Selasa, 21 Oktober 2014

Perhimpunan Agung UMNO 2014 janjikan yang terbaik

Perhimpunan Agung UMNO 2014 yang akan berlangsung 25 hingga 29 November ini menjanjikan suasana serta kemudahan terbaik kepada semua pihak khususnya pengamal media yang akan berkampung sepanjang perhimpunan agung UMNO yang akan berlangsung bulan depan. Setiausaha Kerja UMNO Malaysia Datuk Wira Ab Rauf Yusoh berkata kaedah penambahbaikan pada tahun ini mengambil kira beberapa pandangan dan perkara yang telah dilontarkan pelbagai pihak tahun lepas. “Pihak urusetia telah mengambil langkah-langkah baru bagi melicinkan lagi perhimpunan agung UMNO pada tahun ini. Langkah pertama kita akan adakan sebuah ‘base hospital’ sementara di Laman Merdeka, Aras 4 bagi memudahkan sebarang urusan kesihatan. “Selain itu kita juga akan mewujudkan ruang khas untuk saluran televisyen mengadakan sudut mereka sendiri sepanjang perhimpunan agung UMNO berlangsung bagi memberi pilihan kepada para perwakilan serta pemerhati dapat mengikuti perkembangan mengikut saluran kegemaran masing-masing. “Jadi kita akan lihat perkembangan baru ini dan insyaallah ianya akan memberikan kemudahan kepada semua perwakilan serta pemerhati yang akan hadir pada perhimpunan agung UMNO nanti. Malah kita juga membuat beberapa penambahbaikan kepada pengamal media baik media arus perdana mahupun media siber bagi memastikan mereka dapat membuat liputan terbaik sepanjang perhimpunan itu berlangsung,” katanya di sini hari ini. Mesyuarat Penyelarasan Media Terdahulu sebelum itu, Datuk Wira Ab Rauf mengadakan mesyuarat serta lawatan tapak bersama wakil-wakil media di Dewan Tun Dr Ismail bagi membincangkan segala pandangan bagi melicinkan operasi media pada perhimpunan agung UMNO 2014. Perhimpunan Agung UMNO 2015 akan diadakan pada 25 – 29 November hadapan dengan dimulakan oleh Forum Antarabangsa pada 24-25 November. Perjalanan Perhimpunan Agung UMNO yang akan dimulakan sebagaimana lazimnya dengan Taklimat Presiden pada 25 November dan perasmian Persidangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO yang akan berlangsung pada sebelah malam. Pada hari berikutnya persidangan pergerakan sayap akan berjalan dengan Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UMNO pada sebelah malamnya. Kemudian pada 27– 29 Nov, Perhimpunan Agung UMNO akan berlangsung dan jamuan makan malam akan diadakan pada malam 27 Nov. Datuk Ab Rauf turut memaklumkan kemungkinan akan diadakan malam selawat perdana yang akan diketuai Habib Sheikh Abdul Qodir As Segaff. “Perkara ini masih dalam perbincangan dan sama-sama kita doakan agar kita dapat laksanakan perkara ini,“ ujarnya. -MediaUMNO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan