Rabu, 26 November 2014
Akta Hasutan 1948 dikekalkan- PM Najib
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Akta Hasutan 1948 dikekalkan dengan cadangan pindaan untuk memasukkan dua peruntukan khas bagi menguatkan dan memperkukuhkan akta itu.
Presiden Umno itu juga berkata kedua-dua peruntukan khas itu bertujuan melindungi kesucian Islam dan agama lain serta mendakwa mereka yang menghasut agar Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia.
"Kita akan masukkan (peruntukan khas itu) supaya tindakan boleh diambil ke atas sesiapa yang cuba menghasut Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia," katanya semasa menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno 2014, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Reaksi pendirian itu, membuatkan 2,752 perwakilan berdiri dan bersorak sebagai tanda menyokong keputusan Presiden parti Melayu terbesar di negara ini yang kini dianggotai 3.47 juta orang.BERNAMA
PAU mampu eratkan ukhuwah dikalangan kepimpinan dan anggota UMNO- Najib
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berharap Perhimpunan Agung Umno kali ini dapat mengeratkan lagi ukhuwah dalam kalangan kepimpinan dan anggota Umno demi kemajuan parti dan negara.
Presiden Umno dalam laman sosialnya juga berharap agar perhimpunan itu berlangsung dengan lancar serta mengucapkan selamat bersidang kepada semua perwakilan.
"Insya-Allah, perhimpunan ini akan merapatkan lagi ukhuwah dalam kalangan pemimpin dan para anggota Umno seterusnya membawa Malaysia menuju mercu kejayaan," katanya.
Dalam laman Facebook dan Twitter Najib, beliau turut berkongsi gambar sepanjang perhimpunan itu berlangsung sejak semalam termasuk sekeping gambar beliau sedang meneliti teks ucapan dasar yang akan disampaikan pada upacara perasmian perhimpunan itu esok.
Ketika meninjau perbahasan pada perhimpunan tiga sayap Umno hari ini, Najib berkata semua perwakilan dilihat begitu bersemangat untuk bersidang.
"Saya harap semangat ini akan terus dikekalkan demi kelangsungan perjuangan Umno," katanya.
Perhimpunan Agung Umno 2014 yang menghimpunkan 5,739 perwakilan, berlangsung sejak Selasa dan akan melabuhkan tirai Sabtu ini.
Peremajaan UMNO adalah usaha mengembalikan maruah dan martabat parti- Khairy
Agenda 'Peremajaan Umno' bukanlah bermaksud golongan muda dalam parti harus diberikan jawatan semata-mata, tapi sebaliknya ia adalah usaha mengembalikan maruah dan martabat parti, tegas Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata, agenda itu adalah penting bagi membuktikan kepada bangsa Melayu dan masyarakat Malaysia secara keseluruhan bahawa Umno berani untuk berubah demi menjunjung kepentingan rakyat.
"(Apabila) kita cakap soal peremajaan, ia bukan dari segi umur atau jawatan semata-mata, tapi peremajaan adalah supaya apabila anak muda melihat Umno (berani berubah), mereka kembali yakin percaya dan sayang kepada Umno dan Barisan Nasional.
"Kalau tidak, Umno akan dilihat 'obsolete' dan tua...bukan dari segi tua umur, tapi tak dapat 'connect', hubungi hati nurani anak muda Malaysia," katanya ketika menggulung Perhimpunan Agung Sayap Pemuda Umno 2014 di sini pada Rabu.
Bagi menjayakan agenda itu, Khairy berkata, adalah penting untuk kesemua anggota sayap berusaha membuktikan kepada pucuk pimpinan bahawa mereka layak untuk diberi ruang dan peluang yang diminta.
Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan, menarik perhatian perwakilan bahawa mereka harus mengikis persepsi umum kononnya Pemuda Umno adalah sekumpulan anak muda yang hanya tahu mengejar projek, mementingkan gaya hidup mewah dan sebagainya.
"Kita buat semua ini kerana kita nak buktikan pada pucuk pimpinan, permintaan kita untuk remajakan parti bukan omong kosong, bukan atas kelemahan, tapi sebenarnya kita dah galaskan tugas yang terbaik dan bersedia untuk peremajaan parti," katanya lagi.
Khairy juga turut melahirkan kekecewaannya kerana ucapan dasarnya sengaja diputarbelitkan pihak tertentu, bertujuan untuk menunjukkan beliau dan Pemuda Umno lebih membangkitkan isu berkaitan perkauman.
"Dalam ucapan dasar saya, saya menyebut jangan pertikaikan kedudukan dan juga hak orang Melayu, (tetapi) ada yang jawab, tidak ada sesiapa pun yang mempertikaikan kedudukan dan hak Melayu.
"Betulkah hari ini tiada siapa yang pertikaikan orang Melayu dan hak orang Melayu?" soalnya lagi.
Khairy berkata, sekiranya ia tidak benar, pasti tiada pihak yang sengaja mengkritik langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menukar nama jalan-jalan utama di bandar raya menggunakan nama-nama Yang di-Pertuan Agong terawal.
"Kita nak tukar nama jalan yang tak ada makna, Jalan Duta dan Jalan Mahameru, kepada nama-nama Raja Melayu yang juga Ketua Negara kepada seluruh rakyat Malaysia.
"Tetapi ada yang tanya apakah sumbangan Yang di-Pertuan Agong sehingga perlu diberi penghormatan sebegitu rupa. Ini yang mereka kata tak ada sesiapa yang pertikaikan orang Melayu dan Raja?" soalnya lagi.
Atas sebab ini, Khairy berkata, sekiranya Umno tidak mengambil pendekatan yang progresif seperti 'peremajaan' untuk kembali relevan, sudah pasti tiga tunjang utama yang parti perjuangkan iaitu Islam, Melayu dan tanah air akan terus diperlekeh pihak tidak bertanggungjawab.
"Saya dah sebut, kalau orang hina bangsa lain, kita (Pemuda Umno) akan bangkit dan pertahankan (mereka). Sebab kita bangsa mulia, kita bangkit pertahankan mereka.
"Tapi bila kita nak pertahankan bangsa dan agama sendiri, kita dipanggil rasis, itu tak boleh. Sebab itu kita beranikan diri, jangan malu untuk pertahankan maruah agama dan bangsa," tegasnya lagi.
Beliau berkata, jika ada usaha untuk mempertikaikan apa jua hak orang Melayu dan Islam di negara ini, Pemuda Umno pasti akan terus ke barisan hadapan untuk mempertahankannya hingga ke titisan darah terakhir.
Malaysia tidak lagi menggunakan laluan udara Ukraine dan Syria- Aziz Kaprawi
Malaysia kini tidak lagi menggunakan laluan udara antara Ukraine dan Syria berikutan pergolakan yang berlaku di negara tersebut bagi memastikan tragedi malang yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 tidak berulang.
ABDUL AZIZ KAPRAWI
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi sebaliknya berkata, kesemua pesawat Malaysia telah diarah menggunakan laluan udara baharu iaitu antara Iran dan Turki untuk ke mana-mana destinasi di Eropah.
“Itu antara lokasi laluan bergolak yang kita sudah kenal pasti hasil kerjasama Kementerian Luar dan Kementerian Pengangkutan,” katanya menjawab soalan tambahan Anthony Loke Siew Fook (DAP-Seremban) di Dewan Rakyat hari ini.
Pada 17 Julai lalu, pesawat MH17 yang dalam penerbangan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di wilayah bergolak di Donetsk, timur Ukraine dan membunuh kesemua 298 penumpang serta anak kapal.
Terdahulu semasa menjawab pertanyaan lisan Siew Fook, Abdul Aziz berkata, bagi memastikan kejadian serupa tidak berulang, Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) telah menubuhkan jawatankuasa khas.
Katanya, jawatankuasa itu seterusnya memutuskan bahawa notis kawasan bergolak perlu disalurkan terus ke sistem Notis Kepada Juruterbang (NOTAM), semua ahli ICAO dan syarikat penerbangan di seluruh dunia untuk tujuan keselamatan global.
“Pihak ICAO juga akan mewujudkan sistem berpusat yang baharu untuk berkongsi maklumat mengenai mana-mana kawasan yang dikenal pasti sebagai berisiko tinggi untuk dilalui pesawat awam,” katanya
Kekalkan Akta Hasutan-Shahrizat Jalil
Kerajaan wajar meneruskan penggubalan Akta Keharmonian Nasional tetapi dalam masa yang sama juga harus mengekal dan menambahbaik Akta Hasutan 1948.
Ketua Pergerakan Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata Akta Keharmonian Nasional adalah untuk mempromosi dan menggalakkan semangat harmoni serta saling hormat-menghormati dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Beliau berkata penggubalan akta itu bukan untuk bersifat menghukum, tetapi lebih menumpukan kepada elemen memupuk semangat saling hormat-menghormati antara kaum yang berbeza agama dan budaya.
wanita“Akta Kehormanian Nasional boleh digubal bagi menyediakan peruntukan-peruntukan yang bertujuan menggalakkan perasaan muhibah sesama kaum dan keharmonian nasional,” katanya dalam ucapan dasar Ketua Pergerakan Wanita UMNO pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.
Pada masa sama, Shahrizat menegaskan kerajaan perlu mengekalkan Akta Hasutan 1948 dengan melakukan penambahbaikan yang bersesuaian serta mengambil kira keperluan menjaga hak-hak seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, menjamin keselamatan rakyat dan kepentingan negara.
Katanya elemen pencegahan dan hukuman perbuatan-perbuatan yang boleh mencetuskan ketidakharmonian sesama kaum dalam akta sedia ada itu hendaklah dikekalkan.
Kerajaan sebelum ini bercadang untuk memansuhkan Akta hasutan 1948 dan menggantikan ia dengan akta baharu yang dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional.
Shahrizat mengesyorkan agar mana-mana peruntukan dalam Akta Hasutan 1948 yang tidak lagi relevan dipinda atau dimansuhkan segera dengan mengambilkira keterbukaan kepimpinan Barisan Nasional ketika ini.
Beliau berkata peruntukan yang menghalang rakyat mengkritik kerajaan dan pentadbiran boleh dimansuhkan demi menyediakan ruang yang lebih luas kepada rakyat untuk bersuara.
“Saya berharap Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak serta kabinet akan berfikir panjang sebelum membuat keputusan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948. Jangan menang sorak hari ini kampung digadai pada hari esok. Nanti jika tangis air mata darah sekalipun, kampung tidak akan kembali lagi,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Shahrizat berkata Wanita UMNO menggesa kerajaan Negeri mematuhi dan memastikan semua tanah rizab Melayu yang telah dibatalkan wajib diganti semula mengikut Enakmen Rizab Melayu Negeri masing-masing bagi mengekalkan pegangan tanah rizab untuk orang Melayu.
Katanya terdapat beberapa negeri yang menyaksikan Tanah Rizab Melayu kian terhapus tanpa gantian wajib dan jika berlaku penggantian ia tidak setaraf dari segi nilai komersial.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan pindaan undang-undang dibuat dengan memberi kuasa kepada Peguam Negara bagi kepentingan umum untuk membuat permohonan terhadap Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri untuk mendapatkan tanah gantian serupa dengan tanah rizab Melayu yang telah lupus.
Menyentuh mengenai isu pendidikan, Shahrizat yang juga bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mencadangkan agar Bahasa Arab, Mandarin atau Tamil dijadikan mata pelajaran pilihan di semua sekolah rendah dan menengah sebagai usaha melahirkan pelajar yang berkemahiran dalam pelbagai bahasa.
“Alangkah indahnya jikalau generasi akan datang di Malaysia terdiri daripada generasi pelbagai bahasa ‘multi lingual’ yang petah bercakap dalam Bahasa Melayu, Inggeris, Arab, Mandarin, Tamil mahupun bahasa-bahasa lain seperti mana terdapat di banyak negara Eropah,” katanya.
Umno perlu mengenal pasti siapakah 'warlord' dalam parti
Umno perlu mengenal pasti siapakah 'warlord' dalam parti yang menyebabkan anggota dan masyarakat menjauhkan diri sehingga melemahkan parti, kata Anggota Majlis Tertinggi Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Beliau berkata parti tonggak Barisan Nasional (BN) ini mesti melihat dengan serius dan memperbetul persepsi umum bahawa 'Umno dikuasai oleh warlord' bagi membolehkannya meraih kembali keyakinan rakyat untuk menyokong parti.
"'Warlordism' yang dimaksudkan ini adalah dia menyebabkan orang lari daripada Umno. Ini yang perlu kita tentukan, siapa dia orang itu," katanya kepada Bernama semasa melawat Laman Media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merasmikan secara serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno malam tadi berkongsi pandangan orang muda yang melihat Umno antara lain dikuasai 'warlord'.
"Kita perlu buktikan warlord bukan sebahagian daripada budaya Umno. Kita menolak sikap sekalangan yang cuba untuk kekal berkuasa dengan menabur kemewahan kepada pengikut," kata Muhyiddin.
Mengenai peremajaan Umno yang dilihat menjadi fokus perhimpunan agung kali ini, Ahmad Shabery berkata perkara itu perlu diperhalusi agar hasrat berkenaan dapat diterjemah dengan tepat.
"Ramai orang melihat soal peremajaan dan bagaimana Umno nak diremajakan. Apakah perlu pertukaran pucuk pimpinan dan di peringkat mana?," katanya.
Ahmad Shabery, yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, yang turut meninjau infrastruktur dan tahap kelajuan jalur lebar di Laman Media, berkata kemudahan berkenaan akan dipertingkatkan bagi memudahkan liputan secara masa nyata dapat dilakukan oleh pengamal media pada masa depan.
Sebanyak 1,452 petugas media daripada 106 akhbar dan agensi berita dalam dan luar negara membuat liputan pelbagai program sempena Perhimpunan Agung Umno 2014.
Langgan:
Ulasan (Atom)






