Rabu, 20 April 2016

MALAYSIA TIDAK PERLU CAMPUR TANGAN ASING UNTUK MENENTU HALA TUJU NEGARA

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan bahawa Malaysia tidak memerlukan campur tangan asing untuk mencorak dan menentukan hala tuju negara. Beliau berkata urusan dalam negara selayaknya ditentukan oleh rakyat sendiri kerana formula itu telah terbukti berjaya. "Kita jangan minta orang asing campur tangan dalam hal urusan kita. Biarlah urusan dalam negera ditentukan oleh rakyat sendiri," katanya ketika berucap merasmikan Minggu Amanah Saham Malaysia (MASM) 2016 di Stadium Mini Tapah. Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa. Najib memberikan contoh Permodalan Nasional Bhd (PNB) merupakan antara institusi yang boleh dibanggakan kerana bukan sahaja berjaya memiliki pelbagai hartanah di kawasan tertentu dalam negara, malah di seberang laut. "Inilah (PNB) salah satu kejayaan kita selama ini yang boleh kita banggakan, (hartanah) yang dulunya dimiliki oleh orang asing di London dan sebagainya sekarang ini dimiliki oleh rakyat Malaysia," katanya. Najib yang juga Menteri Kewangan berkata contoh kejayaan Malaysia yang dibentuk mengikut acuan tersendiri adalah Malaysia Airport Holdings Bhd (MABH) yang menjadi pemilik penuh dan pengendali Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha GGokcen di Istanbul, Turki. "Lapangan terbang ini telah mencatat pertumbuhan yang paling pantas di Eropah selama lima tahun berturut-turut," katanya. Selain itu perdana menteri berkata Malaysia perlu mempunyai strategi tersendiri untuk menjadi juara di peringkat rantau serta global dan bukannya hanya memikirkan soal tempatan. "Inilah intipati kepada perjuangan kita, tetapi akhirnya kita mesti kembali tentukan destini kepada perjuangan dan masa depan sendiri," katanya. MASM 2016 yang bertemakan 'Pelaburan 360 PNB' berlangsung selama sembilan hari mulai hari ini dan pelbagai pameran serta aktiviti pendidikan pelaburan disediakan kepada para pengunjung.

SPRM TAHAN BEKAS SUB BERKAITAN KES PENGUBAHAN WANG HARAM

Bekas setiausaha bahagian sebuah kementerian, yang sebelum ini didakwa berkaitan kes salah guna kedudukan dan membuat tuntutan palsu membabitkan nilai RM38.4 juta, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berkaitan kes pengubahan wang haram. Turut ditahan bersama suspek dipercayai berkaitan pengubahan wang haram bernilai lebih RM17 juta ialah tiga individu termasuk sepasang suami isteri. Menurut sumber SPRM, kesemua mereka yang berusia antara 35 dan 57 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM di sini antara pukul 3.30 petang dan 6.30 petang. Tiga individu itu merupakan kontraktor dan pemilik syarikat. Sumber itu berkata, suspek dijangka didakwa di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001 di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kuala Lumpur, esok. Bekas setiausaha bahagian kementerian itu merupakan antara sembilan individu yang disiasat oleh SPRM berhubung sindiket penyelewengan dana kerajaan bernilai RM107 juta.

Selasa, 19 April 2016

TAHNIAH DATO SRI JOHARI BAHAROM

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Mohd Johari Baharum mendahului senarai 201 penerima darjah kebesaran dan pingat sempena ulang tahun keputeraan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar di sini, hari ini. Beliau antara 11 penerima Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri. Istiadat penganugerahan darjah kebesaran dan pingat peringkat pertama itu disempurnakan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang diiringi Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Selain Mohd Johari, turut menerima SSAP ialah Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Syed Afendy Ali Syed Abid Ali, Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Datuk Azzuddin Ahmad, Pengarah Urusan Seri Omega Private & International School Datuk Dr Ooi Chun Yen dan Pengasas Kumpulan Perniagaan Asturi Metal Builders (M) Sdn Bhd Datuk Md Sharif Shamsuddin. Penerima lain SSAP ialah Pengarah Eksekutif Boustead Holdings Berhad Datuk Ghazali Mohd Ali, Pengarah EN Tie Enterprise Sdn Bhd Datuk Lum Ik Kin, Pengarah WM Development Sdn Bhd Datuk Tan Them Hing, Pengarah Urusan Ho Hup Company Sdn Bhd Datuk Mohamad Nasir Abdul Rahim, Pengarah Eksekutif Berjaya Corporation Bhd Datuk Azlan Meah Ahmad Meah dan bekas Ketua Pergerakan Pemuda MIC Kuantan Datuk A Selvakumar. Lima individu dikurniakan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah (DSAP) yang membawa gelaran Datuk termasuk Anggota Lembaga Maahad Tahfiz Pahang Datuk Mahadiah Mohamad, Pengarah Urusan Bahagian Anika Sdn Bhd Datuk Abu Bakar A.Rashid, Setiausaha Bahagian Dasar, Saraan dan Pengurusan Kementerian Kewangan Malaysia Siti Fatimah Daud dan Pengarah Super Coach Holiday Sdn BHd Teo Chooi Seng. Seramai 49 orang pula menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang juga membawa gelaran Datuk termasuk Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri Datuk Yusoff HM Hanif, Ketua Bahagian Guaman Jabatan Peguam Negara Amarjeet Singh, Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Zainol Rahim Zainuddin dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Mohd Sukari Ab Hamid. Turut menerima DIMP ialah Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional L Gandesan, Pengarah Perikanan Pahang Adnan Hussain, Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim, Pengarah Jabatan Imigresen Johor Rohaizi Bahari, Naib Presiden (Usaha Niaga Tenaga) Tenaga Nasional Berhad Datuk Nor Azman Mufti@Jaafar dan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Dr Fathul Bari Mat Jahya. Presiden Persekutuan Hoki Kazakhstan Berikkazy Seksenbayev, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank Berhad John Chong Eng Chuan, Pakar Perunding Kanan Anestesiologi Prince Court Medical Centre Dr Azmil Farid Zabir, Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro Khairul Anwar Salleh, Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Bedah Urologi, Jabatan Urologi Universiti Putra Malaysia Dr Khairul Asri Mohd Ghani dan Pakar Perubatan Am Hospital Miri Dr Fam Tem Lom juga dikurniakan DIMP.
Turut menerima DIMP ialah Timbalan Pengarah Pengurusan Bahagian Dasar Sumber Manusia Ibu Pejabat Polis Bukit Aman DCP Raja Musa Raja Razak, Ketua Pengurusan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia Brigedier Jeneral Dr Mohammad Razin Kamarulzaman, Komander Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman SAC Hazani Ghazali dan Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman SAC Mahamad Akhir Darus. Presiden Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi Malaysia Norashikin Abd Ghani, Pengurus Besar Kumpulan Perladangan FELCRA Bhd Abd Muis Damuri, Timbalan Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Melayu Malaysia Khairul Walid Mohamed dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif CMC Engineering Sdn Bhd Hazwan Alif Abdul Rahman juga dikurniakan DIMP. Sultan Ahmad Shah turut berkenan menganugerahkan Darjah Setia Ahmad Shah (SAP) kepada 10 penerima, Darjah Setia Mahkota Pahang (SMP) kepada 33 penerima, Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP) kepada 9 penerima dan Ahli Mahkota Pahang (AMP) kepada 43 penerima. Selain itu, seramai 11 orang menerima Pingat Khidmat Cemerlang (PKC), 15 penerima Pingat Kelakuan Terpuji (PKT) dan 15 penerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK).

CEPATKAN PERLANTIKAN ANGGOTA PANEL PENILAIAN SPRM

Lembaga Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta kerajaan supaya mempercepatkan pelantikan anggota Panel Penilaian Operasi dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah lembaga itu. Beliau berkata panel berkenaan adalah sebahagian daripada fungsi pemantauan SPRM, oleh itu, pelantikan berkenaan penting bagi mengelak sebarang kesan negatif terhadap suruhanjaya itu. "Kami agak bimbang dan ingin menggesa kerajaan supaya membuat pelantikan itu secepat mungkin supaya SPRM boleh meneruskan tugas dan fungsinya," kata pengerusi lembaga penasihat SPRM Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim kepada Bernama di sini, Selasa. Jawatan dalam kedua-dua panel itu belum diisi sejak 24 Feb lepas setelah anggota panel sebelum ini menamatkan tempoh perkhidmatan masing-masing. Pada masa ini, belum ada pelantikan dibuat bagi kedua-dua panel itu. "Hari ini, laporan tahunan kami dibentangkan tetapi malangnya, kedua-dua panel itu tidak wujud," kata beliau. Tunku Aziz berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak boleh melantik semula anggota lama atau melantik anggota baharu bagi kedua-dua panel itu. "Sebab itulah, pelantikan anggota panel berkenaan penting," katanya sambil memberitahu jika pelantikan itu dilewatkan, kebebasan SPRM mungkin dikompromi. SPRM mempunyai lima panel bebas merangkumi Lembaga Penasihat, Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah, Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Aduan dan Panel Penilaian Operasi.BERNAMA

DAKWAAN THE WALL STREET JOURNAL PALSU

Dakwaan The Wall Street Journal yang melaporkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerima dana daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) adalah palsu. Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad berkata Najib secara konsisten menyatakan dana itu adalah sumbangan daripada keluarga diraja Arab Saudi. "Selepas siasatan menyeluruh, ini telah disahkan oleh pelbagai pihak berkuasa. Terbaru, Menteri Luar Arab Saudi mengesahkan ia adalah sumbangan tanpa mengharapkan apa-apa balasan, dan negara itu sudah menganggap isu berkenaan selesai. "Ini adalah pembohongan yang gagal digunakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menggugat kerajaan yang dipilih secara demokrasi," katanya dalam kenyataan di sini malam ini. Tengku Sharifuddin berkata Dr Mahathir mahu menyelamatkan karier politik anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, mengatasi kepentingan nasional.BERNAMA

UMNO DENGAN PAS PERLU BERSATU DEMI ISLAM

Kerajaan campuran UMNO dan PAS akan memberi banyak kebaikan kepada Malaysia dalam memacu negara ke hadapan serta mengukuhkan Islam, kata pendakwah Islam antarabangsa Dr Zakir Naik. Katanya beliau bukannya mencadangkan dua parti politik Islam utama negara itu bergabung, tetapi adalah lebih baik jika kedua-dua parti politik berkenaan membentuk kerajaan campuran. "Saya bukan hendak memberitahu kedua-dua parti (UMNO dan PAS) perlu menjadi sebuah parti, tetapi jika mereka boleh berbuat demikian, Alhamdulillah...(jika tidak), mereka boleh mengekalkan parti dan identiti masing-masing. "Namun, jika mempunyai kerajaan campuran, ia akan menjadi gabungan untuk orang Islam," katanya pada sidang media selepas menjadi tetamu dalam rakaman program bual bicara TV Al Hijrah, 'Persepsi', di sini, hari ini. Dr Zakir Naik, yang kini menjelajah Malaysia bagi menyampai syarahan agama, dituduh oleh pihak tertentu kononnya ceramah beliau boleh menjejaskan ketenteraman awam dan menyentuh sensitiviti agama lain. Sejak beberapa hari lepas, beliau telah bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden UMNO dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Dr Zakir Naik, dari India, berkata beliau percaya kedua-dua pemimpin parti itu bersedia bekerjasama membentuk kerajaan campuran, dan jika perkara itu menjadi kenyataan ia adalah sesuatu yang terbaik untuk Islam. Bagaimanapun, katanya mungkin ada beberapa pihak di negara ini yang tidak bersetuju dengan pendapatnya dan tidak mahu melihat UMNO dan PAS membentuk kerajaan campuran. Dr Zakir Naik juga mencadangkan supaya lebih banyak program diadakan di negara ini bagi menjelaskan mengenai Islam kepada orang bukan Islam serta menghapuskan sebarang salah faham mereka tentang Islam. Menurutnya pada pertemuan dengan Najib, beliau telah memaklumkan mengenai Persidangan Dunia Islam Dalam Bahasa Inggeris yang diadakan di Mumbai, India, baru-baru ini, dan perdana menteri bertanya sama ada persidangan itu boleh diadakan di Malaysia.BERNAMA

Sabtu, 16 April 2016

POLIS BUKA KERTAS SIASATAN TERHADAP TUN MAHATHIR

Polis telah membuka empat kertas siasatan terhadap bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan sudah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan susulan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar. "Dalam kes-kes tertentu, ucapan Dr Mahathir boleh dianggap melampaui batas kerana mengancam keselamatan dan menuduh seolah-olah tiada lagi demokrasi berparlimen di Malaysia. "Tun Mahathir adalah negarawan yang dihormati. Kita minta dia menghormati perlembagaan Persekutuan dan jangan cuba menimbulkan persoalan-persoalan yang boleh ditakrif mengancam demokrasi berparlimen di Malaysia," katanya. Khalid berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada perbincangan meja bulat dan bengkel permasalahan sempadan di Mess Pegawai Kanan Polis Perlis di sini, hari ini yang dihadiri pegawai kanan polis dari seluruh negara. Program sehari itu dianjurkan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), dirasmikan oleh Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man. Sebelum ini, beberapa laporan polis dibuat pihak tertentu terhadap Dr Mahathir yang sering mengkritik kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak termasuk berhubung isu sumbangan RM2.6 bilion dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).