Ahad, 11 Mei 2014
Separuh mesyuarat pemilihan PKR Selangor dibatalkan kerana penipuan
Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima tamparan apabila 12 daripada keseluruhan 22 pemilihan cabang parti itu di Selangor dibatalkan hari ini atas pelbagai sebab termasuk dakwaan wujudnya unsur penipuan dan ketidaktelusan dalam proses pengundian.
Lebih memalukan PKR apabila pemilihan cabang Kuala Selangor, yang merupakan kawasan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut dibatalkan.
Selain Kuala Selangor, pemilihan yang dibatalkan membabitkan cabang Sabak Bernam, Klang, Kota Raja, Shah Alam, Kapar, Sungai Besar, Subang, Hulu Langat, Hulu Selangor, Sepang dan Selayang.
Pembatalan pemilihan cabang Kuala Selangor diumumkan oleh wakil petugas pemilihan cabang itu pada 1.45 tengah hari selepas beberapa anggota parti membuat bantahan berhubung cara ia dikendalikan selain terdapat dakwaan ada wakil calon menandakan kertas undi yang sepatutnya ditanda pengundi sendiri.
Situasi sama turut berlaku di PKR Cabang Kota Raja apabila pemilihannya terpaksa dibatalkan ketika proses pengundian apabila sekumpulan lelaki bertindak merampas peti undi dan melemparkannya ke lantai dewan pusat pengundian di Dewan Kompleks Sukan MPK.
Pembatalan pemilihan cabang itu diumumkan oleh wakil jawatankuasa pemilihan pusat (JPP) parti, Nadarajan K. Raju kira-kira 4.30 petang ini atas alasan peti undi dipecahkan.
Selain itu, pemilihan PKR Cabang Klang juga turut dibatalkan apabila tiga calon jawatan ketua cabang berkenaan iaitu P. Krishnasamy, Zudin Asrmad dan
Arahyah Ibrahim sepakat memboikot proses pemilihan itu yang didakwa tidak telus.
Mereka mendakwa wujudnya pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mensabotaj proses pemilihan parti itu di cabang Klang dengan menukarkan senarai calon yang diberikan kepada para pengundi.
Ekoran dakwaan itu, ketiga-tiga calon berkenaan menggesa pemilihan cabang itu dibatalkan sebelum ia diumumkan secara rasmi oleh wakil JPP kira-kira 2.30 petang ini.
Selain itu, pemilihan cabang Sabak Bernam dan Sungai Besar turut dibatalkan masing-masing pada 1 tengah hari dan 3 petang tadi berikutan anggota parti cabang itu tidak berpuas hati dengan proses pemilihan yang didakwa tidak telus serta wujud unsur penipuan.
Pada masa sama, pemilihan PKR bagi cabang Subang, Sepang, Selayang, Hulu Selangor, Kapar dan Hulu Langat turut dibatalkan atas alasan yang sama.
Dalam pada itu, pemilihan PKR Cabang Shah Alam dibatalkan kira-kira 6 petang ini atas dakwaan proses pemilihan lemah selain wujud kertas-kertas undi yang dipinda.
Rata-rata penyokong calon yang bertanding serta pengundi menyuarakan rasa tidak puas hati apabila mengetahui ada segelintir pengundi yang mengundi sebanyak dua kali, malah terdapat calon ketua cabang yang berkempen di kawasan larangan.
Sebelum itu, calon Ketua Cabang PKR Shah Alam Rodziah Ismail dilaporkan mencetuskan rasa tidak puas hati para penyokong lawannya, Yaakop Sapari apabila didakwa berkempen di kawasan larangan serta meraih undi ketika proses pemilihan sedang berlangsung.
Dalam perkembangan lain, kekecohan berlaku ketika proses pemilihan PKR Cabang Kuala Langat apabila sekumpulan lelaki dipercayai anggota parti berang dan mencetuskan kekecohan berikutan tidak puas hati terhadap proses pengundian pemilihan cabang itu di Dewan Wawasan Batu 9, Telok Panglima Garang, lima minit sebelum pusat pengundian ditutup pada 5 petang ini.
Mereka mendakwa proses pengundian cabang berkenaan tidak telus dan bertindak memecahkan sebahagian daripada tujuh peti undi di pusat pengundian tersebut selain cuba mengasari anggota parlimen Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid yang juga calon ketua cabang serta beberapa petugas di pusat pengundian.
Bagaimanapun, pemilihan cabang berkenaan tidak dibatalkan sebaliknya kesemua peti undi dihantar ke Ibu Pejabat PKR di Tropicana, Petaling Jaya untuk proses pengiraan. - Bernama
Pusat tidak pernah abai rakyat Sabah
Kerajaan Persekutuan yang diterajui Barisan Nasional (BN) tidak sekali-kali akan mengabaikan kepentingan rakyat Sabah dalam pelaksanaan pembangunan di negara ini sebaliknya akan memastikan Sabah sentiasa berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan rakyat di negeri-negeri lain.
Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri berkata semenjak Sabah diperintah semula oleh kerajaan BN sejak 20 tahun lalu, pembangunan sosio-ekonomi Sabah dan rakyatnya berjalan begitu pantas malah dengan melihat secara mata kasar pun perubahan peningkatan ekonomi dan pembangunan berkenaan kelihatan begitu ketara.
"Di samping melihat pelbagai projek pembangunan awam dan swasta yang semakin pesat di setiap bandar, nilai hartanah sudah meningkat dengan lebih tinggi malah Sabah berada di tempat ketiga selepas Wilayah Persekutuan dan Selangor dan jauh lebih nilai daripada Sarawak," katanya ketika berucap pada Pesta Kaamatan di Kampung Indah, Pitas yang terletak lebih 100 kilometer dari Kota Kinabalu.
Pada majlis itu, Abdul Rahim yang juga Anggota Parlimen Kudat turut menyampaikan bantuan kepada 350 orang golongan memerlukan bagi menceriakan lagi Pesta Kaamatan pada tahun ini.
Menurut Abdul Rahim, jumlah kenderaan di Sabah juga bertambah dengan pesat sehingga suasana kesesakan lalulintas semakin menjadi fenomena yang kian ketara khususnya dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.
Katanya kualiti hidup rakyat juga semakin meningkat sementara kemudahan pendidikan serta kesihatan semakin baik dan meluas dari setahun ke setahun.
"Suasana yang semakin baik dan menarik pelabur dan pedagang ke Sabah sekarang telah menepis dakwaan sesetengah pihak khususnya pembangkang bahawa Sabah tidak berjaya dan tidak diurus dengan sempurna," katanya.
Justeru, beliau mengingatkan rakyat supaya sentiasa mengamalkan sikap sederhana dan toleransi serta hormat menghormati kerana jelas terbukti bahawa kejayaan negara Malaysia membangunkan negara ini adalah wujud dari semangat perpaduan dan muafakat di kalangan rakyatnya.
Katanya kesepakatan antara rakyat dan kepimpinan negara ini walaupun mereka terdiri daripada pelbagai kaum dan kepercayaan agama telah membawa berkat yang dapat dirasai melalui nikmat pembangunan.
"Rakyat harus menolak apa juga bentuk dan golongan ekstrimisme kerana golongan ini adalah perosak kepada perpaduan dan masa depan negara. Jika kita membiarkan mereka merosakkan negara maka kita sendiri akan memikul tanggungjawab dan merasai akibatnya nanti.
Jangan biarkan nasi menjadi bubur dan sesal kemudian tidak berguna seperti mana yang berlaku kepada banyak negara lain," katanya.
Sambutan hari Ibu harus bagi umat Islam-Mufti Kelantan
Meraikan sambutan Hari Ibu pada Ahad minggu kedua bulan Mei setiap tahun bagi umat Islam adalah harus, kata Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad.
Beliau berkata tidak menjadi satu kesalahan untuk anak-anak meraikan Hari Ibu bagi menghargai jasa insan istimewa itu yang banyak berkorban jiwa dan raga dalam mendidik serta membesarkan anak-anak.
"Mengucapkan Selamat Hari Ibu dan meraikan ibu yang melahirkan kita dan bersusah-payah membesarkan kita, mandikan kita dan membersihkan najis kita semasa kecil, adakah ia satu kesalahan?.
"Perkara yang dilarang dalam Islam adalah menderhaka kepada ibu.
"Kalau kita lakukan sesuatu yang 'harus' dan dapat memberi kegembiraan kepada orang lain termasuk ibu sendiri ia merupakan sedekah dan dikira mendapat pahala," katanya ketika dihubungi Bernama Ahad.
Beliau mengulas dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan haram untuk umat Islam menyambut hari berkenaan kerana meniru perayaan orang Kristian yang menyambut hari 'Mother of Church'.
Sambutan Hari Ibu tahun ini jatuh pada hari ini.
Mohamad Shukri berkata Islam tidak pernah melarang umatnya mencontohi kebaikan orang lain termasuk Barat, namun sebarang perbuatan yang menyerupai upacara keagamaan lain serta bertentangan dengan syariat Islam amat ditegah.
Begitu juga menyambut Hari Ibu, beliau berkata umat Islam perlu memastikan pengisian sambutan itu berlandaskan syariat Islam sebenar, katanya.
"Macam hendak sambut Hari Ibu pun perlu dengan cara yang dibenarkan syarak jangan langgar batas-batas dalam Islam termasuk pergaulan bebas lelaki dan perempuan, ini tidak boleh," katanya.
Mohamad Shukri berkata walaupun tiada suruhan untuk meraikan Hari Ibu di dalam Al-Quran, namun terdapat ayat yang menekankan perlunya umat Islam berbuat baik kepada kedua ibu bapa.
Katanya, Islam meletakkan ibu pada kedudukan tertinggi malah Rasulullah SAW pernah ditanya seorang lelaki seperti hadis bermaksud:
"Ya Rasulullah! Siapakah yang lebih berhak saya berbuat baik?, jawab Rasulullah SAW: Ibumu.
"Lelaki itu bertanya lagi: Kemudian siapa lagi? ujar Baginda: Ibumu.
"Lelaki itu bertanya sekali lagi: Kemudian siapa lagi? Jawab Baginda: Ibumu.
"Lelaki itu bertanya lagi: Siapa lagi? Baginda menjawab: Bapamu".
Sabtu, 10 Mei 2014
Malaysia bukan negara Pak Turut-PM
Malaysia bukan menjadi negara "Pak Turut" hanya kerana mengamalkan dasar berbaik-baik dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China, kata Datuk Seri Najib Razak (gambar).
Perdana menteri berkata Malaysia berpegang kepada prinsip tersendiri dalam mengamalkan dasar luar dan tidak pernah dipengaruhi mana-mana negara.
Beliau turut menolak dakwaan Malaysia seolah-olah dikawal dua kuasa besar dunia itu apabila mempunyai hubungan baik dengan mereka.
"Prinsip kita ialah untuk berbuat baik dengan semua negara berdasarkan kepada pertimbangan apa yang kita fikirkan patut. Kita bukan negara Pak Turut...tak pernah... kita ada pendirian kita yang bebas," katanya dalam program Ruang Bicara Khas Bernama TV Bersama Perdana Menteri.
Program itu disiarkan melalui saluran Astro 502 pada 9 malam ini.
Beliau diminta mengulas lawatan Presiden Amerika Barack Obama ke Kuala Lumpur baru-baru ini serta pandangan kononnya Malaysia dikawal negara itu dan juga China.
Perdana menteri ditemu ramah selama sejam oleh Ketua Pengarang Bernama Datuk Zulkefli Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama TV Datuk Ibrahim Yahaya dan Penolong Pengarang Jamaluddin Muhammad sempena ulang tahun Umno ke-68, di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
Mengenai lawatan Obama, Najib berkata beliau telah menyatakan kepada presiden Amerika itu tentang pendirian kukuh Malaysia yang akan terus memperjuang keadilan dan hak bagi rakyat Palestin yang menderita sejak lebih enam dekad.
"Dalam hal ini, kita tak ada kompromi tentang apa yang kita hendak perjuangkan keadilan dan hak rakyat Palestin, kita teruskan.
"Tetapi ini tidak bermakna kita tidak boleh ada hubungan strategik dengan Amerika Syarikat," katanya.
Lawatan Obama ke Kuala Lumpur hujung bulan lepas adalah yang kedua oleh presiden Amerika dalam tempoh hampir 50 tahun.
Dalam lawatan itu, Najib dan Obama sepakat meningkatkan hubungan dua hala Malaysia-Amerika kepada perkongsian komprehensif yang menandakan fasa baharu dalam hubungan kedua-dua negara termasuk dalam bidang ekonomi, keselamatan dan pendidikan.
KLIA2 tidak pernah mengenakan bayaran RM3 yang dikutip Air Asia
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) hari ini mengulangi kenyataan yang ia tidak mengenakan bayaran RM3.00 di klia2 yang diperkenalkan AirAsia.
Pengendali lapangan terbang itu berkata, jambatan udara dan kemudahan daftar masuk kegunaan umum adalah ciri standard kebanyakan lapangan terbang utama di seluruh dunia.
Semua ini lazimnya dianggap kos operasi biasa kepada syarikat penerbangan, sama seperti utiliti, pengendalian darat, bahan bakar, caj pendaratan atau parkir, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, MAHB berkata, perpindahan AirAsia tidak lancar sepenuhnya dan semua pihak bekerjasama rapat meminimumkan kesulitan yang dihadapi penumpang.
Selepas AirAsia memulakan operasi sepenuhnya di klia2 pada 9 Mei lalu, terminal berkenaan mengendalikan lebih 60,000 penumpang dalam tempoh 24 jam daripada tengah malam 8 Mei sehingga tengah malam 9 Mei.
"Kami telah menghulurkan sokongan dan bantuan segera untuk menyelesaikan masalah dihadapi AirAsia, sama seperti MAHB bekerjasama dengan syarikat penerbangan lain bagi memastikan operasi berjalan lancar," katanya.
MAHB berkata, ia menasihatkan syarikat penerbangan untuk mengkaji perancangan tenaga kerja dan ketersediaan sumber untuk aktiviti pengendalian darat.
Pengendali lapangn terbang itu juga telah menempatkan tenaga kerjanya sendiri bagi membantu syarikat penerbangan dengan banyak aspek operasi, katanya.
MAHB berkata, pertukaran pintu yang terlalu banyak oleh AirAsia memberi kesan kepada banyak penerbangannya serta menimbulkan kesulitan kepada penumpang.
"Kami sedang bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan itu bagi menambah baik saluran komunikasi dan penyelarasan antara kakitangannya dan lapangan terbang.
"Dalam mesyuarat penyelarasan harian dengan AirAsia hari ini, MAHB mengulangi komitmennya untuk membantu AirAsia menangani isu terbabit dan meningkatkan kecekapan operasi keseluruhannya," katanya. – Bernama,
Kementerian Pelancongan perlu jadi badan pengawal selia membenteras kegiatan penipuan pakej umah
Kementerian Pelancongan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan disaran menjadi badan pengawal selia untuk membanteras kegiatan penipuan pakej umrah yang semakin berleluasa.
Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata dua kementerian itu perlu berbincang untuk mencari penyelesaian kepada masalah itu termasuk dengan menyenarai hitam agensi berkaitan. "Sudah sampai masanya titik noktah masalah ini dilakukan kerana Tabung Haji tidak punyai hak kuasa untuk senarai hitam ejen-ejen yang langgar undang-undang.
"Saya harap dua kementerian ini dapat menggembleng tenaga mengatasinya sebab hanya mereka yang boleh menyenarai hitam ejen yang menipu dan menganiaya rakyat tidak berdosa," katanya.
Beliau ditemui selepas dianugerahkan darjah kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran 'Datuk Seri' sempena memuliakan sambutan 40 tahun pemerintahan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar di sini.
Abdul Azeez juga menyarankan Kementerian Pelancongan menghantar pegawainya membuat tinjauan di Makkah, Madinah dan Jeddah untuk mendapatkan maklumat harga hotel, penerbangan dan logistik untuk memudahkan mereka menyenarai hitam ejen pelancongan yang memperdaya orang ramai.
Beliau berkata TH bersedia membantu dua kementerian itu mengedalikan talian bebas tol untuk membolehkan mangsa membuat aduan.
Sambil meminta Kementerian Pelancongan memantau agensi pelancongan yang 'tumbuh bak cendawan', beliau berkata pakej umrah dilaksanakan oleh agensi pelancongan lain kerana TH tidak mampu menguruskannya sendirian setelah memberi tumpuan kepada pengurusan haji yang melibatkan kira-kira 28,000 jemaah.
Abdul Azeez turut mengingatkan umat Islam supaya tidak mudah tertipu dengan tawaran mengerjakan umrah dengan harga antara RM3,000 hingga RM4,000 sebaliknya mendapatkan pandangan dan nasihat percuma di mana-mana cawangan TH tawaran pakej umrah.
Beliau yang juga Anggota Parlimen Baling berkata mereka juga boleh menyemak senarai agensi pelancongan yang bertauliah dan berdaftar dengan TH.
-- BERNAMA
MCA tidak tanding PRK Bukit Gelugor
MCA mengambil keputusan untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Bukit Gelugor, 25 Mei ini, kerana mahu memberi tumpuan kepada isu hudud.
Setiausaha Agungnya Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata keputusan tersebut dibuat pada mesyuarat tergempar Majlis Presiden di Ipoh, Perak, hari Sabtu.
Menurutnya parti itu mahu memberi sepenuh tumpuan terhadap krisis Perlembagaan yang dicetuskan oleh PAS untuk melaksanakan hukum hudud.
"MCA perlu berusaha secara sepenuhnya untuk menjalankan aktiviti melindungi Perlembagaan," katanya pada sidang media di ibu pejabat MCA negeri di sini.
Beliau berharap orang ramai dan penyokong parti akan memahami bahawa parti itu perlu membuat keputusan yang tepat dalam masa yang kritikal.
Turut hadir pengerusi MCA negeri Datin Paduka Chew Mei Fun dan barisan kepimpinan MCA negeri.
PRK Parlimen Bukit Gelugor diadakan berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh dalam kemalangan jalan raya 17 April lepas.
Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, tahun lepas, mendiang Karpal Singh menewaskan calon MCA Teh Beng Yeam dari Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 42,706 undi.
Ong berkata Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak menerima keputusan parti itu selepas berbincang serta mendengar pendapat pimpinan tertinggi dan akar umbi parti itu.
Ditanya sama ada keputusan itu mendapat persetujuan akar umbi, Ong berkata terdapat pelbagai pandangan daripada mereka, bagaimanapun kebanyakan anggota parti mahukan MCA memperkukuh kedudukan parti selain memberi fokus kepada persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.
Beliau berkata walaupun tidak bertanding dalam pilihan raya kecil itu, MCA akan terus berkhidmat kepada rakyat terutamanya pengundi di kawasan Parlimen Bukit Gelugor bagi memastikan isu-isu berbangkit mendapat perhatian sewajarnya.
Sementara itu, Chew berkata Jawatankuasa Perhubungan MCA Pulau Pinang berpendapat pelaksanaan hukum hudud oleh PAS bakal mencetuskan krisis Perlembagaan.
Beliau berkata MCA negeri akan menumpukan segala tenaga dan masa untuk menangani krisis itu dan parti itu juga akan mengadakan lebih banyak dialog dan usaha untuk mengekalkan integriti Perlembagaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Isnin ini sebagai hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 21 Mei dan hari mengundi pada 25 Mei ini.
Langgan:
Ulasan (Atom)





