Ahad, 24 Februari 2013

KRISIS PEMBANGKANG JOHOR BAGAI BOM JANGKA

Kemelut pembahagian kerusi terus menghantui pakatan pembangkang dan episod terbaru yang melanda Johor menunjukkan mereka sebenarnya tidak mempunyai kesepakatan walaupun pemimpin peringkat pusat mengatakan perkara itu telah diselesaikan dan dipersetujui oleh semua parti. Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Mazlan Sabari percaya perebutan itu umpama “bom jangka” yang bakal memusnahkan impian masing-masing yang ternyata satu contoh klasik tikam menikam antara parti pembangkang. Tegasnya lagi apa yang berlaku itu menunjukkan kesepakatan yang dikatakan oleh pembangkang itu hanyalah sekadar ucapan sahaja sedangkan realitinya masing-masing terutamanya DAP dan PKR masih mencari-cari kawasan selamat yang membabitkan pengundi bukan Melayu.
“Johor adalah kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional, sebab itu pembangkang lebih cenderung di kawasan majoriti pengundinya bukan Melayu kerana mereka tidak mempunyai peluang di kawasan pengundi Melayu. “Sebab itu, DAP dan PKR berebut untuk bertanding di kawasan bukan Melayu kerana beranggapan peluang mereka lebih cerah untuk menang, seperti apa yang berlaku di Parlimen Gelang Patah apabila DAP ingin bertanding di kawasan berkenaan pada pilihan raya kali, sedangkan pada pilihan raya lalu, pembangkang diwakili oleh PKR,” katanya
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perebutan kerusi Parlimen Gelang Patah antara DAP dan PKR di Johor sehingga memaksa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan untuk menyelesaikan kemelut berkenaan. Mazlan berkata, sepatutnya Pengerusi PKR, Datuk Chua Jui Meng bertanding di Parlimen Bakri kawasan yang pernah diwakilinya ketika bersama Barisan Nasional sehingga 2004, namun perkara itu sukar dilaksanakan kerana DAP berjaya memenangi parlimen berkenaan pada pilihan raya 2008. “Jui Meng merasakan auranya masih ada di Bakri, tetapi terpaksa akur kepada DAP, sebab itu dia mengumumkan untuk bertanding di Gelang Patah, pada 2008 PKR bertanding di kawasan berkenaan tetapi kalah dengan majoriti melebihi 30,000 undi kepada BN. “Sementara itu, DAP pula berkeyakinan tinggi di Gelang Patah dalam suasana politik sekarang walaupun tidak pernah menang di kawasan berkenaan sejak dahulu kerana kawasan itu adalah kerusi tradisi DAP sebelum diserahkan kepada PKR apabila pakatan pembangkang ditubuhkan pada 2008,” katanya. Menurutnya, PKR lebih cenderung kepada kawasan pengundi bukan Melayu di Johor kerana menyedari pelung mereka lebih cerah berbanding kawasan pengundi Melayu, sebab itu mereka lebih memberi tumpuan kepada kerusi berkenaan. Beliau berkata, di samping itu, PKR juga juga cuba mengintai di kawasan yang dilihat mempunyai potensi untuk menang seperti di Segamat kerana jumlah pengundi Melayu dan bukan Melayu sama banyak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan