Selasa, 26 Februari 2013

TUN M BIDAS ANWAR

Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau sama sekali tidak terbabit dalam membuat keputusan berhubung dakwaan pemberian kontrak PETRONAS kepada anaknya. Malah, bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau cuma diberitahu oleh Presiden PETRONAS selepas kontrak itu diberikan dan beliau sanggup bersumpah di dalam masjid dengan menjunjung Al-Quran berhubung perkara itu. "(Ketua Pembangkang Datuk Seri) Anwar Ibrahim menuduh saya, sebagai penasihat PETRONAS sudah terbabit dalam pemberian kontrak PETRONAS kepada anak saya.
"Bagi Anwar, inilah yang biasa dilakukan olehnya jika ia berkuasa. Semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan memang pun banyak kontrak diberi olehnya kepada penyokong politiknya dan keluarganya.
"Kementerian sudah mempamerkan semasa mesyuarat Agung UMNO senarai orang yang mendapat kontrak semasa ia berkuasa. Terdapat dalam senarai nama penyokongnya dan keluarganya. Tidak ada satu pun dari anak saya yang tersenarai," katanya dalam entri terbaharu blognya, www.chedet.cc. Dr Mahathir berkata, walaupun digelar sebagai penasihat PETRONAS, beliau tidak memberi apa-apa nasihat kepada syarikat itu. "PETRONAS diletak di bawah Perdana Menteri dan Perdana Menteri lah yang memberi arahan kepada Petronas. Semasa saya jadi Perdana Menteri pun saya tidak memberi apa-apa bantuan kepada anak-anak saya," katanya. Katanya, tiada seorang pun anaknya mendapat tempat dalam kerajaan atau dalam parti ketika beliau sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Beliau menjelaskan beberapa kali nama mereka dicalonkan tetapi tidak membenarkannya sehingga beliau bersara, begitu juga tiada kontrak kerajaan yang mereka perolehi. "Jika mereka berjaya sama ada dalam perniagaan atau politik, ini adalah atas usaha mereka sendiri. Dan ini semua berlaku selepas saya letak jawatan Perdana Menteri," katanya. Dr Mahathir berkata, PETRONAS tidak memberi peluang kepada anaknya sahaja ketika beliau menjadi penasihatnya dan orang lain juga mendapat peluang jika mereka ada kemampuan. Sebaliknya Anwar, katanya, apabila menubuh partinya melantik isterinya sebagai Presiden, sebagai calon di Permatang Pauh dan kemudian menyuruh isterinya melepaskan kawasan untuk ditandinginya. "Tidak ada bukti adanya pertandingan untuk jawatan penasihat parti yang disandang olehnya. Dia juga memilih anaknya untuk menjadi calon dalam pilihan raya. "Sekarang isterinya jadi presiden parti dan anaknya jadi naib presiden parti. Kawannya juga jadi timbalan. Parti Keadilan adalah milik Anwar Ibrahim," katanya. "Jika anak dan isteri Anwar boleh menjadi politikus, apakah anak saya tak boleh berniaga sendiri tanpa difitnah oleh Anwar? "Kenapa begitu takut bersumpah jika jenayah liwat tidak dilakukan. Berani kerana benar, takut kerana salah – demikian pepatah Melayu," katanya.

DAP TIDAK SESEKALI PERJUANGKAN ISLAM- TUNKU AZIZ

Kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kononnya parti itu berperanan memperjuangkan agama Islam di negara ini adalah retorik murahan demi memancing undi masyarakat Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-13, kata bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim. Beliau menegaskan, DAP tidak akan sesekali memperjuangkan Islam dan kebajikan orang Melayu sebaliknya parti itu lebih bersifat cauvinis dan perkauman.
"Mana mungkin DAP memperjuangkan nasib Islam? Selama ini mereka juga yang bermati-matian menentang pelaksanaan hukum hudud. Baru-baru ini, Guan Eng sengaja mengeluarkan kenyataan berkaitan penggunaan kalimah Allah yang akhirnya menyebabkan pemimpin Islam di negara ini bercakaran antara satu sama lain.
"Jangan percaya retorik murahan seperti ini, mereka hanya pandai bercakap. Apa bukti mereka memperjuangkan Islam? Yang saya tahu, mereka lebih banyak melukakan perasaan kami," tegasnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Beliau mengulas ucapan Guan Eng semalam pada konvensyen pakatan pembangkang di Shah Alam yang menegaskan bahawa DAP juga berperanan menegakkan Islam di negara ini. Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang turut menyangkal dakwaan pihak-pihak tertentu yang menyatakan DAP menghina atau anti-Islam sedangkan parti itu menegakkan agama Islam seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. - UTUSAN

Ahad, 24 Februari 2013

KRISIS PEMBANGKANG JOHOR BAGAI BOM JANGKA

Kemelut pembahagian kerusi terus menghantui pakatan pembangkang dan episod terbaru yang melanda Johor menunjukkan mereka sebenarnya tidak mempunyai kesepakatan walaupun pemimpin peringkat pusat mengatakan perkara itu telah diselesaikan dan dipersetujui oleh semua parti. Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Mazlan Sabari percaya perebutan itu umpama “bom jangka” yang bakal memusnahkan impian masing-masing yang ternyata satu contoh klasik tikam menikam antara parti pembangkang. Tegasnya lagi apa yang berlaku itu menunjukkan kesepakatan yang dikatakan oleh pembangkang itu hanyalah sekadar ucapan sahaja sedangkan realitinya masing-masing terutamanya DAP dan PKR masih mencari-cari kawasan selamat yang membabitkan pengundi bukan Melayu.
“Johor adalah kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional, sebab itu pembangkang lebih cenderung di kawasan majoriti pengundinya bukan Melayu kerana mereka tidak mempunyai peluang di kawasan pengundi Melayu. “Sebab itu, DAP dan PKR berebut untuk bertanding di kawasan bukan Melayu kerana beranggapan peluang mereka lebih cerah untuk menang, seperti apa yang berlaku di Parlimen Gelang Patah apabila DAP ingin bertanding di kawasan berkenaan pada pilihan raya kali, sedangkan pada pilihan raya lalu, pembangkang diwakili oleh PKR,” katanya
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perebutan kerusi Parlimen Gelang Patah antara DAP dan PKR di Johor sehingga memaksa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan untuk menyelesaikan kemelut berkenaan. Mazlan berkata, sepatutnya Pengerusi PKR, Datuk Chua Jui Meng bertanding di Parlimen Bakri kawasan yang pernah diwakilinya ketika bersama Barisan Nasional sehingga 2004, namun perkara itu sukar dilaksanakan kerana DAP berjaya memenangi parlimen berkenaan pada pilihan raya 2008. “Jui Meng merasakan auranya masih ada di Bakri, tetapi terpaksa akur kepada DAP, sebab itu dia mengumumkan untuk bertanding di Gelang Patah, pada 2008 PKR bertanding di kawasan berkenaan tetapi kalah dengan majoriti melebihi 30,000 undi kepada BN. “Sementara itu, DAP pula berkeyakinan tinggi di Gelang Patah dalam suasana politik sekarang walaupun tidak pernah menang di kawasan berkenaan sejak dahulu kerana kawasan itu adalah kerusi tradisi DAP sebelum diserahkan kepada PKR apabila pakatan pembangkang ditubuhkan pada 2008,” katanya. Menurutnya, PKR lebih cenderung kepada kawasan pengundi bukan Melayu di Johor kerana menyedari pelung mereka lebih cerah berbanding kawasan pengundi Melayu, sebab itu mereka lebih memberi tumpuan kepada kerusi berkenaan. Beliau berkata, di samping itu, PKR juga juga cuba mengintai di kawasan yang dilihat mempunyai potensi untuk menang seperti di Segamat kerana jumlah pengundi Melayu dan bukan Melayu sama banyak.

BERANI KERANA BENAR...

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya Transparency International, membuat perisytiharan terbuka untuk mendukung integriti dan memperteguh komitmen beliau terhadap agenda negara dalam memerangi rasuah terutamanya dalam pilihan raya umum ke-13. Ikrar Integriti Pilihan Raya Transparency International merupakan kontrak sosial secara sukarela, dengan calon yang akan bertanding pada pilihan raya umum, berikrar untuk menggalakkan integriti, tadbir urus baik, ketelusan dan akauntabiliti dalam kerajaan dan mendukung kedaulatan undang-undang. Calon yang menandatangani ikrar itu bersetuju mematuhi Akta Kesalahan-kesalahan Pilihan Raya 1954 dan peraturannya; dan memastikan tindakan mereka adalah untuk faedah orang ramai dan bukan untuk kepentingan sendiri. Di bawah seksyen 'Maklumat Lanjut', selepas ayat - 'Saya menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya ini kerana:' Najib menulis "Saya percaya sebagai pemimpin BN saya perlu memberikan teladan yang baik. Hanya calon yang dianggap telah memperjuangkan pilihan raya yang bersih dan adil akan membawa kepada sebuah kerajaan yang amanah, dihormati oleh rakyat". Presiden TI-Malaysia Datuk Paul Low Seng Kuan menandatangani dokumen itu sebagai saksi. Turut hadir pada majlis itu yang berlangsung di bangunan Perdana Putra ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN). Ikrar itu menetapkan calon perlu mematuhi prinsip benar, integriti, tatalaku beretika dan akauntabiliti, termasuk tidak menerima atau memberi rasuah, atau terlibat dalam mana-mana amalan rasuah. Calon juga perlu mendukung dan mengutamakan kepentingan rakyat secara menyeluruh, mengamalkan tadbir urus baik dan ketelusan; dan mematuhi undang-undang dan peraturan Malaysia.
Menurut kenyataan dari Pejabat Perdana Menteri, Perdana Menteri berkata sebaik sahaja nama calon-calon Barisan Nasional bagi pilihan raya umum diumumkan, beliau akan memastikan semua calon akan menandatangani ikrar itu. "Calon-calon Barisan Nasional dan parti komponennya telah melalui proses semakan dengan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), kini sewajarnya mereka menunjukkan komitmen mereka bagi pilihan raya yang bersih dan adil dengan menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya.
"Tanggungjawab memenuhi ketetapan ikrar ini terletak dengan langkah menandatangani ikrar ini dan adalah merupakan hak mutlak semua rakyat Malaysia untuk memastikan mereka berpegang kepada ikrar ini. Mari kita berusaha bersama-sama ke arah menambahbaik proses pilihan raya," katanya. Beliau berkata butiran mereka yang telah menandatangani ikrar itu akan dimuatkan dalam laman web Transparency International, dan tanggungjawab orang ramai ialah menjadi 'mata dan telinga untuk memantau pematuhan wakil rakyat mereka terhadap standard berkenaan. Sementara itu ketika ditemui selepas majlis itu, Paul Low berkata orang ramai boleh berkomunikasi dengan calon menerusi maklumat diberikan mereka dalam laman web TI di http://timalaysia-electionpledge.org.my. Beliau berkata ikrar itu bukan mengenai parti tetapi individu; beliau menjangkakan semua calon dan pemimpin parti, daripada parti kerajaan, pembangkang dan mana-mana calon Bebas yang bertanding pada pilihan raya umum akan datang, akan tampil dan menandatangani ikrar itu. "Kerana saya percaya demi Malaysia, kita perlu mengubah budaya politik ini, untuk memastikan integriti dan memerangi rasuah menjadi keutamaan setiap pengubal undang-undang," katanya.

Rabu, 20 Februari 2013

PUAK PAS KEDAH MENGAMUK DENGAN AZIZAN

Sebelas Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah dipercayai sepakat mendesak Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak supaya berundur dan melepaskan jawatan Pesuruhjaya PAS negeri kerana dianggap lemah dalam menerajui parti itu. Ketua Unit Peti Undi (UPU) PAS, Megat Dewa Asri Ahmad mendakwa kelemahan kepimpinan Azizan yang gagal menyelesaikan masalah dalaman parti menyebabkan ramai di kalangan anggota PAS tidak berpuas hati dengannya serta berasa kecewa. “Dari segi pentadbiran negeri tak dak masalah, tapi dalam parti beliau sangat lemah dan kami mahu beliau melepaskan takhtanya sebagai Pesuruhjaya PAS,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Komplek PAS Kedah Batu 9, Kota Sarang Semut dekat sini, Rabu. Asri mendakwa antara 11 DUN yang mahu Azizan berundur ialah Kota Siputeh, Bandar Baru, Alor Mengkudu dan Merbau Pulas. Dakwanya desakan itu sebenarnya disokong Dewan Ulama PAS Kedah yang bermesyuarat hari ini dan perkara itu akan dibawa ke peringkat pusat untuk tindakan selanjutnya.
“Kami bagi sokongan kepada Ulama dan mahu selesaikan perkara ini di peringkat pusat, minta Azizan turun… kami mahu PAS Kedah kembali kepada dasar yang ditetapkan, ulama adalah dasar perjuangan PAS,” kata Asri.
Sementara itu Azizan ketika diminta mengulas mengenai desakan itu berkata, ada pihak yang sengaja ingin menimbulkan huru-hara dan ia merupakan strategi yang dipercayai dirancang musuh PAS. Beliau berkata, bagaimanapun sebagai sebuah negara bebas, sesiapa sahaja berhak untuk mengeluarkan kenyataan dan pihaknya hanya boleh lihat apa sahaja yang dilakukan mereka. “Pimpinan-pimpinan bahagian semua bersatu dan tak ada masalah pun, tiba-tiba ada pulak pihak lain cuba timbulkan huru-hara. Apa lagi yang saya buat tak kena, saya dah cuba bangunkan negeri, buat yang terbaik untuk rakyat,” katanya. Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi ketika ditemui pemberita pula berkata setakat ini isu desakan supaya Azizan berundur belum pernah dibangkitkan dalam mesyuarat perhubungan yang dihadiri semua bahagian pada setiap bulan. “Kalau ada perkara tak puas hati, patut guna saluran perhubungan… setakat ni tak sebut dalam mesyuarat perhubungan secara rasmi lagi,” katanya.

Selasa, 19 Februari 2013

PEMBANGKANG JOHOR TOLAK CHUA JUI MENG

Hubungan DAP dan PKR di Johor semakin memburuk selepas Pengerusi DAP negeri itu Dr Boo Cheng Hau mengisytiharkan beliau tidak lagi boleh bekerjasama dengan Datuk Chua Jui Meng. Beliau mendesak kepimpinan PKR mengambil alih jawatan pengerusi PKR negeri daripada Chua susulan pertelagahan yang berpanjangan mengenai pengagihan kerusi menjelang pilihan raya umum ke 13. Boo menuduh Chua sebagai angkuh dan membelakangkan kepentingan Pakatan Rakyat dalam mencari kerusi selamat untuk dirinya bertanding pada PRU 13.
"Kebanyakan pemimpin DAP dan PKR dan golongan di akar umbi tiada masalah untuk bekerjasama, namun keangkuhan Chua adalah punca utama Pakatan Rakyat berpecah belah di Johor," katanya.
Beliau seterusnya menuntut agar jawatan Chua diambil alih oleh ketua umum Datuk Seri Anwar Ibrahim atau presiden Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail. Boo membidas Chua kerana kerap kali mendakwa beliau akan bertanding di Gelang Patah walaupun Pakatan Rakyat tidak membuat sebarang keputusan mengenainya. “Beliau juga menolak banyak cadangan DAP dan PAS Johor, seolah-olah dia memegang kuasa mutlak di negeri ini,” kata Boo.