Sabtu, 5 Julai 2014
Kerusi MB Selangor- Pas akan bincang esok
Pimpinan Pas Pusat dan Selangor akan mengadakan pertemuan bagi membincangkan suasana politik negeri ini, esok.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, perjumpaan itu bukan khusus berkenaan kedudukan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semata-mata tetapi perkara lain juga.
“Kita mahu bincangkan perkembangan politik di Selangor dalam pelbagai sudut,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad turut mengesahkan perjumpaan pada hujung minggu ini.
“Ya, ada pertemuan antara Pas Pusat dan Pas Selangor Ahad ini. Pusat hendak dengar pandangan Adun, Ahli Parlimen dan Yang Dipertua Pas Kawasan berhubung isu Menteri Besar,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kayat ketika dihubungi berkata, perjumpaan itu bertujuan mendengar cadangan dan pendapat peringkat akar umbi.
"Pas parti yang tidak membuat sesuatu keputusan terburu-buru dengan mendengar cakap sesetengah pihak sahaja dan kita akan adakan perbincangan untuk capai kata sepakat dan buat keputusan.
Ketika ditanya berkenaan kelantangan beliau sebelum ini pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang yang mahukan kedudukan Menteri Besar itu berhak diberikan kepada Pas beliau berkata, ia merupakan pendapat semata-mata.
Suhaizan juga tidak menolak sekiranya jawatan Menteri Besar itu diisi oleh PKR lagi jika ia keputusan bersama parti komponen lain dalam PR dalam masa sama tidak mahu Pas dilihat sebagai parti yang hanya mengambil peluang dalam masalah kepimpinan di negeri tersebut.
Kebelakangan ini timbul desakan segelintir ahli PKR yang mahukan Abdul Khalid berundur termasuk suara kalangan Pas sendiri.
Desakan lepas jawatan itu timbul apabila Abdul Khalid dikatakan mengetepikan pandangan Adun semasa membuat beberapa keputusan besar yang membabitkan negeri antaranya isu penstrukturan semula industri air negeri.
Pas yang memenangi majoriti 15 kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU13) memberi laluan kepada PKR untuk jawatan Menteri Besar yang mana masing-masing memperolehi 14 kerusi bagi DAP dan PKR.Petikan; Sinar Harian
Isu gelandangan- Kementerian Wilayah bincang Selasa ini
Bagi meleraikan isu berkaitan pengagihan makanan kepada golongan gelandangan dapat dimuktamadkan, Kementerian Wilayah Persekutuan akan mengadakan pertemuan khas dengan NGO-NGO terlibat Selasa ini, ujar menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Menurut Tengku Adnan, perbincangan tersebut akan menyentuh mengenai lokasi baharu yang lebih sesuai untuk kumpulan sukarelawan tersebut mengagihkan makanan kepada golongan yang memerlukan.
“ Saya menghargai segala usaha murni yang dilaksanakan oleh NGO-NGO yang terlibat dan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan akan mengadakan perbincangan dengan NGO-NGO ini.
“Perbincangan itu adalah bagi menetapkan lokasi yang bersesuaian supaya pengagihan makanan dan bantuan-bantuan lain dapat dilaksanakan dengan lebih sempurna,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.
Terdahulu, Tengku Adnan dikritik hebat setelah pelbagai kenyataan yang dikeluarkannya yang menyentuh mengenai golongan gelandangan dan NGO ini mencetuskan kontroversi.
Beliau sebelum itu melarang mana-mana NGO memberi makanan percuma kepada golongan miskin dalam lingkungan dua kilometer dari pusat membeli-belah Lot 10, Bukit Bintang.
Menurutnya, kawasan berkenaan dikira sebagai tempat tumpuan pelancong, yang dibimbangi akan menjadi kotor dengan kehadiran orang miskin dan gelandangan.
Setelah dikritik keras pelbagai pihak, Tengku Adnan memberi penjelasan bahawa niatnya adalah untuk memperbetulkan keadaan dan membantu golongan tersebut mendapat kehidupan yang lebih baik.
Jumaat, 4 Julai 2014
Pemalsuan MyKad-105 individu ditahan sejak September lepas
Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menahan 105 individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pemalsuan MyKad sejak September tahun lepas hingga April ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata mereka yang ditahan itu terdiri daripada anggota sindiket dan individu yang bergerak aktif menjalankan kegiatan berkenaan bagi mengaut keuntungan.
"Berdasarkan siasatan, kita mendapati mereka yang ditahan itu terdiri daripada tiga kategori utama iaitu sindiket yang menyasarkan warga asing yang berhajat menjadi warganegara Malaysia.
"Dua lagi ialah individu yang mengenakan bayaran tertentu kepada pihak yang mahukan kad pengenalan dan individu yang melaksanakan aktiviti itu secara berkala dengan menumpukan di kawasan tertentu terutama di ladang serta kawasan perumahan yang mempunyai warga asing," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Warga KDN Pulau Pinang di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pulau Pinang, di sini hari ini. Turut hadir pada majlis itu Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi.
Ahmad Zahid berkata antara yang ditahan sepanjang tempoh berkenaan adalah warga asing daripada beberapa negara yang dipercayai bertindak sebagai ejen.
Katanya setakat ini tiada penjawat awam terutama daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ditahan dalam aktiviti pemalsuan MyKad.
Beliau berkata MyKad palsu itu tidak mempunyai 13 ciri khas seperti yang terdapat pada kad tulen, malah tiada butiran maklumat dalam sistem berkomputer JPN yang boleh diimbas menerusi mesin pengimbas.
Ahmad Zahid turut menafikan KDN melantik ejen untuk memudahkan urusan bagi memohon MyKad kerana pihaknya mempunyai 41 pejabat JPN di seluruh negara.
"Saya minta orang ramai jangan terpedaya atau percaya dengan pihak yang cuba menawarkan kad pengenalan kerana kita tidak pernah lantik mana-mana ejen.
"Lagipun urusan pemprosesan MyKad hanya memakan masa 24 jam dan bukan berminggu seperti yang didakwa mereka (ejen)," katanya.
Lapor terus aktivti rasuah kepada SPRM dan bukan di laman laman sosial
Orang ramai diminta melapor terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika mengetahui sebarang aktiviti rasuah dan bukan menyalurkannya di laman-laman sosial.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata ini bagi mengelakkan bahan bukti hilang ketika hendak disiasat selain maklumat yang diperoleh bukan maklumat asal sekali gus merosakkan sistem keadilan jenayah.
"Mungkin ramai yang tidak mahu laporkan kepada pihak berkuasa kerana takutkan ancaman tetapi kita mempunyai beberapa akta seperti Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 serta Akta Perlindungan Saksi 2009 untuk menjaga pemberi maklumat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Lawatan Sambil Belajar oleh 70 pelajar dan guru dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Ladang Harcroft, Puchong susulan Kempen Wira AntiRasuah di sini hari ini.
Katanya mereka yang menyebarkan maklumat palsu mengenai rasuah juga boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Kanun Keseksaan.
Kempen itu mula diadakan di peringkat sekolah rendah sejak awal tahun ini untuk memberi pendedahan awal mengenai kegiatan rasuah dan sehingga hari ini empat buah sekolah telah mengambil bahagian.
Kerajaan perlu perbaharui ikrar sumpah setia penjawat awam- Cuepacs
Kerajaan perlu memperbaharui ikrar sumpah setia penjawat awam dalam perkhidmatan bagi membendung penglibatan mereka dalam kegiatan militan atau aktiviti negatif yang lain.
Presiden Cuepacs Azih Muda berkata, ikrar Aku Janji yang dilafazkan penjawat awam ketika mula bertugas di jabatan awam harus sentiasa diperbaharui dari semasa ke semasa sebagai peringatan kepada mereka supaya sentiasa taat setia terhadap kerajaan dan negara.
"Pembaharuan ikrar ini bertujuan untuk memberi kesedaran agar para penjawat awam tahu tanggungjawab mereka terhadap kerajaan, dan hal ini juga mampu untuk memberi persepsi yang positif terhadap pembangunan negara," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Azih turut melahirkan rasa kecewa berhubung pembabitan penjawat awam dalam kegiatan militan, dan menganggap ia satu pengkhianatan terhadap amanah negara dengan menjalankan aktiviti yang tidak sepatutnya.
Cuepacs akan bekerjasama dengan berbagai kementerian bagi mencari jalan terbaik menangani masalah ini daripada terus berlaku, katanya mengulas penglibatan dua penjawat awam yang merupakan antara lima warga Malaysia yang diburu polis kerana disyaki terbabit dengan kegiatan militan.
Azih turut menggesa kerajaan mengadakan program menyemai kecintaan dan kesetiaan terhadap negara di pelbagai peringkat termasuk di sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT) mahupun di tempat kerja.
Beliau berkata, jati diri rakyat Malaysia mudah goyah apabila timbul perbalahan ataupun perbezaan pendapat dalam parti politik, tetapi hal ini tidak seharusnya terjadi kerana ia akan menggugat dan memecahbelahkan perpaduan negara.
"Semangat cintakan negara seharusnya sentiasa dipupuk dan diberi penekanan dalam diri masing-masing dan ia harus dididik tanpa mengira perbezaan ataupun percanggahan parti politik," katanya.
Rakyat boleh menulis surat kepada PM mengenai pelancongan
Rakyat Malaysia berpeluang menulis surat tidak rasmi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyalurkan cadangan untuk meningkatkan industri pelancongan di negara ini melalui 'Pertandingan Menulis Surat 1Malaysia 2014'.
Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Che Azemi Haron berkata tema pelancongan dipilih bersempena Tahun Melawat Malaysia, dengan sasaran penyertaan yang lebih banyak pada tahun ini berbanding 79,875 tahun lalu.
Peserta boleh memilih satu daripada tiga tajuk iaitu 'Kenapa Malaysia Menjadi Destinasi Pilihan Pelancong Asing', 'Pengalaman dan Keistimewaan Melancong di Malaysia' dan 'Cadangan Untuk Meningkatkan Industri Pelancongan di Kawasan Anda yang Berkonsepkan Pelancongan 1Malaysia'.
Selain kategori Sekolah Rendah (150-250 patah perkataan), Sekolah Menengah (350-500 patah perkataan) dan Terbuka untuk 18 tahun ke atas (550-700 patah perkataan), kategori baharu yang diperkenalkan adalah untuk orang kelainan upaya (OKU) dari 9 hingga 45 tahun (tidak melebihi 300 patah perkataan), katanya.
"Surat mesti bertulis tangan dan tidak boleh ditaip kecuali bagi kategori OKU (penglihatan) surat itu hendaklah menggunakan mesin taip braille dan karya yang dihantar disertakan dengan terjemahan," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Pertandingan edisi ke-5 itu yang merupakan anjuran bersama Pos Malaysia Bhd dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Pendidikan, bermula 1 Julai hingga 31 Ogos.
"Kita juga telah membukukan 100 surat terbaik setiap tahun iaitu empat buku dalam empat tahun lalu dan ia akan diterbitkan untuk pembacaan umum dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka tidak lama lagi," katanya.
Beliau berkata selain menggalakkan budaya menulis di kalangan generasi muda dan masyarakat Malaysia serta meningkatkan kecekapan penulisan, pertandingan itu juga dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan industri pelancongan.
Sepuluh pemenang dalam setiap kategori akan menerima wang tunai, album setem, sijil, netbook dan hadiah-hadiah lain bernilai RM72,800 yang dijangka disampaikan pada 9 Okt bersempena Sambutan Hari Pos Sedunia.
Untuk maklumat lanjut boleh layari laman web www.pos.com.my, www.skmm.gov.my atau di laman Facebook www.facebook.com/surat2014 dan www.twitter.com/surat1malaysia.
Khamis, 3 Julai 2014
Tengku Adnan perjelaskan fakta sebenar isu golongan gelandangan
Apabila Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menghadkan aktiviti pemberian bantuan dan makanan kepada gelandangan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) maka ramai pihak yang mula keliru dan membuat tafsiran tanpa berlandaskan agenda sebenar.
Dalam hal ini, Tengku Adnan menjelaskan bahawa niat kerajaan bukanlah untuk menghalang atau menidakkan mana-mana pihak melakukan usaha murni terhadap golongan gelandangan di Ibu Kota sebaliknya ia adalah usaha kepada memastikan golongan terbabit terbela.
“Saya tidak ada niat untuk menghalang mana-mana pihak untuk membuat amal kebajikan kerana ianya memang digalakkan dalam mana-mana agama sekalipun, tetapi kaedah pemberian itu haruslah bersesuaian dan tidak mendatangkan kemudaratan kepada orang lain,” katanya.
Ujar beliau, masyarakat dan orang ramai perlu faham masalah yang sedang dihadapi dengan realitinya kerajaan sedang berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan masalah ini dan memastikan golongan terbabit mendapat kehidupan yang baik.
Dalam hal ini, beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO bersifat terbuka untuk memberikan penerangan dan penjelasan selain bersedia menerima pandangan yang bernas untuk sama-sama memastikan golongan gelandangan mendapat kehidupan yang lebih baik dan imej Kuala Lumpur tidak tercemar.
Dalam memastikan Kuala Lumpur tidak dilimpahi dengan golongan gelandangan yang ditafsirkan sebagai individu atau mereka yang tidak mempunyai pekerjaan serta tempat tinggal yang tetap di samping terdapat pengemis yang berkeliaran, kementerian terbabit telah merangka pelan bagi mengekang penularannya dan seterusnya membanteras gejala tersebut.
Untuk makluman, kebersihan adalah salah satu taskforce Kementerian Wilayah Persekutuan dan laporan kebersihan adalah dipantau secara terus oleh menteri yang bertanggungjawab.
Berdasarkan laporan oleh agensi, masalah kebersihan di Kuala Lumpur salah satu faktor yang telah menyumbang kepada imej negatif Ibu Kota khususnya di kawasan tumpuan pelancong yang juga menjadi tempat bagi kumpulan gelandangan.
Ini ditambah pula dengan tabiat gelandangan yang suka membuang sampah serta tidur di tempat-tempat yang tidak sesuai di sekitar bandaraya Kuala Lumpur, selain itu kumpulan pengemis pula kebanyakan meminta sedekah di hadapan kompleks perniagaan, seperti Pavillion, KLCC, tepi-tepi jalan dan sebagainya.
Kedua-dua faktor ini bukan sahaja menyumbang kepada masalah kebersihan, malah turut menyumbang pelbagai perkara lain seperti masalah sosial, keselamatan, menjejaskan imej Kuala Lumpur dengan pandangan yang kurang elok apabila dilihat oleh pelancong.
Dalam pada itu, kajian terhadap golongan ini juga telah dilakukan secara menyeluruh dan mendapati kumpulan gelandangan ini berpunca daripada tiada pekerjaan, miskin, masalah mental/kemurungan,/penyakit melarat, warga asing tiada pekerjaan, ketidakupayaan mengurus diri serta ditinggalkan keluarga kerana penagihan dadah/arak/bekas banduan selain warga emas.
Kaedah dan lokasi yang tidak sesuai diambil kira bagi mengelakkan sebarang permasalahan timbul seperti keracunan makanan akibat kekotoran, kencing tikus, masalah kebersihan yang berlarutan, kecacatan pemandangan kawasan tumpuan pelancong dan sebagainya.
Selain itu, kajian juga telah mengenal pasti kawasan “hot spot” yang sentiasa menjadi tumpuan kumpulan ini antaranya;
1. Mydin Kotaraya;
2. Masjid Negara;
3. Central Market;
4. Menara Maybank;
5. Jalan Tuanku Abdul Rahman;
6. Jalan Masjid India;
7. Jalan Tiong Nam (Chow Kit);
8. Jalan Silang;
9. Masjid Jamek;
10. Bank Negara;
11. Bulatan Sultan Mohamad;
12. Dataran Merdeka.
Sehubungan itu, aplikasi terbaik telah diambil dengan mengenal pasti masalah sebenar sebelum cadangan zon bebas gelandangan dikemukakan iaitu memberi makanan kepada golongan gelandangan ini mengikut hari dan waktu serta lokasi popular pengagihan makanan seperti:
1. Pasar Seni;
2. Dataran Kota Raya;
3. Stesen Bas Klang
4. Masjid India;
5. Masjid Negara;
6. Bangkok Bank, Jalan Tun HS Lee;
7. Kota Raya;
8. Pudu Sentral;
9. Swiss Garden Hotel, Jalan Pudu.
Dalam hal ini, Kementerian Wilayah Persekutuan bersama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengenalpasti pusat pengagihan makanan yang sesuai supaya NGO yang aktif dapat meneruskan aktiviti sukarelawan serta menderma makanan kepada golongan ini.
Usaha ini juga mampu mengurangkan masalah kekotoran yang akan timbul akibat pembuangan sampah oleh golongan berkenaan. Pemilihan lokasi ini juga akan mengambil kira daripada aspek kesampaian yang mudah kepada golongan gelandangan ini.
Antara cadangan lain ialah mewujudkan “Once Stop Centre” Kepada golongan gelandangan sebagai jalan penyelesaian untuk jangka masa panjang. KWP bersama DBKL telah mengenalpasti lokasi yang sesuai bagi penempatan golongan ini iaitu dengan menyediakan bangunanseperti konsep “Anjung Singgah” yang akan menyediakan beberapa kemudahan untuk golongan gelandangan seperti:
1. Menyediakan makanan yang berkhasiat secara percuma dan pihak NGO juga dialu-alukan untuk menyumbang makanan di pusat pengumpulan golongan tersebut;
2. Menyediakan tempat rehat dan tidur bagi memberikan keselesaan dan keselamatan kepada golongan ini;
3. Menyediakan pusat rawatan kesihatan bagi memastikan tiada masalah penyakit berjangkit akan tersebar oleh golongan ini;
4. Menyediakan pusat pendaftaran bersepadu yang akan merekod perihal golongan ini dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat termasuk maklumat diri, waris dan sebagainya;
5. Menyediakan kemudahan riadah, mendobi pakaian dan sebagainya untuk kesihatan dan kekemasan diri.
Berikut adalah kumpulan NGO yang dikenal pasti aktif membantu golongan gelandangan di Kuala Lumpur:
Gosm (The Gospal Of Salvation Mission Society);
Precious Children Home;
Kecana Soup Kitchen;
Pj Caring Home;
Kenosis Home;
KL Urban Fellowship;
Reach Org. Sdn. Bhd.
Nineteen O One Sdn. Bhd.
Yayasan Kebajikan Negara;
Archdiocesan Office For Human Development (Aohd);
Grace Community Service;
Community Excel Service
Sehubungan itu, isu kononnya kerajaan menghalang pemberian bantuan kepada golongan gelandangan adalah tidak benar sebaliknya kerajaan bersifat terbuka dan melihat keperluan rakyat keseluruhan sebagai keutamaan termasuklah imej Malaysia. Walau bagaimanapun, usaha ini memerlukan penglibatan semua pihak, dan kerajaan tidak akan sewenang-wenangnya meletakkan ketetapan tanpa mengambil kira kepentingan awam. – MediaUMNO
Langgan:
Ulasan (Atom)





.png)
