Rabu, 24 April 2013

Pengalaman di Parlimen bantu kemenangan-Mukhriz

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata beliau yakin rakyat dapat menilai sumbangannya sepanjang lima tahun sebagai Anggota Parlimen Jerlun untuk terus memilih beliau sebagai wakil rakyat. Beliau yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Ayer Hitam berkata pengundi kawasan itu, satu daripada dua kerusi Dun dalam Parlimen Jerlun, boleh menilai sejauh mana sumbangannya terhadap kawasan berkenaan dan tidak akan mudah terpedaya dengan pakatan pembangkang. ” Kita ambil satu isu, mengenai pembinaan Masjid Telaga Batu… ini jelas menunjukkan betapa rakus kerajaan Pas nak ambil nama,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Telaga Batu, Sungai Korok dekat sini hari ini. Mukhriz berkata kerajaan negeri menyatakan masjid tersebut dibina sewaktu pemerintahan mereka sedangkan rakyat tahu bahawa pembinaan masjid berkenaan sebenarnya mendapat peruntukan daripada kerajaan persekutuan hasil usaha wakil rakyat BN. “Lepas itu timbul isu kata kerajaan guna duit rakyat untuk bina masjid berkenaan. Ya, saya mengaku memang guna duit rakyat tapi yang pentingnya siapa yang uruskan amanah itu secara berhemah? “Mereka (kerajaan negeri) guna RM1.5 juta sebagai dorongan kepada menteri di sebuah negara asing untuk beri konsesi balak, tapi kita guna RM1.5 juta untuk buat masjid,” katanya. Beliau berkata kerajaan negeri juga dilihat lemah apabila mengumumkan 12 masjid dibina sejak 2008, sedangkan sebenarnya 22 masjid dibina (menerusi usaha kerajaan persekutuan). “Mereka sendiri tak tau, walhal mereka kerajaan negeri… sebabnya mereka tak buat, kalau dia (kerajaan negeri) yang buat takkan boleh silap angka,” katanya. Mukhriz hari ini memulakan siri lawatannya ke setiap PDM dalam Dun itu bagi memastikan jentera parti bergerak di tahap optimum dalam tempoh berkempen ini. Katanya pihaknya akan segera menyelesaikan lawatan ke 18 PDM di samping mengambil kesempatan menyampaikan pesanan kepada pengundi-pengundi mengenai cabaran yang dihadapi menjelang PRU kali ini. “Saya juga ambil kesempatan ini untuk berpesan kepada jentera parti supaya masuk ‘gear lima’ dah. Setakat ni saya berpuas hati sebab sampai pukul 1 pagi pun pondok-pondok BN masih aktif,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan