Ahad, 6 Julai 2014
MH370- Malaysia tamban aset untuk teruskan misi pencarian
Malaysia menghantar lebih banyak aset ke Selatan Lautan Hindi untuk mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 di lokasi baharu lautan itu, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), yang mampu membuat pencarian dengan menggunakan peralatan 'multi beam echo sounder', akan menyertai pasukan mencari dengan memberi bantuan dalam proses batimetrik.
"Kapal ini akan memulakan pelayarannya pada 4 Ogos," kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan Pameran Foto MH370 di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS) Ahmad Jauhari Yahaya.
Mengenai aset komersial, Hishammuddin berkata Petronas serta DEFTECH and Phoenix International akan segera menghantar sebuah kemudahan dikenali sebagai Prosas Side Scan Sonar (Towed Synthetic Aperture Sonar) untuk dipasang pada kapal induk, yang akan dikenal pasti kelak.
Hishammuddin berkata sebuah lagi syarikat, Boustead Heavy Industries, bersama iXBlue Australia, juga akan menghantar sebuah 'deep towed side scan sonar' bersama Kenderaan Kawalan Jauh (ROV) yang dipasang pada kapal induk bernama John Lethbridge.
Aset tersebut dijangka tiba di kawasan mencari pada pertengahan Ogos dan keperluan operasi aset ini akan diselaraskan bersama pihak berkuasa Australia, katanya.
Beliau seterusnya menjelaskan bahawa kapal TLDM, Bunga Mas 6 (BM6), yang menyertai usaha mencari secara aktif sejak pencarian di permukaan laut dijalankan pada April, akan terus berada di kawasan pencarian dalam fasa akan datang bagi membantu usaha mencari pesawat yang hilang itu.
Menurut beliau, BM6 kini memberi bantuan dari segi sokongan logistik dan pemindahan data kepada kapal yang berada di kawasan mencari.
Pada 26 Jun, pegawai Australia mengumumkan bahawa usaha mencari MH370 akan beralih jauh ke selatan Lautan Hindi dan dijangka selesai dalam masa lebih kurang setahun.
Bagaimanapun, lokasi baharu itu masih di kawasan di mana pesawat Boeing 777-200 yang dalam penerbangan ke Beijing bersama 239 penumpang dan anak kapal didapati kali terakhir berkomunikasi dengan satelit sebelum hilang pada 8 Mac, setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL.
Kerja batimetrik atau memeta dasar laut itu dijangka selesai dalam masa tiga bulan dan akan disusuli dengan usaha mencari secara menyeluruh di laut mulai Ogos.
Ditanya tentang kos operasi akan datang, Hishammuddin berkata penggunaan aset yang baru diumumkan itu akan ditanggung syarikat komersial.
Beliau bagaimanapun berkata terdapat juga kemungkinan Malaysia, China dan Australia akan berkongsi memikul kos operasi mencari itu.
Ditanya tentang pampasan kepada keluarga penumpang dan anak kapal MH370, Hishammuddin berkata perkara itu adalah tanggungjawab Jawatankuasa Waris, yang kini bekerjasama rapat dengan MAS untuk menyelesaikannya mengikut garis masa yang ditetapkan.
Selepas pesawat itu hilang, gerakan antarabangsa untuk mencarinya secara besar-besaran dilancarkan, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di Selat Melaka dan Laut Andaman, sebelum pasukan mencari mengalih tumpuan mereka ke perairan di luar pantai barat di selatan Lautan Hindi, dalam jarak pertengahan ke Antartika.
Pada 29 Mei, Pusat Penyelarasan Agensi Bersama menolak kawasan isyarat akoustik di kesan di Selatan Lautan Hindi pada awal April sebagai tempat bersemadinya pesawat MH370.
Sementara itu, 40 foto karya jurufoto tempatan dan antarabangsa yang membuat liputan berhubung kehilangan pesawat MH370, kini dipamerkan di Black and Blue Bridge, Publika Mall hingga 21 Julai.
Pameran ini dianjurkan Kelab Wartawan Asing Malaysia.
Peneroka Felda terima dividen RM72.9 juta-PM Najib
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pembayaran dividen akhir Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) kepada peneroka Felda berjumlah RM72.9 juta.
Sehubungan itu, semua 112,635 warga peneroka seluruh negara akan menerima imbuhan sebanyak RM647.78 seorang.
Pembayaran dividen akhir FGV ini membabitkan jumlah 10 sen sesaham yang mana ia akan dibayar menerusi Tabung Amanah pada Jumaat ini (11 Julai).
Perdana Menteri yang menghadiri majlis berbuka puasa bersama warga peneroka di Pejabat Felda Wilayah Terengganu ketika berucap turut mengumumkan pemberian duit raya kepada peneroka Felda dengan jumlah keselurahan sebanyak RM30.5 juta.
Najib berkata pemberian ini sebagai menghargai sumbangan peneroka kepada pembangunan Felda dan membantu perbelanjaan persiapan Hari Raya mereka.
"Kita juga menyerahkan duit raya sebanyak RM300 bagi setiap keluarga peneroka bagi meringankan lagi beban kewangan peneroka dan keluarga mereka dalam membuat persiapan untuk menyambut Aidilfitri tidak lama lagi," katanya.
Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dan isteri Toh Puan Harlina Zakaria, Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari serta Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.
Di majlis itu juga, Najib turut menyerahkan zakat perniagaan bagi pihak Kumpulan Felda berjumlah RM22.02 juta.
Katanya, jumlah bayaran zakat tersebut bersempena keuntungan FGV yang dicatatkan pada tahun kewangan 2013 iaitu sebanyak RM8.6 juta, Koperasi Permodalan Felda (KPF) RM12.8 Juta, Felda D'Saji RM321,200 dan koperasi kakitangan Felda Malaysia Berhad (FELKOP) RM297,985.97.
Zakat perniagaan ini dibayar kepada 14 Pusat Zakat Negeri iaitu bagi negeri-negeri dimana kumpulan Felda menjalankan operasi perniagaannya.
Sementara itu bersempena majlis tersebut yang dihadiri kira-kira 6,000 orang, kumpulan Felda turut memberikan sumbangan amal dan saguhati kepada masjid Felda yang melibatkan jumlah sebanyak RM927,500 yang akan diagihkan kepada Pengerusi Masjid, Imam, Bilal dan Siak.
Selepas majlis ini, Najib dijadual bersolat Isyak dan tarawih di Masjid Al-Abrar Bukit Tok Beng, Seberang Takir di sini sebelum berlepas pulang ke ibu negara.
Sementara itu, rata-rata peneroka Felda melahirkan rasa terharu dengan pengumuman dan sumbangan itu oleh Perdana Menteri.
Wakil peneroka Samsudin Othman, 62, bersyukur dengan pengumuman Najib yang sudi memberi sumbangan hari raya sebagai persiapan menyambut lebaran.
"Walaupun jumlah itu tak besar namun ia sedikit-sebanyak menolong dan mampu meringankan beban kami," kata Samsudin yang berasal dari Johor.
Seorang lagi peneroka Ismail Mohamad, 66, dari Felda Neram Satu Kemaman berkata beliau berharap golongan Felda akan terus dilimpahi faedah pada masa akan datang dan usah percaya kata-kata negatif dilemparkan kepada Felda.
"Para peneroka usahlah mendengar kata-kata tidak sahih kerana ia akan mendatangkan rasa kurang senang kepada kita sendiri.
"Kerajaan kita sudah cukup baik, apa lagi kita masih tidak puas hati?," katanya.
PM Najib ucap terima kasih kepada Ahmad Said
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said atas jasa yang disumbangkannya sepanjang mentadbir negeri ini.
Beliau berkata jasa Ahmad sepanjang bergelar Menteri Besar tidak harus dipandang mudah kerana beliau melakukan pelbagai sumbangan dan usaha untuk membangunkan negeri Terengganu.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap sebelum mengumumkan pemberian dividen Felda Global Ventures Holdings Berhad dan duit raya kepada warga peneroka Felda di Kompleks Pejabat Felda Wilayah Terengganu di Tepoh di sini hari ini.
Najib juga menyokong penuh konsep pembangunan yang dibawa oleh Menteri Besar Terengganu yang baharu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dalam memajukan pembangunan dan pentadbiran negeri.
Katanya Ahmad Razif juga bersedia meneruskan kesinambungan usaha yang dilakukan oleh Ahmad Said.
"Apa sahaja yang baik yang dilakukan oleh Ahmad Said, Ahmad Razif akan teruskan bagi memastikan negeri ini terus berkembang," katanya.
Isu judi haram- Zahid akan bertemu dengan menteri besar
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau akan mengadakan perjumpaan dengan menteri besar dan ketua menteri bagi membincangkan mengenai masalah judi haram yang semakin berleluasa.
Katanya tindakan melawat negeri-negeri itu bagi mendapatkan sokongan terhadap usaha kementerian itu memerangi judi haram, antaranya dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak lagi mengeluarkan lesen pusat hiburan keluarga (PHK).
"Saya yakin mereka (menteri besar dan ketua menteri), termasuk yang dikuasai pembangkang, akan memberi sokongan kepada KDN (Kementerian Dalam Negeri) dan PDRM (Polis Diraja Malaysia) untuk membanteras judi haram yang akhirnya akan merosakkan akhlak penduduk di negeri berkenaan.
"Masalah (judi haram) ini terlalu serius. Dan saya fikir Selangor yang paling 'hebat'," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama warga KDN Kedah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Mohamad Khalid Sharif, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata pasukan petugas yang diwujudkan bagi menangani kegiatan judi haram itu akan mengadakan kerjasama dengan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) Jabatan Perdana Menteri selain Jabatan Peguam Negara, PBT, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
"Ini semua bagi membanteras judi haram termasuk penyitaan premis perjudian, aset perjudian, perkakasan perjudian dan harta benda dipunyai oleh mereka yang menjalankan kegiatan perjudian haram," katanya.
Beliau berkata ada undang-undang berkaitan yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat tetapi beberapa pindaan tambahan diperlukan untuk memperkuatkan pelaksanaan pencegahan dan pembanterasan.
"KDN amat mengalu-alukan usaha Jabatan Peguam Negara untuk membantu membentangkan pindaan itu. Kita harap akan dapat dilakukan dalam sidang Parlimen pada Oktober depan," katanya.
Beliau berkata iltizam politik dan komitmen kerajaan amat jelas dalam membendung serta membanteras kegiatan judi haram dan beberapa mesyuarat penyelarasan antara agensi persekutuan yang terlibat telah diadakan dan akan diperluaskan di peringkat negeri.
"Ada yang mencadangkan supaya KPI (petunjuk prestasi utama) ditekankan bagi menentukan penguatkuasaan ini dilaksanakan. KPI ini adalah prestasi yang akan diukur bukan hanya untuk KDN dan PDRM tetapi juga mengukur pencapaian semua agensi pusat dan negeri apabila pelaksanaan penuh dilakukan kelak," katanya.
Sabtu, 5 Julai 2014
Kerusi MB Selangor- Pas akan bincang esok
Pimpinan Pas Pusat dan Selangor akan mengadakan pertemuan bagi membincangkan suasana politik negeri ini, esok.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, perjumpaan itu bukan khusus berkenaan kedudukan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semata-mata tetapi perkara lain juga.
“Kita mahu bincangkan perkembangan politik di Selangor dalam pelbagai sudut,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad turut mengesahkan perjumpaan pada hujung minggu ini.
“Ya, ada pertemuan antara Pas Pusat dan Pas Selangor Ahad ini. Pusat hendak dengar pandangan Adun, Ahli Parlimen dan Yang Dipertua Pas Kawasan berhubung isu Menteri Besar,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kayat ketika dihubungi berkata, perjumpaan itu bertujuan mendengar cadangan dan pendapat peringkat akar umbi.
"Pas parti yang tidak membuat sesuatu keputusan terburu-buru dengan mendengar cakap sesetengah pihak sahaja dan kita akan adakan perbincangan untuk capai kata sepakat dan buat keputusan.
Ketika ditanya berkenaan kelantangan beliau sebelum ini pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang yang mahukan kedudukan Menteri Besar itu berhak diberikan kepada Pas beliau berkata, ia merupakan pendapat semata-mata.
Suhaizan juga tidak menolak sekiranya jawatan Menteri Besar itu diisi oleh PKR lagi jika ia keputusan bersama parti komponen lain dalam PR dalam masa sama tidak mahu Pas dilihat sebagai parti yang hanya mengambil peluang dalam masalah kepimpinan di negeri tersebut.
Kebelakangan ini timbul desakan segelintir ahli PKR yang mahukan Abdul Khalid berundur termasuk suara kalangan Pas sendiri.
Desakan lepas jawatan itu timbul apabila Abdul Khalid dikatakan mengetepikan pandangan Adun semasa membuat beberapa keputusan besar yang membabitkan negeri antaranya isu penstrukturan semula industri air negeri.
Pas yang memenangi majoriti 15 kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU13) memberi laluan kepada PKR untuk jawatan Menteri Besar yang mana masing-masing memperolehi 14 kerusi bagi DAP dan PKR.Petikan; Sinar Harian
Isu gelandangan- Kementerian Wilayah bincang Selasa ini
Bagi meleraikan isu berkaitan pengagihan makanan kepada golongan gelandangan dapat dimuktamadkan, Kementerian Wilayah Persekutuan akan mengadakan pertemuan khas dengan NGO-NGO terlibat Selasa ini, ujar menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Menurut Tengku Adnan, perbincangan tersebut akan menyentuh mengenai lokasi baharu yang lebih sesuai untuk kumpulan sukarelawan tersebut mengagihkan makanan kepada golongan yang memerlukan.
“ Saya menghargai segala usaha murni yang dilaksanakan oleh NGO-NGO yang terlibat dan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan akan mengadakan perbincangan dengan NGO-NGO ini.
“Perbincangan itu adalah bagi menetapkan lokasi yang bersesuaian supaya pengagihan makanan dan bantuan-bantuan lain dapat dilaksanakan dengan lebih sempurna,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.
Terdahulu, Tengku Adnan dikritik hebat setelah pelbagai kenyataan yang dikeluarkannya yang menyentuh mengenai golongan gelandangan dan NGO ini mencetuskan kontroversi.
Beliau sebelum itu melarang mana-mana NGO memberi makanan percuma kepada golongan miskin dalam lingkungan dua kilometer dari pusat membeli-belah Lot 10, Bukit Bintang.
Menurutnya, kawasan berkenaan dikira sebagai tempat tumpuan pelancong, yang dibimbangi akan menjadi kotor dengan kehadiran orang miskin dan gelandangan.
Setelah dikritik keras pelbagai pihak, Tengku Adnan memberi penjelasan bahawa niatnya adalah untuk memperbetulkan keadaan dan membantu golongan tersebut mendapat kehidupan yang lebih baik.
Jumaat, 4 Julai 2014
Pemalsuan MyKad-105 individu ditahan sejak September lepas
Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menahan 105 individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pemalsuan MyKad sejak September tahun lepas hingga April ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata mereka yang ditahan itu terdiri daripada anggota sindiket dan individu yang bergerak aktif menjalankan kegiatan berkenaan bagi mengaut keuntungan.
"Berdasarkan siasatan, kita mendapati mereka yang ditahan itu terdiri daripada tiga kategori utama iaitu sindiket yang menyasarkan warga asing yang berhajat menjadi warganegara Malaysia.
"Dua lagi ialah individu yang mengenakan bayaran tertentu kepada pihak yang mahukan kad pengenalan dan individu yang melaksanakan aktiviti itu secara berkala dengan menumpukan di kawasan tertentu terutama di ladang serta kawasan perumahan yang mempunyai warga asing," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Warga KDN Pulau Pinang di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pulau Pinang, di sini hari ini. Turut hadir pada majlis itu Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi.
Ahmad Zahid berkata antara yang ditahan sepanjang tempoh berkenaan adalah warga asing daripada beberapa negara yang dipercayai bertindak sebagai ejen.
Katanya setakat ini tiada penjawat awam terutama daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ditahan dalam aktiviti pemalsuan MyKad.
Beliau berkata MyKad palsu itu tidak mempunyai 13 ciri khas seperti yang terdapat pada kad tulen, malah tiada butiran maklumat dalam sistem berkomputer JPN yang boleh diimbas menerusi mesin pengimbas.
Ahmad Zahid turut menafikan KDN melantik ejen untuk memudahkan urusan bagi memohon MyKad kerana pihaknya mempunyai 41 pejabat JPN di seluruh negara.
"Saya minta orang ramai jangan terpedaya atau percaya dengan pihak yang cuba menawarkan kad pengenalan kerana kita tidak pernah lantik mana-mana ejen.
"Lagipun urusan pemprosesan MyKad hanya memakan masa 24 jam dan bukan berminggu seperti yang didakwa mereka (ejen)," katanya.
Langgan:
Ulasan (Atom)






