Selasa, 28 Januari 2014

ADUN Kajang khianat kepercayaan rakyat...

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mendakwa wakil rakyat PKR Lee Chin Cheh telah mengkhianati kepercayaan pengundi apabila meletak jawatan sebagai anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang semalam. Gabungan itu menegaskan ini kerana Lee baru sahaja menjadi wakil rakyat selama lapan bulan. Langkah itu telah menjejaskan amalan demokrasi kerana ia menyokong tanggapan salah kononnya pilihan raya di Malaysia lebih memihak kepada parti-parti politik dan ahli politik daripada mengenai rakyat, menurutnya. "Alasan bagi peletakan jawatan Lee, dilaporkan dalam media adalah "untuk kebaikan PKR secara menyeluruh", mencerminkan penghakiman lemah di pihak dirinya serta parti diwakilinya. "Mengejutkan bahawa PKR bersetuju dengan peletakan jawatan oleh Lee dan telah menamakan Penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon dalam pilihan raya kecil (akan datang). Ini menunjukkan politik kotor dan patut dikutuk," menurut Bersih dalam kenyataan di sini hari ini. Gabungan itu mengulas langkah Lee mengosongkan kerusi itu semalam, dan langkah itu, seperti didakwa beberapa pemerhati, sebagai langkah memberi laluan kepada Anwar untuk menyertai Dewan Undangan Negeri Selangor. Anwar, yang juga anggota Parlimen Permatang Pauh dan Ketua Pembangkang, dikatakan akan mengantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor akan datang. Bagaimanapun, dalam sidang akhbar hari ini, Anwar menafikan kerusi DUN Kajang dikosongkan bagi tujuan membolehkan beliau memegang jawatan Menteri Besar Selangor, kononnya bagi meredakan pertelingkahan antara Abdul Khalid dan Pengerusi PKR Selangor Azmin Ali. Gabungan itu menyatakan pihaknya kesal kerana pilihan raya kecil perlu diadakan dan wang rakyat akan dibazirkan hanya untuk "memenuhi hasrat dan impian" beberapa orang. Sementara itu Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Dr Jeniri Amir berkata langkah Adun itu juga jelas tidak bertanggungjawab kerana lebih mengutamakan agenda parti dan telah membuang masa dan wang rakyat. "Sekiranya (Ketua Pembangkang dan Penasihat PKR Datuk Seri) Anwar Ibrahim mahu mengambil alih dan kemudian menjadi Menteri Besar Selangor, ia memperlihatkan wajah sebenar beliau dan parti tersebut. "Tindakan itu membayangkan agenda peribadi itu lebih penting dari rakyat dan mewujudkan persoalan adakah beliau dapat menumpukan perhatiannya sebagai Adun (dan anggota Parlimen) di dua kawasan dan kemudian sebagai Menteri Besar," katanya kepada Bernama. Beliau berkata tindakan parti politik itu tidak bagus untuk masa depan demokrasi Malaysia kerana ia perlu bersandarkan pada suara rakyat dan bukan undi untuk kepentingan peribadi atau memberi tempat untuk pemimpin tertentu. Anwar hari ini dinamakan PKR sebagai calon, seandainya pilihan raya kecil diadakan untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang yang dikosongkan Lee. Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika mengumumkan perkara itu berkata pemilihan Anwar dibuat selepas dipersetujui Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang bermesyuarat pagi ini. Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia Dr Azmi Hassan berkata tindakan Anwar untuk bertanding di DUN Kajang dilihat untuk menyelesaikan masalah dalam parti PKR Selangor itu sendiri dan mengambil jalan tengah iaitu beliau sendiri menjadi menteri besar. "Langkah yang diambil Anwar tidak menghairankan atau mengejutkan kerana ini dilihat sebagai langkah terakhir untuk menyelamatkan parti tersebut dari berubah kepada keadaan yang lebih teruk. "Adalah tidak adil untuk mempergunakan pengundi di Kajang dan mereka perlu memikirkan apakah mereka itu rela dipergunakan," katanya. Bekas anggota Parlimen Tasek Gelugor, Pulau Pinang Datuk Seri Dr Ibrahim Saad juga mempersoalkan tindakan Anwar dan kebolehannya sekiranya beliau menang dalam pilihan raya kecil itu. Beliau yang pernah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang semasa Umno negeri di bawah pimpinan Anwar, menyifatkan Anwar sebagai seorang yang banyak mempunyai rancangan dan agenda peribadi. "Berkemungkinan Anwar telah bertukar alamatnya iaitu di Selangor dan membenarkan beliau bertanding di kawasan itu seperti yang tertulis di dalam undang-undang dan Anwar juga pernah menggunakan alamat rumah saya di Permatang Pauh untuk bertanding bagi menjadi wakil rakyat kawasan itu," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan