Isnin, 20 Oktober 2014

SPRM bebas siasat Polis terbabit rasuah- KPN

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memberi akses penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)untuk menyiasat anggotanya yang terlibat dengan kesalahan rasuah, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar. "Polis tidak pernah melindungi mana-mana anggota dan pegawai polis yang terlibat dengan rasuah, jika ada kami akan serahkannya kepada SPRM untuk tindakan segera," kata beliau. Katanya 273 anggota polis ditangkap kerana disyaki menerima rasuah dalam tempoh tiga tahun sejak 2012 sehingga September tahun ini. Daripada jumlah itu, 43 anggota didakwa di mahkamah manakala 168 lagi masih disiasat, katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat delegasi SPRM di Dewan Theatrette, Menara 1, Bukit Aman, di sini, Isnin. "Memang daripada dahulu lagi polis serah kepada SPRM untuk siasatan manakala polis pula lebih kepada siasatan berkaitan salah laku dan prosedur standard," katanya. Kadar peratusan polis menerima rasuah menurun dalam jangka masa tiga tahun selepas indeks jenayah menurun 12.4 peratus, kata Khalid sambil tidak menolak kemungkinan wujud persepsi negatif orang awam terhadap pihak berkuasa apabila dikaitkan dengan rasuah. "Kesalahan rasuah bukan sahaja berlaku kepada polis malahan melibatkan mana-mana agensi yang mempunyai pegawai dan anggota penguat kuasa. Pada masa sama, terdapat 17 kes tahun ini, melibatkan 50 anggota dan pegawai yang cuba disogok dengan rasuah tetapi menolaknya dan daripada jumlah itu, 36 anggota polis mendapat penghargaan kerana bersikap amanah menolak rasuah untuk tempoh April sehingga Sept tahun ini. Khalid berkata daripada 17 kes itu, sebanyak 22 pemberi rasuah kepada anggota polis yang terdiri daripada orang awam, ditahan. Sementara itu, polis turut bekerjasama dengan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) yang memantau SPRM dalam memerangi rasuah. Pengerusi PPPR Tan Sri Johan Jaafar dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed turut menyertai lawatan itu yang merupakan sebahagian daripada program penglibatan SPRM dengan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan untuk bertukar-tukar maklumat dan pandangan mengenai pendekatan menangani isu rasuah. Hasil pertemuan itu, PPPR meminta pihak polis melipatgandakan usaha membasmi rasuah, selain itu bersetuju dalam program termasuk 'Program Jabatan Angkat' bertujuan memberikan konsultasi dan bimbingan kepada mana-mana bahagian atau unit yang bermasalah untuk tempoh yang ditetapkan. SPR

Tiada ulasan:

Catat Ulasan