Selasa, 25 Mei 2010

Krisis MIC, siapa yang kurang ajar?



Anak mana yang tak sayang bapanya, tetapi membela atau menyayangi bapa bukan bermakna kita boleh bertindak sesuka hati kita tanpa mengambil kira perasaan orang lain di sekeliling kita.

Itulah yang terjadi dengan S. Vell Paari yang merupakan anak Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu. Dek terlalu taksub untuk membela bapanya yang teruk dikritik akhir-akhir ini, Vell Paari telah menuduh UMNO menggunakan 'pembunuhan politik' (political assassin) untuk memecahbelahkan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu.

Kepala otak dia!!!!

Nak membela bapa dia satu hal la, siapa pun tak larang dan memang tanggung jawab seorang anak untuk membela nasib bapanya tetapi tindakannya menuduh kewujudan Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) mendapat restu daripada pemimpin tertinggi UMNO, bagi Unta Belang satu tuduhan yang melampau.

Pada yang belum tahu, minggu lepas, bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan menubuhkan GAS yang akan dilancarkan pada 30 Mei ini selepas dipecat daripada parti berikutan desakannya supaya Samy Vellu segera berundur.Pelancaran GAS dijangka dihadiri kira-kira 7,000 orang yang mempunyai hasrat sama mendesak Presiden MIC itu segera meletak jawatan.

Lebih biadap lagi, Vell Pari yang juga Anggota Jawatankuasa Kerja Pusat MIC turut mempersoalkan adakah benar tindakan masyarakat Cina dan India tidak memilih BN dalam pilihan raya umum lalu disebabkan kepimpinan MIC dan MCA.

''Ia tiada kena-mengena dengan soal kepimpinan dua parti ini (MIC dan MCA). Ketidaksamarataan yang berlaku hari ini merupakan penyebab kepada perkara itu,'' katanya.

Dengan menggunakan metafora BN sebagai sebuah bas, Vell Paari berkata, parti-parti komponen hanya penumpang dalam bas yang dipandu oleh UMNO itu.

''Parti-parti komponen hanya penumpang. Bas itu dipandu oleh UMNO,'' katanya yang membayangkan tindak-tanduk dan polisi UMNO menjadi punca masalah berkenaan.

Beliau turut mendakwa antara sebab utama BN kehilangan undi kaum India pada pilihan raya umum lepas adalah berikutan tindakan meruntuh kuil, isu menarik kembali lesen pengedar besi buruk dan penahanan pemimpin Hindraf.

Menurutnya, semua perkara itu bukan dilakukan oleh bapanya, namun Presiden MIC tersebut dipersalahkan atas kehilangan sokongan kaum India untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu sebenar.

Beliau menyeru semua ahli MIC dan masyarakat India supaya 'membuka mata' mereka terhadap perkara berkenaan kerana jika dibiarkan pada masa hadapan pemimpin parti-parti komponen akan menjadi 'kad menu' UMNO yang akan menentukan siapa yang patut menjadi presiden, timbalan presiden dan sebagainya.

Wah ini sudah lebih. Bila kita berdiam diri dan bertolak-ansur, inilah jadinya. Senang-senang saja orang nak pijak kepala kita. Setahu Unta Belang, masa Dr. Mahathir dan Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri, takde pula anak-anak mereka menyalahkan MIC atau parti komponen lain dalam BN bila bapa mereka dihentam atau dikritik habis-habisan oleh pihak lawan.

Tapi Vell Paari ni nampaknya cuba nak main kasar dengan 'menembak' sesuka hati bila bapanya dikritik. Unta Belang harap Najib selaku Pengerusi BN melihat kembali setiap tuduhan dan butir perkataan yang keluar dari mulut Vell Paari ini.

Ingat, kita semua bukan tidak tahu latar belakang Vell Paari, cuma atas dasar dan semangat setiawakan BN, kita buat 'dunno' je walaupun kehadirannya dalam politik terutama dalam MIC lebih kepada liabiliti berbanding aset.
APA KOMEN SUK UMNO...

Sambil menafikan ia menaja dan menyokong Gerakan Anti Samy Vellu, komponen utama Barisan Nasional (BN) Umno mengingatkan MIC tidak sama sekali menyeret parti itu ke dalam kancah krisis kepimpinan yang dilalui sekarang.

“Jangan seret Umno dalam krisis MIC,” kata Setiausaha Kerja Umno Datuk Abdul Rauf Yusoh ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Rauf menegaskan, Umno tidak pernah terlibat dalam memihak mana-mana ahli atau pemimpin untuk mengeruhkan keadaan dengan menyatakan sokongan agar melakukan perkara menentang kepimpinan komponen BN.

“MCA pun pernah berhadapan dengan masalah, kami tawarkan sokongan untuk menyelesaikan atas semangat sebagai adik-beradik dalam keluarga, jadi Umno tidak mencampuri urusan dalaman (komponen BN),” kata beliau.

Sehubungan itu tambah beliau, apa yang diperkatakan oleh anak Presiden MIC, Vell Paari adalah satu tuduhan tidak berasas sama sekali.

“Tidak, tidak... ia satu tuduhan, kami sendiri ada banyak perkara untuk diselesaikan,” kata beliau dengan mempersoalkan tuduhan sedemikian.

“Umno tidak akan merentasi sempadan hubungan (dengan komponen BN)... itu tuduhan (Vell Paari), tidak benar,” katanya.

Vell Paari, yang dilantik sebagai anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) lebih seminggu lalu mendakwa Umno menggunakan pendekatan “pembunuhan politik” untuk mencetuskan huru-hara dalam MIC khususnya terhadap Samy Vellu.

Anak Samy Vellu itu menyatakan demikian mengulas program Gerakan Anti Samy Vellu yang digerakkan oleh bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC V. Mugilan yang dipecat dari MIC minggu lalu.

Mugilan mengumumkan kelmarin bahawa kempen itu akan dimulakan Ahad ini.

Vellu Paari, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Maika Holdings, sayap pelaburan MIC, mendakwa Umno memperlihatkan teladan tidak sihat dengan bertindak di sebalik tirai menyokong seseorang apabila hubungan Umno dengan Samy Vellu semakin dingin.

Beliau yang juga penasihat Pemuda MIC pusat mendakwa Umno menggunakan ahli dan pemimpin MIC untuk membunuh kerjaya politik Samy Vellu yang memimpin parti itu sejak 1979.

“Apabila anda tidak gembira, anda menggunakan orang dalam parti untuk melakukan semua ini. Ia menjejaskan asas demokrai, semangat Barisan Nasional dan juga keputusan ahli untuk menentukan siapa yang harus menjadi ketua (mereka),” kata Vell Paari, satu-satunya anak lelaki Samy Vellu.

Kelmarin, Presiden Umno dan timbalannya menggesa MIC segera menyelesaikan krisis semasa supaya tidak melemahkan BN dalam pilihan raya umum akan datang.

MIC melihat Umno dari sudut ‘serong’ sejak pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor bulan lalu.

MIC dan Samy Vellu secara peribadi telah memprotes langkah pucuk kepimpinan BN memilih calonnya sendiri iaitu Mugilan bertanding di Hulu Selangor.

Calon disyorkan oleh Samy Vellu iaitu timbalannya Datuk G. Palanivel tidak mendapat perkenan Umno dan komponen BN yang lain.

Sebagaimana secara calon keluar berkompromi BN bersetuju dengan nama baru MIC, P. Kamalanathan.

Ketika ditanya sama ada Umno dilihat menyokong Mugilan kerana berkaitan dengan perkembangan ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor itu, Rauf berkata, Umno menjalin hubungan baik dengan semua orang.

“Umno tidak baik dengan Mugilan sahaja... Umno baik dengan orang, semua parti komponen BN, kita bekerja sebagai satu pasukan,” katanya lagi.

Berhubung soalan sama ada Umno akan menghubungi MIC untuk menjelaskan, Rauf berkata, “tidak, tiada keperluan.”

“Saya pun tidak kisah dengan dakwaan tidak berasas (Vell Paari) itu,” katanya.

Sejak dua minggu lalu MIC berhadapan dengan krisis kepimpinan apabila Samy Vellu menggunakan kuasanya untuk memecat empat pemimpin iaitu Mugilan, V. Subramaniam, K.P. Samy dan G. Kumar Aamaan.

Samy dan Kumar dipecat semalam — tiga hari selepas meminta Samy Vellu berundur segera bukannya pada suku ketiga tahun depan.
SATU TUDUHAN BIADAP- Muhyiddin



Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tuduhan yang dilemparkan oleh S.Vell Paari, anak Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu, kononnya Umno menjadi punca kepada masalah dalam MIC, sebagai sesuatu yang biadap.

Timbalan Perdana Menteri menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu dan meminta Vell Paari supaya menghentikan tindakan tidak bertanggungjawabnya itu.

“Umno ingin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan oleh anak Samy Vellu itu. Ia adalah sesuatu yang biadap,” katanya ketika ditanya mengenai tuduhan yang dibuat oleh Vell Paari terhadap Umno. Vell Paari mendakwa Umno menggunakan pendekatan “pembunuhan politik” untuk memecahbelahkan MIC.

Muhyiddin (gambar), yang juga Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis ramah mesra dengan guru-guru daerah Muar dan Ledang di Kompleks Sukan Pagoh di sini hari ini.

Isnin, 24 Mei 2010

Mencari manifesto PAS Kedah...



Dalam PRU 12 tahun 2008 PAS Kedah telah mengeluarkan satu Manifesto Pilihanraya yang cukup hebat lagi menarik bertajuk " KEDAH SEJAHTERA NIKMAT SEMUA".

Terdapat tiga Teras dalam manifesto tersebut dan ianya ialah:Petadbiran,Hal Ehwal Islam, Hak dan Kepentingan Non Muslim. Isi kandungan manifesto diperjelaskan seperti berikut :



1. PENTADBIRAN.

A. Mentadbir dengan baik dengan mengutamakan KEADILAN, PERTANGGUNGJAWABAN dan INTEGRITI.
B. Mempastikan pentadbiran yang SIFAR RASUAH.
C. Mengkaji semua elaun dan keistimewaan yang dinikmati oleh MENTERI BESAR dan Ahli Majlis Mesyuarat (EXCO) Kerajaan.
D. Melaksanakan pemberian kontrek secara telus dan adil.
E. Melaksanakan perancangan strategik dengan tujuan menambah hasil dan mengurangkan perbelanjaan.
F Menyediakan kemudahan pinjaman tanpa FAEDAH untuk kakaitangan kerajaan.

2. HAL EHWAL ISLAM
A. Menubuhkan Institusi Imam (Maahad Imamah)untuk melahirkan pegawai mesjid yang terlatih.
B. Elaun untuk imam yang setimpal dengan peranan mereka sebagai ketua kariah.
C. Memberi elaun kepada guru guru Al-Quran persendirian.
D. Mempercepat proses penyelesaian masaalah kekeluargaan Islam dalam Mahkamah Syariah.

3. HAK DAN KEPENTINGAN NON-MUSLIM
A. Menjamin peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan beragama dihormati mengikut kepercayaan masing-masing.
B. Mengiktiraf dan menjamin budaya, adat resam semua kaum.
C. Melantik EXCO daripada bukan Islam.

Selepas 2 Tahun 2 Bulan Pakatan Rakyat yang diterajui oleh PAS memerintah negeri Kedah sudahkah mereka menunaikan semua janji janji yang mereka tabur semasa berkempen dan ianya terkandung didalam Manifesto mereka.

Secara rambangnya kita dapati PAS dan PR tidak dapat mentadbir Kedah dengan baik serta efisien.Masaalah air, sampah, pelaburan luar dan domestik,pengangguran,kemiskinan dan berbagai bagai masaalah lagi makin bertimbun dan PAS GAGAL untuk menyelesaikanya.

Tetapi yang paling malang sekali untuk Rakyat dan pengundi Kedah ialah janji meraka untuk melaksanakn hukum HUDUD jika menang dalam pilihanraya telah hilang sama sekali.

Rakyat dan pengundi Kedah cuba renung,bertenang, berfikir secara rasional dan ikhlas apakah kita masih mahu Kerajaan sebegini terus memerintah negeri yang kita sayangi ini ?

sumber: Syburi Times

Ahad, 23 Mei 2010

Juara Rakyat untuk dekatkan pemimpin dengan rakyat



Program Juara Rakyat yang dianjurkan oleh Barisan Nasional sebagai satu plaform untuk mendekatkan pemimpin pemimpin dengan rakyat disamping bagi mendapatkan maklum balas masyarakat.

Timbalan Pengerusi BN , Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam setiap program yang dianjurkan ia akan memberi peluang kepada pemimpin untuk mendekatkan diri dengan rakyat dan mengetahui masalah sebenar.

"Kita tidah kamu dituduh cakap tak serupa bikin sebaliknya akan terus serius menolong rakyat menangani masalah dan isu-isu demi perubahan,"katanya ketika berucap di program Juara Rakyat peringkat Wilayah Persekutuan.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, BN menjadikan program Juara Rakyat sebagai platform kerajaan untuk mendekati dan mendapat maklum balas masyarakat.

Tambah beliau program ini ntuk kerajaan mendekati rakyat, mengetahui aspirasi mereka serta perkara-perkara yang mereka mahu diberikan perhatian dan tumpuan.

Katanya, walaupun pada umum mungkin situasi adalah baik tapi apabila pemimpin turun padang duduk semeja bercakap dan bertanya, ada perkara tertentu yang perlukan perhatian pimpinan tempatan dan juga kerajaan akan diketahui.

“Pembangkang hanya tahu buat kenyataan bohong kepada rakyat, kata BN zalim dan tindas rakyat, kononnya merekalah pembela rakyat dan BN tak bawa perubahan pada rakyat,” katanya.

“Walaupun kerajaan sudah buat macam-macam tetapi (kerajaan) akan terus bekerja untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.

Muhyiddin berkata, kerajaan tidak akan berhenti setakat sedia ada tetapi akan terus menyediakan kemudahan termasuk kepada penduduk bandar.

Sebab itu katanya, kerajaan akan menanggung sebahagian kos membaiki lif dan penyelenggaraan prasarana rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur.

"Kerosakan lif berlaku di mana-mana... bertahun-tahun rosak, tangga agak teruk. Jadi kerajaan menimbang dan Kabinet buat keputusan apa saja prasarana, soal pembaikan lif, dan kos sebahagian akan ditanggung oleh kerajaan,” katanya..

Sementara itu dalam sidang media selepas menghadiri program Hari Keluarga Parlimen Setiawangsa di PPR Sungai Bonus, Muhyiddin yang juga Pengerusi BN Wilaya Persekutuan berkata, segala maklum balas yang diterima daripada masyarakat akan dikumpul bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

"Pastinya di Wilayah Persekutuan ini ialah kawasan ibu kota tetapi masalah isu bandar itu masih isu utama, baik soal tempat kediaman, kebersihan, peluang pekerjaan, pelesenan, soal berkaitan dengan kebajikan dan rakyat miskin bandar," katanya.

Sempena program Juara Rakyat itu, Muhyiddin juga akan berkunjung ke PPR Seri Melaka, Cheras bagi menghadiri majlis perkahwinan selain menyertai penduduk setempat bagi acara minum petang.

Antara yang hadir program berkenaan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejateraan Bandar,Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor dan Ketua-Ketua UMNO Bahagian di Wilayah Persekutuan dan pemimpin parti komponen BN.

Umno Kedah nafi lobi lompat parti


Ketua Penerangan Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyangkal dakwaan bahawa pemimpin parti itu terlibat dalam melobi wakil rakyat Pakatan agar lompat parti.

"Jika berlaku lompat parti, ini kerana mereka sendiri yang sudah tidak sanggup lagi menipu rakyat terutamanya apabila kerajaan negeri gagal menunaikan janji saperti yang ditaburkan semasa kempen pilihan raya umum lalu," katanya kepada pemberita, di Baling hari ini.

Jamil Khir yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata berasaskan situasi yang berlaku di Kedah sekarang, tidak mustahil kerajaan Pakatan Rakyat yang diteraju PAS itu akan tumbang.

"Sekiranya berlaku pembubaran DUN (Dewan Undangan Negeri) dalam masa terdekat Umno dan BN sedia menghadapinya," katanya.

Beliau yang sebelum itu merasmikan Program Juara Rakyat peringkat DUN Kuala Ketil di Baling diminta mengulas desas-desus mengatakan empat ADUN Kedah dari PKR dan DAP akan melompat parti.

Samy pecat 100.000 ahli MIC- S .Subramanian



Bekas Timbalan Presiden MIC, Datuk S Subramaniam, berkata beliau bersimpati dengan timbalan ketua Pemuda MIC Malaysia yang baru dipecat, V Mugilan tetapi menafikan mereka bekerjasama menubuhkan Gerakan Anti Samy Vellu (GAS).

"Tuduhan ahli Jawatankuasa Pusat (CWC) MIC yang baru dilantik, S Vell Pari yang juga adalah anak Samy Vellu dalam sebuah akhbar berbahasa Tamil hari ini bahawa kami bekerjasama menubuhkan GAS adalah berniat jahat," kata Subramaniam.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan sambutan ulang tahun Kuil Sri Subramaniar di Serdang, dekat sini, hari ini, Subramaniam berkata, sejak berkecimpung dalam arena politik beliau tidak pernah "menikam orang dari belakang".

Katanya, beliau sedang berbincang dengan peguamnya kemungkinan menyaman Vell Pari.

Subramaniam yakin usaha Mugilan menubuhkan GAS mendesak Samy Vellu berundur akan mendapat sokongan kuat daripada akar umbi MIC di seluruh negara.

"Bukan saja pimpinan MIC peringkat bawahan yang mahu Samy Vellu berundur malahan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir dua tahun lalu pernah menasihat Presiden MIC itu berundur," katanya.

Subramaniam mendakwa, Samy Vellu telah memecat kira-kira 100,000 ahli parti selama lebih 30 tahun beliau menjadi presiden.

"Lagi cepat pertukaran kuasa berlaku lagi baik untuk MIC," katanya.-Bernama