Khamis, 20 Mei 2010

TPM turun padang bersama rakyat KL


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan ’berada di atas padang bersama rakyat’, melancarkan program Juara Rakyat peringkat Wilayah Persekutuan pada Sabtu 22 Mei.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, kelainan program kali ini ialah Muhyiddin akan menaiki bas, makan nasi lemak santai bersama rakyat dan hadir pada majlis perkahwinan serentak tiga pasangan Melayu, Cina dan India mengikut adat resam masing-masing.

’’ Pemimpin Barisan Nasional (BN) bukan sahaja turun padang tetapi sentiasa berada di atas padang bersama rakyat untuk menjadi pembela dan menjuarai kehidupan rakyat.,’’ katanya pada sidang media mengenai pelancaran program Juara Rakyat Wilayah Persekutuan hari ini.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, program Juara Rakyat sangat penting kerana BN mahu meneruskan tradisi mengutamakan rakyat sebagai nombor satu dan BN juga nombor satu di hati rakyat.

Dalam politik, tegas beliau, persaingan adalah untuk mendapat nombor satu dan menjadi juara.

’’Tidak ada istilah naib juara dalam politik. Sebab itu rakyat mesti diutamakan. Banjir, kebakaran dan apa sahaja masalah serta aduan rakyat, BN mesti menjadi juara., mesti sampai dulu dan membantu rakyat,’’katanya.

Ahmad memberitahu, seramai 15,000 rakyat pelbagai kaum dijangka hadir pada program yang julung kali sambutan acara dikendalikan sendiri oleh Barisan Nasional Bahagian, bermula dengan Parlimen Titiwangsa, Setiawangsa dan Bandar Tun Razak.

Seawal 8.30 pagi, Muhyiddin akan bersarapan nasi lemak dan kopi o santai bersama kira-kira 7,000 warga kota, pemimpin komponen BN dan ahli Majlis Tertinggi UMNO yang menjadi bapa angkat program Juara Rakyat parlimen-parliman Wilayah Persekutuan, di Perumahan Rakyat (PPR) Perkasa, Jalan Nakhoda, off Jalan Cochrane.

“Pengerusi BN Wilayah Persekutuan itu akan menyampaikan ucapan pada 9.30 pagi, disusuli pemberian bantuan kepada 350 rakyat miskin dan warga kurang upaya Melayu, Cina dan India. Selepas itu melancarkan program gunting rambut percuma lepasan Giat Mara dan melawat pameran.

“ Pada 11 pagi,Timbalan Perdana Menteri bersama pemimpin komponen BN yang lain akan menaiki bas ke PPR Sungai Bonus. Di situ beliau akan menyertai majlis ramah mesra bersama 3,000 warga kota dari kawasan parlimen Setiawangsa dan melancarkan pertandingan English On Wheels kanak-kanak, memasak, melukis dan gubahan dewasa,’’ katanya.

Timbalan Presiden, tambah beliau, akan singgah di Masjid Az-Zubair Ibnu Awam, BandarTun Razak Cheras untuk sembahyang Zohor sebelum menghadiri majlis persandingan tiga pasangan pengantin Melayu, Cina dan India di Bandar Tun Razak, sesuai dengan Gagasan 1Malaysia, elemen yang diutamakan dalam program Juara Rakyat.

Ahmad memberitahu, majlis persandingan mengikut adat resam masing-masing, julung kali diadakan serentak. Muhyiddin akan menyempurnakan acara merenjis bagi pengantin Melayu, disusuli acara minum teh bagi pengantin Cina dan acara khas bagi pengantin India sebelum bersama-sama 5,000 penduduk menghadiri jamuan makan tengahari.

Menjawab pertanyaan media, Ahmad berkata, program Juara Rakyat Wilayah Persekutuan adalah yang kelima dilancarkan, selepas kejayaan pelancaran di Kedah, Perak dan, Kelantan.

Program Juara Rakyat peringkat kebangsaan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak di Bukit Beruntung, Hulu Selangor pada 9 Januari 2010. Ia menarik seramai lebih 20,000 pengunjung.

Beliau menjelaskan. program Juara Rakyat sudah dilaksanakan di hampir semua UMNO Bahagian melibatkan 191 bahagian setiap bulanan.

“Ia berjaya merapatkan interaksi antara kaum dan antara pemimpin politik dengan rakyat setempat, selain memberikan manfaat ilmu, pendidikan, sukan serta pengisian kerjaya kepada pengunjung,’’ katanya .

Program Juara Rakyat juga, ujar beliau, membuka peluang kepada usahawan tempatan dan golongan muda mempamer serta memasarkan keluaran produk masing-masing.

Tambah beliau, tema-tema bulanan mempelbagaikan skop program dan aktiviti yang berbeza setiap bulan .

Ahmad menegaskan, adalah penting semua UMNO bahagian melaksanakan program Juara Rakyat mengikut tema dan format dua hari satu malam, melibatkan komponen Gagasan 1Malaysia iaitu penglibatan parti-parti komponen BN, seperti yang telah diputuskan oleh Majlis Tertinggi UMNO.

Katanya,tempoh itu, tidak semestinya berturutan. Program sebelah malam adalah ceramah atau forum yang dikendalikan bersama oleh Biro Penerangan UMNO.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan