Isnin, 17 November 2014

Tengku Adnan janji akan selesaikan masalah penduduk Labuan

Kementerian Wilayah Persekutuan berjanji akan menyelesaikan isu yang membebani penduduk berpendapatan rendah dan peniaga kecil di pulau bebas cukai ini. Menteri berkenaan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata sungutan rakyat yang disuarakan kepada kementerian itu akan diberi perhatian serius. "Saya telah dimaklumkan tentang pelbagai isu dan kesemuanya akan diberi pertimbangan serta diselesaikan demi kepentingan rakyat," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan singkat ke sini pada Ahad. Beliau juga berkata Labuan akan mempunyai sebuah medan selera berharga RM13 juta di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan. "Ini bagi menempatkan semula medan selera sedia ada di pusat bandar dan mewujudkan persekitaran lebih baik serta kondusif untuk pengusaha gerai menjalankan perniagaan masing-masing," katanya. Tengku Adnan berkata medan selera itu akan mempunyai 50 gerai bagi memenuhi permintaan pemohon. "Kami juga sedang meneliti pandangan peniaga bahawa kemudahan di Kompleks Pasar Labuan yang baru disiapkan tidak mencukupi dan memerlukan penambahbaikan seperti keadaan lantai, ruang niaga yang terhad, kekurangan ruang letak kenderaan dan isu lain yang berkaitan," katanya. Beliau berkata cadangan agar Pusat Transformasi Bandar (UTC) dibuka di kompleks itu telah dikemuka kepada Kementerian Kewangan. Terdapat juga cadangan agar satu ruang di luar kompleks itu digunakan untuk menjual barangan tidak halal kerana pasar daging babi di Kampung Sungai Keling gagal menarik minat peniaga terbabit, katanya. "Kami akan mengkaji semua faktor dan pendapat dengan teliti sebelum membuat keputusan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan