Sabtu, 29 November 2014

Pelan strategik bagi menjayakan agenda peremajaan UMNO perlu disediakan-Hishammuddin

Satu pelan strategik perlu disediakan segera bagi menjayakan agenda peremajaan Umno untuk menarik minat generasi muda, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Hishammuddin, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Usul Perhimpunan Agung Umno 2014, berkata kewajarannya supaya konsep peremajaan parti bukan hanya berkisar pada usia atau jawatan semata-mata. "Sebagai Naib Presiden saya bersetuju, agenda peremajaan wajib dijadikan agenda utama parti," katanya dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Umno 2014 di sini hari ini. Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan dasarnya pada Khamis, mengumumkan beberapa langkah peremajaan termasuk membuka pendaftaran keanggotaan secara terus secara online dan mewujudkan generasi pewaris kepimpinan masa depan Umno atau Jil-Umno. Beliau berkata langkah peremajaan dan kemudahan pendaftaran anggota baharu Umno adalah sebahagian daripada proses program transformasi parti yang dilaksanakan sejak 2009. Hishammuddin berkata sebelum ini Umno telah melaksanakan pelbagai perubahan termasuk penghapusan kuota untuk bertanding, penambahan perwakilan automatik ke perhimpunan agung dan penurunan kuasa memilih kepada akar umbi dengan jumlah yang lebih besar. Umno juga telah melaksanakan transformasi dalam penghapusan yuran dan dalam mempermudahkan penyertaan anggota, katanya. Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan, turut mengumumkan kelulusan peruntukan RM100 juta untuk membaik pulih rumah keluarga angkatan tentera darat, laut dan udara, sebagai menghargai perjuangan mereka dalam menjamin keamanan negara. "Usaha pemantapan sektor keselamatan dan pertahanan negara akan direncana secara strategik dalam Pelan Pembangunan Rancangan Malaysia ke-11. "Ia penting kerana kita berhadapan dengan ancaman bentuk baharu yang menuntut kita memperkasakan aset dan kelengkapan," katanya. Hishammuddin berkata kementeriannya akan bekerjasama rapat dengan Persatuan Veteran Tentera Malaysia, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) dalam usaha penambahbaikan kebajikan bekas perajurit bagi membela golongan itu. Sementera itu Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata peremajaan parti bukan sekadar menggantikan orang lama dengan orang muda, sebaliknya diterjemahkan dalam konteks menyeluruh. Mengambil contoh pilihan raya umum di India untuk jawatan perdana menteri yang ditandingi calon berusia 64 tahun dan seorang lagi calon berusia 40 tahun baru-baru ini, beliau menegaskan faktor mesra golongan muda dengan memanfaatkan teknologi baharu dan media sosial membolehkan calon 64 tahun daripada Bharatiya Janata Party (BJP) menewaskan pesaingnya yang jauh lebih muda. "Peremajaan itu tidak semata-mata pada umur, peremajaan itu dalam konteks yang lebih menyeluruh. Bila tengok cara mereka (calon di India) berkempen, calon lama telah membawa diri macam orang muda dengan menggunakan media sosial, Facebook, Twitter dan polisi yang mesra orang muda, cergas dan dinamik. "Calon muda pula tak tunjuk keremajaannya, tidak melibatkan diri di media sosial, polisi pun ditakuk lama, akhirnya gelombang pengundi muda yang tentukan keputusan pilihan raya tersebut telah memberi sokongan kepada calon umur 64 tahun," katanya dalam ucapan penggulungan. Khairy turut memberi contoh Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak, yang disifatkannya telah melalui proses peremajaan apabila mempunyai ramai pengikut di media sosial, termasuk mengikuti trend semasa bergambar 'selfie'. "Bukan saya minta pemimpin-pemimpin lama, ketua-ketua bahagian pakai seluar ketat, baju sendat dan sarung kaki merah jambu macam saya, itu bukan autentik, itu dah lunatik. Peremajaan itu juga tidak terhad kepada orang muda dalam Umno, orang lama dalam Umno saya yakin boleh melakukan peremajaan tersebut," katanya. Menteri Belia dan Sukan itu turut menegaskan peremajaan tidak seharusnya menjadi platform mudah bagi pemimpin muda untuk dilantik bagi apa-apa jawatan, sebaliknya mestilah berdasarkan kelayakan. "Peremajaan tak bermakna laluan percuma orang muda dilantik itu dan ini... kalau tak layak memang tak layak. Kalau kita layak kita patut menerimanya. Buat kerja dengan baik, tolong bahagian kuatkan parti dan kalau ada rezeki Alhamdulillah. "Itu yang kami faham tentang peremajaan, bukan rampasan kuasa. Itulah yang kita faham cara orang Melayu yang penuh dengan kesabaran dan hormat kepada orang lama," katanya. Khairy berkata gandingan pemimpin lama dan baharu diperlukan bagi terus memperkukuh dan mengarusperdanakan parti supaya dapat meraih kembali sokongan rakyat khususnya orang muda.BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan