Isnin, 20 Oktober 2014

Ghapur Salleh nafi keluar UMNO

Anggota Parlimen Kalabakan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh hari ini menafikan dakwaan kononnya beliau telah keluar daripada Umno. Ketua Umno Bahagian Kalabakan itu berkata khabar angin itu adalah tidak benar dan percaya ia disebarkan oleh individu yang mahu mengambil kesempatan terhadap kelantangan beliau bersuara di Dewan Rakyat. "Saya memang agak lantang ketika menyuarakan hak-hak rakyat Sabah di Dewan Rakyat kerana itu adalah tanggungjawab saya selaku wakil rakyat. Saya mahu setiap permasalahan rakyat terutamanya yang tinggal di kawasan Parlimen Kalabakan, diberikan perhatian yang sewajarnya. "Bagaimanapun, apabila saya bersuara tentang permasalahan atau isu masyarakat, itu bukanlah bermaksud yang saya mahu keluar daripada parti ... saya hanya menjalankan tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat," katanya dalam satu kenyataan Isnin. Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat tidak mempercayai khabar angin tersebut dan menyifatkan ia disebarkan oleh pihak tertentu yang memiliki kepentingan tersendiri. Sementara itu, Abdul Ghapur berterima kasih kepada pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kerana mengambil perhatian terhadap isu kawalan di perairan Tawau yang dikemukakannya di Dewan Rakyat baru-baru ini. "Untuk membanteras isu penyeludupan dengan berkesan, saya berharap semua agensi yang terlibat termasuklah APMM, Kastam, dan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dapat bekerjasama, manakala masyarakat pula perlu membantu dengan menyalurkan maklumat yang berkaitan kepada pihak berkuasa," katanya. Untuk memastikan APMM dapat menjalankan tugas dengan lebih mantap dan berkesan, Abdul Ghapur berharap kerajaan dapat membekalkan lebih banyak lagi aset kepada agensi itu yang bertugas mengawal sempadan perairan negara, terutamanya di perairan pantai timur Sabah. "Kita berharap kerajaan akan mempertimbangkan perkara ini. Jika boleh, kita juga berharap bidang kuasa Maritim turut diperluaskan kerana saya difahamkan bahawa ketika ini mereka tidak memiliki kuasa untuk membuat tangkapan selain di kawasan laut," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan