Khamis, 21 Mac 2013

HINA ANGGOTA KESELAMATAN TIDAK LAYAK JADI WARGA NEGARA

Mereka yang memperlekeh atau menghina anggota pasukan keselamatan yang menjaga keamanan dan keselamatan negara tidak layak menjadi warganegara Malaysia. Menurut bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, tindakan menghina atau memperlekehkan anggota pasukan keselamatan yang berkorban demi negara menunjukkan seseorang itu tidak menghormati kedaulatan negara ini. "Kalau pasukan keselamatan diperlekehkan, maka tiada semangat patriotik, seseorang itu tidak layak menjadi warganegara di negara ini," katanya. Mereka yang menjadi warganegara sesebuah negara, perlulah cinta dan sayangkan negara itu malah sanggup mati untuk negaranya.
"Kalau pasukan keselamatan yang berkorban menjaga kedaulatan negara menjaga keamanan negara pun dihina, tidak mustahil jika kita mendapat ancaman lebih besar, mereka yang menghina pasukan keselamatan kita akan berpaling tadah kepada musuh," katanya.
Seorang lagi anggota panel program anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Pahang itu, bekas Panglima Medan Tentera Darat, Lt Jen (B) Datuk Seri Zaini Mohd Said berkata, tindakan pihak tertentu yang menghina dan memperlekehkan pasukan keselamatan tidak ubah seperti duri dalam daging. "Kita sepatutnya menyokong apa yang dilakukan pasukan keselamatan yang menjaga kedaulatan negara kita. Anggota pasukan keselamatan juga manusia, apabila mereka diperlekehkan, sudah tentulah akan timbul jua keraguan mereka ketika di perbatasan. "Malah terdapat bekas bos yang turut mengutuk mereka (merujuk kepada pegawai kanan tentera menyertai parti pembangkang dan memperlekehkan anggota tentera),ini akan meruntuhkan moral mereka di perbatasan," katanya. Dalam perkembangan berkaitan, Musa dan Zaini turut berkongsi pendapat supaya pasukan risikan dan peralatan pasukan keselamatan ditingkatkan. Isu keselamatan dan keperluan peralatan keselamatan bukanlah sesuatu perkara yang perlu dipolitikkan oleh mana-mana pihak. "Peralatan yang canggih diperlukan, kita harap kerajaan dapat membeli peralatan yang lebih canggih bagi memantapkan lagi kawalan keselamatan negara kita," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan