Sabtu, 22 Februari 2014

Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun calon BN PRK DUN Kajang

Barisan Nasional menamakan Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun, sebagai calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac depan. Pengumuman calon rasmi BN itu dibuat Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin pada satu sidang media berhubung PRK Kajang di Menara Dato Onn, di sini Jumaat. Muhyiddin, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata Chew, yang berasal dari Selangor, menjadi pilihan kerana beliau seorang yang berwibawa, mempunyai pengalaman luas serta sudah biasa berurusan dengan kerajaan persekutuan. PRK DUN Kajang diadakan berikutan peletakan jawatan secara mengejut penyandangnya Lee Chin Cheh daripada PKR pada 27 Jan lepas. Muhyiddin berkata BN akan mengatur gerak kerja sebagaimana yang biasa dilakukan, dan akan memberi tumpuan yang khusus kepada jentera komponen parti dari situ. “Komponen parti telah pun diarahkan untuk buat persiapan yang perlu termasuk daripada barisan Wanita, Pemuda dan Puteri untuk bergerak di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM). Kita juga telah mengenal pasti PDM yang kita menang dan kalah,” katanya. Timbalan perdana menteri menjelaskan bahawa keputusan bertanding di Kajang merupakan satu ruang dan peluang BN menawarkan khidmat kepada pengundi untuk membuat pemilihan yang bijak. “BN berjanji sekiranya (Chew) Mei Fun dipilih sebagai Ahli DUN di Kajang, dia akan memberi tumpuan sepenuh masa untuk bela rakyat di Kajang, tidak kira kaum dan bangsa. “Strategi kita pastilah mencapai kemenangan. Walaupun kita tahu akan berhadapan dengan tentangan yang hebat daripada Pakatan Rakyat atau lain-lain pihak tapi kita anggap ini suatu peluang untuk BN tawarkan seorang calon. “Calon BN yang dipilih ini, saya kira berwibawa, berpengalaman, (dan) pernah berada dalam kerajaan, (serta) menjawat jawatan sebagai naib presiden MCA,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan