Selasa, 26 Februari 2013

PENJAWAT AWAM PERLU SOKONG BN- CUEPACS

Jika sebelum ini Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Omar Osman buat kenyataan kata hati penjawat-penjawat awam 'sudah sejuk', hari ini secara terbuka beliau minta penjawat awam termasuk pesara kerajaan sokong Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum ke 13 nanti. Kenyataan Presiden CUEPACS itu dilihat sebagai satu perkembangan menarik kerana selama ini pertubuhan tersebut sering bersikap kritikal meluahkan pandangannya terhadap dasar-dasar kerajaan. Perubahan pandangan ini berikutan berbagai penambaikan dan transformasi dalam sektor itu yang dilakukan oleh kerajaan BN.
Menurut Omar, kerajaan BN di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah melakukan banyak penambahbaikan dalam sektor itu dengan memberikan 18 manfaat, antaranya kenaikan gaji, pangkat, gaji minimum dan gaji maksimum.
"Sudah bagus sekarang kerana skim pencen pun naik sebanyak dua peratus setahun. Pesara kerajaan perlu taat setia kepada kerajaan sekarang. "Sebagai pemimpin kesatuan, saya menasihatkan ahli-ahli sebagai anggota perkhidmatan awam, kita patut tahu mana yang baik dan buruk," katanya. Sehubungan itu, beliau berkata golongan itu perlu menghargai setiap pemberian kerajaan kerana sekiranya pembangkang memerintah negara ini segala manfaat belum tentu kekal. Beliau juga berkata penjawat awam perlu bersiap sedia dan melakukan transformasi minda apabila kerajaan melaksanakan transformasi sektor perkhidmatan awam. "Sama ada berpendapatan tinggi dan boleh atau tidak buat kerja, kita perlu bersiap sedia. Kalau tidak boleh, baik berhenti sahaja," katanya. Mengenai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0, beliau berkata pemberian bantuan itu membuktikan BN prihatin terhadap golongan rakyat berpendapatan rendah termasuk penjawat am. "Tidak ada benda yang tidak boleh dibuat kerana negara sekarang mempunyai banyak wang. Orang tidak ada kerja pun dapat wang," katanya. Bantuan RM500 diberikan kepada setaip isirumah dan RM250 seorang kepada golongan bujang yang berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah di bawah program BR1M. CUEPACS merupakan gabungan yang terdiri daripada 100 kesatuan sekerja sektor awam yang menaungi 1.4 juta penjawat awam serta 500,000 pesara kerajaan. Pada 21 Febuari lalu, Omar dalam satu pertemuan dengan lebih 3000 pemimpin CUEPACS mengatakan gabungan tersebut sudah sejuk hati dan akan jadi tiang seri dan enjin penting kepada kerajaan. Malah kata omar selaon 1.4 juta penjawat awam serta jika diambil kira ahli keluarga mereka, ada kira-kira 8 juta yang boleh memastikan kerajaan sedia ada kekal demi menjamin penjawat awam mendapat pelbagai manfaat. “Tidak ada sebab untuk menukar kerajaan yang sedia ada kepada pihak yang belum tentu dapat menjamin apa-apa. “Tidak pernah satupun cadangan yang dikemukakan oleh CUEPACS kerajaan tolak. Sebagai contoh ialah tuntutan kenaikkan dua peratus wang pencen kepada pesara penjawat awam,” katanya. Maksud Omar jangan yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.-2

Penerima BR1M - Fikir2kan lah apa kata Bob Lokman Dan Nik Aziz

PAS KEDAH SEMAKIN CELARU...

Keadaan rumahtangga Pas bertambah gawat di Kedah apabila perbalahan beberapa anggota exco negeri itu dengan Menteri Besar tidak lagi mampu dibendung. Usaha untuk menjatuhkan Azizan Abdul Razak yang dahulunya nampak sudah reda sedikit setelah campurtangan Pas Pusat kembali mengeruhkan landskap politik di Negeri Jelapang Padi itu.
Laporan media menyatakan 11 daripada 15 pas kawasan di Kedah telah memberi kata dua kepada Menteri Besar supaya meletak jawatan dan melepaskan kedudukannya sebagai pesuruhjaya negeri bagi parti itu.
Azizan yang terkenal dengan sifat bongkak dan angkuh serta sering memperlekehkan petugas media arus perdana, seperti biasa menunjukkan sikap keras kepalanya dengan enggan tunduk kepada desakan tersebut. Azizan dikatakan gagal menjalankan tugasnya sebagai Menteri Besar untuk memajukan negeri Kedah. Sebaliknya sepanjang pentadbirannya, boleh dikatakan tidak ada langsung pembangunan yang ketara dilaksanakan untuk kepentingan rakyat dan pembangunan ekonomi negeri. Yang sering dipaparkan di dada-dada akhbar ialah bagaimana rakusnya kerajaan negeri Pas menggondolkan bukit bukau sehingga menjejaskan kawasan tadahan hujan di Tasik Pedu. Seperti biasa apabila tidak pandai mentadbir dan menjana fikiran bernas untuk memajukan negeri, UMNO dan Barisan Nasional lah yang menjadi sasaran. Apabila tidak berjaya memacu ekonomi Kedah menyebabkan kantong negeri hampir kosong, Azizan mengugut supaya kerajaan pusat memberinya RM100 juta jika ingin selamatkan hutan rimba negeri itu. Itulah yang diperolehi oleh rakyat Kedah dalam keghairahan mereka untuk menukar kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum 2008 lalu. Kini mereka sudah sedar perubahan yang mereka impikan selama ini di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat bagaikan mengharap panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari. Harapkan kerajaan negeri baru pada 2008 akan menunaikan semua janji-janji manis yang ditabur semasa kempen pilihan raya tetapi akhirnya jadi kaki kencing rakyat rupanya! Disebabkan terlalu asyik berpolitik dan berceramah siang dan malam, inilah kualiti kerajaan negeri yang dinikmati oleh rakyat kedah di bawah Pas. Yang dipentingkan oleh pemimpin-pemimpin pas ialah mengejar kuasa serta kedudukan bagi kepentingan diri sendiri dan keluarga masing-masing. Inilah yang berlaku di Kedah apabila dua exco kanan, Phahrolrazi Nawawi dan Dr Ismail Salleh mengetuai kelompok untuk menjatuhkan Menteri Besar. Selain faktor politik yang tidak 'ngam', antara alasan utama ialah faktor ekonomi. Ini kerana Azizan hanya mengutamakan kroni-kroni terdekatnya sahaja dalam pengagihan projek-projek dengan menyisihkan kumpulan kedua-dua ahli exco itu. Sudah tentu ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penyokong-penyokong mereka lantas secara senyap mejalankan kempen halus untuk menurunkan Azizan daripada kedudukannya. Sindrom penafian yang diamalkan oleh Pas Pusat juga bakal mengundang bencana bagi parti itu di Kedah. Kalau dahulunya api pergaduhan antara Azizan dan dua exconya dapat ditangani tetapi tindakan itu hanyalah bersifat sementera waktu kerana hakikatnya perbalahan mereka tidak dapat diselesaikan dengan apa cara pun. Setiausaha Agung Pas, Mustafa Ali ingin menipu ahli Pas dan rakyat Kedah dengan mengatakan tidak ada pergolakan politik yang berlaku di negeri itu. Ini sepertilah berkata bahawa tidak ada tsunami yang berlaku walhal separuh negeri sudah ranap. Cuba menutup kenyataan yang sudah terang lagi nyata tidak akan menyelesaikan masalah dalaman pas di Kedah yang sudah ke peringkat amat serius. Sudah ada desas desus Azizan mendesak kepimpinan pusat parti terutamanya Presiden Pas Abdul Hadi Awang supaya menggugurkan nama Phahrolrazi, Dr Ismail serta beberapa orang kuat mereka daripada senarai calon parti itu pada PRU13 nanti. Jika ini berlaku bukan sahaja Pas Kedah akan berpecah, kerajaan negeri pun akan terlepas ke tangan BN. Kini pun gelombang sokongan rakyat terhadap UMNO dan BN sudah meningkat sehingga menggerunkan Pas Kedah. Kemungkinan besar Kedah akan ke pangkuan BN bukan sahaja kemelut yang membelenggu Pas Kedah tetapi kerana rakyat sudah cukup meluat dan marah kepada pentadbiran yang sama sekali tidak pro aktif dan membela kebajikan rakyat. sumber:http://kedahkekl.blogspot.com

TUN M BIDAS ANWAR

Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau sama sekali tidak terbabit dalam membuat keputusan berhubung dakwaan pemberian kontrak PETRONAS kepada anaknya. Malah, bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau cuma diberitahu oleh Presiden PETRONAS selepas kontrak itu diberikan dan beliau sanggup bersumpah di dalam masjid dengan menjunjung Al-Quran berhubung perkara itu. "(Ketua Pembangkang Datuk Seri) Anwar Ibrahim menuduh saya, sebagai penasihat PETRONAS sudah terbabit dalam pemberian kontrak PETRONAS kepada anak saya.
"Bagi Anwar, inilah yang biasa dilakukan olehnya jika ia berkuasa. Semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan memang pun banyak kontrak diberi olehnya kepada penyokong politiknya dan keluarganya.
"Kementerian sudah mempamerkan semasa mesyuarat Agung UMNO senarai orang yang mendapat kontrak semasa ia berkuasa. Terdapat dalam senarai nama penyokongnya dan keluarganya. Tidak ada satu pun dari anak saya yang tersenarai," katanya dalam entri terbaharu blognya, www.chedet.cc. Dr Mahathir berkata, walaupun digelar sebagai penasihat PETRONAS, beliau tidak memberi apa-apa nasihat kepada syarikat itu. "PETRONAS diletak di bawah Perdana Menteri dan Perdana Menteri lah yang memberi arahan kepada Petronas. Semasa saya jadi Perdana Menteri pun saya tidak memberi apa-apa bantuan kepada anak-anak saya," katanya. Katanya, tiada seorang pun anaknya mendapat tempat dalam kerajaan atau dalam parti ketika beliau sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Beliau menjelaskan beberapa kali nama mereka dicalonkan tetapi tidak membenarkannya sehingga beliau bersara, begitu juga tiada kontrak kerajaan yang mereka perolehi. "Jika mereka berjaya sama ada dalam perniagaan atau politik, ini adalah atas usaha mereka sendiri. Dan ini semua berlaku selepas saya letak jawatan Perdana Menteri," katanya. Dr Mahathir berkata, PETRONAS tidak memberi peluang kepada anaknya sahaja ketika beliau menjadi penasihatnya dan orang lain juga mendapat peluang jika mereka ada kemampuan. Sebaliknya Anwar, katanya, apabila menubuh partinya melantik isterinya sebagai Presiden, sebagai calon di Permatang Pauh dan kemudian menyuruh isterinya melepaskan kawasan untuk ditandinginya. "Tidak ada bukti adanya pertandingan untuk jawatan penasihat parti yang disandang olehnya. Dia juga memilih anaknya untuk menjadi calon dalam pilihan raya. "Sekarang isterinya jadi presiden parti dan anaknya jadi naib presiden parti. Kawannya juga jadi timbalan. Parti Keadilan adalah milik Anwar Ibrahim," katanya. "Jika anak dan isteri Anwar boleh menjadi politikus, apakah anak saya tak boleh berniaga sendiri tanpa difitnah oleh Anwar? "Kenapa begitu takut bersumpah jika jenayah liwat tidak dilakukan. Berani kerana benar, takut kerana salah – demikian pepatah Melayu," katanya.

DAP TIDAK SESEKALI PERJUANGKAN ISLAM- TUNKU AZIZ

Kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kononnya parti itu berperanan memperjuangkan agama Islam di negara ini adalah retorik murahan demi memancing undi masyarakat Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-13, kata bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim. Beliau menegaskan, DAP tidak akan sesekali memperjuangkan Islam dan kebajikan orang Melayu sebaliknya parti itu lebih bersifat cauvinis dan perkauman.
"Mana mungkin DAP memperjuangkan nasib Islam? Selama ini mereka juga yang bermati-matian menentang pelaksanaan hukum hudud. Baru-baru ini, Guan Eng sengaja mengeluarkan kenyataan berkaitan penggunaan kalimah Allah yang akhirnya menyebabkan pemimpin Islam di negara ini bercakaran antara satu sama lain.
"Jangan percaya retorik murahan seperti ini, mereka hanya pandai bercakap. Apa bukti mereka memperjuangkan Islam? Yang saya tahu, mereka lebih banyak melukakan perasaan kami," tegasnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Beliau mengulas ucapan Guan Eng semalam pada konvensyen pakatan pembangkang di Shah Alam yang menegaskan bahawa DAP juga berperanan menegakkan Islam di negara ini. Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang turut menyangkal dakwaan pihak-pihak tertentu yang menyatakan DAP menghina atau anti-Islam sedangkan parti itu menegakkan agama Islam seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. - UTUSAN

Ahad, 24 Februari 2013

KRISIS PEMBANGKANG JOHOR BAGAI BOM JANGKA

Kemelut pembahagian kerusi terus menghantui pakatan pembangkang dan episod terbaru yang melanda Johor menunjukkan mereka sebenarnya tidak mempunyai kesepakatan walaupun pemimpin peringkat pusat mengatakan perkara itu telah diselesaikan dan dipersetujui oleh semua parti. Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Mazlan Sabari percaya perebutan itu umpama “bom jangka” yang bakal memusnahkan impian masing-masing yang ternyata satu contoh klasik tikam menikam antara parti pembangkang. Tegasnya lagi apa yang berlaku itu menunjukkan kesepakatan yang dikatakan oleh pembangkang itu hanyalah sekadar ucapan sahaja sedangkan realitinya masing-masing terutamanya DAP dan PKR masih mencari-cari kawasan selamat yang membabitkan pengundi bukan Melayu.
“Johor adalah kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional, sebab itu pembangkang lebih cenderung di kawasan majoriti pengundinya bukan Melayu kerana mereka tidak mempunyai peluang di kawasan pengundi Melayu. “Sebab itu, DAP dan PKR berebut untuk bertanding di kawasan bukan Melayu kerana beranggapan peluang mereka lebih cerah untuk menang, seperti apa yang berlaku di Parlimen Gelang Patah apabila DAP ingin bertanding di kawasan berkenaan pada pilihan raya kali, sedangkan pada pilihan raya lalu, pembangkang diwakili oleh PKR,” katanya
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perebutan kerusi Parlimen Gelang Patah antara DAP dan PKR di Johor sehingga memaksa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan untuk menyelesaikan kemelut berkenaan. Mazlan berkata, sepatutnya Pengerusi PKR, Datuk Chua Jui Meng bertanding di Parlimen Bakri kawasan yang pernah diwakilinya ketika bersama Barisan Nasional sehingga 2004, namun perkara itu sukar dilaksanakan kerana DAP berjaya memenangi parlimen berkenaan pada pilihan raya 2008. “Jui Meng merasakan auranya masih ada di Bakri, tetapi terpaksa akur kepada DAP, sebab itu dia mengumumkan untuk bertanding di Gelang Patah, pada 2008 PKR bertanding di kawasan berkenaan tetapi kalah dengan majoriti melebihi 30,000 undi kepada BN. “Sementara itu, DAP pula berkeyakinan tinggi di Gelang Patah dalam suasana politik sekarang walaupun tidak pernah menang di kawasan berkenaan sejak dahulu kerana kawasan itu adalah kerusi tradisi DAP sebelum diserahkan kepada PKR apabila pakatan pembangkang ditubuhkan pada 2008,” katanya. Menurutnya, PKR lebih cenderung kepada kawasan pengundi bukan Melayu di Johor kerana menyedari pelung mereka lebih cerah berbanding kawasan pengundi Melayu, sebab itu mereka lebih memberi tumpuan kepada kerusi berkenaan. Beliau berkata, di samping itu, PKR juga juga cuba mengintai di kawasan yang dilihat mempunyai potensi untuk menang seperti di Segamat kerana jumlah pengundi Melayu dan bukan Melayu sama banyak.

BERANI KERANA BENAR...

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya Transparency International, membuat perisytiharan terbuka untuk mendukung integriti dan memperteguh komitmen beliau terhadap agenda negara dalam memerangi rasuah terutamanya dalam pilihan raya umum ke-13. Ikrar Integriti Pilihan Raya Transparency International merupakan kontrak sosial secara sukarela, dengan calon yang akan bertanding pada pilihan raya umum, berikrar untuk menggalakkan integriti, tadbir urus baik, ketelusan dan akauntabiliti dalam kerajaan dan mendukung kedaulatan undang-undang. Calon yang menandatangani ikrar itu bersetuju mematuhi Akta Kesalahan-kesalahan Pilihan Raya 1954 dan peraturannya; dan memastikan tindakan mereka adalah untuk faedah orang ramai dan bukan untuk kepentingan sendiri. Di bawah seksyen 'Maklumat Lanjut', selepas ayat - 'Saya menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya ini kerana:' Najib menulis "Saya percaya sebagai pemimpin BN saya perlu memberikan teladan yang baik. Hanya calon yang dianggap telah memperjuangkan pilihan raya yang bersih dan adil akan membawa kepada sebuah kerajaan yang amanah, dihormati oleh rakyat". Presiden TI-Malaysia Datuk Paul Low Seng Kuan menandatangani dokumen itu sebagai saksi. Turut hadir pada majlis itu yang berlangsung di bangunan Perdana Putra ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN). Ikrar itu menetapkan calon perlu mematuhi prinsip benar, integriti, tatalaku beretika dan akauntabiliti, termasuk tidak menerima atau memberi rasuah, atau terlibat dalam mana-mana amalan rasuah. Calon juga perlu mendukung dan mengutamakan kepentingan rakyat secara menyeluruh, mengamalkan tadbir urus baik dan ketelusan; dan mematuhi undang-undang dan peraturan Malaysia.
Menurut kenyataan dari Pejabat Perdana Menteri, Perdana Menteri berkata sebaik sahaja nama calon-calon Barisan Nasional bagi pilihan raya umum diumumkan, beliau akan memastikan semua calon akan menandatangani ikrar itu. "Calon-calon Barisan Nasional dan parti komponennya telah melalui proses semakan dengan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), kini sewajarnya mereka menunjukkan komitmen mereka bagi pilihan raya yang bersih dan adil dengan menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya.
"Tanggungjawab memenuhi ketetapan ikrar ini terletak dengan langkah menandatangani ikrar ini dan adalah merupakan hak mutlak semua rakyat Malaysia untuk memastikan mereka berpegang kepada ikrar ini. Mari kita berusaha bersama-sama ke arah menambahbaik proses pilihan raya," katanya. Beliau berkata butiran mereka yang telah menandatangani ikrar itu akan dimuatkan dalam laman web Transparency International, dan tanggungjawab orang ramai ialah menjadi 'mata dan telinga untuk memantau pematuhan wakil rakyat mereka terhadap standard berkenaan. Sementara itu ketika ditemui selepas majlis itu, Paul Low berkata orang ramai boleh berkomunikasi dengan calon menerusi maklumat diberikan mereka dalam laman web TI di http://timalaysia-electionpledge.org.my. Beliau berkata ikrar itu bukan mengenai parti tetapi individu; beliau menjangkakan semua calon dan pemimpin parti, daripada parti kerajaan, pembangkang dan mana-mana calon Bebas yang bertanding pada pilihan raya umum akan datang, akan tampil dan menandatangani ikrar itu. "Kerana saya percaya demi Malaysia, kita perlu mengubah budaya politik ini, untuk memastikan integriti dan memerangi rasuah menjadi keutamaan setiap pengubal undang-undang," katanya.