk memenangkan Umno, beri ceramah siang malam," katanya. Mengenai tanggapan sesetengah pihak yang melihatnya sebagai pengkhianat Umno, Ahmad menegaskan: "Soal pengkhianat tak timbul. Ini soal perjuangan...kerana sayangkan Umno saya kembali semula. Kalau saya pengkhianat, lama dah saya bergabung dengan PAS." Beliau mendakwa ada didatangi beberapa anggota PAS yang memujuknya menyertai parti itu, namun menolak pelawaan berkenaan. Terengganu menjadi tumpuan apabila Ahmad dilaporkan keluar Umno selepas meletak jawatan menteri besar, Isnin lepas. Pada hari yang sama, Ahmad Razif mengangkat sumpah sebagai menteri besar yang baharu. Susulan itu, ADUN Ajil Ghazali Taib dan ADUN Bukit Besi Roslee Daud juga dilaporkan keluar Umno dan menjadi wakil Bebas. Bagaimanapun Roslee dilaporkan telah kembali kepada Umno pada Selasa, disusuli Ahmad dan Ghazali Rabu.

Krisis Terengganu pengajaran buat kepimpinan negeri-PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kemelut politik Terengganu sebagai satu pengajaran yang memberi kesempatan untuk memperkukuh barisan kepimpinan Barisan Nasional di negeri itu. Najib yang juga Presiden Umno, berkata perkara itu berpunca daripada komunikasi tidak jelas antara beliau dan bekas Menteri Besar yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Datuk Seri Ahmad Said yang akhirnya berjaya diselesaikan dengan baik. "Perkara ini berlaku kerana ada sedikit tidak faham pada keadaan tertentu tetapi kita leraikan dalam masa yang singkat. "Saya harap apa yang dilalui sebagai satu pengajaran dan satu kesempatan bagi kita memperkukuh barisan kepimpinan di Terengganu supaya lebih bersatu dan lebih mantap untuk terus berjuang dan memastikan sokongan rakyat kepada BN terus meningkat," katanya pada sidang media di sini Khamis. Sebelum itu, beliau merasmikan Auto Forum 2014 Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Ahmad pada Isnin lepas meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu bagi membolehkan pelantikan menteri besar baharu. Pada sebelah malamnya Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air negeri Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dilantik dan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin. Ahmad pada hari yang sama kemudian mengumumkan keluar Umno dan menjadi Adun Bebas diikuti dengan Adun Ajil Ghazali Taib dan Adun Bukit Besi Roslee Daud. Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka kembali ke pangkuan Umno dan isu itu dianggap selesai semalam. Najib mengucapkan penghargaan kepada Ahmad, Ghazali dan Roslee atas semangat yang mereka tunjukkan iaitu meletakkan kepentingan parti daripada segala-galanya. "Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kesemua Adun BN Terengganu yang telah melafazkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada saya dan Ahmad Razif," katanya. Najib berkata beliau juga akan menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan Ahmad pada Sabtu ini di Teluk Kalong, Kemaman. Ditanya mengenai apa yang membuatkan Ahmad kembali ke pangkuan Umno, Najib berkata kemelut itu selesai dengan baik apabila beliau mendengar penjelasan sebenar daripada Ahmad melalui perbualan telefon. "Memang tarikh kenduri tidak dimaklumkan kepada saya dan (Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden (Umno) Tan Sri Muhyiddin Yassin. "Kami berdua fikir bahawa kenduri pada 10 Mei lalu sudah selesai. Kami tidak diberitahu pada Sabtu ini ada satu lagi majlis. "Inilah menjadi punca berikutan komunikasi tidak jelas...semua ini dapat diatasi apabila mendengar penjelasan sebenarnya," katanya. Najib berkata Ahmad juga memaklumkan bahawa beliau terlalu cinta pada Umno dan tidak boleh tinggalkan parti tunjang BN itu. "Saya hendak melahirkan penghargaan saya kepada beliau dan selepas ini kita terus berjuang bersama," kata perdana menteri. Najib mengakui pada mula-mula beliau terperanjat mendengar khabar mengenai tindakan Ahmad untuk keluar parti. "Saya rasa bahawa pada kesudahannya beliau akan sedar bahawa sebagai anggota parti, kita tertakluk pada disiplin parti dan kita mesti meletakkan kepentingan parti mengatasi segala-galanya," katanya. Apabila ditanya kemelut politik Terengganu akan menjadi panduan bagi Umno menghadapi cabaran pada masa akan datang, Najib berkata setiap situasi berbeza. "Yang penting adalah memastikan nilai disiplin dalam parti dan ini mesti kita pelihara dan perkukuhkan. "Mana-mana parti tidak ada disiplin, tidak akan berjaya," katanya.

Rabu, 14 Mei 2014

Keputusan mengantikan Ahmad Said sudah lama dibuat-Ahmad Maslan

Keputusan menggantikan Datuk Seri Ahmad Said dengan Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu sudah lama dibuat, kata Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan. Katanya notis yang diberikan kepada Ahmad Said untuk berundur adalah terlalu panjang dan ia bukanlah tindakan terburu-buru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Justeru, katanya tidak sepatutnya timbul isu-isu tentang ketidakprihatinan perdana menteri terhadap Ahmad Said berkenaan majlis perkahwinan anaknya baru-baru ini. "Kita terima jemputan perkahwinan anak Datuk Ahmad Said pada 10 Mei di Kuala Terengganu. Pada 17 Mei itu adalah kenduri menyambut menantu, dan bukanlah kenduri yang pertama. "Satu lagi, perkara ini sudah diberitahu lama, sebenarnya kita boleh sesuaikan tarikh-tarikh untuk program peribadi kita, supaya tidak timbul spekulasi seperti yang terjadi baru-baru ini," katanya kepada pemberita selepas Taklimat Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di sini, Rabu. Ahmad Maslan berharap agar Ahmad Said, yang turut disifatkan sebagai sahabatnya, kembali kepada rasional dan jangan terlalu mengikut emosi. "Kita melaksanakan kerja untuk rakyat dan janganlah kepentingan peribadi mengatasi kepentingan parti dan janganlah kepentingan jawatan mengatasi kepentingan perjuangan," katanya. Mengulas mengenai kesan negatif kepada Barisan Nasional daripada isu ini, Ahmad Maslan berkata kesan tersebut tidak terlalu ketara kerana isu ini dapat diselesaikan dalam tempoh kurang daripada 48 jam sahaja. "Kesan negatif memang ada, tetapi kurang. Sekiranya masalah ini berlanjutan hingga dua minggu misalannya, mungkin kesan negatifnya akan lebih ketara. "Namun, ia hanya bertahan untuk tempoh 48 jam sahaja, maka saya kira ia tidak akan memberikan kesan yang besar (kepada parti)," katanya. Beliau turut berharap semua pemimpin, terutamanya di peringkat bahagian, parlimen dan Dewan Undangan Negeri supaya memberi sokongan dan kepercayaan menteri besar yang baharu. -- BERNAMA

Ahmad Said tarik balik surat keluar UMNO, mohon maaf kepada PM

Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said telah memohon maaf kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berikutan keputusannya keluar daripada Umno, dalam satu pertemuan di Putrajaya, Rabu. Exco Pelancongan dan Kebudayaan Terengganu Datuk Mohd Jidin Shafee berkata dalam pertemuan itu, Ahmad turut menarik balik surat keluar daripada Umno, serta peletakan jawatannya di dalam parti. Ahmad, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, turut berjanji dengan perdana menteri untuk menyokong penuh pucuk pimpinan negeri diterajui Menteri Besar yang baharu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman, kata Mohd Jidin kepada Bernama ketika dihubungi menerusi telefon di sini Rabu. Beliau berkata Adun Ajil Ghazali Taib, yang sebelum ini turut mengambil keputusan keluar daripada parti, memohon maaf kepada Najib, dan menarik balik surat itu. Mohd Jidin berkata Ahmad dan Ghazali melahirkan rasa kesal mereka ekoran tindakan secara terburu-buru itu. "Sehubungan itu, kita 17 Adun (BN) telah bersepakat untuk terus memimpin negeri Terengganu tanpa ada masalah. "Yang lepas biarlah lepas. Jangan kita ambil kisah lagi. Kita perlu terus bersatu demi perpaduan parti kita," kata Mohd Jidin. Awal pagi semalam, Ahmad dan Ghazali mengumumkan keputusan untuk keluar daripada Umno dan menjadi wakil rakyat bebas. Pada Isnin, Ahmad meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu untuk memberi laluan kepada Ahmad Razif, yang juga Adun Seberang Takir, mengambil alih jawatan itu daripada beliau.