Khamis, 14 April 2016
LARANGAN MASUK SARAWAK BUKAN HANYA KEPADA PEMBANGKANG
Kerajaan negeri Sarawak tidak memihak kepada mana-mana kelompok atau kecenderungan politik dalam melaksanakan larangan memasuki negeri itu, kata Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.
Beliau berkata insiden empat individu dilarang memasuki negeri itu sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) hari ini menunjukkan sekatan itu bukan dikenakan terhadap pemimpin pembangkang semata-mata.
Menurutnya individu yang dilarang oleh Jabatan Imigresen negeri untuk masuk ke negeri itu terbabit dalam perhimpunan 'baju merah' di Kuala Lumpur pada 16 Sept tahun lepas dan kebetulan mereka adalah ahli UMNO.
"Ini adalah jawapan kepada dakwaan Chong bahawa kami hanya menyekat ahli-ahli pembangkang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan kumpulan syarikat Rimbunan Hijau di sini.
Sebelum ini, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen mendakwa kerajaan negeri itu mengamalkan sikap berat sebelah kerana ia hanya melarang kemasukan pemimpin pembangkang ke negeri itu.
Dalam pada itu, Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu, Datuk Jamal Md Yunos, yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Selangor, bersama-sama tiga lagi individu dilarang memasuki negeri itu sejurus tiba di Kaunter Imigresen LTAK pada jam 11.30 pagi.
Turut dilarang ialah Pengerusi Pertubuhan Gerakan Martabat Pejuang Negara, Mejar (B) Razali Zakaria, Pengerusi Eratkan Perhubungan Antara Negeri Cetuskan Organisasi (EPANCO), Ariffin Abu Bakar dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Melayu Klang, Rahim Ibrahim.
Kesemua individu berkenaan dikatakan datang ke negeri itu bagi membantu jentera Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11) yang dijadual pada 7 Mei ini.BERNAMA
ARAB SAUDI SAHKAN SUMBANGAN DERMA KEPADA PM NAJIB DATANG DARI NEGARA ITU
Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir hari ini mengaku bahawa sumbangan derma kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, memang datang daripada negara itu.
"Kami sedar tentang derma itu dan ia memang benar-benar sumbangan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Dan kami juga sedar bahawa Peguam Negara Malaysia telah menjalankan siasatan teliti mengenai perkara itu dan mendapati tiada salah laku.
"Justeru, setahu kami, isu itu ditutup," katanya kepada wartawan Malaysia di sini Khamis.
Sebelum itu, Adel mengadakan pertemuan dua hala dengan Najib di luar Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-13 di sini.
Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, pada 26 Jan lepas, telah membersihkan Najib daripada sebarang salah laku berkaitan siasatan terhadap SRC International Sdn Bhd dan dana RM2.6 bilion yang dikatakan telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri.
Mohamed Apandi berkata siasatan menunjukkan bahawa jumlah yang dimasukkan ke dalam akaun ialah RM2.08 bilion, dan ia adalah sumbangan peribadi daripada keluarga diraja Saudi pada 2013, dan RM2.03 bilion kemudian telah dipulangkan kepada penderma pada tahun yang sama.BERNAMA
PILIHANRAYA NEGERI SARAWAK 7 MEI- SPR
ke- Pilihanraya umum negeri Sarawak akan diadakan pada 7 Mei dan hari penamaan calon pada 25 April 2016.
Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah mengumumkan tarikh itu selepas mengadakan mesyuarat khas di sini hari ini berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 11 April.
"Dengan ini SPR mengumumkan 14 April sebagai tarikh keluar writ iaitu hari ini, 15 April tarikh notis pilihan raya, 25 April hari penamaan calon, dan 7 Mei sebagai tarikh pengundian," katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu.
Katanya pilihan raya negeri (PRN-11)akan menggunakan senarai daftar pemilih induk 2015 yang telah dikemas kini sehingga 10 April 2016.
PRN-11 diadakan selepas Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubarkan dengan perkenan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud setelah dirujuk Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.
Mohd Hashim berkata 1,879 buah premis akan digunakan sebagai Pusat Mengundi yang mengandungi 2,959 saluran/tempat mengundi dan seramai 20,811 petugas pilihan raya akan dilantik untuk mengendalikan proses pilihan raya ini.
Beliau berkata SPR bersetuju melantik 82 Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi menjalankan pilihan raya di 82 kerusi DUN, di samping menubuhkan Pasukan Penguat kuasa Kempen Pilihan Raya khusus bagi memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen.
"Pilihan raya ini dianggar memerlukan belanjawan sebanyak RM135.6 juta," katanya.
Mohd Hashim berkata SPR juga melantik pemerhati tempatan untuk menjalankan perhatian perjalanan proses PRN bermula daripada hari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya diumumkan.
Beliau berkata para pemerhati itu dilantik dari kalangan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan mereka dibenarkan membuat pemerhatian seperti di pusat penamaan calon, pusat mengundi awal, pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan proses penjumlahan undi di pusat penjumlahan rasmi undi.
"Pemerhati rasmi yang dilantik akan diberikan pas pemerhati, baju dan topi yang perlu dipakai sepanjang membuat pemerhatian itu.
"Dalam hal ini, SPR tidak mengiktiraf mana-mana organisasi dan individu lain selain yang dilantik oleh SPR untuk memantau dan memerhati proses PRN Ke-11," katanya.
Apabila ditanya mengenai penentuan tarikh-tarikh penting itu, Mohd Hashim berkata pelbagai aspek diambil kira termasuk penggunaan premis dan juga 'hari-hari besar' di Sarawak supaya ia tidak bertindih.
Beliau berkata banyak tarikh-tarikh utama PRN disebarkan media namun ia hanya sekadar ramalan penganalisis politik.BERNAMA
Selasa, 12 April 2016
VETERAN UMNO GESA TUN M DIKENAKAN TINDAKAN UNDANG UNDANG
Veteran UMNO meminta kerajaan mengambil tindakan tegas mengikut Akta Hasutan terhadap Tun Dr Mahathir kerana perbuatannya yang cuba mendapatkan campur tangan kuasa asing dalam hal pentadbiran negara.
Setiausaha Veteran UMNO Datuk Mustapha Yaakub berkata tindakan bekas Perdana Menteri itu telah melampaui batas dan jelas menunjukkan beliau dalam keadaan terdesak untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Veteran UMNO tidak mahu kerajaan berkompromi dalam hal kestabilan negara dan tidak sewajarnya membenarkan mana-mana rakyat negara ini mensabotaj negara sendiri.
"Tidak harus ada pertimbangan dan tolak ansur demi maruah negara," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Dalam temu bual dengan akhbar Australia, The Weekend Australian, Dr Mahathir dilaporkan berkata bahawa harapan Najib untuk berundur adalah tipis sekiranya tidak mendapat tekanan pihak luar.
Mustapha berkata sikap Dr Mahathir membuktikan beliau sedang berhadapan dengan satu keadaan pertentangan jiwa di antara rasional dan emosional.
"Tun Mahathir sanggup menjilat ludahnya sendiri dan membelakangi prinsipnya yang suatu masa dahulu amat membenci campur tangan asing dalam hal pentadbiran negara ini.
"Jelas Tun Mahathir bersikap 'double standard'. Beliau tidak mahu kuasa asing campur tangan semasa pemerintahannya, tetapi beliau sendiri yang berusaha mendapatkan pengaruh kuasa asing untuk menjatuhkan Najib," katanya.BERNAMA
SPR MESYUARAT KHAMIS TENTUKAN TARIKH PILIHANRAYA NEGERI SARAWAK
Berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada Khamis, 14 April, bagi membincangkan tarikh pilihan raya negeri ke-11.
Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata mesyuarat akan diadakan di Dewan Muhibbah, Hotel Merdeka Palace di sini pada pukul 9.30 pagi dan akan dipengerusikan Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah.
Mesyuarat itu akan membincangkan tarikh-tarikh bagi hari penamaan calon, hari pengundian awal, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain yang diperlukan untuk mengadakan pilihan raya itu, katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata pengerusi SPR akan mengadakan sidang media selepas mesyuarat itu.
Pilihan raya negeri harus diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri.
Pilihan raya negeri Sarawak ke-11 itu akan menawarkan 82 kerusi Dewan Undangan Negeri untuk ditandingi, tambahan 11 kerusi berbanding pilihan raya sebelum ini pada 2011, selaras dengan langkah persempadanan semula oleh SPR tahun lepas.
Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nassar berkata Sarawak kini di bawah kerajaan sementara mengikut Perlembagaan Negeri apabila terbubarnya DUN Sarawak hari ini.
"Kerajaan sementara akan meneruskan urusan dan berfungsi seperti kerajaan negeri. Tidak banyak beza.
"Namun begitu, kerajaan sementara tidak boleh meluluskan apa-apa projek," katanya kepada Bernama dan RTM di pejabatnya di sini.
Mengikut Artikel 21 (4) Perlembagaan Negeri Sarawak, Asfia berkata dewan akan bersidang dalam tempoh 120 hari bermula dari hari ini.
Dalam tempoh ini, beliau berkata kedudukan ketua menteri dan Jemaah Menteri kekal sehingga kerajaan baharu dibentuk atas perkenan Yang Dipertua Negeri Sarawak.
ISU JATUHKAN MB JOHOR, HALIMAH SADIQUE NAFI TERBABIT
Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohamed Sadique hari ini menafikan beliau antara timbalan menteri dari Johor yang didakwa terbabit dalam gerakan menjatuhkan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Halimah berkata beliau tidak faham bagaimana timbulnya 'cerita-cerita' tidak betul itu sekali gus menyifatkan ia sebagai tindakan yang sengaja mahu mengelirukan rakyat Johor.
"Saya hendak jelaskan, cerita tentang gerakan mahu menjatuhkan Mohamed Khaled adalah cerita tidak betul.
"Kami timbalan-timbalan menteri yang bekerja di Kuala Lumpur membawa mandat rakyat Johor kepada Kerajaan Persekutuan.
"Kami setia kepada Sultan Johor dan negeri Johor. Kenapa timbul langau-langau yang hendak mengelirukan rakyat dan sengaja mencetuskan perbalahan," katanya.
Anggota Parlimen Tenggara itu bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan surat tawaran skim perumahan mampu milik swasta (MyHome) Bandar Dato' Onn, di sini hari ini.
Laporan baru-baru ini menyebut terdapat gerakan diketuai seorang individu untuk menukar Mohamed Khaled sebagai Menteri Besar.
Halimah berkata kepimpinan Mohamed Khaled di Johor dapat dinilai menerusi pelbagai perubahan dan kemajuan yang dicapai negeri ini.
Katanya, segala pembangunan yang dirancang kerajaan negeri di bawah kepimpinan Mohamed Khaled merupakan agenda rakyat dan memahami aspirasi rakyat.
"Jadi, kepada rakyat Johor, janganlah percaya cerita-cerita fitnah ini yang sengaja digerakkan untuk memecah-belahkan perpaduan bangsa Johor," katanya.BERNAMA
Khamis, 7 April 2016
KES 1MDB PENGAJARAN KEPADA KERAJAAN- SALLEH
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) harus menjadi pengajaran kepada kerajaan.
Beliau berkata kerajaan memerlukan pengurus yang profesional, kompeten dan berpengalaman apabila menguruskan wang pembayar cukai.
"Telah banyak kali kita menyaksikan kerugian akibat kelemahan keputusan. Untuk mendepani cabaran, kita perlu menyerahkan tugas itu kepada orang yang berkelayakan. Dan ini harus menjadi strategi yang diamalkan," kata beliau menerusi catatan dalam blog terbaharunya (sskeruak.blogspot.my) di sini, Khamis malam.
Hari ini, siasatan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai 1MDB mendapati struktur pembiayaan modal dan prestasi kewangan syarikat pelaburan itu "kurang memuaskan" menyebabkan kelemahan tadbir urus korporat.
Bagaimanapun, dalam Laporan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB, PAC berkata kerajaan telah mengambil langkah segera untuk memperbaiki masalah aliran tunai syarikat pelaburan strategik itu yang timbul pada November 2014.
Salleh berkata PAC tidak berkhidmat dengan kerajaan tetapi ia mewakili Parlimen dan anggotanya terdiri daripada kerajaan dan pembangkang.
Beliau menjelaskan laporan itu tidak boleh dikeluarkan kecuali terdapat konsenses daripada semua anggota PAC dengan sebulat suara mencapai kesepakatan bahawa dapatan laporan itu adalah faktual dan tidak boleh dipersoalkan.
Sementara itu, beliau berkata tidak ada bukti mengenai apa-apa aktiviti jenayah, wang RM42 bilion wang 1MDB tidak hilang dan RM2.6 bilion daripada wang 1MDB tidak dipindahkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Apa yang disebut hanyalah dakwaan pengurusan yang tidak cekap dan andaian bahawa pasti Perdana Menteri sedar tentang perkara ini, dan walaupun jika tidak sedar, beliau juga harus bertanggungjawab," katanya.
Salleh berkata memikul bertanggungjawab bagi pengurusan yang tidak cekap atau kelemahan keputusan perniagaan adalah jauh menyimpang daripada dakwaan mencuri berbilion-bilion wang pembayar cukai untuk kegunaan peribadi.
"Perwaja, Proton, kerugian Forex RM30 bilion, Maminco, dan banyak lagi, semuanya ialah kes sama ada kelemahan pengurusan atau keputusan perniagaan yang tidak bijak. Tetapi tiada siapa yang diminta dipenjarakan kerana mencuri melibatkan wang pembayar cukai wang," katanya.
Beliau berkata Najib telah "dibicarakan" dalam media dan disabitkan oleh mahkamah pendapat umum.
Salleh berkata di bawah Najib, perbahasan dan kebebasan bersuara dibenarkan dengan lebih meluas daripada masa lalu dan meminta rakyat Malaysia membezakan antara kebebasan bersuara dan fitnah.BERNAMA
Langgan:
Ulasan (Atom)






