Selasa, 28 Januari 2014

PAS Selangor belum tentu terima Anwar sebagai Menteri Besar

PAS Selangor tidak semestinya menerima Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai menteri besar (MB) malahan akan meletakkan wakilnya sekiranya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melepaskan jawatan tersebut, kata Mohd Khairudin Othman. Menurut setiausaha PAS Selangor itu, selagi tidak timbul isu penggantian menteri besar, parti Islam itu hanya menjadi pemerhati sahaja. “Namun sekiranya berlaku kekosongan pada jawatan MB, maka PAS Selangor akan mengambil bahagian dalam menentukan siapa calon yang akan diterima oleh rakyat dan PAS Selangor akan turut menghantar senarai calon MB yang dirasakan layak dan sesuai. “Ini termasuk menamakan Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Samad sebagai calon utama kita,” katanya dalam satu kenyataan. Kenyataan dikeluarkan selepas sidang media PKR pagi tadi yang turut disertai wakil PAS dan DAP yang memaklumkan Anwar akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang selepas dikosongkan. Semalam bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang Lee Chin Cheh meletakkan jawatan kerana dikatakan mahu memberi laluan kepada Anwar yang mahu menggantikan Abdul Khalid sebagai menteri besar Selangor. Menurut Mohd Khairudin, pihaknya mengikuti perkembangan politik di Selangor secara langsung dan berhati-hati. “Kita akan menghantar nama ini untuk pertimbangan PAS Pusat dan terserah kepada kepimpinan pusat untuk menentukannya kemudian. Mengapa kita hantar calon kita? Kerana kita juga memiliki kerusi terbanyak dalam DUN,” katanya. “Apa pun keputusan kita dalam Pakatan Rakyat (PR) kita yakin ia mestilah membawa kepada kestabilan kerajaan negeri Selangor yang dipimpin oleh PR,” katanya. PKR hari ini mengesahkan akan meletakkan Anwar sebagai calon bagi kerusi DUN Kajang yang dikosongkan oleh Lee semalam. Keputusan itu diumumkan oleh Abdul Khalid di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, Selangor hari ini. “Parti Keadilan dan Pakatan Rakyat setuju meletakkan calon Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan bertanding di Kajang,” kata Abdul Khalid. Petikan The Malaysiainsider.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan