Selasa, 29 Mac 2016
LAPORAN TERHADAP MUHYIDDIN DAN MUKHRIZ DIHANTAR KEPADA LEMBAGA DISIPLIN PARTI
Laporan berhubung tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang berterusan mengkritik Presiden UMNO dan bersekongkol dengan pembangkang telah dihantar kepada Lembaga Disiplin parti.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata sebagai sebuah parti berstruktur, tindakan mengikut peraturan atau perlembagaan parti itu perlu, walaupun secara asasnya perbuatan mereka boleh mengakibatkan tindakan disiplin diambil seperti digantung keahlian atau dipecat.
"Kita bukan seperti parti politik lain yang membuang ahlinya sesuka hati, UMNO mempunyai cara dan peraturan yang perlu diikut seperti termaktub dalam perlembagaan parti," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Wilayah Persekutuan Putrajaya di sini Selasa.
"Oleh itu, tunggulah mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO akan datang kerana saya juga menanti apa yang Lembaga Disiplin akan maklumkan kepada kami," katanya yang juga Menteri Wilayah Persekutuan.
Tengku Adnan berkata secara peribadi beliau berpandangan Muhyiddin dan Mukhriz sepatutnya mengisytiharkan diri keluar UMNO selepas tidak lagi bersetuju dengan parti itu.
Dalam perkembangan lain, Tengku Adnan berkata pihaknya sedang memantau dan mengawasi perkembangan penyebaran ajaran sesat Millah Abraham@ Ibrahim yang dikesan menular di wilayah itu.
Beliau yang juga Anggota Parlimen Putrajaya berkata perkembangan tidak sihat itu mula dikesan sejak lapan bulan lepas.
"Apa yang diajar sangat memeningkan tetapi barangkali oleh kerana perkara yang disebut atau diajar itu nampak mudah seperti mudah hendak berkahwin atau mudah untuk bersembahyang, ada pihak mudah terpengaruh," katanya.
Tengku Adnan berkata modus operandi kumpulan itu ialah berpakat sesama pengikut ajaran tersebut dengan menggunakan surau sebagai platform menyebarkan fahaman kepada khalayak.
Dalam ajarannya mereka didapati mencampuradukkan ajaran Islam dan Kristian, katanya.
PERHIMPUNAN SELAMATKAN MALAYSIA BUKAN UNTUK MENYELAMATKAN MALAYSA
Apa yang didakwa sebagai perhimpunan 'Selamatkan Malaysia' pada Ahad lepas, sebenarnya bukan untuk menyelamatkan Malaysia, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Beliau berkata sekiranya hendak menyelamatkan Malaysia, Perlembagaan perlu dilindungi, bukan dicabuli, sepertimana yang mereka anjurkan bagi menyingkirkan Perdana Menteri.
"Pertama sekali, mereka hendak menyelamatkan Malaysia daripada apa atau siapa? Dan bagaimana menyingkirkan Perdana Menteri secara melanggar Perlembagaan boleh dianggap sebagai menyelamatkan Malaysia?," kata Salleh dalam catatan terbaru beliau melalui blognya sskeruak.blogspot.my hari ini.
"Mereka berdiri di atas pentas dan menyerang apa yang dikatakan tidak ada demokrasi di Malaysia. Tetapi, apa yang tidak mereka sebut ialah hakikat bahawa Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib Tun Razak membenarkan lebih banyak demokrasi di Malaysia, membolehkan mereka menganjurkan perhimpunan itu, yang mereka gunakan untuk menyerang Perdana Menteri," katanya.
Salleh berkata perhimpunan 'ramai rakan' yang tidak berkongsi aspirasi dan ideal yang sama itu menunjukkan bahawa pakatan 'Selamatkan Malaysia' itu sudah gagal sejak mula lagi.
"Kita sudah lihat Gagasan Rakyat, Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat, dan kini Pakatan Harapan.
"Setakat ini, semuanya mengalami kegagalan, manakala Pakatan Harapan pula sedang bertungkus-lumus ingin membuktikan ia mampu untuk kekal wujud. Dan, sebab kesemua mereka mengalami kegagalan ialah seperti kata orang Melayu, tidur satu bantal, mimpi lain-lain," katanya.
Menurut Salleh, kesemua yang menyertai pakatan 'Selamatkan Malaysia' itu tidak berkongsi cita-cita, doktrin, aspirasi atau objektif yang sama dan mereka hanya mahukan satu perkara - menyingkirkan kerajaan.
"Secara teknikal, itulah yang akan terjadi sekiranya anda menyingkirkan Perdana Menteri," katanya.
Salleh berkata kumpulan itu tidak akan sekali-kali bersetuju antara satu sama lain kerana setiap rakan dalam pakatan 'Selamatkan Malaysia' itu mempunyai pandangan sendiri mengenai siapakah yang akan mengambil alih sebagai Perdana Menteri baharu sekiranya rancangan mereka itu berjaya.
"Dan adakah kempen 'Selamatkan Malaysia' itu termasuk atau tidak termasuk membebaskan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dari penjara? Dr Wan Azizah Wan Ismail (isteri Anwar dan Presiden PKR) berkata ya, tetapi semua yang lain tidak berkata apa-apa," katanya.
Salleh berkata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad nampaknya muncul sebagai Ketua Pembangkang de facto baharu serta mengetuai 'Kempen Anti-Najib' atau 'Kempen Selamatkan Malaysia'.
"Kesemua yang lain kelihatan memberi kelulusan secara tersirat terhadap peranan kepimpinan dimainkan Mahathir apabila mereka tidak menamakan mana-mana pemimpin lain," katanya.
Salleh berkata Dr Mahathir tahu bahawa Najib hanya boleh disingkirkan sekiranya UMNO sendiri tidak mahukan beliau lagi.
Menurut menteri itu, Dr Mahathir sendiri mengaku bahawa Najib tidak boleh disingkirkan dari luar, maka oleh yang demikian, bekas Perdana Menteri itu berharap kempen 'Selamatkan Malaysia' itu akan membuktikan ia mendapat sokongan daripada rakyat dan dengan itu, akan memperoleh sokongan UMNO.
"Sebaliknya, UMNO amat marah kepada Mahathir dan oleh kerana itu, UMNO bersatu di belakang Najib. Jadi, langkah Mahathir benar-benar memakan dirinya sendiri," katanya.BERNAMA
KENYATAAN TUN M UNTUK MENJATUHKAN PM NAJIB SEBAGAI MENGHASUT- NUR JAZLAN
Tindakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengeluarkan kenyataan mahu bertindak 'di luar jangkaan' bagi menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak boleh dianggap sebagai menghasut, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Beliau berkata Dr Mahathir pada Ahad lepas ketika perhimpunan tertutup bersama-sama pemimpin pembangkang di Shah Alam, Selangor bertindak mengeluarkan kenyataan tersebut.
"Dia (Dr Mahathir) bercakap perkara itu kepada umum. Dia cuba untuk melakukan perkara 'di luar jangkaan' yang melangkaui perlembagaan.
"Tidakkah tindakan itu boleh dianggap sebagai menghasut? Khianat?" katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini Selasa.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan yang dikeluarkan bekas perdana menteri itu yang ingin melakukan perkara 'outside the box' bagi menjatuhkan Najib.
Justeru, Nur Jazlan berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melakukan siasatan terhadap pelbagai kenyataan dikeluarkan Dr Mahathir yang secara berterusan mahu menjatuhkan perdana menteri.
"Apa yang dilakukan Dr Mahathir hanya mahu mendapatkan publisiti dan demi kepentingan politik semata-mata. PDRM sedang siasat. Lagi banyak beliau perkatakan lebih banyak kesilapan beliau akan buat dan lebih banyak bahan untuk polis siasat," katanya.
Nur Jazlan berkata walaupun negara mengamalkan kebebasan bersuara dan berhimpun namun jika didapati perhimpunan yang diadakan berniat menimbulkan huru-hara atau menjatuhkan mana-mana pemimpin maka polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan.
"Jika siasatan menunjukkan beliau melanggar undang-undang, maka kami akan mengambil tindakan," katanya.
Mengenai tindakan anggota Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mendedahkan dokumen berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang didakwa diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi kerajaan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA), Nur Jazlan berkata PDRM telah membuka kertas siasatan berhubung perkara itu.
"Serah kepada polis untuk siasat dahulu sama ada maklumat yang Rafizi dedahkan itu adalah benar di bawah OSA. Kalau benar, maka kami boleh ambil tindakan. Kena siasat dahulu dan ambil masa," katanya.
Nur Jazlan juga berkata kerajaan sedang menyemak untuk meminda OSA bagi memperkemaskan peruntukan sedia ada di dalam akta itu memandangkan sikap endah tidak endah sesetengah pihak terhadap penguatkuasaan OSA.BERNAMA
KU LI TIDAK PERNAH SOKONG DEKLARASI MAHATHIR
Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan beliau tidak pernah menyokong Deklarasi Mahathir untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata tidak timbul soal beliau berubah pendirian dan kini menyokong Najib sebagaimana didakwa bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad kerana menandatangani Deklarasi Kelantan Khamis lalu untuk menyokong Najib sebagai perdana menteri dan presiden UMNO.
"Sebenarnya dokumen itu (Deklarasi Kelantan) adalah dokumen biasa yang dibuat oleh mana-mana majlis parti politik ... dokumen itu tidak ada kesan kepada perundangan. Sebagai ahli Umno saya boleh saja tandatangan.
"Jangan salah faham, saya tandatangan sebagai ahli Umno, saya tidak berada di mana-mana kumpulan selain daripada UMNO," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Tengku Razaleigh berkata beliau tidak menyokong cara Tun Mahathir untuk menurunkan Najib kerana ia bertentangan dengan perlembagaan dan sistem demokrasi negara.
Dalam pada itu, beliau berkata Deklarasi Mahathir tidak akan membawa apa-apa kesan kepada pemimpin serta kerajaan yang sah dipilih rakyat dan mengikut perlembagaan negara.
"Saya cakap dengan Tun Mahathir, kalau hendak buat gerakan ini akhirnya ke mana kita pergi, beliau kata akan pungut banyak sokongan menerusi tandatangan dan sebagainya dan gunakan ia untuk tekan orang atasan untuk turunkan Najib".
Sementara itu, Tengku Razaleigh menafikan ada mengedar akuan bersumpah yang menyokongnya untuk menjadi perdana menteri seperti yang tersebar dalam media sosial.
"Saya lihatnya di Facebook melalui telefon saya ... tidak berapa jelas seperti surat kepada Agong meletak nama saya sebagai contoh," katanya.
Tengku Razaleigh berkata beliau sudah terlalu lama dalam UMNO untuk menjadi seorang perdana menteri dan adalah mustahil beliau yang menulis surat tersebut dan meletak nama sendiri.
Isnin, 28 Mac 2016
UMNO KELANTAN SETUJU MT PECAT AHLI PARTI CUBA JATUHKAN PRESIDEN
UMNO Kelantan bersetuju sekiranya Majlis Tertinggi (MT) UMNO memecat pemimpin dan anggota parti yang terlibat dalam gerakan cuba menjatuhkan presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.
"Kami (UMNO Kelantan) telah menyatakan di dalam Deklarasi Kelantan jika mana-mana individu sokong gerakan untuk menjatuhkan Najib perlu dipecat dari parti.
"Kami sependapat agar mereka dipecat. Itu pendirian UMNO Kelantan," kata anggota Parlimen Jeli itu kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Mustapa berkata demikian bagi mengulas tindakan Ketua UMNO Bahagian Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua UMNO Bahagian Jerlun Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menghadiri perhimpunan tertutup bersama-sama pemimpin pembangkang di Shah Alam, Selangor semalam.
Khamis lepas, kesemua 14 ketua UMNO Bahagian Kelantan termasuk anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah mengikrarkan sokongan padu terhadap kepimpinan Najib sebagai perdana menteri dan presiden parti dengan menandatangani Deklarasi Kelantan.
Khamis, 24 Mac 2016
UMNO KELANTAN IKRAR SOKONGAN PADU KEPADA PM NAJIB
Kesemua 14 ketua UMNO Bahagian Kelantan hari ini mengikrarkan sokongan padu terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan menandatangani Deklarasi Kelantan.
Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menandatangani deklarasi itu di hadapan Najib sendiri pada pertemuan UMNO Kelantan dengan perdana menteri yang berlangsung kira-kira dua jam di bangunan Parlimen.
Katanya deklarasi itu kemudian diserahkan kepada Najib oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.
"Semua wakil rakyat termasuk anggota Dewan Negara dari Kelantan menghadiri pertemuan itu bagi menyerahkan Deklarasi Kelantan yang dilancarkan minggu lepas dalam satu perhimpunan di Kelantan bagi menyatakan sokongan tidak berbelah- bahagi kepada Najib.
"Kami buat resolusi menandatangani dokumen bertujuan memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri," katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen.
Dilaporkan kira-kira 10,000 rakyat Kelantan pada Sabtu lepas berhimpun di perkarangan Bangunan UMNO Kota Baharu bagi menyatakan sokongan kepada Najib selaku Presiden UMNO dan menolak Deklarasi Mahathir yang diketuai bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Annuar berkata selain majlis penyerahan deklarasi, beberapa isu mengenai permasalahan rakyat Kelantan turut disampaikan kepada Perdana Menteri untuk pertimbangan dan tindakan lanjut.
"Antara perkara yang dibincangkan bersama Perdana Menteri termasuk royalti minyak, pembinaan Lebuhraya Gua Musang-Kota Baharu, pembesaran lapangan terbang sedia ada dan pembinaan stadium baharu," katanya.
Beliau berkata pihaknya turut mengusulkan pelbagai syor berhubung hal ehwal kemajuan Kelantan selain berbincang mengenai beberapa perkara yang difikirkan perlu bagi kepentingan rakyat Kelantan.
Ditanya mengenai syor yang dikemukakan kepada Najib, Annuar berkata ia merangkumi aspek pembangunan, politik dan ekonomi negeri.
"Perdana Menteri menghargai inisiatif yang diambil pemimpin Kelantan, malah memberi reaksi positif dan berjanji akan meneliti serta mengadakan perbincangan lanjut terhadap kesemua syor yang dikemukakan," katanya.
Katanya Perdana Menteri turut memaklumkan mengenai perancangan serta pencapaian semasa kerajaan setakat ini.
"Beliau menerangkan tentang rancangan untuk menumpukan ekonomi bagi mengukuh serta mendapatkan lebih banyak projek. Beliau turut menerangkan kesan pembangunan serantau terutama di negara China yang mempengaruhi negara ini," katanya.
Annuar berkata Najib juga memaklumkan bahawa segala perancangan pembangunan negara tidak terjejas walaupun keadaan ekonomi global tidak menentu ketika ini.BERNAMA
KUMPULAN BERTINDAK UMNO PAGOH SOKONG NAJIB
Sekumpulan anggota UMNO Bahagian Pagoh hari ini menyatakan pendirian mereka untuk terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Gerakan yang dikenali sebagai Kumpulan Bertindak UMNO Pagoh (KBUP) itu dibentuk bagi memastikan UMNO bahagian itu sentiasa bersama arus perdana UMNO Pusat serta memperkukuhkan perjuangan parti dalam membela bangsa, agama dan negara.
Pengerusi KBUP, Datuk Yusof A Bakar berkata gerakan itu ditubuhkan bagi memastikan UMNO Pagoh tidak terasing atau bersendirian dalam soal membela masyarakat, rakyat serta pengundi kawasan Pagoh.
"Bukan kami tidak sayang Tan Sri Muhyidin Yassin (bekas timbalan perdana menteri yang juga Ketua UMNO Bahagian Pagoh) tetapi kami lebih sayangkan parti UMNO," katanya pada sidang media di pejabatnya di Taman Pagoh Jaya, di sini hari ini.
Yusof, yang juga Ketua Pemuda UMNO Cawangan Batu 7 Bukit Pasir, menegaskan pemimpin dalam UMNO sentiasa datang dan pergi, namun, UMNO tetap menjadi wadah perjuangan orang Melayu.
Beliau berkata pihaknya terkilan dan kecewa apabila Muhyiddin bersekongkol dengan DAP dan atas dasar itu, KBUP membuat pendirian ini supaya perpaduan dalam UMNO terus terpelihara.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi KBUP, Datuk Zaaba Aman, yang juga Ketua UMNO Cawangan Seri Ledang Utara, berkata KBUP akan menggerakkan usaha dari semasa ke semasa berjumpa dengan masyarakat Pagoh bagi memberikan penjelasan secara harmoni supaya mereka mendapat maklumat yang betul.
Katanya beliau tidak boleh menerima tindakan Muhyiddin bersekongkol dengan pembangkang dalam mengeluarkan 'Deklarasi Mahathir' dengan tujuan menyingkirkan Najib sebagai perdana menteri.BERNAMA
Langgan:
Ulasan (Atom)








