Rabu, 19 Januari 2011

Azhar janjikan khidmat terbaik buat pengundi Tenang




Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Mohd Azahar Ibrahim meminta pengundi kawasan tersebut memberinya peluang untuk berkhidmat kepada mereka.

Beliau yang diumumkan sebagai calon BN hari ini oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berjanji untuk berkhidmat sebaik mungkin kepada pengundi DUN Tenang tanpa mengira latar belakang kaum dan agama mereka.

“Berilah peluang kepada saya untuk berkhidmat kepada penduduk. Saya akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua tanpa mengira latar belakang dan kepercayaan,” katanya pada majlis pengumuman calon BN di pejabat Umno Bahagian Labis di sini, hari ini.

Bapa kepada tiga orang anak itu berkata, beliau akan berusaha untuk memenangi pilihan raya kecil itu dengan sokongan padu rakyat pelbagai kaum di DUN Tenang.

Azhar yang dilahirkan di Labis itu berkahwin dengan Tuty Roshizana Tumin, seorang surirumah merupakan pemegang Diploma Pentadbiran Awam, Institut Teknologi Mara (ITM) pada 1993.

Beliau juga merupakan pemegang ijazah Sarjana Politik (Kepujian) daripada Porthmouth.

Mohd Azahar berkata jika dipilih sebagai wakil rakyat DUN Tenang beliau akan turun padang meninjau keperluan rakyat bagi memastikan pembangunan yang pesat bagi kawasan itu.

Pengalamannya bertugas dengan Jabatan Perkhidmatan Awam Johor memberikan pengetahuan meluas di dalam selok-belok tentang soal pembangunan masyarakat di
sesuatu tempat.

Sejak 2006, beliau bertugas sebagai penolong pentadbir tanah Daerah Kecil Rengit, Batu Pahat dan sebelum itu sebagai penolong pentadbir tanah Segamat dan penolong pentadbir tanah Kluang.

Beliau telah meletakkan jawatan sebagai anggota kakitangan Perkhidmatan Awam Johor.

“Pengalaman bertugas sebagai pegawai penolong pentadbir tanah di beberapa daerah memberikan saya pengetahuan luas tentang keperluan rakyat di dalam soal pembangunan,” katanya.

Pada 2004 hingga 2008, Azahar merupakan bendahari Pemuda Umno bahagian Labis dan bagi tempoh yang sama juga menjawat jawatan ketua Umno Cawangan Kampung Paya
Merah, Labis.

Selain itu, beliau turut bergerak aktif di dalam pertubuhan kebajikan di DUN Tenang dan Rengit.

Pilihan raya kecil DUN Tenang itu akan diadakan pada 30 Jan berikutan kematian penyandang kerusinya, Datuk Sulaiman Taha pada 17 Dis tahun lepas akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis.

Proses penamaan calon akan diadakan pada 22 Jan.

Pada pilihan raya umum 2008, Sulaiman menewaskan calon PAS Mohd Saim Siran dengan kelebihan 2,492 undi.

Tenang mempunyai 14,753 pengundi berdaftar terdiri 7,014 Melayu, 5,766 Cina, 1,780 India dan selebihnya kaum lain.

TPM mahu BN tebus kembali majoriti 5,000




Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu jentera Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Tenang menebus kembali majoriti lebih 5,000 yang pernah diperoleh BN pada pilihan raya umum 2004.

Beliau berkata pilihan raya kecil Tenang merupakan medan ujian bagi BN Johor dan hanya dengan memenangi kerusi ini melebihi 5,000, ia mampu membuktikan Johor masih merupakan kubu kuat BN.

“Pada pilihan raya umum 2004, kita menang lebih 5,000 majoriti. Pada 2008, kita menang dengan lebih 2,000 majoriti. Soalnya, pada 2011 ini, macam mana pula?

“Kalau ikut tinjauan-tinjauan yang dibuat, semua kata kita boleh menang. Tetapi apa yang kita nak adalah tebus balik majoriti 2004, iaitu lebih 5,000. Kita mahu majoriti yang lebih besar dalam pilihan raya kecil kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap sebelum menamakan calon BN pada pilihan raya kecil Tenang.

Mohd Azhar Ibrahim, 39, bekas penolong pegawai daerah kecil Rengit, Batu Pahat telah dinamakan sebagai calon BN pada pilihan raya kecil Tenang 30 Jan ini. Proses penamaan calon pada Sabtu ini.

Sehubungan itu Muhyiddin menasihatkan semua jentera BN berkerja keras bagi meraih setiap undi 14,753 pengundi di DUN Tenang dan tidak memandang rendah calon lawan.

Ahad lepas, PAS sebelum ini telah menamakan Ketua Muslimat Labis, Normala Sudirman, 39 sebagai calon parti itu pada pilihan raya kecil berkenaan.

“Jangan pandang rendah calon sama ada dia lelaki atau perempuan. Semua sama sahaja. Yang penting kita mesti bekerja kuat. Bukan menang biasa tetapi kita mahu menang luar biasa,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas pengumuman calon BN, Muhyiddin berkata Mohd Azhar mendapat sokongan daripada semua pemimpin Umno Labis walaupun beliau tidak memegang sebarang jawatan dalam Umno Bahagian Labis.

“Saya mohon pengundi-pengundi Tenang menerima beliau yang baru memasuki 39 tahun, banyak tenaga untuk bergerak ke semua kawasan,” katanya sambil menambah beliau mahu semua jentera BN bekerja rapat membantu beliau sebagai calon.

BN memenangi Dewan Undangan negeri (DUN) Tenang pada 2004 melalui Allahyarham Datuk Sulaiman Taha dengan mengalahkan calon PAS Mohd Saim Siram dengan majoriti 5,517 undi.

Pada pilihan raya umum 2008, beliau mengekalkan kerusi yang sama dengan mengalahkan Saim dengan 2,492 undi.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Allahyarham Sulaiman, 59 pada 17 Dis tahun lepas akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis.

Azhar Ibrahim calon BN PRK Tenang



Penolong Pegawai Daerah Rengit, Mohd Azahar Ibrahim, 37, diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang pada 30 Januari ini.

Pengumuman dibuat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebentar tadi.

Azhar adalah anak bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Ibrahim Daud.

Ahad lalu, PAS mengumumkan Ketua Dewan Muslimat Labis, Normala Sudirman, dipilih sebagai calon pakatan pembangkang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 22 Januari sebagai tarikh penamaan calon.

Ahad, 16 Januari 2011

Lagi talian hayat untuk Anwar...



Perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi akan disambung bermula 14 Feb hingga 25 Mac ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan tarikh itu selepas berjumpa dengan peguam Anwar dan pihak pendakwa raya dalam kamar ketika kes itu tampil untuk sebutan hari ini.

Perbicaraan setakat ini menyaksikan pasukan pembelaan membuat pemeriksaan balas ke atas saksi ketiga pendakwaan, pakar patologi forensik Dr Siew Sheue Feng dari Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sehingga kini empat saksi pendakwaan telah selesai memberi keterangan. Mereka ialah pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan dan tiga pakar dari HKL.

Bercakap kepada pemberita kemudian, peguam Anwar, S.N. Nair berkata pihaknya bimbang mengenai peluang kumpulan pakar perubatan mereka dari Australia untuk hadir pada perbicaraan kali ini berikutan bencana banjir di negara itu sekarang.

Beliau berkata kumpulan pakar DNA dan forensik itu tidak mempunyai masa luang sehingga 20 Feb kerana kejadian banjir tersebut, namun pihak pembelaan akan berusaha untuk membawa salah seorang daripada mereka hadir.

Perbicaraan dijadual untuk sebutan selepas mahkamah pada 6 Dis membenarkan permohonan peguam Anwar, Karpal Singh untuk menangguhkan prosiding sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mohamad Zabidin untuk tidak menarik diri daripada mendengar kes tersebut.

Pada 14 Jan, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Ketua Pembangkang itu dan memutuskan bahawa Anwar tidak mempunyai hak untuk merayu terhadap keputusan hakim Mahkamah Tinggi memandangkan keputusan dibuat semasa perbicaraan sedang berlangsung.

Hakim Mohamad Zabidin pada 6 Dis lepas menolak permohonan kali kedua Anwar agar beliau menarik diri daripada mendengar kes tersebut.

Anwar, 63, membuat permohonan itu atas alasan hakim telah mengugut peguam belanya semasa prosiding lepas dan walaupun hakim telah menarik balik ugutan seperti didakwa itu, wujud bahaya akan berlaku berat sebelah sekiranya hakim terus mendengar kes itu.

Mohamad Zabidin turut menolak permohonan pertama Anwar supaya beliau menarik diri, yang difailkan atas alasan mungkin berlaku berat sebelah sekiranya Mohamad Zabidin enggan melayani permohonan peguam belanya untuk mengambil tindakan menghina mahkamah terhadap Utusan Malaysia berhubung dua artikel yang disiarkan akhbar itu.

Anwar memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi tetapi kemudian menariknya balik.

Anwar dituduh meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, 25, bekas pembantunya, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

BN tak kisah siapa calon pembangkang



Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Barisan Nasional (BN) tidak kisah siapa pun calon yang diletakkan oleh parti lawan untuk menentang calon BN dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang pada 30 Januari nanti.

Katanya, BN tidak mahu mencampuri urusan mana-mana parti lain yang berhajat untuk bertanding dalam PRK terbabit.

“Itu terserah kepada mereka (pembangkang) kerana kita tidak mahu mencampuri urusan mereka seperti mana kita tak mahu mereka mencampuri urusan dalam parti kita,” katanya kepada UMNO-Online.

Sebelum itu, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan Ketua Muslihat Pas Labis, Normala Sudirman dalam satu majlis ceramah Pakatan Rakyat di Labis untuk bertanding mewakili parti itu.

“Kita tidak peduli siapa pun calon yang akan diletakkan oleh pembangkang kerana kita optimis terhadap apa yang kita lakukan,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan yakin bahawa BN akan dapat mempertahankan DUN Tenang berdasarkan kepada gerak kerja dan persiapan yang telah dilakukan dalam semua peringkat.

“Insya-Allah kita akan dapat mengekalkan kawasan tersebut dengan syarat jentera BN khususnya UMNO dapat memperkukuhkan barisan serta merapatkan saf kepimpinan,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, jentera BN sendiri harus bergerak dengan telus dan ikhlas dalam melaksanakan amanah parti yang tentunya akan menyumbang kepada kemenangan keseluruhan dalam BN.

“Kita percaya pada calon yang akan mewakili BN dan paling penting ia tentunya dapat menunaikan tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat dan dalam masa yang sama rakyat juga jangan meminta yang pelbagai daripada kerajaan sendiri apatah lagi yang tidak mampu ditunaikan.

“BN adalah kerajaan yang realistik dan tidak akan menjanjikan sesuatu yang tidak akan mampu untuk ditunaikan sebagaimana sering dibuat oleh parti pembangkang,” tegasnya.

Selar beliau lagi, pakatan pembangkang adalah parti yang sering bermimpi di siang hari dan pastinya akan melakukan serangan propaganda dalam DUN tenang sebagaimana sering berlaku sebelum ini.

“UMNO dan BN mampu merungkaikan mimpi-mimpi yang selalu diluahkan oleh pembangkang dengan realiti untuk kesejahteraan bersama, malah ia telah pun terbukti melalui pentadbirannya selama ini,” katanya.

Penamaan calon bagi PRK ini ditetapkan pada 22 Jan ini dan BN dijadualkan untuk mengumumkan calonnya pada Rabu ini.

PRK DUN Tenang diadakan berikutan kekosongan kerusi selepas kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha pada 17 Disember lalu akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis. - MediaUMNO

PRK Tenang: Pas letak calon Wanita



PAS meletakkan calon wanita - Normala Sudirman - untuk bertanding mewakili parti itu dalam pilihan raya kecil DUN Tenang pada 30 Januari ini.

Pengumuman itu dibuat oleh presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu majlis ceramah Pakatan Rakyat di Labis malam ini.

Hadir memberi sokongan ialah presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, penasihat DAP Lim Kit Siang, setiausaha agung PAS, Datuk Mustafa Ali serta beberapa pemimpin Pakatan yang lain.

Normala,ketua Muslihat PAS Labis, dan tidak pernah bertanding dalam pilihan raya sebelum ini.

Ibu kepada tiga orang anak itu - yang lebih dikenali sebagai Cikgu Mala - adalah dari Muar, Johor dan berkahwin dengan seorang guru di Tenang.

Normala adalah guru lulusan Kolej Perguruan Tuanku Bainun, Pulau Pinang dan bertugas di Sekolah Kebangsaan LKTP Kemelah, Segamat, selepas meletak jawatan baru-baru ini.

Beliau berbuat demikian untuk menumpukan kepada politik sepenuh masa. Udang-undang pilihan raya melarang kakitangan kerajaan bertanding dalam pilihan raya.

Dalam sidang akhbar kemudiannya, Normala menegaskan bahawa pemilihannya sebagai calon merupakan pengiktirafan penting parti Islam itu kepada kepimpinan wanita muda.

UMNO Kedah beri peluang ke dua pada calon kalah



Barisan Nasional Kedah bersedia memberi peluang kedua kepada calon-calon yang kalah pada pilihan raya umum 2008 jika mereka dilihat mempunyai peluang yang baik untuk menang pada pilihan raya akan datang.

Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Bashah Hanipah memberitahu, bagaimana pemilihan dan peluang itu hanya diberikan kepada calon calon yang boleh menjaminkan kemenangan kepada parti itu.

"Mungkin dulu ada tsunami...mereka kalah. Kalau keadaan lepas ni mereka dilihat boleh menang, mereka boleh dicalonkan. Apa yang diputuskan... calon mestilah orang yang boleh menang," katanya selepas mengerusikan mesyuarat badan perhubungan Umno negeri.

Sementara itu beliau memberitahu, Umno Negeri akan mula menggerakkan jentera pilihan rayanya bulan depan bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya umum diadakan pada tahun ini.

Menurut Ahmad Bashah Umno perlu bersedia dan bersiap dengan segera bagi memperlihatkan kesungguhan untuk menawan semula Kedah kerana masa sudah suntuk.

Katanya program Gelombang Merah akan dikerahkan bulan depan dan melakukan penambahbaikan terhadap program-program sebelum ini dengan slogan "BN Menang Kedah Senang".

"Kena gerak betul-betul. Kita juga kena siapkan "bilik perang" yang dulu dikenali sebagai bilik gerakan. Kita akan wujudkan di setiap 672 daerah mengundi. Bilik ini peringkat bahagian pun ada, negeri pun ada," katanya.

Ini merupakan mesyuarat pertama sejak rombakan bagi dua jawatan tertinggi dalam Umno negeri yang menyaksikan Ahmad Bashah dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri manakala Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir sebagai Timbalannya berkuatkuasa 1 Januari lepas.

Ahmad Bashah berkata persediaan untuk menghadapi pilihan raya ini juga akan diselaraskan dengan parti-parti komponen BN yang lain kerana mereka juga ada perancangan masing-masing.

Sementara itu, katanya, beliau belum merancang untuk melakukan rombakan kepada jawatan-jawatan lain dalam Umno negeri dan hanya berbuat demikian selepas mendapatkan pandangan ibu pejabat dan Presiden Umno.

"Jika rasa perlu, baru buat perubahan. Kita jumpa presiden dulu, sekiranya perlu perubahan kita akan adakan satu lagi mesyuarat. Bagi jawatan bendahari, masih dipegang oleh Datuk Mukhriz," katanya.