Rabu, 30 Mac 2016
PEMANDU TEKSI PERLU TAMBAH BAIK PERKHIDMATAN
Pemandu perkhidmatan teksi awam perlu menambah baik perkhidmatan untuk membolehkan mereka bersaing dengan perkhidmatan teksi dalam talian seperti Grabcar dan Uber, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Beliau berkata banyak sungutan diterima daripada rakyat dan pelancong tentang perkhidmatan tidak berkualiti pengusaha teksi, yang sekali gus menyebabkan mereka memilih perkhdmatan teksi alternatif.
"Orang kecewa dengan tambang tinggi yang dikenakan pemandu teksi serta sikap pemandu teksi yang suka memilih laluan sendiri dan tiadanya kebersihan. Mungkin, inilah sebabnya orang menggunakan Uber dan Grabcar," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Harmoni Perkasa Sdn Bhd dan Banyan Tree Hotels and Resort di sini, hari ini.
Semalam, kira-kira 300 pemandu teksi mengadakan tunjuk perasaan bagi membantah perkhidmatan teksi dalam talian dan mengakibatkan kesesakan selama dua jam di sepanjang Jalan Bukit Bintang.
Dalam kejadian itu, lima pemandu teksi ditahan kerana tidak mematuhi amaran polis.
Pemandu teksi terlibat meletakkan kenderaan mereka di sekitar pusat beli-belah Pavilion dan memaksa polis melencongkan lalu lintas dari kawasan itu.
Tengku Adnan berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tidak mempunyai kuasa terhadap pemandu teksi kerana ia terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD).
Terdahulu, Harmoni Perkasa Sdn Bhd dan Banyan Tree Hotels and Resorts menandatangani perjanjian pengurusan bagi hotel lima bintang baharunya, Royale Pavilion Hotel di kawasan Segi Tiga Emas Kuala Lumpur.
Dibangunkan dengan kos RM330 juta, hotel itu dijangka memulakan operasinya menjelang suku kedua 2017.BERNAMA
PERAK SASAR HAPUSKAN MISKIN TEGAR 2017
Perak meletakkan sasaran untuk menghapuskan kemiskinan tegar di negeri itu selewat-lewatnya pada 2017, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata berdasarkan statistik yang ada, pada tahun 2014 terdapat lebih kurang 700 keluarga miskin tegar di Perak, kurang berbanding 1,200 pada tahun sebelumnya hasil kerja keras kerajaan.
"Saya sasar 2016 atau 2017, tapi tidak boleh nak buat sebarang ramalan kerana bilangan penduduk semakin bertambah dan sering berubah-ubah. Ini menyebabkan ada penduduk yang akan mudah jatuh dalam kategori miskin tegar," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco negeri Perak di sini hari ini.
Zambry berkata kerajaan negeri akan menjalankan penyelidikan sendiri bagi menentukan jumlah sebenar penduduk miskin dan miskin tegar di negeri itu memandangkan kaedah yang diguna Unit Perancang Ekonomi (EPU) tidak berapa sesuai.
"Dalam konteks negeri Perak kita merasakan kaedah pengiraan kemiskinan dan kemiskinan tegar hendaklah berpaksikan kepada kedudukan dan keadaan di satu-satu tempat," katanya.
Menjelas lanjut, Zambry berkata sistem e-kasih yang merekodkan kemiskinan dan kemiskinan tegar kurang tepat memandangkan terdapat penduduk yang patut keluar daripada senarai itu tetap dikekalkan.
"Ada negeri bila penduduk dalam e-kasih terima bantuan mereka dikeluarkan daripada senarai.
"Ada juga negeri bila penduduk dapat bantuan tetap kekalkan mereka dalam senarai kerana ada yang perlukan bantuan lain. Misalnya hendak pohon bantuan rumah, syarat yang dikenakan mesti berdaftar dengan e-kasih," katanya.
Dalam perkembangan lain, Zambry meminta orang ramai menjadi mata serta telinga kerajaan terhadap kegiatan tidak bertanggungjawab ke atas Jambatan Raja Permaisuri Bainun (Jambatan Sungai Dinding di Lumut), kira-kira 80 kilometer dari sini.
Katanya jambatan itu yang telah dibaik pulih daripada masalah kecurian besi penghadang dan kabel elektrik serta telefon perlu dijaga untuk kepentingan orang ramai terutama penduduk tempatan.
"Kalau kita biarkan kumpulan pencuri ini bermaharajalela, segala kemudahan yang dibina oleh kerajaan tidak akan dapat dinikmati oleh rakyat jelata," katanya.
JANGAN KHIANAT PERJUANGAN PARTI UNTUK KEPENTINGAN PERIBADI
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan kepimpinan dan anggota UMNO supaya tidak mengkhianati perjuangan parti demi kepentingan agenda peribadi sehingga menggadai maruah diri.
Najib yang juga Presiden UMNO berkata perjuangan politik yang berlandaskan moral dan prinsip perlu dipertahankan bagi menghadapi pelbagai cabaran dan isu dalam negara.
"Dalam politik, kita mesti ada moral dan prinsip...kalau buat apa-apa pun mesti berpegang kepada Perlembagaan negara, kalau tidak, negara akan huru-hara.
"Kalau huru-hara, apa yang kita perjuangkan sekarang akan hancur lebur...apa nak kita tinggalkan pada anak-anak dan cucu-cucu kita," katanya ketika merasmikan Perhimpunan Anggota Persatuan Bekas Anggota Kemas Malaysia (PBAKM) dan pelancaran Kelab Waris PBAKM di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden PBAKM Datuk Melati Ali.
Najib turut membidas pemimpin yang dilihat beralih pendirian dan bertukar perjuangan.
"Bukan ke setengah orang dahulu cakap lain...dahulu suruh sokong parti, dahulu nasihat jangan kalau dah bersara jangan lupa (parti). Waktu kita jadi pemimpin, orang lain sokong kita, bila kita berhenti (jadi pemimpin) kita wajib sokong parti.
"Di mana duduknya orang itu sekarang...dia tidak duduk sebaris UMNO lagi, dia tidak duduk dengan pejuang yang setia dengan perjuangan.
"Dia duduk dengan orang yang dahulu dia cakap rasis, cauvanis, komunis, anti-Islam dan anti-Melayu. Apa kita nak kata dia sekarang.Kita pertahankan dia selama 22 tahun. Orang kata dia maha zalim, maha firaun...bukan saya kata, mereka kata. Saya menyambung apa yang mereka kata.
"Sekarang, dia duduk sebaris (dengan mereka)...di mana letak maruah diri. Kalau kita tidak ada apa-apa, sekurang-kurangnya kita ada maruah," kata perdana menteri sambil menegaskan bahawa rakyat tidak lagi terpengaruh dengan usaha menjatuhkan kerajaan tanpa melalui pilihan raya umum.
Najib berkata rakyat tidak akan membiarkan orang luar menentukan kepimpinan negara sebaliknya, menyokong usaha kerajaan dalam merencanakan pembangunan negara.
"(Oleh itu) jangan layan karenah puak-puak ini kerana kita ada banyak lagi kerja dan agenda untuk rakyat dan negara. Kita mesti istiqamah, fokus sebagai pemimpin kerajaan, kita mesti pastikan negara terus berjaya di bawah kepimpinan Barisan Nasional dan UMNO," katanya.
Beliau mengingatkan tentang tanggungjawab pemimpin untuk mewariskan sebuah negara yang lebih kukuh kepada rakyat.
"Kalau ada kesilapan, kita betulkan sesama kita, jangan hancurkan negara kita, jangan hancurkan parti yang kita sayangkan. Kalau parti hancur, tiada lagi perjuangan. Sebab itulah, kita perlu kasihkan parti, kasihkan negara," katanya.
Terdahulu, kira-kira 5,000 anggota PBAKM yang diketuai Melati membaca ikrar taat setia dan menyatakan sokongan padu terhadap kepimpinan Najib.BERNAMA
Selasa, 29 Mac 2016
LAPORAN TERHADAP MUHYIDDIN DAN MUKHRIZ DIHANTAR KEPADA LEMBAGA DISIPLIN PARTI
Laporan berhubung tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang berterusan mengkritik Presiden UMNO dan bersekongkol dengan pembangkang telah dihantar kepada Lembaga Disiplin parti.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata sebagai sebuah parti berstruktur, tindakan mengikut peraturan atau perlembagaan parti itu perlu, walaupun secara asasnya perbuatan mereka boleh mengakibatkan tindakan disiplin diambil seperti digantung keahlian atau dipecat.
"Kita bukan seperti parti politik lain yang membuang ahlinya sesuka hati, UMNO mempunyai cara dan peraturan yang perlu diikut seperti termaktub dalam perlembagaan parti," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Wilayah Persekutuan Putrajaya di sini Selasa.
"Oleh itu, tunggulah mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO akan datang kerana saya juga menanti apa yang Lembaga Disiplin akan maklumkan kepada kami," katanya yang juga Menteri Wilayah Persekutuan.
Tengku Adnan berkata secara peribadi beliau berpandangan Muhyiddin dan Mukhriz sepatutnya mengisytiharkan diri keluar UMNO selepas tidak lagi bersetuju dengan parti itu.
Dalam perkembangan lain, Tengku Adnan berkata pihaknya sedang memantau dan mengawasi perkembangan penyebaran ajaran sesat Millah Abraham@ Ibrahim yang dikesan menular di wilayah itu.
Beliau yang juga Anggota Parlimen Putrajaya berkata perkembangan tidak sihat itu mula dikesan sejak lapan bulan lepas.
"Apa yang diajar sangat memeningkan tetapi barangkali oleh kerana perkara yang disebut atau diajar itu nampak mudah seperti mudah hendak berkahwin atau mudah untuk bersembahyang, ada pihak mudah terpengaruh," katanya.
Tengku Adnan berkata modus operandi kumpulan itu ialah berpakat sesama pengikut ajaran tersebut dengan menggunakan surau sebagai platform menyebarkan fahaman kepada khalayak.
Dalam ajarannya mereka didapati mencampuradukkan ajaran Islam dan Kristian, katanya.
PERHIMPUNAN SELAMATKAN MALAYSIA BUKAN UNTUK MENYELAMATKAN MALAYSA
Apa yang didakwa sebagai perhimpunan 'Selamatkan Malaysia' pada Ahad lepas, sebenarnya bukan untuk menyelamatkan Malaysia, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Beliau berkata sekiranya hendak menyelamatkan Malaysia, Perlembagaan perlu dilindungi, bukan dicabuli, sepertimana yang mereka anjurkan bagi menyingkirkan Perdana Menteri.
"Pertama sekali, mereka hendak menyelamatkan Malaysia daripada apa atau siapa? Dan bagaimana menyingkirkan Perdana Menteri secara melanggar Perlembagaan boleh dianggap sebagai menyelamatkan Malaysia?," kata Salleh dalam catatan terbaru beliau melalui blognya sskeruak.blogspot.my hari ini.
"Mereka berdiri di atas pentas dan menyerang apa yang dikatakan tidak ada demokrasi di Malaysia. Tetapi, apa yang tidak mereka sebut ialah hakikat bahawa Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib Tun Razak membenarkan lebih banyak demokrasi di Malaysia, membolehkan mereka menganjurkan perhimpunan itu, yang mereka gunakan untuk menyerang Perdana Menteri," katanya.
Salleh berkata perhimpunan 'ramai rakan' yang tidak berkongsi aspirasi dan ideal yang sama itu menunjukkan bahawa pakatan 'Selamatkan Malaysia' itu sudah gagal sejak mula lagi.
"Kita sudah lihat Gagasan Rakyat, Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat, dan kini Pakatan Harapan.
"Setakat ini, semuanya mengalami kegagalan, manakala Pakatan Harapan pula sedang bertungkus-lumus ingin membuktikan ia mampu untuk kekal wujud. Dan, sebab kesemua mereka mengalami kegagalan ialah seperti kata orang Melayu, tidur satu bantal, mimpi lain-lain," katanya.
Menurut Salleh, kesemua yang menyertai pakatan 'Selamatkan Malaysia' itu tidak berkongsi cita-cita, doktrin, aspirasi atau objektif yang sama dan mereka hanya mahukan satu perkara - menyingkirkan kerajaan.
"Secara teknikal, itulah yang akan terjadi sekiranya anda menyingkirkan Perdana Menteri," katanya.
Salleh berkata kumpulan itu tidak akan sekali-kali bersetuju antara satu sama lain kerana setiap rakan dalam pakatan 'Selamatkan Malaysia' itu mempunyai pandangan sendiri mengenai siapakah yang akan mengambil alih sebagai Perdana Menteri baharu sekiranya rancangan mereka itu berjaya.
"Dan adakah kempen 'Selamatkan Malaysia' itu termasuk atau tidak termasuk membebaskan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dari penjara? Dr Wan Azizah Wan Ismail (isteri Anwar dan Presiden PKR) berkata ya, tetapi semua yang lain tidak berkata apa-apa," katanya.
Salleh berkata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad nampaknya muncul sebagai Ketua Pembangkang de facto baharu serta mengetuai 'Kempen Anti-Najib' atau 'Kempen Selamatkan Malaysia'.
"Kesemua yang lain kelihatan memberi kelulusan secara tersirat terhadap peranan kepimpinan dimainkan Mahathir apabila mereka tidak menamakan mana-mana pemimpin lain," katanya.
Salleh berkata Dr Mahathir tahu bahawa Najib hanya boleh disingkirkan sekiranya UMNO sendiri tidak mahukan beliau lagi.
Menurut menteri itu, Dr Mahathir sendiri mengaku bahawa Najib tidak boleh disingkirkan dari luar, maka oleh yang demikian, bekas Perdana Menteri itu berharap kempen 'Selamatkan Malaysia' itu akan membuktikan ia mendapat sokongan daripada rakyat dan dengan itu, akan memperoleh sokongan UMNO.
"Sebaliknya, UMNO amat marah kepada Mahathir dan oleh kerana itu, UMNO bersatu di belakang Najib. Jadi, langkah Mahathir benar-benar memakan dirinya sendiri," katanya.BERNAMA
KENYATAAN TUN M UNTUK MENJATUHKAN PM NAJIB SEBAGAI MENGHASUT- NUR JAZLAN
Tindakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengeluarkan kenyataan mahu bertindak 'di luar jangkaan' bagi menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak boleh dianggap sebagai menghasut, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Beliau berkata Dr Mahathir pada Ahad lepas ketika perhimpunan tertutup bersama-sama pemimpin pembangkang di Shah Alam, Selangor bertindak mengeluarkan kenyataan tersebut.
"Dia (Dr Mahathir) bercakap perkara itu kepada umum. Dia cuba untuk melakukan perkara 'di luar jangkaan' yang melangkaui perlembagaan.
"Tidakkah tindakan itu boleh dianggap sebagai menghasut? Khianat?" katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini Selasa.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan yang dikeluarkan bekas perdana menteri itu yang ingin melakukan perkara 'outside the box' bagi menjatuhkan Najib.
Justeru, Nur Jazlan berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melakukan siasatan terhadap pelbagai kenyataan dikeluarkan Dr Mahathir yang secara berterusan mahu menjatuhkan perdana menteri.
"Apa yang dilakukan Dr Mahathir hanya mahu mendapatkan publisiti dan demi kepentingan politik semata-mata. PDRM sedang siasat. Lagi banyak beliau perkatakan lebih banyak kesilapan beliau akan buat dan lebih banyak bahan untuk polis siasat," katanya.
Nur Jazlan berkata walaupun negara mengamalkan kebebasan bersuara dan berhimpun namun jika didapati perhimpunan yang diadakan berniat menimbulkan huru-hara atau menjatuhkan mana-mana pemimpin maka polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan.
"Jika siasatan menunjukkan beliau melanggar undang-undang, maka kami akan mengambil tindakan," katanya.
Mengenai tindakan anggota Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mendedahkan dokumen berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang didakwa diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi kerajaan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA), Nur Jazlan berkata PDRM telah membuka kertas siasatan berhubung perkara itu.
"Serah kepada polis untuk siasat dahulu sama ada maklumat yang Rafizi dedahkan itu adalah benar di bawah OSA. Kalau benar, maka kami boleh ambil tindakan. Kena siasat dahulu dan ambil masa," katanya.
Nur Jazlan juga berkata kerajaan sedang menyemak untuk meminda OSA bagi memperkemaskan peruntukan sedia ada di dalam akta itu memandangkan sikap endah tidak endah sesetengah pihak terhadap penguatkuasaan OSA.BERNAMA
KU LI TIDAK PERNAH SOKONG DEKLARASI MAHATHIR
Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan beliau tidak pernah menyokong Deklarasi Mahathir untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata tidak timbul soal beliau berubah pendirian dan kini menyokong Najib sebagaimana didakwa bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad kerana menandatangani Deklarasi Kelantan Khamis lalu untuk menyokong Najib sebagai perdana menteri dan presiden UMNO.
"Sebenarnya dokumen itu (Deklarasi Kelantan) adalah dokumen biasa yang dibuat oleh mana-mana majlis parti politik ... dokumen itu tidak ada kesan kepada perundangan. Sebagai ahli Umno saya boleh saja tandatangan.
"Jangan salah faham, saya tandatangan sebagai ahli Umno, saya tidak berada di mana-mana kumpulan selain daripada UMNO," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Tengku Razaleigh berkata beliau tidak menyokong cara Tun Mahathir untuk menurunkan Najib kerana ia bertentangan dengan perlembagaan dan sistem demokrasi negara.
Dalam pada itu, beliau berkata Deklarasi Mahathir tidak akan membawa apa-apa kesan kepada pemimpin serta kerajaan yang sah dipilih rakyat dan mengikut perlembagaan negara.
"Saya cakap dengan Tun Mahathir, kalau hendak buat gerakan ini akhirnya ke mana kita pergi, beliau kata akan pungut banyak sokongan menerusi tandatangan dan sebagainya dan gunakan ia untuk tekan orang atasan untuk turunkan Najib".
Sementara itu, Tengku Razaleigh menafikan ada mengedar akuan bersumpah yang menyokongnya untuk menjadi perdana menteri seperti yang tersebar dalam media sosial.
"Saya lihatnya di Facebook melalui telefon saya ... tidak berapa jelas seperti surat kepada Agong meletak nama saya sebagai contoh," katanya.
Tengku Razaleigh berkata beliau sudah terlalu lama dalam UMNO untuk menjadi seorang perdana menteri dan adalah mustahil beliau yang menulis surat tersebut dan meletak nama sendiri.
Langgan:
Ulasan (Atom)






