Selasa, 21 Oktober 2014

Kedah tumpu usaha tingkatkan pengeluaran padi MB Mukhriz

Kerajaan negeri Kedah memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pengeluaran padi demi pembangunan serta kelangsungan industri padi dan beras sekali gus memastikan bekalan makanan negara terjamin. Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, pada masa ini pihaknya agak bimbang kerana peratusan padi yang dibekalkan Kedah ke seluruh negara berada pada tahap 31 hingga 32 peratus sahaja. "Kita hendak tingkatkan (pengeluaran padi) sekurang-kurangnya sampai 35 peratus dan saya lihat kita tidak ada pilihan selain daripada menggunakan teknologi terbaharu untuk tingkatkan hasil padi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Kedah, di Taman Jubli Emas dekat sini hari ini. Beliau berkata, kawasan sawah yang mengalami masalah tanah jerlus juga boleh dipulihkan bagi menambah keluasan kawasan penanaman padi. Katanya, sawah yang diusahakan secara persendirian pula perlu berusaha meningkatkan hasil kerana kebanyakan mereka hanya menuai 3 tan metrik padi sehektar berbanding 6 tan metrik padi dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada). Mukhriz berkata, dalam usaha meningkatkan hasil padi, para petani juga perlulah memastikan kualiti tanaman mereka terus berada pada tahap yang baik kerana padi atau beras yang dikeluarkan Kedah terkenal kerana bermutu tinggi. "Kita nak pertahankan kedudukan (bermutu tinggi) itu sambil pada waktu sama nak tingkatkan kuantiti padi," katanya. Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata penghasilan padi secara mini-estet atau estet padi, adalah langkah penambahbaikan atau transformasi yang perlu dilakukan bagi menjamin sektor penamanan padi terus berdaya maju dan produktif. Katanya, langkah lain ialah dengan mewujudkan Pusat Pengumpulan/Belian Padi dan Kilang Padi yang beroperasi secara lebih sistematik. Sementara itu, katanya, pembelian padi mulai Musim 1/2014 juga mematuhi harga baharu yang ditetapkan kerajaan iaitu RM1,200 bagi satu tan metrik, berbanding RM1,050 sebelum ini. "Ini menunjukkan bahawa kerajaan prihatin untuk membela nasib rakyat supaya pendapatan petani meningkat sesuai dengan kenaikan kos sara hidup pada masa ini. "Petani pula perlu berusaha meningkatkan kuantiti dan kualiti pengeluaran sejajar dengan peningkatan harga tersebut," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan