Selasa, 1 Julai 2014

Jawatankuasa Fatwa Terengganu putuskan kenyataan Kassim Ahmad kufur dan murtad

Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu sebulat suara memutuskan bahawa kenyataan bekas aktivis politik dan sosial Kassim Ahmad pada satu seminar Februari lalu sebagai pemikiran yang kufur dan murtad. Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Islam Terengganu, Datuk Mohd Rozali Salleh berkata keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat khas kali pertama jawatankuasa itu yang bersidang pada 9 Mac lalu. 'Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian' itu berlangsung di Putrajaya. Mohd Rozali berkata, "Fahaman atau golongan tersebut adalah sesat, menyeleweng dan menjadi ancaman kepada ketenteraman awam serta merosakkan akidah mereka. "Berdasarkan kepada ucapan yang telah disampaikan oleh Kassim Ahmad, terdapat unsur penyelewengan antaranya mempertikaikan syahadah yang kedua, mengingkari dan mempertikaikan hadis sebagai sumber hukum, mempertikaikan hukum rambut perempuan sebagai aurat, hukum selawat dan membenarkan jenayah murtad berlaku dalam masyarakat," katanya dalam sidang media Selasa. Sehubungan itu, jawatankuasa fatwa turut memutuskan apa jua fahaman yang berunsurkan penolakan hadis ini perlu disekat dari berkembang. Mohd Rozali berkata sebarang penerbitan, penyiaran dan penyebaran apa-apa buku, risalah, filem, video dan apa sahaja berhubung fahaman ini adalah diharamkan dan orang Islam dilarang memiliki, menyimpan mencetak, menjual atau mengedarkan semua bahan terbabit. "Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan yang mengikuti fahaman anti hadis ini dengan berselindung di sebalik aktiviti ekonomi, perniagaan, pendidikan, kesenian dan sebagainya yang mempunyai unsur persefahaman anti hadis ini adalah dianggap mengamalkan fahaman yang bercanggah dengan syariat. "Oleh yang demikian, orang ramai di negeri ini hendaklah menghindarkan diri daripada terlibat dengan fahaman golongan tersebut," katanya. Mesyuarat jawatankuasa itu juga bersetuju supaya keputusan berhubung fahaman anti hadis ini diwartakan untuk dijadikan fatwa yang mengikat bagi membolehkan tindakan diambil terhadap kesalahan yang terbabit, katanya.

Pemberi dan peminta sedekah di KL bakal berdepan hukuman

Pemberi dan peminta sedekah bakal berdepan hukuman seperti denda apabila undang-undang berkaitan kegiatan mengemis di ibu negara diperketat, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. Beliau berkata langkah itu akan dilaksana di beberapa tempat tumpuan bagi mengurangkan budaya meminta sedekah yang mencemar imej ibu negara. Tengku Adnan berkata keputusan itu diambil selepas pihaknya bermesyuarat dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan beberapa agensi berkaitan baru-baru ini yang antara lain, membincangkan masalah kebersihan serta isu gelandangan. "Kita akan ambil satu kaedah di mana yang pemberi kita akan saman dan penerima pula akan kita 'angkut' kerana kebanyakan peminta sedekah ini adalah orang asing. "Selain itu, badan bukan kerajaan yang memberi makanan secara percuma kepada gelandangan juga akan ditetapkan tempatnya dan tidak boleh merata-rata tempat kerana ini akan mengundang kekotoran," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Nur Ramadan peringkat Putrajaya, Selasa malam. Terdahulu, dalam ucapannya, Tengku Adnan berkata kementerian itu dan agensi di bawahnya akan mengadakan majlis berbuka puasa di semua 13 kawasan Parlimen Wilayah Persekutuan agar dapat mendengar permasalan rakyat dan lokasi pertama ialah Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin. Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada 780 penerima antaranya anak yatim, fakir miskin dan orang kelainan upaya.

Kes serangan seksual-Mindef sokong tindakan tarik balik imuniti diplomatik

Kementerian Pertahanan (Mindef) menyokong tindakan menarik balik imuniti diplomatik pegawainya yang didakwa membuat serangan seksual terhadap seorang wanita di New Zealand pada Mei lepas, bagi membolehkan lelaki itu didakwa mengikut undang-undang New Zealand. Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Mindef memandang serius tuduhan itu dan akan melakukan siasatan menyeluruh terhadap pegawai terbabit. "Kami akan siasat dan bekerjasama dengan Kementerian Luar dan Kerajaan New Zealand dan akan memastikan mana-mana pegawai yang didapati bersalah akan dijatuhkan hukuman yang setimpal," katanya kepada pemberita selepas taklimat Jawatankuasa Khas Kabinet berhubung insiden MH370 di Parlimen, pada Selasa. Hishammuddin juga menegaskan Mindef tidak akan memberi perlindungan kepada mana-mana pegawainya yang didapati melakukan kesalahan. Beliau mengulas kenyataan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman hari ini yang dilapor berkata Wisma Putra sedia menarik balik kekebalan diplomatik pegawai tersebut yang dikehendaki oleh pihak berkuasa New Zealand. Lelaki berpangkat Pegawai Waran II daripada Mindef yang dihantar bertugas selama setahun di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington itu ditahan polis negara berkenaan pada 9 Mei atas tuduhan cuba melakukan pecah rumah dan serangan seksual terhadap seorang wanita. Bagaimanapun pegawai itu dikatakan menggunakan imuniti diplomatiknya daripada menghadapi tuduhan jenayah di sana dan telah pulang ke tanah air pada akhir Mei. Wellington mahukan pegawai itu menghadapi dakwaan jenayah di mahkamah negara tersebut.

MH370-Tidak kuasa misteri yang. mengaitkan kehilangan- Hishammuddin

Dakwaan penyiasat nahas udara Australia yang mengaitkan kehilangan penerbangan MH370 dengan kuasa misteri baru-baru ini hanyalah spekulasi, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Beliau berkata kerajaan Malaysia hanya menerima pakai laporan yang dikeluarkan oleh Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) yang ditubuhkan khusus berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines itu. "Apa juga isu kita ada panel pakar untuk mengesahkannya. Laporan itu bukan daripada JACC. "Bagaimanapun saya tetap anggap sebarang maklumat terkini... sama seperti yang saya lakukan pada masa lalu... biar JACC sahkan. Selama ini kita tidak pernah berhenti daripada mencari kotak hitam dan mengesan maklumat baharu berhubung pesawat itu," katanya kepada pemberita selepas taklimat Jawatankuasa Khas Kabinet berhubung insiden MH370 di Parlimen, di sini hari ini. Turut hadir Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Aset MH370 dan Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin, iaitu Pengerusi Jawatankuasa Waris mengenai MH370. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) semalam, unit data satelit pesawat itu cuba 'log masuk' ke satelit dalam tempoh tidak sampai 90 minit setelah berlepas. Permintaan itu yang dikenali sebagai 'hand shake' mungkin disebabkan gangguan kuasa elektrik pesawat Boeing 777 tersebut. Sementara itu, Liow berkata maklumat terperinci berhubung penghantaran aset dan pakar dalam mengesan pesawat MH370 ke lokasi pencarian di Lautan Hindi akan dimaklumkan kemudian. Penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang serta anak kapal ke Beijing hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam. Gerakan mencari membabitkan pelbagai negara bermula di Laut China Selatan sebelum diperluas ke Selat Melaka dan akhirnya di Lautan Hindi selepas data satelit menunjukkan pesawat itu melencong jauh daripada laluan asal dengan isyarat terakhir dikesan di selatan Lautan Hindi.

Jumaat, 27 Jun 2014

Projek PR1MA akan diperluaskan ke Kulim Hi Tech

Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) akan diperluaskan ke Taman Teknologi Tinggi Kulim (Kulim Hi-Tech) dan Langkawi dalam memastikan perancangan untuk membina 20,000 rumah mampu milik di bawah Skim Perumahan Perbadanan PR1MA Malaysia di Kedah mampu dicapai. Pengerusi Perbadanan PR1MA Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis berkata sebanyak 2,871 unit rumah akan dibina di tiga kawasan iaitu dua di Kulim Hi-Tech dan satu di Langkawi yang dijangka bermula Ogos sehingga akhir tahun ini. "Kita akan membina 711 unit rumah di kawasan Kulim Hi-Tech yang melibatkan dua kawasan manakala sebanyak 2,160 unit rumah akan dibina di Langkawi dengan hasil usahasama Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada). "Ia dijangka bermula pada bulan Ogos dan kita sedang berbincang dengan kerajaan negeri untuk melihat di daerah lain yang mendapat permintaan tinggi untuk pembinaan rumah PR1MA," katanya selepas melawat tapak perumahan di sini hari ini. Beliau berkata ketika ini PR1MA telah memperoleh tanah seluas 151.2 hektar di Sungai Petani, Kuala Ketil dan Langkawi untuk dibina 5,227 unit rumah PR1MA dan setakat ini sebanyak 3,067 unit rumah telah pun dalam proses pembinaan. "Setakat ini proses pembinaan telah pun dimulakan di Sungai Petani (2,744) dan Kuala Ketil (323) dan kita jangka peringkat fasa pertama akan siap dalam tempoh 18 bulan dari sekarang. Jika tiada masalah, ia akan siap menjelang hujung tahun depan. "Kita sedang berbincang dengan pihak yang terlibat untuk memikirkan bagaimana mahu mempercepatkan proses pembinaan rumah ini kerana kebiasaannya pembinaan rumah memakan masa sehingga dua tahun tetapi saya tidak mahu ia mengambil masa yang begitu lama. Menjelang tahun depan saya ingin lihat 1,000 unit rumah sudah disiapkan," katanya. Beliau berkata setakat ini pemohonan bagi mendapatkan rumah PR1MA ini telah mencecah 8,000 yang mana 4,300 daripadanya berhasrat untuk mendapatkan rumah di kawasan Sungai Petani.-

Dapatkan sijil halal sebelum promosi jaudah Ramadan

Dapatkan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau Majlis/Jabatan Agama Islam Negeri terlebih dahulu sebelum pengusaha premis makanan atau hotel-hotel mempromosi juadah Ramadan mereka, nasihat Jakim Jumaat. Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha berkata para pengusaha diingatkan agar tidak menggunakan ungkapan seperti 'Bufet Ramadan', 'Makanan Berbuka Puasa', 'Iftar Ramadan' atau 'Makanan Bersahur' sewenang-wenangnya yang boleh mengelirukan pengguna Islam. "Ini kerana ungkapan-ungkapan tersebut termasuk dalam takrif halal dan perbuatan menggunakan ungkapan sedemikian dengan sewenang-wenangnya boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Perihal Dagangan (APD) 2011, Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) dan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011. "Oleh yang demikian, hanya premis yang mendapat pengesahan pensijilan halal Malaysia oleh Jakim atau Majlis/Jabatan Agama Islam Negeri sahaja boleh menggunakan ungkapan tersebut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Beliau juga menasihatkan para pengguna Islam supaya bijak memilih premis menawarkan bufet Ramadan yang diperakui halal oleh Jakim atau Majlis/Jabatan Agama Islam Negeri. "Gunakanlah kuasa sebagai pengguna ini sebaiknya dalam memilih premis untuk tujuan berbuka puasa kerana premis yang menawarkan promosi bufet Ramadan dan telah mendapat pensijilan halal ini pastinya telah diperiksa dan dijamin pematuhan halalnya. Ini untuk mengelakkan daripada perkara yang was-was," kata Othman. Sehubungan itu beliau berkata pada bulan Ramadan, pemantauan lebih tertumpu kepada restoran, premis makanan, dan hotel yang mengadakan promosi berbuka puasa bagi memastikan pihak yang menawarkan perkhidmatan tersebut benar-benar mematuhi keperluan perundangan. Beliau juga menasihatkan premis dan hotel yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia supaya sentiasa mematuhi piawaian yang ditetapkan kerana pemantauan dan penguatkuasaan berterusan akan dijalankan. "Sekiranya didapati mereka tidak lagi mematuhi piawaian pensijilan halal yang ditetapkan, tindakan undang-undang juga boleh dikenakan ke atas mereka tanpa kompromi," katanya. Othman berkata permohonan pensijilan halal pada dasarnya bersifat sukarela dan sejak 2010 hingga Jun tahun ini, sebanyak 2,151 premis makanan, restoran dan dapur hotel telah mendapat sijil pengesahan halal Malaysia di seluruh negara manakala 358 lagi masih dalam proses untuk mendapatkannya. "Dalam masa yang sama, sebanyak 351 premis makanan, restoran, dan dapur hotel gagal di peringkat permohonan atas faktor tidak menepati piawaian pensijilan halal Malaysia seperti ramuan kritikal yang tidak mempunyai sijil halal, masalah kebersihan, premis yang menyediakan menu tidak halal dan apa-apa yang diputuskan oleh Panel Pengesahan Halal Malaysia," katanya. Othman menambah kata bahawa sebanyak 2,860 permohonan telah diterima daripada premis makanan, restoran dan dapur hotel dalam tempoh yang sama. Berdasarkan statistik Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan yang menjalankan pemeriksaan ke atas premis makanan termasuk dapur hotel yang mengadakan promosi bufet Ramadan tahun lepas, Othman berkata empat premis telah dikenakan tindakan penggantungan Sijil Pengesahan Halal, manakala empat premis lain diambil tindakan serta disiasat di bawah APD 2011 dan tujuh premis diberikan amaran. "Jakim masih memantau pematuhan APD 2011 di premis-premis ini selepas tempoh tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan akta berkenaan sekiranya masih ingkar," katanya. Othman berkata maklumat premis makanan, restoran dan dapur hotel yang mempunyai sijil pengesahan halal boleh didapati melalui Direktori Halal Malaysia di www.halal.gov.my.

32 barangan murah menjelang Ramadan

Harga sebanyak 32 barangan di bawah program Jimat Belanja Dapur di pasar tani seluruh negara akan lebih murah sepanjang bulan Ramadan ini. Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata barangan itu akan mendapat pengurangan lagi iaitu antara 10 dan 20 peratus di 538 pasar tani seluruh negara. "Di bawah program jimat belanja barangan, harga adalah lebih murah antara lima hingga 20 peratus dan sepanjang bulan puasa, ia berkurangan lagi antara 10 hingga 20 peratus. "Sebagai contoh, harga sekilogram ayam pada hari biasa ialah RM7.80 namun sepanjang Ramadan, ia akan berkurangan sehingga RM7," katanya dalam sidang media selepas Pelancaran Pasar Tani Pra-Ramadan Peringkat Kebangsaan di sini hari ini. Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bekalan barangan seperti daging lembu, ayam, ikan dan sayur-sayuran adalah mencukupi sepanjang Ramadan ini walaupun fenomena El Nino melanda negara.BERNAMA