Rabu, 16 April 2014
FB 1 Juta rakyat Malaysia sokong Shabery Cheek berminat jahat- Shabery Cheek
Akaun Facebook '1 Juta Rakyat Malaysia Menyokong Shabery Cheek' adalah berniat jahat dan langsung tiada kena mengena dengan saya, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Sehubungan itu, beliau telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap perkara itu.
Anggota Parlimen Kemaman itu berkata beliau juga akan membuat laporan polis tentang perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab itu dan akan meminta sendiri kepada pihak Facebook untuk memadam akaun tersebut.
"Saya terkejut bila nama saya digunakan untuk buka akaun ini. Sebenarnya saya tidak tahu langsung tentang perkara ini sebelum ini, daripada sana (akaun Facebook terlibat) membuat posting yang tidak sewajarnya dan dilakukan oleh orang yang tidak bertanggungjawab," katanya kepada pemberita di sini Sabtu malam.
Beliau terdahulu menghadiri Malam Aspirasi Transformasi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) sempena Bengkel Pemukiman Transformasi KKMM.
Akaun Facebook dengan nama '1 Juta Rakyat Malaysia Menyokong Shabery Cheek' membuat pelbagai posting yang menghina bangsa dan agama malah turut menghina institusi raja di negara ini dan Polis Diraja Malaysia.
Akaun itu didapati dimulakan pada 29 Mei tahun lepas dan sehingga berita ini ditulis akaun yang didakwa dikendalikan pentadbir bernama 'Amran Pekida' itu telah memperoleh 2,328 likes.
Ahmad Shabery berkata perbuatan menggunakan nama orang lain dalam akaun Facebook sememangnya telah banyak berlaku, justeru beliau meminta kepada orang ramai tidak terburu-buru membuat keputusan berkenaan posting dalam akaun seperti itu dan tidak tuduh-menuduh sehingga perkara tersebut dapat disiasat.
"Sebab itu (kita tekankan) konsep klik dengan bijak (bagi) mendidik orang ramai supaya bijaksana membuat sebarang penilaian tentang apa mereka perolehi dalam mana-mana perkara dalam talian," katanya.
Diminta mengulas mengenai dakwaan SKMM tidak tegas dalam membendung perkara seperti ini, beliau berkata Malaysia pada masa ini mempunyai lebih 14 juta akaun Facebook yang merupakan antara jumlah tertinggi pemilikan akaun itu dalam sesebuah negara dan akaun itu ditadbir oleh pihak Facebook sendiri bukan SKMM.
"Oleh kerana kita amalkan sistem terbuka kita tidak boleh sekat Facebook, nak marah (akaun tertentu dalam) Facebook kita tutup semua itu tidak wajar atau membuat pendaftaran tertentu juga tidak wajar...ini tidak boleh dibuat dan boleh beri kesan negatif pada kita," katanya.
-- BERNAMA
Tun M cadang tambak Johor diroboh untuk bina jambatan persahabatan Malaysia SIngapura
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan supaya Tambak Johor dirobohkan bagi membolehkan pembinaan 'Jambatan Persahabatan' yang dicadangkan kerajaan.
Beliau berkata Tambak Johor menyebabkan pelbagai masalah terutama yang melibatkan isu alam sekitar dan kesesakan lalu lintas di Johor Baharu.
"Jika ia adalah sebuah jambatan, adakah kita masih perlukan sebuah tambak? Tambak ini menghalang air mengalir keluar dan ia juga sangat kotor.
"Ia menyebabkan laut menjadi sangat kotor dan terdapat kesesakan lalu lintas teruk di Johor Baharu kerana jambatan tidak dibina," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan umum bertajuk 'Leaders in Today's Society: Issues, Challenges and Way Forward' di Universiti Teknologi Petronas di Seri Iskandar, Rabu.
Dr Mahathir berharap kerajaan tidak akan membina jambatan di tempat lain dan kemudian meninggalkan Tambak Johor di tempatnya kerana ia tidak akan dapat menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di Johor.
"Ia (Tambak Johor) perlu diroboh, jika tidak tak adalah persahabatan," katanya.
Dr Mahathir melahirkan kekecewaan beliau berhubung pembatalan projek pembinaan 'Jambatan Bengkok' di Selat Johor, sebelah Malaysia menghubungkan Tambak Johor ke Singapura.
Beliau berkata sewajarnya jambatan berkenaan dibina kerana Tambak Johor menghalang pergerakan aliran air timur-barat yang boleh digunakan bagi tujuan komunikasi.
Pada 7 April lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan pembinaan 'Jambatan Persahabatan' semasa sidang akhbar bersama-sama Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong selepas kedua-dua mereka mengakhiri Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura selama dua hari di Putrajaya.
Selasa, 15 April 2014
PM Najib bidas pembangkang yang dakwa mampu selesaikan misteri MH370 dalam "satu saat"
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membidas kenyataan seorang pemimpin pembangkang yang kononnya mampu menyelesaikan misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 dalam "satu saat".
Beliau menyifatkan dakwaan pemimpin tersebut sebagai tidak masuk akal dan memperbodohkan rakyat Malaysia.
Najib berkata kehilangan pesawat MH370 yang sudah memasuki hari ke-39, hari ini memerlukan sokongan dari negara luar berikutan kerumitan dan cabarannya yang di luar dugaan.
"Ini memang tidak masuk akal sama sekali malah memperbodohkan pertimbangan akal budi rakyat Malaysia keseluruhannya," katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini Selasa.
Pada 5 April lepas, sebuah akhbar Cina menyiarkan sebuah artikel wawancara Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan majalah Southern Weekly bahawa jika dirinya Perdana Menteri, beliau hanya memerlukan satu saat untuk menyelesaikan isu kehilangan pesawat MH370.
Penerbangan MH370 bersama 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas pada 8 Mac dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.
Misi mencari pesawat itu melibatkan pelbagai negara, pada mulanya di kawasan Laut China Selatan dan kemudiannya - selepas pesawat itu dikesan melencong daripada laluan asal - di sepanjang dua koridor iaitu koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga utara Thailand dan koridor selatan dari Indonesia sehingga selatan Lautan Hindi.
Berikutan hasil analisis terhadap data satelit, syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) merumuskan Penerbangan MH370 terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya di tengah-tengah Lautan Hindi, barat Perth, Australia.
Pada 24 Mac, Najib mengumumkan penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".
Ketua Penyelaras Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Ketua Marsyal Udara (Bersara) Angus Houston, hari ini berkata sebanyak sembilan pesawat tentera, dua pesawat awam dan 11 kapal membantu dalam misi pencarian MH370.
Selain itu, Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) merancang untuk membuat pencarian di udara membabitkan 62,063 kilometer persegi dan lokasi sasaran berada pada 2,170 kilometer barat laut Perth.
-- BERNAMA
Pandang ke hadapan berhubung usaha mencari pesawat M370-Hishammuddin
Semua pihak digesa memandang ke hadapan berhubung operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, bukan berpatah balik dan cuba menyalahkan sesiapa, kata pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata menuduh Malaysia bersalah berhubung kehilangan pesawat itu adalah tidak berasas dan oleh kerana kejadian itu belum pernah berlaku, maka tiada duluan untuk dijadikan tanda aras dalam usaha mencarinya.
Hishammuddin menyatakan demikian apabila ditanya tentang urutan masa Malaysia berkongsi maklumat ketenteraannya yang sensitif dengan pihak berkuasa penerbangan berkaitan kehilangan pesawat itu pada 8 Mac.
"Anda melihat terlalu jauh ke belakang, sedangkan ketika ini kami berusaha untuk mengecilkan fasa operasi pencarian. Malangnya, kita masih membuat spekulasi tentang perkara yang tidak bersifat memandang ke hadapan.
"Apa yang ingin saya lakukan mengenai penubuhan jawatankuaaa peringkat kementerian dan panel penyiasat antarabangsa yang akan dibentang kepada Kabinet beberapa hari lagi adalah untuk menangani semua isu itu.
"Tapi, apa yang penting sekarang adalah memandang ke hadapan dan kami bergerak ke fasa seterusnya dalam usaha mencari.
"Adalah tidak wajar bagi anda hendak menyalahkan Malaysia. Apakah yang akan anda lakukan apabila menghadapi sesuatu yang dunia tidak pernah menghadapinya sebelum ini.
"Apakah tanda aras yang hendak anda jadikan ukuran?" kata menteri itu kepada pemberita pada sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra di ibu negara, Selasa.
Hishammuddin berkata maklumat akan diberi apabila pesawat berkenaan atau kotak hitam dijumpai.
Ditanya tentang perlunya Peguam Negara Tan Sri Gani Patail ke United Kingdom untuk membincangkan tentang hak milik terhadap kotak hitam dan sama ada terdapat komplikasi dari segi undang-undang mengenainya, Hishammuddin berkata:
"Kabinet mengarahkan Gani meneliti perkara itu memandangkan 26 negara terlibat dalam misi mencari pesawat berkenaan.
"Jadi, terdapat cabaran daripada segi diplomatik dan undang-undang, ada waris dan sebab itulah kami menubuhkan tiga jawatankuasa berkenaan (melibatkan tiga kementerian) agar tanggungjawab mengenainya boleh diagihkan sesama mereka yang berpeluang mendapat nasihat pakar paling baik," katanya.
Hishammuddin menegaskan sekali lagi bahawa keutamaan beliau adalah mencari kebenaran dan beliau secara peribadi berpendapat siapa yang akan menjadi pemilik kotak hitam berkenaan adalah tidak penting.
"Ia untuk mengetahui perkara sebenar dan mendedahkan apa yang terkandung dalam kotak hitam itu," katanya.
Mengenai laporan tentang kehadiran seorang peguam Amerika di rumah keluarga penumpang pesawat MH370, Hishammuddin berkata ia sesuatu yang membimbangkan dan beliau menasihati keluarga terbabit supaya memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa yang berkenaan agar ia dapat ditangani dengan sewajarnya.
Hishammuddin berkata satu pasukan penyiasat akan ditubuhkan, dianggotai tiga jawatankuasa kementerian (Pengangkutan, Pertahanan dan Luar Negeri) yang diketuai tiga timbalan menteri masing-masing, manakala memorandum mengenainya akan dikemukakan kepada Kabinet, mungkin minggu depan.
"Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin akan meneliti pelbagai isu berkaitan waris penumpang Penerbangan MH370, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi akan meneliti terma rujukan pasukan antarabangsa dan perkara teknikal dalam penyiasatan, manakala Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri akan menyelia dan memantau penghantaran aset mencari bagi mengesan pesawat berkenaan," katanya.
Pada 5 April, Hishammuddin mengumumkan penubuhan sebuah pasukan penyiasat antarabangsa dan tiga jawatankuasa peringkat kementerian untuk menyiasat dan menyelaras usaha mencari pesawat MH370.
Terdapat juga satu kumpulan berkaitan keselamatan penerbangan yang akan mengkaji rekod penyenggaraan, struktur dan sistem; kumpulan operasi yang akan membuat pemeriksaan terhadap alat perakam penerbangan dan meteorologi; dan kumpulan perubatan serta faktor kemanusiaan yang akan meneliti faktor psikologi, patologi dan kelangsungan hidup.
Jumaat, 7 Mac 2014
Benar janji Allah- Muhd Saiful BUkhari Azlan
Benar janji Allah, Yang Hak pasti mengatasi Yang Bathil.
Berkat doa, istiqamah dan sabar selama 6 tahun, saya bersyukur ke hadrat Ilahi dengan keputusan Mahkamah hari ini yang memihak pada saya.
Saya dan keluarga menghormati keputusan Mahkamah hari ini.
Kebenaran ini penting dan amat bermakna buat saya dan seluruh keluarga saya.
Yang pasti, saya dan keluarga kehadapan.. Saya berdoa semoga Allah SWT terus memberi perlindungan dan kemudahan dalam segala urusan saya.
Terima kasih kepada semua pihak yang telah bersama saya selama ni. Allah sahaja mampu membalasnya.
Akan terus Istiqamah
Kepada Allah saya berserah
SAIFUL BUKHARI AZLAN
Petikan: Mohdsaifulbukhari.blogspot.com
Rayuan kes liwat Saiful: Anwar disabit bersalah
Anwar Ibrahim disabitkan bersalah oleh Mahkamah Rayuan di sini, terhadap tuduhan meliwat pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, enam tahun lalu.
Panel tiga hakim sebulat suara mengumumkan keputusan itu selepas dua hari mendengar hujahan pendakwa raya dan peguam bela.
Korum yang dipengerusikan Datuk Balia Yusof Wahi turut dianggotai Datuk Aziah Ali dan Datuk Mohd Zawawi Salleh membenarkan rayuan pihak pendakwa raya dan mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang sebelum ini melepas dan membebaskan Anwar daripada tuduhan itu.
Pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi membebas dan melepaskan Anwar daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di Kondominium Desa Damansara antara jam 3.10petang hingga jam 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Pihak pendakwaan kemudiannya memfailkan rayuan berhubung keputusan itu dengan melantik Tan Sri Muhammad Shaefee Abdullah mengetuai pihak pendakwa raya.
Sabtu, 22 Februari 2014
Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun calon BN PRK DUN Kajang
Barisan Nasional menamakan Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun, sebagai calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac depan.
Pengumuman calon rasmi BN itu dibuat Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin pada satu sidang media berhubung PRK Kajang di Menara Dato Onn, di sini Jumaat.
Muhyiddin, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata Chew, yang berasal dari Selangor, menjadi pilihan kerana beliau seorang yang berwibawa, mempunyai pengalaman luas serta sudah biasa berurusan dengan kerajaan persekutuan.
PRK DUN Kajang diadakan berikutan peletakan jawatan secara mengejut penyandangnya Lee Chin Cheh daripada PKR pada 27 Jan lepas.
Muhyiddin berkata BN akan mengatur gerak kerja sebagaimana yang biasa dilakukan, dan akan memberi tumpuan yang khusus kepada jentera komponen parti dari situ.
“Komponen parti telah pun diarahkan untuk buat persiapan yang perlu termasuk daripada barisan Wanita, Pemuda dan Puteri untuk bergerak di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM). Kita juga telah mengenal pasti PDM yang kita menang dan kalah,” katanya.
Timbalan perdana menteri menjelaskan bahawa keputusan bertanding di Kajang merupakan satu ruang dan peluang BN menawarkan khidmat kepada pengundi untuk membuat pemilihan yang bijak.
“BN berjanji sekiranya (Chew) Mei Fun dipilih sebagai Ahli DUN di Kajang, dia akan memberi tumpuan sepenuh masa untuk bela rakyat di Kajang, tidak kira kaum dan bangsa.
“Strategi kita pastilah mencapai kemenangan. Walaupun kita tahu akan berhadapan dengan tentangan yang hebat daripada Pakatan Rakyat atau lain-lain pihak tapi kita anggap ini suatu peluang untuk BN tawarkan seorang calon.
“Calon BN yang dipilih ini, saya kira berwibawa, berpengalaman, (dan) pernah berada dalam kerajaan, (serta) menjawat jawatan sebagai naib presiden MCA,” katanya.
Langgan:
Ulasan (Atom)





