Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari
ini memberi jaminan usaha mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 akan diteruskan, walaupun terdapat rancangan operasi berkenaan akan dibincang dan dibuat penilaian semula.
Katanya pasukan operasi mencari di bawah seliaan Pusat Penyelarasan
Agensi Bersama (JACC) yang ditubuhkan Australia dan pihak terbabit,
bagaimanapun menimbang pendakatan lain, termasuk meluaskan skop
pencarian dan menggunakan aset lain yang mungkin relevan dengan
pencarian itu yang memasuki hari ke-43 Sabtu.
Selain terus menggunakan kapal selam mini Bluefin-21 untuk kerja
mencari di dalam air, pihak berkuasa Malaysia kini mengkaji kemungkinan
menambah penggunaan aset komersial dalam operasi itu, katanya pada
sidang akhbar berhubung perkembangan usaha mencari pesawat berkenaan di
sini.
Sebelum ini, Perdana Menteri Australia Tony Abbot berkata operasi
mencari itu akan dibincang dan dinilai semula sekiranya tidak terdapat
perkembangan baharu "dalam masa beberapa hari lagi".
"Di sini, syarikat seperti Deftech, DRB, Boustead dan beberapa syarikat
Malaysia telah bertemu dan berbincang dengan rakan mereka dari luar
negara berhubung cara bagaimana kita boleh menambah AUV (kenderaan dalam
air autonomi) untuk membantu usaha mencari," kata Hishammuddin.
-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan