Jumaat, 28 November 2014

Isu pampasan RM2.6 juta:Khalid alu alukan siasatan

Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengalu-alukan siasatan ke atasnya berhubung isu wang pampasan RM2.6 juta yang diagihkan kepada lapan bekas kakitangan Perbadanan Menteri Besar (PMB). Perkara ini diumumkan peguam Tan Poh Yee daripada syarikat guaman Bon Advocates yang mewakili Abdul Khalid. Tan berkata Abdul Khalid akan bekerjasama dengan apa-apa persoalan yang mungkin timbul semasa proses penyiasatan, termasuk siasatan yang sedang dilakukan Jabatan Audit Negara Negeri Selangor. Tan menjelaskan bahawa langkah itu adalah satu amalan kerja yang biasa apabila persetujuan dicapai untuk menamatkan kontrak pekerja lebih awal, dengan memperuntukkan sejumlah wang yang dipersetujui sebagai pampasan. “Jumlah itu biasanya merupakan bayaran untuk tempoh kontrak yang masih berbaki dan bayaran ex-gratia untuk perkhidmatan yang sudah diberikan mengikut budi bicara. “Di dalam kes ini, Setiausaha Negeri Selangor dan pegawai kewangan Negeri Selangor merupakan sebahagian daripada proses membuat keputusan,” katanya di dalam satu kenyataan. Dilaporkan kerajaan negeri Selangor telah membayar RM2.6 juta kepada pembantu mantan menteri besar yang juga pengerusi PMB sebelum beliau meletak jawatan. Turut dilaporkan, jumlah terbesar bayaran diberi kepada Faekah Husin, bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat milik kerajaan negeri itu.

Akta Hasutan bukan alat untuk kekal kuasa- Pak Lah

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan ahli-ahli UMNO bahawa Akta Hasutan bukanlah alat untuk diguna bagi mengekalkan kekuasaan UMNO. Dalam catatan terbaharu di dalam blog paklah.net, Abdullah menegaskan, tiada rang undang-undang yang akan menyelamatkan parti dari kehilangan kuasa seandainya rakyat sudah tidak memberi sokongan kepada UMNO. "Dalam keghairahan kita menyambut baik pengekalan Akta Hasutan, saya ingin mengingatkan, kekuasaan dan kekuatan UMNO datangnya dari sokongan rakyat," jelasnya. Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak semasa ucapan dasarnya mengumumkan akan terus mengekalkan Akta Hasutan 1948 seiring dengan desakan tiga sayap parti itu dalam persidangan mereka semalam. Najib berkata, bukan hanya akta tersebut dikekalkan malah dua peruntukan khas akan dimasukkan supaya ia lebih berkesan. Jelas Abdullah, ucapan Najib disifatkan menarik kerana menekankan pentingnya solidariti dan tidak melupakan sejarah perjuangan UMNO selama ini. "Beliau (Najib) juga sangat prihatin dengan keresahan, kerisauan dan juga keinginan orang Melayu secara amnya, dan ahli-ahli UMNO khususnya. "Keprihatinan ini terserlah apabila beliau mengumumkan pengekalan Akta Hasutan yang disambut dengan ghairah oleh ahli-ahli UMNO yang berada di dalam dan di luar dewan PWTC," katanya. Abdullah turut menyatakan sokongan kepada ucapan Najib berhubung Akta Hasutan yang dilihat jaminan keharmonian yang menegakkan perlembagaan negara. "Ia menentukan perjanjian kontrak sosial yang dimeterai oleh bapa-bapa kita ditepati, dan yang menentukan Persekutuan Malaysia tidak dihancurkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Ini semua saya sokong," jelasnya. Pada Rabu, persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO menggesa kerajaan mengekalkan Akta Hasutan. Malah Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan ucapan perasmian sayap UMNO pada Selasa turut menegaskan keperluan mengekalkan Akta Hasutan.

Khamis, 27 November 2014

PDRM sambut baik keputusan kekalkan Akta Hasutan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyambut baik keputusan kerajaan mengekalkan Akta Hasutan 1948 seperti mana yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata ia merupakan tindakan tepat dalam usaha membendung tindakan pihak tertentu yang ketika ini secara terbuka menggunakan kebebasan bersuara secara salah. “Saya amat mengalu-alukannya dalam keadaan sekarang apabila kebebasan untuk bercakap, kebebasan bersuara dan kebebasan menulis pelbagai perkara telah banyak disalahgunakan. “…dan Akta Hasutan adalah undang-undang yang amat sesuai untuk menangani keadaan ini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan seminar Pelaksanaan Perolehan Hijau Kerajaan (GGP) PDRM di sini hari ini. Beliau mengulas pengumuman Najib, yang juga Presiden UMNO bahawa Akta Hasutan 1948 akan dikekalkan dengan cadangan pindaan untuk memasukkan dua peruntukan khas bagi menguatkan dan memperkukuh akta itu ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2014, di sini hari ini. Khalid berkata akta yang diguna pakai sejak sekian lama itu memiliki kekuatan tersendiri dan ia akan menjadi bertambah baik jika terus diperkemas dan ditambah baik. Ditanya apakah penambahbaikan yang diharapkan oleh PDRM, beliau berkata antara yang perlu diberi perhatian ialah dalam aspek pendakwaan, khususnya bagi memudahkan polis mengemukakan atau membuat pertuduhan terhadap pihak yang bertanggungjawab. Selain mengekalkan Akta Hasutan 1948, cadangan dua peruntukan khas yang akan dimasukkan ialah bagi melindungi kesucian Islam dan agama lain serta mendakwa mereka yang menghasut agar Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia. Dalam perkembangan lain, Khalid berkata PDRM turut berkongsi kebimbangan kerajaan berhubung penglibatan rakyat Malaysia dalam aktiviti militan dan kumpulan pengganas serta ancaman yang mungkin dicetuskan sekiranya mereka kembali ke tanah air. Beliau berkata bagaimanapun, cadangan kerajaan untuk membentangkan satu undang-undang baharu bagi membanteras dan menangani gejala itu pasti membantu dalam memperkukuh lagi perancangan sedia ada PDRM untuk berdepan sebarang kemungkinan. “Kita ada perancangan, insya-Allah, jangan risau tetapi kita memerlukan undang-undang untuk memberi polis lebih kuasa bertindak ke atas mereka. “Kita sedang menghadapi aktiviti terorisme, jadi kita perlu ada satu undang-undang khusus untuk berdepan dengan kemungkinan yang akan digunakan oleh mereka untuk mengancam negara,” kata Khalid. Beliau berkata undang-undang sedia ada seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan Kanun Keseksaan juga perlu diperkasakan kerana kedua-duanya lebih menjuruskepada pembanterasan jenayah atau aktiviti jenayah. Cadangan untuk membentangkan undang-undang baharu itu dibuat Perdana Menteri ketika membentangkan Kertas Putih ‘Ke Arah Menangani Ancaman Kumpulan Islamic State (IS)’ di Dewan Rakyat, semalam, antara lain bagi membolehkan tindakan lebih berkesan diambil dalam mengekang ancaman dan penularan aktiviti pengganasan seperti kumpulan militan IS di negara ini .

Anifah dakwa ditawar RM100 juta untuk lompat parti

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa bekas timbalan pengerusi KFC Holdings (M) Berhad, Datuk Ishak Ismail menawarkan RM100 juta kepadanya untuk melompat parti. Anifah berkata Ishak, yang berkait rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut membuat tawaran itu dengan hasrat membawa 10 ahli Parlimen dari Sabah menyertai Pakatan Rakyat (PR) untuk membentuk kerajaan baharu pada 2008. Katanya insiden itu berlaku di Hotel Hilton di Kuala Lumpur Sentral. “Saya amat terkejut dan marah. Saya terasa ‘murah’ kerana pernah menjadi Ahli Parlimen selama tiga penggal dan saya komited kepada Barisan Nasional (BN),” katanya. Anifah, yang juga Ahli Parlimen Kimanis, bagaimanapun berkata beliau tidak dapat mengingati tarikh sebenar pertemuan itu. “Saya beritahu dia (Ishak), jangan sekali-kali ulang perkataan itu (melompat parti),” katanya semasa disoal balas peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah. Anifah memberi keterangan berhubung kes saman fitnah RM100 juta oleh Anwar terhadap kenyataannya mengenai Anwar pada satu sidang media di Washington bersama bekas setiausaha negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton pada Mei 2009. Beliau memberitahu mahkamah bahawa Anwar ada bercakap dengannya menerusi telefon bimbit sebaik sahaja beliau tiba di Terminal Tambang Murah (LCCT) Sepang dan menawarkan jawatan timbalan perdana menteri jika Pakatan menubuhkan kerajaan pada 16 Sept, 2008. Sementara, dalam kenyataan saksi yang dikemukakan di mahkamah hari ini, Anifah berkata Anwar telah menghubunginya melalui telefon pada sekitar Mei dan Jun 2008. “Saya telah menerima panggilan daripada Tony Vun (ahli perniagaan), yang kemudian memberitahu saya bahawa ada seseorang ingin bercakap dengan saya dan selepas itu Tony Vun serahkan telefon kepada Anwar. “Pada masa itulah Anwar membuat tawaran itu (lompat parti) dan jika saya meneruskan untuk melompat parti, dia akan menawarkan satu jawatan timbalan perdana menteri. “Anwar jelas menyedari bahawa saya mempunyai pengaruh kuat ke atas beberapa ahli Parlimen dari Sabah untuk menguat kuasakan beberapa ‘lompatan parti”, katanya dalam kenyataan itu. Ketika disoal balas peguam Razlan Hadri Zulkifli, yang mewakili Anwar, Anifah berkata kenyataan fitnah yang didakwa itu dibuat pada 14 Mei 2009 pada sidang media anjuran Jabatan Negara Amerika Syarikat. “Saya diminta secara khusus oleh wartawan untuk mengulas pendirian Jabatan Negara Amerika Syarikat mengenai tuduhan jenayah terhadap plaintif dan jika pertuduhan itu bermotifkan politik,” katanya. Anifah berkata kenyataan fitnah yang didakwa itu telah dimaksudkan sebagai ‘off the record’ dan beliau mengingatkan media bahwa kenyataan itu eksklusif untuk hadirin pada sidang media itu. Anwar, yang juga Ketua Pembangkang, itu memfailkan saman pada 27 Mei 2009 dengan mendakwa Anifah memfitnahnya ketika sidang media di Washington pada 16 Mei 2009 semasa lawatan kerja ke negara tersebut. Beliau juga mendakwa Anifah telah mencetuskan kebencian dan kemarahan umum terhadapnya, merendahkan tarafnya, menggalakkan dan memulakan penghinaan politik serta mengaburkan kebenaran dan menyebarkan sesuatu yang palsu. Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Siti Khadijah S.Hassan Badjenid bersambung esok.

Dewan Rakyat lulus Rang Undang Undang MAS

Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Malaysian Airline System Berhad (Pentadbiran) 2014 dalam memastikan kelangsungan perkhidmatan syarikat penerbangan nasional itu. Rang Undang-Undang itu antara lain bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi pentadbiran Malaysian Airline System Berhad (MAS), syarikat subsidiari milik penuh dan milik separanya. Ia juga akan menyediakan peruntukan bagi penubuhan entiti baharu dikenali sebagai Malaysia Airlines Berhad yang akan menggantikan MAS sebagai syarikat penerbangan nasional. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar membentangkan rang undang-undang itu untuk bacaan kali ketiga sebelum diluluskan selepas mendapat majoriti persetujuan daripada anggota Dewan. Rang Undang-Undang itu mempunyai 37 fasal dan enam bahagian yang mana ia dibahaskan 10 anggota Parlimen membabitkan lima dari Barisan Nasional (BN) dan lima dari pembangkang sejak pukul 11.30 pagi sebelum ianya diumum diluluskan kira-kira pukul 4.45 petang oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Antara ciri-ciri utama dalam rang undang-undang itu ialah membolehkan (MAS) beroperasi pada kos yang munasabah dari kos bekalan, perkhidmatan, kakitangan termasuk kaedah-kaedah kerja dan terma-terma untuk kakitangan baharu. "Ini (Rang Undang-Undang) juga membolehkan syarikat baharu ini beroperasi pada standard yang tinggi," kata Abdul Wahid sambil menambah Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), cabang pelaburan kerajaan, komited untuk membantu kakitangan MAS yang tidak mahu berpindah ke pengurusan syarikat baharu. Beliau berkata Khazanah akan mewujudkan pusat latihan semula kakitangan MAS yang memilih untuk tidak berhijrah bagi panduan kerjaya, kaunseling dan keusahawan. Menurutnya, pusat penempatan semula kakitangan juga akan diwujudkan untuk kakitangan yang hendak berhijrah dalam kumpulan Khazanah dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain. "Tentang pemilihan kakitangan yang bakal menyertai syarikat baharu, mereka akan menjalani proses pemilihan dari segi kemahiran dan budaya kerja (sebelum dipilih)," katanya. Beliau berkata kira-kira 14,000 pekerja akan diletakkan dalam syarikat baharu ini berbanding 20,000 kakitangan sedia ada ketika ini. Sebelum ini, Khazanah dilaporkan akan menubuhkan pusat khas bagi memberi sokongan penempatan kepada kira-kira 6,000 MAS yang akan diberhentikan berikutan proses penstrukturan semula itu. Tumpuan pusat itu adalah menghulurkan sokongan termasuk sokongan profesional, emosi dan kewangan bagi membantu mereka untuk beralih ke peringkat kerjaya seterusnya. Abdul Wahid berkata usaha membaik pulih berkaitan pekerja dan pembekal akan berpaksikan prinsip keadilan dan ketelusan. Ini katanya, termasuk memperkukuh barisan kepimpinan MAS yang baharu yang dijangka beroperasi pada Julai 2015 membabitkan ahli lembaga pengarah , pengurusan pertengahan dan atasan dalam memastikan kepimpinan syarikat baharu boleh membawa keuntungan kepada MAS. Beliau juga berkata pentadbir syarikat yang baharu dibenarkan untuk berunding semula dengan semua pembekal sedia ada mengenai harga baharu yang ditawarkan. Bagaimanapun, katanya jika syarikat terbabit tidak bersetuju, maka syarikat boleh mendapatkan pembekal yang lain. "Khazanah akan melihat kontrak yang relevan dan tidak semua kontrak akan dilindungi, contohnya kontrak katering," jelasnya. Dalam pada itu, Wahid berkata, ketika ini MAS mengalami kerugian sebanyak RM5 juta sehari, manakala sebanyak RM748 juta kerugian dicatatkan untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini. "Ini berikutan struktur operasi dan jumlah pekerja yang ramai dan untuk membolehkan syarikat baharu nanti lebih berdaya maju, adalah penting untuk syarikat diberi peluang memilih pekerja mengikut terma-terma yang mampu meningkatkan produktiviti," jelasnya.

Penghasut untuk membawa keluar Sabah dan Sawarak akan didakwa

Polis akan mendakwa mana-mana individu dan pertubuhan yang terlibat dalam cubaan menghasut untuk membawa keluar Sabah dan Sarawak daripada Malaysia. Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan itu akan dilakukan segera selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) menyenaraikan nama pertubuhan yang terlibat. "Kementerian Dalam Negeri telah mengambil langkah membatal dan mengharamkan semua pertubuhan yang mana pemimpin mereka terlibat dalam kempen mahu mengeluarkan Sabah dan Sarawak daripada Malaysia. "ROS akan mula menyenaraikan nama pertubuhan berkenaan dan selepas penyenaraian, tindakan akan diambil," katanya dalam sidang media sempena Perhimpunan Agung Umno 2014 di sini Khamis. Ahmad Zahid berkata dua peruntukan khas dalam akta itu akan membantu pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan Dasar Presiden Umno berkata Akta Hasutan 1948, yang dikekalkan akan memasukkan dua peruntukan khas iaitu melindungi kesucian Islam dan agama lain serta mendakwa mereka yang menghasut agar Sabah dan Sarawak keluar daripada Malaysia. Cadangan memansuhkan Akta Hasutan 1948, yang diumumkan pada Julai 2012 dan digantikan dengan akta baharu yang dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional, pada asalnya bertujuan mencari mekanisme dan mewujudkan keseimbangan terbaik antara keperluan menjamin kebebasan bersuara setiap warganegara dan keperluan menangani kompleksiti kemajmukan di Malaysia. Namun, cadangan itu mendapat tentangan dan banyak pihak mendesak akta tersebut dikekalkan berikutan kenyataan berbaur hasutan dan perlakuan menghina institusi raja dan agama sehingga menimbulkan keresahan rakyat.

Akta Hasutan adalah perisai kepada rakyat

Keputusan kerajaan mengekalkan Akta Hasutan 1948 dengan cadangan pindaan, sekali gus memperkukuh akta berkenaan adalah selari dengan kehendak majoriti rakyat Malaysia. Ketiga-tiga ketua sayap UMNO bersependapat bahawa pengekalan akta itu berserta dengan pindaan memasukkan dua peruntukan khas bagi mengukuhkan akta itu akan menjadi perisai kepada seluruh rakyat Malaysia dalam menangani pelbagai isu berkaitan perpaduan nasional. Secara umumnya, kata mereka, pengekalan dan penambahbaikan akta berkenaan amat wajar apatah lagi dalam keadaan sekarang yang menyaksikan perpaduan rakyat semakin retak. Ketua Pergerakan Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata Najib mendengar suara rakyat di peringkat akar umbi dan dalam masa sama, beliau percaya tindakan itu akan merapatkan semula perbezaan pendapat dalam kalangan masyarakat. “Keterbukaan Najib amat menyerlah (dan) kita nak minta buat secara berhemah, yang kita betul-betul nak tentukan tidak berlaku adalah sedition (hasutan), yang mana ada pencabulan Perlembagaan Persekutuan mahupun negeri. “Kalau rasa perlu ada keterbukaan klausa tentang kebebasan bersuara, tentang polisi kerajaan memang tak ada halangan (daripada kami),” kata Shahrizat pada sidang media Ketua-ketua Sayap UMNO selepas Ucapan Dasar Presiden di sini, hari ini. Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak ketika merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2014 hari ini berkata Akta Hasutan 1948 dikekalkan dan akan memasukkan dua peruntukan khas yang bertujuan melindungi kesucian Islam dan agama lain serta mendakwa mereka yang menghasut agar Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia. Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin berkata kerajaan tidak pernah menggunakan akta untuk menutup ‘mulut’ mana-mana pihak yang selama ini mengkritik pelbagai dasar kerajaan. UMNO73_271114_UMNO “Ini bukan untuk kita tutup ruang kebebasan bersuara, tapi untuk lindungi negara. Jika anda mahu mengkritik KJ, atau polisi, tak apa, tapi jika anda melepasi batas, ada penghinaan terhadap agama, bangsa, bukan hanya Melayu atau Islam, mana-mana agama, bangsa (maka tindakan harus diambil). “(Contoh) usaha untuk memisahkan Sabah dan Sarawak daripada kerajaan Persekutuan, itu tidak boleh diterima. Saya percaya majoriti rakyat Malaysia, terutamanya generasi muda sokong tindakan itu, sebab dalam Malaysia perlu ada batas dan had,” kata Menteri Belia dan Sukan itu. Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin pula berkata pengekalan akta itu adalah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang selama ini mendaulatkan Islam serta menjamin kebebasan beragama bagi penganut lain. “Inilah perkara yang dilaungkan sebagai satu Malaysia, satu negara, dan untuk itu saya rasa kita banyak bersetuju dengan apa yang diberitahu tadi,” katanya. Isu Akta Hasutan 1948 mendominasi perhimpunan agung tiga sayap parti UMNO yang berlangsung semalam apabila mereka senada mahu akta tersebut dikekal, diperkasa dan ditambah nilai. Para perwakilan ketiga-tiga sayap itu juga melihat Akta Hasutan sebagai benteng terakhir bagi membendung perkara sensitif yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan daripada diperkotak-katikkan selepas Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dimansuhkan.