Sabtu, 19 April 2014

Lebih 10,000 beri penghormatan terakhir pada mendiang Karpal Singh

Lebih 10 ribu orang membanjiri Dewan Sri Pinang di sini hari ini untuk memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Karpal Singh yang maut dalam kemalangan jalan raya Khamis lepas. Suasana sedih dan suram menyelubungi perkarangan dewan itu yang dihadiri segenap lapisan masyarakat seawal pukul 8 pagi bagi memberi penghormatan kepada mendiang yang lebih dikenali sebagai 'Tiger of Jelutong'. Upacara penghormatan itu dimulakan oleh orang awam pada 9 pagi, diikuti kepimpinan kerajaan negeri, anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, wakil-wakil parti politik, kumpulan profesional dan persatuan agama. Turut memberi penghormatan terakhir kepada mendiang ialah Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff, diiringi Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng serta barisan exco kerajaan negeri dan kepimpinan DAP. Upacara sembahyang agama Sikh oleh anggota keluarga diadakan di Dewan Sri Pinang sebelum mayat Karpal Singh yang diletakkan di dalam keranda yang diselimuti hamparan bergambar harimau diusung oleh anak-anak dan keluarga terdekat mendiang keluar dari dewan itu. Perarakan membawa jasad mendiang Karpal Singh menggunakan van dari Dewan Sri Pinang ke Krematorium Batu Gantung pada pukul 11.30 pagi itu kemudian membuat tiga 'persinggahan bermakna' bagi membolehkan sesi fotografi dijalankan. Tiga persinggahan itu ialah kompleks Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, tempat mendiang bertugas sebagai peguam; Bangunan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, lokasi beliau memulakan kerjaya politiknya; dan St Xavier's Institution, sekolah lama Karpal Singh. Upacara pengebumian anggota Parlimen Bukit Gelugor itu diberi penghormatan negeri dan bendera negeri Pulau Pinang dikibar setengah tiang bermula tarikh kematiannya hingga hari persemadian. Terdahulu, kediaman Karpal Singh di 144A, Jalan Utama di sini, dipenuhi saudara mara, sahabat handai, kenalan dan orang awam serta pihak media seawal 6 pagi. Upacara sembahyang agama Sikh secara tertutup oleh anggota keluarga berlangsung pada kira-kira 7 pagi sebelum mayat mendiang dibawa keluar setengah jam kemudian untuk dibawa ke Dewan Sri Pinang dengan anggota keluarga terdekat. Karpal Singh maut dalam kemalangan pada 1.10 pagi di Km306.1 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Gua Tempurung, di Kampar, Perak. Turut terbunuh dalam kemalangan di laluan utara itu ialah pembantu peribadi beliau, Michael Cornelius. -- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan