Khamis, 15 Mei 2014
Ahmad Said ikrar sokong penuh MB baru
Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata beliau akan memberi sokongan penuh kepada penggantinya, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu berkata beliau akan membantu Ahmad Razif selagi berkhidmat sebagai wakil rakyat.
"Saya akan jaga kawasan Kemaman dan kawasan saya. Kalau dulu saya jaga seluruh negeri, sekarang saya jaga Kemamanlah. Saya akan bantu," kata Ahmad pada sidang media di kediamannya di Teluk Kalong di sini.
Ahmad, 57, berkata beliau akan terus berbakti kepada Umno bersandarkan penglibatannya yang cukup lama dalam parti itu, sejak berusia 19 tahun.
"Saya akan bantu. Anda bayangkan masa dulu kita kalah (dalam pemerintahan PAS 1999-2004), saya jelajah satu negeri untuk memenangkan Umno, beri ceramah siang malam," katanya.
Mengenai tanggapan sesetengah pihak yang melihatnya sebagai pengkhianat Umno, Ahmad menegaskan: "Soal pengkhianat tak timbul. Ini soal perjuangan...kerana sayangkan Umno saya kembali semula. Kalau saya pengkhianat, lama dah saya bergabung dengan PAS."
Beliau mendakwa ada didatangi beberapa anggota PAS yang memujuknya menyertai parti itu, namun menolak pelawaan berkenaan.
Terengganu menjadi tumpuan apabila Ahmad dilaporkan keluar Umno selepas meletak jawatan menteri besar, Isnin lepas.
Pada hari yang sama, Ahmad Razif mengangkat sumpah sebagai menteri besar yang baharu.
Susulan itu, ADUN Ajil Ghazali Taib dan ADUN Bukit Besi Roslee Daud juga dilaporkan keluar Umno dan menjadi wakil Bebas.
Bagaimanapun Roslee dilaporkan telah kembali kepada Umno pada Selasa, disusuli Ahmad dan Ghazali Rabu.
Krisis Terengganu pengajaran buat kepimpinan negeri-PM
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kemelut politik Terengganu sebagai satu pengajaran yang memberi kesempatan untuk memperkukuh barisan kepimpinan Barisan Nasional di negeri itu.
Najib yang juga Presiden Umno, berkata perkara itu berpunca daripada komunikasi tidak jelas antara beliau dan bekas Menteri Besar yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Datuk Seri Ahmad Said yang akhirnya berjaya diselesaikan dengan baik.
"Perkara ini berlaku kerana ada sedikit tidak faham pada keadaan tertentu tetapi kita leraikan dalam masa yang singkat.
"Saya harap apa yang dilalui sebagai satu pengajaran dan satu kesempatan bagi kita memperkukuh barisan kepimpinan di Terengganu supaya lebih bersatu dan lebih mantap untuk terus berjuang dan memastikan sokongan rakyat kepada BN terus meningkat," katanya pada sidang media di sini Khamis.
Sebelum itu, beliau merasmikan Auto Forum 2014 Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Ahmad pada Isnin lepas meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu bagi membolehkan pelantikan menteri besar baharu.
Pada sebelah malamnya Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air negeri Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dilantik dan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.
Ahmad pada hari yang sama kemudian mengumumkan keluar Umno dan menjadi Adun Bebas diikuti dengan Adun Ajil Ghazali Taib dan Adun Bukit Besi Roslee Daud.
Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka kembali ke pangkuan Umno dan isu itu dianggap selesai semalam.
Najib mengucapkan penghargaan kepada Ahmad, Ghazali dan Roslee atas semangat yang mereka tunjukkan iaitu meletakkan kepentingan parti daripada segala-galanya.
"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kesemua Adun BN Terengganu yang telah melafazkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada saya dan Ahmad Razif," katanya.
Najib berkata beliau juga akan menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan Ahmad pada Sabtu ini di Teluk Kalong, Kemaman.
Ditanya mengenai apa yang membuatkan Ahmad kembali ke pangkuan Umno, Najib berkata kemelut itu selesai dengan baik apabila beliau mendengar penjelasan sebenar daripada Ahmad melalui perbualan telefon.
"Memang tarikh kenduri tidak dimaklumkan kepada saya dan (Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden (Umno) Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Kami berdua fikir bahawa kenduri pada 10 Mei lalu sudah selesai. Kami tidak diberitahu pada Sabtu ini ada satu lagi majlis.
"Inilah menjadi punca berikutan komunikasi tidak jelas...semua ini dapat diatasi apabila mendengar penjelasan sebenarnya," katanya.
Najib berkata Ahmad juga memaklumkan bahawa beliau terlalu cinta pada Umno dan tidak boleh tinggalkan parti tunjang BN itu.
"Saya hendak melahirkan penghargaan saya kepada beliau dan selepas ini kita terus berjuang bersama," kata perdana menteri.
Najib mengakui pada mula-mula beliau terperanjat mendengar khabar mengenai tindakan Ahmad untuk keluar parti.
"Saya rasa bahawa pada kesudahannya beliau akan sedar bahawa sebagai anggota parti, kita tertakluk pada disiplin parti dan kita mesti meletakkan kepentingan parti mengatasi segala-galanya," katanya.
Apabila ditanya kemelut politik Terengganu akan menjadi panduan bagi Umno menghadapi cabaran pada masa akan datang, Najib berkata setiap situasi berbeza.
"Yang penting adalah memastikan nilai disiplin dalam parti dan ini mesti kita pelihara dan perkukuhkan.
"Mana-mana parti tidak ada disiplin, tidak akan berjaya," katanya.
Rabu, 14 Mei 2014
Keputusan mengantikan Ahmad Said sudah lama dibuat-Ahmad Maslan
Keputusan menggantikan Datuk Seri Ahmad Said dengan Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu sudah lama dibuat, kata Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.
Katanya notis yang diberikan kepada Ahmad Said untuk berundur adalah terlalu panjang dan ia bukanlah tindakan terburu-buru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Justeru, katanya tidak sepatutnya timbul isu-isu tentang ketidakprihatinan perdana menteri terhadap Ahmad Said berkenaan majlis perkahwinan anaknya baru-baru ini.
"Kita terima jemputan perkahwinan anak Datuk Ahmad Said pada 10 Mei di Kuala Terengganu. Pada 17 Mei itu adalah kenduri menyambut menantu, dan bukanlah kenduri yang pertama.
"Satu lagi, perkara ini sudah diberitahu lama, sebenarnya kita boleh sesuaikan tarikh-tarikh untuk program peribadi kita, supaya tidak timbul spekulasi seperti yang terjadi baru-baru ini," katanya kepada pemberita selepas Taklimat Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di sini, Rabu.
Ahmad Maslan berharap agar Ahmad Said, yang turut disifatkan sebagai sahabatnya, kembali kepada rasional dan jangan terlalu mengikut emosi.
"Kita melaksanakan kerja untuk rakyat dan janganlah kepentingan peribadi mengatasi kepentingan parti dan janganlah kepentingan jawatan mengatasi kepentingan perjuangan," katanya.
Mengulas mengenai kesan negatif kepada Barisan Nasional daripada isu ini, Ahmad Maslan berkata kesan tersebut tidak terlalu ketara kerana isu ini dapat diselesaikan dalam tempoh kurang daripada 48 jam sahaja.
"Kesan negatif memang ada, tetapi kurang. Sekiranya masalah ini berlanjutan hingga dua minggu misalannya, mungkin kesan negatifnya akan lebih ketara.
"Namun, ia hanya bertahan untuk tempoh 48 jam sahaja, maka saya kira ia tidak akan memberikan kesan yang besar (kepada parti)," katanya.
Beliau turut berharap semua pemimpin, terutamanya di peringkat bahagian, parlimen dan Dewan Undangan Negeri supaya memberi sokongan dan kepercayaan menteri besar yang baharu.
-- BERNAMA
Ahmad Said tarik balik surat keluar UMNO, mohon maaf kepada PM
Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said telah memohon maaf kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berikutan keputusannya keluar daripada Umno, dalam satu pertemuan di Putrajaya, Rabu.
Exco Pelancongan dan Kebudayaan Terengganu Datuk Mohd Jidin Shafee berkata dalam pertemuan itu, Ahmad turut menarik balik surat keluar daripada Umno, serta peletakan jawatannya di dalam parti.
Ahmad, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, turut berjanji dengan perdana menteri untuk menyokong penuh pucuk pimpinan negeri diterajui Menteri Besar yang baharu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman, kata Mohd Jidin kepada Bernama ketika dihubungi menerusi telefon di sini Rabu.
Beliau berkata Adun Ajil Ghazali Taib, yang sebelum ini turut mengambil keputusan keluar daripada parti, memohon maaf kepada Najib, dan menarik balik surat itu.
Mohd Jidin berkata Ahmad dan Ghazali melahirkan rasa kesal mereka ekoran tindakan secara terburu-buru itu.
"Sehubungan itu, kita 17 Adun (BN) telah bersepakat untuk terus memimpin negeri Terengganu tanpa ada masalah.
"Yang lepas biarlah lepas. Jangan kita ambil kisah lagi. Kita perlu terus bersatu demi perpaduan parti kita," kata Mohd Jidin.
Awal pagi semalam, Ahmad dan Ghazali mengumumkan keputusan untuk keluar daripada Umno dan menjadi wakil rakyat bebas. Pada Isnin, Ahmad meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu untuk memberi laluan kepada Ahmad Razif, yang juga Adun Seberang Takir, mengambil alih jawatan itu daripada beliau.
Selasa, 13 Mei 2014
Kerajaan BN masih kekal takbir Terengganu- MB
Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman menegaskan Barisan Nasional (BN) masih kekal mentadbir negeri itu dengan majoriti 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau berkata setakat ini, Speaker DUN Terengganu Mohd Zubir Embong masih belum menerima secara rasmi surat yang memaklumkan tiga Adun BN itu mengisytiharkan diri mereka sebagai wakil rakyat bebas.
"Perkara itu masih belum sahih...kita masih dalam keadaan stabil (17 kerusi), BN masih memerintah...apa yang berlaku ada yang tersirat dan akan menguatkan lagi kepimpinan kerajaan Terengganu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memulakan tugas rasmi pertamanya sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu dengan mengetip kad perakam waktu pada 7.43 pagi ini.
Ahmad Razif juga berkata beliau bersama kesemua 16 Adun BN Terengganu yang lain akan mengadakan perjumpaan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.
Ditanya sama ada tiga Adun terbabit turut serta dalam perjumpaan bersama Perdana Menteri itu, Ahmad Razif bagaimanapun berkata beliau tidak tahu dan secara peribadi, masih belum berjumpa dengan tiga Adun terbabit.
Awal pagi semalam, tiga Adun BN mengisytihar keluar daripada Umno untuk menjadi wakil rakyat bebas selepas pelantikan Ahmad Razif sebagai Menteri Besar baharu.
Tiga Adun berkenaan ialah bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said (Kijal), Ghazali Taib (Ajil) dan Roslee Daud (Bukit Besi).
Bagaimanapun, Roslee menarik balik perisytiharan keluar Umno dan kembali menjadi wakil rakyat BN dan perkara itu disahkan Exco Pelancongan dan Kebudayaan negeri Datuk Mohd Jidin Shafee.
Ditanya apa tindakan beliau dalam menangani kemelut politik di negeri itu, beliau menegaskan akan menyelesaikan perkara itu secepat mungkin sekali gus menepis pelbagai persepsi dalam kalangan rakyat untuk memastikan kelancaran pentadbiran di Terengganu berjalan seperti biasa.
-- BERNAMA
Krisis Terengganu- Rakyat diminta bertenang BN masih lagi memerintah
Pemimpin dan anggota Barisan Nasional (BN) diminta bertenang berikutan perkembangan terbaru politik di Terengganu kerana parti itu masih kekal memerintah kerajaan negeri, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
shafie-apdal-semporna-sabah-menteri-naib-presiden-umno-bn
Beliau berkata anggota BN perlu berdiri teguh dengan kepimpinan Menteri Besar Terengganu yang baharu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman bagi memastikan kekuatan parti untuk memerintah kerajaan Terengganu dapat dipertingkatkan.
“Dari segi perlembagaan, kita (BN) masih lagi kerajaan di situ dan sudah ada pengganti selaku Menteri Besar. Selagi tiada makluman daripada (Speaker) Dewan Undangan Negeri (DUN) atau tuanku, keadaan masih lagi O.K.,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir di kediaman beliau di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan tiga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk bekas menteri besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said keluar parti dan menjadi wakil Bebas.
Mohd Shafie berkata kerajaan BN masih kekal memerintah negeri Terengganu apabila speaker DUN turut dikira bersama 14 Adun BN yang masih tinggal, selepas tiga Adun keluar parti dan menjadi wakil Bebas.
Mohd Shafie berkata Ahmad yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal bersama Adun Ajil Ghazali Taib serta Adun Bukit Besi Roslee Daud masih tidak menyatakan pendirian mereka sama ada menyokong BN atau sebaliknya.
“Perlu ada penjelasan…tidak bererti mereka masuk Bebas mereka sokong pembangkang. Perlu ada pernyataan atau makluman kepada pihak istana, barulah istana yakin bahawa keadaan itu dah diperakukan,” katanya.
Mengenai persefahaman antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Ahmad berhubung peletakan jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu, Shafie berkata persefahaman itu telah wujud sejak setahun lalu.
“Ada persefahaman antara Perdana Menteri dengan Ahmad Said di peringkat awal iaitu persefahaman untuk membolehkan supaya melanjutkan pelantikan beliau (Ahmad) menjadi Menteri Besar Terengganu.
“Waktu itu ada pergolakan di Terengganu, keadaan itu agak membimbangkan, ada yang setuju ada yang tak setuju, bagi mengelakkan keadaan itu tidak berlarutan, maka dah dipersetujui supaya dilanjutkan sehingga setahun. Saya yakin Ahmad Said faham tentang perkara ini,” katanya.
Beliau menegaskan khabar angin kononnya DUN Terengganu dibubarkan adalah tidak benar sambil meminta masyarakat tidak mudah mempercayai maklumat yang tiada kesahihannya.
“Tanggapan itu tidak benar seperti yang dinafikan speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu (Mohd Zubir Embong). Saya pasti ada orang ambil peluang untuk membuat sesuatu yang boleh melemahkan kekuatan BN di Terengganu,” katanya.
Mengenai laman sosial heboh mengatakan bahawa perkembangan terbaru politik di Terengganu mempunyai persamaan dengan Perak yang berlaku sebelum ini, Shafie sama sekali mengatakan bahawa apa yang berlaku di kedia-dua negeri itu adalah berbeza.
“Di Perak lain di Terengganu lain kerana di Terengganu persefahaman di antara Perdana Menteri dengan bekas Menteri Besar Terengganu manakala di Perak krisis berlaku di antara BN dengan pembangkang,” katanya.
Speaker DUN Terengganu nafi bubar Dewan Undangan Negeri
Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu, Mohd Zubir Embong hari ini menafikan khabar angin kononnya dewan undangan negeri dibubarkan berikutan perkembangan politik terbaru di negeri ini.
Dewan Undangan negeri hanya boleh dibubarkan selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, katanya.
"Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mesti menghadap Tuanku Sultan untuk memperkenankan pembubaran Dun Terengganu dan setakat ini ia masih belum berlaku.
"Bagaimana nak bubarkan Dun, sedangkan saya sebagai Speaker Dun pun masih belum terima sebarang surat untuk membubarkannya," katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.
Khabar angin tersebar luas melalui SMS dan aplikasi Whatsapp kononnya Dun Terengganu dibubarkan secara rasmi hari ini dan pilihan raya negeri Terengganu akan diadakan dalam masa 60 hari.
Mohd Zubir turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak sahih bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
Khabar angin tersebar selepas bekas menteri besar Terengganu dan anggota DUN Kijal Datuk Seri Ahmad Said dan dua lagi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dari Umno - Ghazali Taib (Ajil) dan Roslee Daud (Bukit Besi)- mengisytiharkan keluar daripada parti dan menjadi wakil Bebas.
Dengan perkembangan terbaru politik itu, wakil BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) kini tinggal 14, PAS (14) dan PKR (1).
Selepas Ahmad meletak jawatan sebagai menteri besar semalam, Adun Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mengangkat sumpah sebagai menteri besar yang baharu malam tadi.BERNAMA
Langgan:
Ulasan (Atom)






