Selasa, 6 Mei 2014
Teresa Kok didakwa terhadap tuduhan menerbitkan klip video menghasut
Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan menerbitkan satu klip video menghasut bertajuk 'Teresa Kok "Onederful" Malaysia CNY 2014' , yang disiarkan sempena sambutan Tahun Baru Cina tiga bulan lalu.
Teresa yang berbaju kurung merah mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Norsharidah Awang.
Berdasarkan pertuduhan, Teresa, 50, didakwa menerbitkan klip video itu di laman web YouTube yang mana transkrip terjemahaan dalam Bahasa Malaysia mengandungi ayat menghasut.
Kesalahan didakwa dilakukan di alamat 90-02- 07 Aparmen Putra Ria Jalan Bangsar, kira-kira jam 9 pagi, 1 Februari 2014.
Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad memberitahu mahkamah bahawa kes berkenaan termasuk dalam kesalahan yang tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun menurutnya bergantung kepada budi biacara mahkamah untuk membenarkan jaminan terhadap tertuduh dengan jumlah yang munasabah.
Bagaimanapun Peguam Teresa, Datuk C Param memohon mahkamah memberikan bon jaminan peribadi atas kapasiti anak guamnya sebagai pemimpin masyarakat yang tidak mungkin akan melarikan diri, selain memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis.
Mahkamah membenarkan Teresa diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Jun depan untuk sebutan kes.
Mahkamah turut menetapkan empat hari bermula bermula 2 September depan untuk perbicaraan kes itu.
Dalam pada itu, pihak pendakwaan memaklumkan bahawa pihaknya akan memanggil antara 10 hingga 15 saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu.
Turut hadir sebagai peguam bela peguam Sankara Nair, Gobind Singh Deo.
Dalam klip video berdurasi 11 minit itu, Teresa bertindak sebagai hos dalam bual bicara pengamal feng shui yang bertanya secara berjenaka, mengenai pelbagai isu termasuk sistem pendidikan, kenaikan harga barang dan isu keselamatan di Sabah.Petikan SInar Harian
Polis teliti rakaman video mengenalpasti individu pukul pengamal media
Polis Kuala Lumpur sedang meneliti rakaman video dan gambar perhimpunan membantah cukai barang dan perkhidmatan (CBP) pada Khamis lepas bagi mengenal pasti individu yang memukul pengamal media.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini pada hari yang sama setelah diserang oleh sekumpulan individu dikatakan peserta perhimpunan.
"Pengamal media dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu, diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu sisatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh," katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sii, hari Selasa.
Beliau berkata, polis akan mengedar gambar individu yang terlibat dalam pergaduhan itu di media dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.
Dalam kejadian Khamis lepas, sekumpulan individu yang menyertai perhimpunan membantah CBP di Dataran Merdeka bertindak mengasari petugas media yang membuat liputan sehingga ia mencetuskan kekecohan.
Terdahulu, Mohmad turut menyaksikan majlis serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh yang digantikan oleh Datuk Law Hong Soon.
Amar Singh dilantik sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, (Siasatan dan Perundangan) di Bukit Aman manakala Law sebelum ini menyandang jawatan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak selama enam tahun.
Law yang telah berkhidmat selama 36 tahun mempunyai pengalaman luas dalam mengendali kes jenayah.
-- BERNAMA
Anak Karpal SIngh sedia tanding di PRK Bukit Gelugor
Anak ketiga mendiang Karpal Singh, Ramkarpal Singh bersedia bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor, pada 25 Mei ini.
Peguam kelahiran Pulau Pinang berusia 38 tahun itu mengesahkan namanya antara calon yang disenarai pendekkan. Bagaimanapun, katanya terserah kepada DAP untuk membuat keputusan.
"Saya bersedia untuk itu (PRK) dan telah memaklumkan kepada mereka (DAP) jadi saya serahkan keputusan kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis memperingati Karpal Singh di Sekolah Tinggi Han Chiang, di sini Isnin malam.
Mengenai sama ada kakaknya, Sangeet Kaur Deo merupakan antara calon terpilih, Ramkarpal berkata kakaknya tidak disenaraikan dan ia telah disalah laporkan sambil menambah pengumuman calon akan dilakukan pada Rabu.
Ditanya sama ada Karpal Singh secara peribadi meminta beliau untuk menyertai politik, Ramkarpal berkata bapanya ada membayangkan perkara itu kepada abang-abangnya dan beberapa yang lain, namun tidak secara peribadi kepadanya.
Karpal Singh, dalam biografi pertama bertajuk 'Karpal Singh-Tiger of Jelutong' telah mencalonkan anaknya Ramkarpal untuk menggantikan beliau sekiranya kehilangan kerusi Parlimen itu berikutan sabitan ke atasnya dalam kes hasutan.
Ditanya sama ada beliau berminat menyertai politik, Ramkarpal berkata: "Secara tidak langsung, saya terlibat dalam politik sepanjang hidup saya. Minat itu hanya dikembangkan sejak beberapa tahun,".
Ramkarpal, yang secara rasmi menyertai DAP tahun ini, bercakap buat pertama kalinya di khalayak umum semasa kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 dengan Karpal Singh berada disisinya, di Sekolah Tinggi Han Chiang.
PRK Parlimen Bukit Gelugor diadakan berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh (DAP) dalam kemalangan jalan raya pada 17 April lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mei sebagai hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 21 Mei dan hari mengundi pada 25 Mei.
Mendiang Karpal Singh, yang juga bekas pengerusi DAP, memenangi kerusi itu pada PRU 2013 dengan majoriti 42,706 undi menewaskan calon BN Teh Beng Yeam, yang memperoleh 13,597 undi.
-- BERNAMA
Kes culik terbaru di Lahad Datu satu ancaman serius-KM Sabah
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata kes penculikan terbaru melibatkan seorang pengurus sebuah syarikat pusat penternakan ikan di Pulau Baik, Lahad Datu adalah satu ancaman keselamatan membimbangkan.
Musa yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) berkata kejadian penculikan itu adalah serius dan perlu dibanteras secara habis-habisan.
"JKKN Sabah telah memberi perhatian serius dan usaha bersepadu akan dijalankan bagi mempertingkat lagi kawalan keselamatan terutama di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone)," katanya dalam kenyataan di sini hari Selasa.
Kira-kira pukul 2.45 pagi tadi, lima lelaki bersenjata, dipercayai jenis M16, menculik Yang Zai Lin, 34, dari Guangzhou, China yang telah bekerja selama tiga tahun di syarikat Wonderful Terrace Sdn Bhd, milik warga China dari Hongkong.
Sehubungan itu, Musa berkata langkah drastik akan diambil bagi membendung ancaman itu termasuk melaksanakan Kawasan Kawalan yang akan mengehadkan kemasukan mengikut masa, tempat dan keadaan dan sesiapa ingin memasuki kawasan itu perlu mendapat permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya JKKN juga akan mewujudkan pangkalan hadapan di kawasan strategik bagi memantau keselamatan perairan Sabah selain pelaksanaan 'Kawasan Berkurung' di kawasan berisiko iaitu tidak ada pergerakan dibenarkan. Perinciannya akan diteliti PDRM.
Menurut Musa langkah jangka pendek dan panjang juga akan dilaksanakan termasuk membuat penyesuaian kepada organisasi, perjawatan dan pengisian pegawai dan anggota Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) selain mewujudkan radar berkeupayaan tinggi.
Katanya keupayaan anggota keselamatan dari segi logistik seperti jumlah bot laju di kawasan berrisiko tinggi juga akan dipertingkatkan selain mengukuhkan pelaksanaan gerak saraf untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan rakyat untuk menjadi barisan pertahanan di Esscom.
Musa berkata Prosedur Operasi Standard (SOP) komunikasi Esscom juga akan diperbaiki supaya maklumat disalurkan dengan pantas kepada semua agensi keselamatan di lapangan serta menguatkuasakan 'laluan khas' dengan segera di kawasan berisiko iaitu pergerakan bot dan kapal mesti mengikut laluan yang dibenarkan sahaja.
Katanya JKKN akan meningkatkan keupayaan logistik seperti mewujudkan sokongan logistik melalui konsep 'kapal induk' untuk menjadi hab atau platform bagi pengisian minyak oleh bot-bot laju tanpa perlu balik ke daratan yang mengambil masa dan kos.
"Saya suka menegaskan bahawa sebagai Ketua Menteri dan Pengerusi JKKN, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan keselamatan rakyat dan para pengunjung di negeri ini sentiasa terpelihara.
"Justeru, JKKN menyeru supaya semua pihak, khususnya penduduk di kawasan pantai timur Sabah, sentiasa memberi kerjasama berterusan kepada pihak berkuasa untuk menjamin keselamatan di Sabah berada pada tahap tinggi," katanya.
-- BERNAMA
Isnin, 5 Mei 2014
TPPA akan dimuktamadkan sebelum penggal Obama tamat pada 2017
Rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan dimuktamadkan sebelum penggal Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama berakhir pada Januari 2017.
Duta AS ke Malaysia, Joseph Y Yun, berkata walaupun perjanjian perdagangan pelbagai hala itu pada asasnya rumit, semua rakan kongi mahu memuktamadkannya secepat mungkin.
"Obama menamatkan penggal pentadbirannya pada 2017 dan kita kini pada Mei 2014. Oleh itu saya fikir beliau mempunyai banyak masa.
"Semua negara mempunyai isu dan saya melihat ia akan dimuktamadkan ketika penggal Obama. Sudah pasti," katanya di majlis meja bulat media di kedutaan AS di sini, Isnin.
Yun diminta mengulas sama ada perjanjian TPPA akan dimuktamadkan sebelum penggal pentadbiran Obama berakhir.
Menurutnya, perjanjian perdagangan ini mempunyi banyak elemen, ia bukan setakat mengurangkan tarif dan ia perlu dimuktamadkan secara wajar di segi politik serta boleh diterima di peringkat domestik.
TPPA adalah perjanjian yang AS, perunding utama dalam rundingan itu, berharap akan berperanan dalam membangunkan platform yang lebih luas untuk liberalisasi perdagangan di rantau Asia-Pasifik.
Malaysia kini sedang berunding dengan Australia, Brunei, Kanada, Chile, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, AS, Vietnam dan Jepun untuk memuktamadkan TPPA itu.
Yun berkata, mengikut Institut Ekonomi Antarabangsa, Malaysia mendapat manfaat paling besar daripada TPPA berkenaan.
Ditanya mengenai rancangan seterusnya untuk TPPA, beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Obama telah berbincang secara panjang lebar mengenai perdagangan serta pelaburan sehingga kepada sensitiviti domestik.
"Mereka bersetuju yang setiap orang yang terbabit dalam TPPA perlu memahami semua isu, dan menyerahkan butiran terperinci kepada menteri masing-masing untuk diselesaikan supaya kita dapat mencapai penyelesaian yang baik dan terus bergerak ke depan," katanya.
Kepada soalan bilakah AS menjangka tarikh akhir TPPA, Yun berkata, walaupun tiada tarikh ditetapkan, apa yang paling penting ialah mencapai perjanjian yang baik dan berkualiti tinggi.
Kepada soalan lain, Yun berkata, perjanjian perdagangan itu mempunyai bidang yang luas dan mempunyai 29 bab dan negara terbabit masih berunding mengenainya.
"Mesyuarat peringkat menteri seterusnya dijadual diadakan di Singapura. Jika anda mempunyai kepentingan khusus, anda mahu ia menyebelahi anda, tetapi jika anda tidak mempunyai kepentingan khusus, tolong bersabar sedikit dan jangan membuat pengadilan awal terhadap perjanjian itu," katanya.
Ditanya mengenai sesetengah pertubuhan bukan kerajaan tempatan yang menentang TPPA, Yun berkata: "Ia adalah mengenai bagaimana Malaysia menanganinya. Seperti yang anda tahu, selalu terdapat orang yang tidak gembira dengan perjanjian perdagangan itu.
"Dalam kes ini, semua kajian menunjukkan Malaysia adalah pemenang terbesar dalam perjanjian ini. Terpulang kepada kerajaan anda untuk membuka jalan agar ia diterima secara meluas," katanya.
-- BERNAMA
Proses pemilihan PKR cabang Lumut tegang
Perjalanan pemilihan PKR Cabang Lumut berlaku dalam suasana agak tegang apabila calon terlibat membuat beberapa bantahan berkenaan perjalanan pengundian.
Calon Ketua Cabang PKR Lumut, Laksamana Pertama (B) Muhammad Imran Abdul Hamid menyuarakan rasa tidak puas hati apabila proses pemilihan itu dilihat tidak teratur.
Menurutnya, petugas pengundian tidak memberikan buku yang menyenaraikan nama calon bagi memudahkan pengundian.
“Sepatutnya buku berkenaan diedarkan atau diletakkan di meja pengundian supaya perwakilan lebih senang untuk membuat pemilihan.
“Keadaan juga dilihat kurang teratur apabila petugas pengundian tidak bersedia dari awal dari pelbagai sudut,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lumut menyifatkan, proses pengundian telus, namun harus memperbaiki beberapa perkara.
“Kita harap petugas pengundian dapat memperbaiki kelemahan-kelemahan ini supaya tidak berlaku lagi pada masa hadapan,” katanya.
Seorang lagi calon ketua cabang, Suwardi Sapuan turut melahirkan rasa tidak puas hati dengan perjalanan pengundian dibuat, semalam.
Katanya, pelbagai kelemahan berlaku termasuklah pengundi-pengundi dikelilingi oleh orang-orang tertentu ketika membuat pengundian.
“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana petugas hanya boleh berada di meja bertugas sahaja dan bukannya cuba mempengaruhi pengundi untuk membuat pilihan, ini dikhuatiri akan menimbulkan ketidaktelusan dalam pemilihan.
“Kita ada peraturan yang telah ditetapkan, tapi ada yang tidak mengikut,” katanya.
Jawatan Ketua Cabang PKR Lumut memperlihatkan pertandingan dua penjuru membabitkan Muhammad Imran dengan Suwardi. Petikan Sinar Harian
Muhammad Imran adalah calon baharu manakala Suwardi pernah memegang jawatan ketua cabang pada 2008 hingga 2010.
Cabang PKR Lumut mempunyai kira-kira 3,000 perwakilan.
Kerajaan perlu selaras semula bidang tugas perkhidmatan pengangkutan darat- SPAD
Kerajaan perlu menyelaras semula peraturan dan bidang tugas agensi-agensi yang terlibat dalam perkhidmatan pengangkutan darat bagi mengelak timbul salah faham terhadap tanggungjawab dan bidang kuasa masing-masing.
Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar berkata penyelarasan semula itu penting kerana sistem pengangkutan darat kini berkembang pesat dengan pelbagai jenis perkhidmatannya.
"Ini penting untuk memudahkan pemahaman terhadap bidang tugas masing-masing, kita semua bekerja untuk satu matlamat iaitu menentukan sistem pengangkutan awam darat yang efisien dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai dengan harga yang berpatutan," katanya.
Syed Hamid berkata sebagai contoh apabila berlaku kemalangan melibatkan pengangkutan awam, orang ramai akan menunding jari kepada SPAD sedangkan terdapat jabatan atau agensi lain yang sepatutnya mengambil tindakan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa) di sini Isnin.
Syed Hamid berkata setiap agensi kerajaan disaran memahami akta masing-masing dan melaksanakan undang-undang di bawah bidang kuasa mereka.
Sebanyak 19 pengusaha syarikat bas ekspres hadir dalam mesyuarat agung tahunan ke-21 itu dan antara usul mesyuarat itu termasuk cadangan menaikkan tambang bas ekoran kenaikan kos bahan api.
Presiden Pembawa, Tajudin Mohamad Yunus berkata sudah tiba masanya kerajaan menimbang permohonan persatuan untuk menaikkan harga tambang bas kerana separuh daripada harga sekarang adalah kos yang ditanggung oleh syarikat termasuk kos operasi dan tol.BERNAMA
Langgan:
Ulasan (Atom)






