Rabu, 26 November 2014

Video kekejaman IS akan ditayangkan para sesi penggulungan PAU

Video dan foto kekejaman kumpulan militan Islamic State (IS) akan ditayang kepada perwakilan semasa sesi penggulungan Perhimpunan Agung Umno 2014, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Beliau berkata langkah itu bagi memberi peringatan bahawa ancaman kumpulan militan berkenaan benar-benar wujud dan perlu dicegah. "Kita nak tunjuk yang kalau tak bersatu-padu, inilah jadinya. Ancaman ini adalah benar. Jika mereka boleh membunuh orang Islam, mereka juga boleh membunuh bukan Islam. Inilah yang kita mahu cegah daripada berlaku di Malaysia," katanya kepada pemberita selepas bertemu pemimpin Hamas di Pusat Dagangan Dunia Putra pada Rabu. Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata demikian bagi mengulas Kertas Putih 'Ke Arah Menangani Ancaman Kumpulan Islamic State (IS)' yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen. Kertas Putih itu, antara lain, mencadangkan undang-undang baharu bagi membanteras pembabitan rakyat Malaysia dalam aktiviti militan dan keganasan selain memperkasa beberapa undang-undang keselamatan sedia ada. Jelas Ahmad Zahid, penayangan video dan gambar kekejaman IS itu bukanlah bertujuan menakut-nakutkan rakyat sebaliknya mahu mereka sedar akan bahaya yang boleh dicetus kumpulan militan berkenaan. Katanya, ini kerana IS bekerjasama dengan kumpulan militan di selatan Filipina, Abu Sayyaf, dan telah berbai'ah mengenainya. Sementara itu, ketika ditanya tentang dakwaan wujudnya percanggahan pendirian antara presiden dan timbalan presiden Umno berkaitan isu sekolah satu aliran, Ahmad Zahid menafikan perkara berkenaan. Beliau berkata apa yang dimahukan Tan Sri Muhyiddin Yassin bukanlah mewujudkan sistem persekolahan satu aliran, sebaliknya kembali kepada sistem pendidikan nasional yang termaktub dalam Penyata Razak dan Penyata Rahman Talib. " ...untuk menjadikan institusi persekolahan sebagai institusi yang mengintegrasikan rakyat Malaysia keseluruhannya. Dan ini tidak bermakna bahawa sekolah alirannya pelbagai dijadikan satu aliran," katanya. Beliau berkata Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan, mahu Bahasa Melayu diperkasa sebagai bahasa perpaduan di sekolah rendah dan menengah. Terdahulu, Ahmad Zahid mengadakan pertemuan selama sejam dengan pemimpin Hamas yang diketuai Ketua Hal Ehwal Politik Mohammad Naser bagi membincangkan isu berkaitan kebajikan dan pendidikan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan