Selasa, 6 Mei 2014

Kes culik terbaru di Lahad Datu satu ancaman serius-KM Sabah

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata kes penculikan terbaru melibatkan seorang pengurus sebuah syarikat pusat penternakan ikan di Pulau Baik, Lahad Datu adalah satu ancaman keselamatan membimbangkan. Musa yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) berkata kejadian penculikan itu adalah serius dan perlu dibanteras secara habis-habisan. "JKKN Sabah telah memberi perhatian serius dan usaha bersepadu akan dijalankan bagi mempertingkat lagi kawalan keselamatan terutama di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone)," katanya dalam kenyataan di sini hari Selasa. Kira-kira pukul 2.45 pagi tadi, lima lelaki bersenjata, dipercayai jenis M16, menculik Yang Zai Lin, 34, dari Guangzhou, China yang telah bekerja selama tiga tahun di syarikat Wonderful Terrace Sdn Bhd, milik warga China dari Hongkong. Sehubungan itu, Musa berkata langkah drastik akan diambil bagi membendung ancaman itu termasuk melaksanakan Kawasan Kawalan yang akan mengehadkan kemasukan mengikut masa, tempat dan keadaan dan sesiapa ingin memasuki kawasan itu perlu mendapat permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Katanya JKKN juga akan mewujudkan pangkalan hadapan di kawasan strategik bagi memantau keselamatan perairan Sabah selain pelaksanaan 'Kawasan Berkurung' di kawasan berisiko iaitu tidak ada pergerakan dibenarkan. Perinciannya akan diteliti PDRM. Menurut Musa langkah jangka pendek dan panjang juga akan dilaksanakan termasuk membuat penyesuaian kepada organisasi, perjawatan dan pengisian pegawai dan anggota Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) selain mewujudkan radar berkeupayaan tinggi. Katanya keupayaan anggota keselamatan dari segi logistik seperti jumlah bot laju di kawasan berrisiko tinggi juga akan dipertingkatkan selain mengukuhkan pelaksanaan gerak saraf untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan rakyat untuk menjadi barisan pertahanan di Esscom. Musa berkata Prosedur Operasi Standard (SOP) komunikasi Esscom juga akan diperbaiki supaya maklumat disalurkan dengan pantas kepada semua agensi keselamatan di lapangan serta menguatkuasakan 'laluan khas' dengan segera di kawasan berisiko iaitu pergerakan bot dan kapal mesti mengikut laluan yang dibenarkan sahaja. Katanya JKKN akan meningkatkan keupayaan logistik seperti mewujudkan sokongan logistik melalui konsep 'kapal induk' untuk menjadi hab atau platform bagi pengisian minyak oleh bot-bot laju tanpa perlu balik ke daratan yang mengambil masa dan kos. "Saya suka menegaskan bahawa sebagai Ketua Menteri dan Pengerusi JKKN, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan keselamatan rakyat dan para pengunjung di negeri ini sentiasa terpelihara. "Justeru, JKKN menyeru supaya semua pihak, khususnya penduduk di kawasan pantai timur Sabah, sentiasa memberi kerjasama berterusan kepada pihak berkuasa untuk menjamin keselamatan di Sabah berada pada tahap tinggi," katanya. -- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan