Rabu, 16 Mac 2016
PAS UMUM RAKAN PERMUAFAKATAN BARU
PAS mengumumkan penubuhan permuafakatan baharu bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.
Bagaimanapun nama bagi pemuafakatan itu belum diputuskan.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata sebuah sekretariat akan diwujudkan antara PAS dan Ikatan yang disertai kepimpinan tertinggi kedua-dua parti untuk merangka dan berbincang agenda kerjasama berkenaan.
"Kita tidak mahu pakatan pembangkang yang bertindak secara ekstrem dan menyusahkan rakyat kerana kita dapati membangkang dengan cara berkenaan tidak boleh selesaikan masalah.
"Jika mahu membangkang, bukanlah secara melulu, perlu disertai nasihat, kemukakan cadangan yang baik...apa sahaja perkara baik yang kerajaan lakukan kita akan sokong, yang tak baik kita akan nasihat...itu langkah kita," katanya kepada pemberita selepas pengumuman kerjasama itu di Ibu Pejabat PAS, di sini hari ini.
Turut hadir, Presiden Ikatan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan, serta barisan kepimpinan tertinggi kedua-dua parti berkenaan.
Ketika ditanya kerjasama PAS dengan Pakatan Rakyat di Selangor, Abdul Hadi berkata ia masih berjalan seperti biasa.
Beliau turut mengalu-alukan parti-parti politik lain yang menerima konsep tersebut untuk menyertai permuafakatan itu.
Sementara itu, Abdul Kadir berkata hubungan baharu itu dapat mengukuhkan agenda politik yang lebih terbuka, matang dan sejahtera.
Beliau menolak dakwaan Ikatan sebagai parti 'setahun jagung' yang mahu menumpang populariti PAS, sebaliknya menganggap PAS sebagai parti tunjang yang sama kuat dengan UMNO untuk menyelesaikan isu-isu rakyat dan negara.
"Kita bukan nak lawan kerajaan bermati-matian, bukan juga nak lawan dengan Pakatan bermati-matian..kita hanya mahu setiap masalah rakyat diselesaikan dengan cara baik," katanya.
SAYA TETAP ISTIQAMAH JALANKAN TUGAS UNTUK NEGARA-NAJIB
Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan beliau dan rakan-rakan dalam Barisan Nasional (BN) akan tetap beristiqamah dan fokus dalam menjalankan pentadbiran walau apapun serangan politik yang diterima.
"Walau apapun serangan, kita (BN) jangan hilang hala tuju, jangan hilang fokus. Kita tetap komited untuk laksanakan pelan kalau kita berjaya dan diiktiraf di peringkat antarabangsa," katanya menjawab soalan tambahan Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) di Dewan Rakyat hari ini.
Annuar dalam soalan tambahannya bertanya adakah Najib sedar beliau berhadapan dengan tekanan dan kempen benci yang rancak dijalankan serta apakah pendirian perdana menteri berhubung perkara itu.
Najib berkata beliau sedar dan tidak hairan dengan apa yang berlaku terhadapnya dan akan terus komited melaksanakan pelan ekonomi yang dirancang.
"Kalau kita terus istiqamah dan konsisten, lambat laun rakyat akan hargai usaha yang dilakukan oleh kerajaan," katanya.
Najib dalam masa sama turut menyatakan perbandingan berhubung apa yang berlaku terhadap dirinya kini dengan apa yang pernah berlaku kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Bila Tun Mahathir jadi Perdana Menteri pun macam-macam gelaran yang dilemparkan kepada beliau seperti mahazalim, mahafiraun dan lain-lain, tapi sekarang ni (boleh) duduk bersama pembangkang pula," katanya.
Najib berkata beliau bertanggungjawab kepada rakyat dan akan menjawab semua tuduhan yang dilemparkan terhadap beliau apabila siasatan ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selesai dilakukan.
"Saya serahkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) tentang 1MDB malah (isu) RM2.6 bilion juga, ada proses yang ditentukan pihak berkenaan. Tidak ada apa yang perlu dirisaukan kerana proses akauntabiliti akan tetap diteruskan," kata Najib.-BERNAMA
AHLI CUEPACS DIMINTA TIDAK TERLIBAT PERHIMPUNAN DEKLARASI MAHATHIR
Anggota Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) diminta supaya tidak terlibat dalam perhimpunan 'Deklarasi Mahathir' yang dijangka diadakan di Shah Alam, Selangor pada 27 Mac ini.
Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda berkata pihaknya menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan sememangnya tidak bersetuju dengan perhimpunan itu.
"Kita tidak setuju dengan cara-cara yang dilakukan oleh pihak tertentu untuk menjatuhkan kerajaan. Nasihat saya kepada penjawat awam, jangan ada dalam kalangan mereka terlibat sama.
"Kita berkhidmat dengan kerajaan dan bukannya terlibat dengan parti politik. Kita mahu penjawat awam ini tumpukan matlamat dan kerjaya kepada tugas mereka (dan) jangan terikut-ikut dengan sentimen tertentu seperti menjatuhkan kerajaan," katanya selepas menghadiri taklimat isu semasa oleh Cuepacs yang dihadiri kira-kira 200 penjawat awam di sini Rabu.
Azih berkata penjawat awam seharusnya sedar bahawa tugas mereka adalah untuk berkhidmat kepada kerajaan dan memastikan ekonomi negara stabil, sekaligus mampu memberi kesejahteraan kepada rakyat.
Beliau berkata sekiranya ada penjawat awam yang masih berdegil dan turut terlibat dalam perhimpunan itu, mereka akan berhadapan dengan risiko dibuang kerja di bawah tatatertib 4B.BERNAMA
Selasa, 15 Mac 2016
DANA RM250 JUTA UNTUK KOPERASI
Dana berjumlah RM250 juta disedia untuk disalurkan kepada koperasi-koperasi berdaftar di negara ini melalui Tabung Modal Pusingan Jabatan Pembangunan Koperasi (TMP JPK), tahun ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Koperasi Datuk Hamzah Zainuddin berkata sepanjang 2015, sejumlah 195 permohonan pembiayaan di bawah tabung berkenaan telah diluluskan bernilai RM226.35 juta.
"Sehingga kini jumlah pembiayaan keseluruhan yang telah dimanfaatkan oleh gerakan koperasi seluruh negara adalah sebanyak RM1.6 bilion bagi mengembangkan aktiviti dan asetnya," katanya menjawab soalan Datuk Dr Nik Mazlan Nik Mohamad (PAS-Pasir Puteh) di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Dr Nik Mazlan bertanya mengenai prestasi bayaran balik pinjaman tabung berkenaan dan sejauh mana ia dimanfaatkan untuk pembangunan koperasi.
Hassan berkata kutipan bayaran balik pembiayaan TMP JPK sepanjang tahun 2015 adalah bernilai RM131.06 juta.
Pembiayaan TMP JPK mengikut projek tunas ialah perkhidmatan kewangan (RM86.44 juta), pemborongan dan peruncitan (RM4juta), Pelancongan, penjagaan diri dan kesihatan (RM1.05 juta), Pertanian dan Industri Asas Tani (RM1.86 juta), perladangan (RM9.57 juta) serta pembangunan hartanah dan industri pembinaan (RM123.43 juta).BERNAMA
Isnin, 14 Mac 2016
TINDAKAN TEGAS TERHADAP ANUGERAH DARJAH GELARAN PALSU
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah tindakan tegas wajib diambil ke atas pihak tidak bertanggungjawab yang terlibat dengan penganugerahanan gelaran darjah tanpa pengiktirafan rasmi daripada kerajaan negeri Perak untuk mengekang ia daripada terus berleluasa.
Baginda bertitah jika perlu, undang-undang yang lebih ketat hendaklah digubal dan hukuman yang lebih berat perlu dikenakan supaya aktiviti itu dapat dibanteras secara berkesan.
"Undang-undang hendaklah dikuatkuasakan secara saksama tanpa memberi keistimewaan atau imuniti kepada sesiapa juga. Pihak yang terbukti bersalah, wajib berhadapan dan dikenakan tindakan yang setimpal," titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Dewan Negara Perak ke-165 di Istana Iskandariah di sini.
Sultan Nazrin bertitah pendirian mendiamkan diri dan tidak membetulkan kesalahan oleh pihak berkuasa boleh ditakrif sebagai merestui dan mengizinkan kesalahan terus dilakukan dan aktiviti penipuan terus berlaku.
Titah baginda, berdasarkan makluman daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain laporan media, aktiviti penganugerahan darjah oleh pihak tidak berkenaan sememangnya sahih berlaku di Perak serta dikomersialkan untuk mengaut keuntungan.
"Aktiviti dilakukan oleh beberapa individu dengan mencipta darjah gelaran tertentu, ditawarkan kepada orang ramai dengan mengenakan bayaran.
"Penerima dianugerahkan ketinggian darjah gelaran mengikut harga yang sedia dibayar yang mana gelaran 'Datuk Seri' diletakkan harga yang lebih tinggi daripada gelaran 'Datuk'," titah baginda.
Selain itu, Sultan Nazrin bertitah para pembeli darjah diberikan kad keahlian dan surat khas yang menjamin mereka memiliki imuniti serta kebal daripada tindakan undang-undang disamping diberi lambang untuk diletakkan pada kenderaan.
Baginda menegaskan bahawa aktiviti itu merupakan satu penipuan dan ia bukan sahaja mencemarkan Institusi Raja, Istana dan kerajaan, malah turut mempersendakan darjah kebesaran serta penerima anugerah yang sahih.
Titah Sultan Nazrin, pihak PDRM juga telah mendedahkan nama individu tertentu kepada baginda dan mempunyai hubung kait sejarah dengan kerabat Diraja Perak yang terlibat secara langsung dengan aktiviti itu.
Baginda menegaskan anugerah sesuatu darjah kebesaran dan pengurniaan pingat atas nama Negeri Perak Darul Ridzuan, terletak di bawah budi bicara Raja pemerintah.
Titah baginda nama individu yang dicalonkan untuk menerima darjah dan pingat berdasarkan rekod jasa dan khidmat bakti kepada Raja pemerintah dan negeri Perak akan disaring, ditapis dan dinilai oleh Jawatankuasa Dewan Negara sebelum disembahkan untuk mendapat perkenan Sultan Perak.
"Kesemua bakal penerima anugerah akan dihubungi secara rasmi melalui surat yang turut memaklumkan darjah atau pingat bakal diterima selain menetapkan tarikh istiadat penganugerahan.
"Semua istiadat penganugerahan dilangsungkan di Balai Rong Seri Istana Iskandariah Kuala Kangsar dan kesemua penerima akan menerima anugerah daripada Sultan Perak melainkan dalam keadaan tertentu diwakilkan kepada pemangku raja ataupun Raja Muda Perak," titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah para penerima anugerah tidak pernah dikenakan sebarang bayaran dan sama sekali tidak disyaratkan untuk memberi apa-apa sumbangan derma dalam bentuk material mahupun kewangan kepada raja, istana, kerajaan atau kepada mana-mana tabung.
"Orang awam yang didampingi untuk ditawarkan anugerah negeri Perak dengan dikenakan bayaran tertentu, dinasihatkan untuk menghubungi dan membuat laporan kepada polis dan kerjasama ini amat penting supaya aktiviti penipuan ini dapat segera dihentikan," titah baginda.BERNAMA
PAS REBUT KERUSI DENGAN PKR DI PRN SARAWAK
PKR akan berbincang dengan PAS mengenai calon yang akan diturunkan ada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 akan datang.
Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali berkata perbincangan itu penting bagi mengelak pertindihan kerusi calon pembangkang.
"Hal itu perlu bagi mempertahankan kerusi calon 'satu lawan satu' dan kami harap PAS tidak menolak proses perbincangan.
"Masih ada ruang untuk perbincangan, biasanya kerusi calon ini kita bincang sampailah sebelum penamaan calon," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Beliau berkata perubahan yang ingin dibuat oleh parti pembangkang perlu dibuat secara kolektif bukan secara bersendirian.
PAS baru-baru ini mengesahkan akan meletakkan calon di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri itu yang dijangka diadakan bulan depan.
Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu bertanding untuk menyuburkan amalan demokrasi di Sarawak dengan memberi pilihan kepada rakyat negeri ini calon yang diyakini boleh mewakili mereka ke DUN.
Sebelas kerusi DUN tersebut ialah Samariang, Pantai Damai, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Beting Maro, Kakus, Jepak, Samalaju, Lambir dan Pujut, katanya.BERNAMA
PROGRAM REHIRING PATI PENDEKKAN HINGGA JUN
Tempoh Program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) atau Program Rehiring yang dijadualkan berakhir pada 30 Disember dipendekkan kepada 30 Jun ini, demikian menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Program Rehiring dilaksanakan secara dalam talian bermula pada 15 Feb 2016 bagi PATI dari 15 negara sumber sedia ada.
KDN dalam satu kenyataan hari ini berkata sehingga 10 Mac, sejumlah 15,822 orang PATI telah didaftarkan di bawah Program Rehiring, meliputi 9,738 orang PATI warganegara Indonesia, 3,808 (Bangladesh), 425 (Myanmar) dan 1,851 orang PATI warganegara lain.
KDN berkata prestasi Program Rehiring masih tidak memuaskan walaupun hampir sebulan ia dilaksanakan beserta operasi penguatkuasaan besar-besaran yang giat dijalankan oleh Jabatan Imigresen ekoran masih terdapat ramai majikan yang didapati menggaji PATI.
"Oleh yang demikian, kerajaan ingin menyeru agar para majikan menggunakan peluang yang ada untuk menyertai Program Rehiring bagi membolehkan PATI dikeluarkan permit kerja yang sah," katanya.
KDN berkata kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan perundangan terhadap mana-mana majikan yang menggaji PATI selaras dengan kesalahan di bawah Seksyen 55(B) Akta Imigresen 1959/63, yang membawa hukuman denda tidak kurang RM10,000 tetapi tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap pekerja yang diambil.
Pada masa yang sama, mana-mana majikan yang mengambil pekerja lebih daripada lima orang boleh dikenakan penjara tidak kurang enam bulan tetapi tidak lebih lima tahun dan boleh dikenakan tidak lebih enam sebatan.
KDN berkata permohonan Program Rehiring oleh majikan dan PATI hanya boleh dilakukan secara dalam talian melalui portal rehiring.imi.gov.my dan syarat-syarat terperinci program juga boleh dimuat turun di laman web yang sama.
Sebarang pertanyaan lanjut mengenai Program Rehiring boleh dirujuk kepada Pusat Panggilan Program Rehiring mengikut warganegara iaitu Indonesia di 03-149 4788 atau enquiry@imantki.com, Myanmar (07-333 4797/07-333 6797) atau enquiry@homme-osc.com, lain-lain warganegara (03-7801 8888) atau rehiring@myeg.com.my
Mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut mengenai Program Rehiring juga boleh menghubungi Bilik Gerakan Jabatan Imigresen Malaysia di talian 03-8880 1555 atau 03-8880 1557 pada setiap hari bermula pukul 8.30 pagi hingga 11 malam.BERNAMA
Langgan:
Ulasan (Atom)






